Oleh Rusdi Awang, Ezura As’ad Azam
Secara umumnya, akhbar diwujudkan atas beberapa tujuan, yang utamanya untuk memberitahu pembaca secara objektif tentang hal yang sedang berlaku di sekeliling. Kewujudan akhbar juga diperlukan untuk memberikan ruang pengiklanan sesuatu barangan atau perkhidmatan kepada orang ramai. Selain itu, akhbar dapat memberikan hiburan kepada pembaca melalui ruangan seperti kartun, liputan berita bercorak hiburan dan rencana tertentu. Akhbar turut bertindak sebagai saluran untuk mengubah pemikiran pembaca agar tidak mempunyai pandangan yang negatif atau buruk sangka kepada pihak tertentu, terutamanya kerajaan (Jamudin Idris, 1996).
Makalah ini menyingkap sejarah penerbitan akhbar di Sabah, dengan fokus terhadap akhbar berbahasa Melayu. Kronologi penerbitan akhbar ini kemudiannya menimbulkan perbincangan terhadap faktor-faktor yang menggalakkan penerbitan akhbar berbahasa Melayu di Sabah. Industri persuratkhabaran dalam bahasa Melayu terus wujud di Sabah sehingga kini namun cabaran semasa menyebabkan bilangannya semakin terhad.
Sejarah Penerbitan Akhbar Berbahasa Melayu di Sabah
Dunia penerbitan di Sabah telah bermula sejak zaman pemerintahan kolonial Inggeris melalui industri persuratkhabaran. Akhbar berbahasa Inggeris yang tertua dan terawal wujud sebelum perang dunia kedua di Sabah ialah akhbar The Herald. Akhbar ini merupakan terbitan rasmi yang pertama bagi Syarikat Berpiagam Borneo Utara British dan telah dicetak sepenuhnya dalam bahasa Inggeris (Arkib Negeri Sabah, 1995).
Penerbitan akhbar ini terhenti semasa pendudukan Jepun dari tahun 1941 hingga 1945, namun disambung semula pada tahun 1947 hingga 1948. Akhbar ini kemudiannya tidak diterbitkan lagi. Pada 1 Mac 1949 berpusat di Sandakan, akhbar The North Borneo News (NBN) menjadi akhbar terawal yang diterbitkan selepas perang. Seterusnya pada tahun 1953, akhbar The Sabah Times (TST) pula diterbitkan. Pada tahun 1954, akhbar NBN dan TST digabungkan menjadi North Borneo News & Sabah Times (NBN & ST).
Akhbar NBN & ST merupakan akhbar berbahasa Inggeris pertama menyediakan ruangan berbahasa Melayu pada setiap dua minggu, yang dinamakan The Malay Fortnightly Supplement. Ruangan ini kemudiannya dinamakan Our Romanised Malay Corner (ORMC), yang diwujudkan setelah pelantikan K. Bali, seorang penulis dan aktivis bahasa dan sastera yang berhijrah dari Kelantan, sebagai pengarang akhbar tersebut. Setiap hari, ruangan ORMC menghiasi setengah halaman akhbar, manakala pada setiap dua minggu, ruangan ini memenuhi satu halaman akhbar.
Penerbitan akhbar berbahasa Melayu sepenuhnya di Sabah mula diusahakan oleh beberapa individu dan persatuan sejak pertengahan 1960-an. Akhbar pertama dalam bahasa Melayu sepenuhnya ialah Fajar Sabah yang diterbitkan pada Oktober 1965. Akhbar yang mempunyai enam halaman dan diterbitkan secara mingguan ini hanya bertahan hingga Januari 1966. Pada tahun yang sama, sebuah lagi akhbar berbahasa Melayu, iaitu Utusan Bumiputera diterbitkan (Andi Samsiar Andi Jaya, 2003). Penerbitan akhbar ini juga tidak bertahan lama. Walau bagaimanapun, kedua-dua akhbar ini boleh dikatakan menjadi perintis kepada penerbitan akhbar berbahasa Melayu sepenuhnya di Sabah.
Setelah hampir 10 tahun, penerbitan akhbar berbahasa Melayu kembali rancak dan berkembang melalui penerbitan beberapa buah akhbar, antaranya Utusan Rakyat (1976), Gema Belia (1970), Segar (1976), Bakat dan Tokoh (1948). Namun demikian, penerbitan semua akhbar ini tidak bertahan lama (Jamdin Buyong, 1997). Pada era 1990-an, muncul pula akhbar-akhbar berorientasikan politik, iaitu Suara Sabah yang diterbitkan oleh parti pemerintah ketika itu, Parti Bersatu Sabah (PBS), dan akhbar Berita Sabah yang dimiliki oleh salah seorang pemimpin PBS ketika itu, Jeffrey Kitingan.
Pada 14 Oktober 1996, muncul akhbar Harian Mercu yang diterbitkan oleh Raya Erom, seorang penulis dan aktivis seni, dan isteri kepada Salleh Tun Said Keruak, Ketua Menteri Sabah pada ketika itu, selari dengan tempoh awal pemerintahan kerajaan UMNO di Sabah (Dohimbang Bongkihoi, 1999). Penerbitan akhbar ini kemudiannya terhenti pada tahun 1999. Pada 15 Mei 2000, terbit sebuah lagi akhbar berbahasa Melayu berbaur politik, iaitu Watan Sabah, yang ditaja oleh salah seorang pemimpin UMNO Sabah, Lajim Ukin. Keempat-empat akhbar ini kebanyakannya melaporkan tentang kegiatan-kegiatan parti, serta para pemimpinnya, kecuali Harian Mercu dan Watan Sabah yang turut menyiarkan berita semasa, puisi dan cerpen. Keempat-empat akhbar yang diasaskan oleh individu berpengaruh politik ini tidak bertahan lama apabila para pemimpin yang berkaitan tidak lagi memerintah atau mempunyai jawatan penting dalam kerajaan.
Faktor Penerbitan Akhbar Berbahasa Melayu di Sabah
Jika ditelusuri sejarahnya, didapati wujud beberapa faktor yang mencetuskan penerbitan akhbar berbahasa Melayu di Sabah, khususnya dalam tempoh antara tahun 1960-an hingga tahun 1990-an. Faktor utama penerbitan akhbar berbahasa Melayu di Sabah ini berkait rapat dengan usaha parti pemerintah pada ketika itu, iaitu United Sabah National Organisation (USNO) yang amat mementingkan peranan bahasa Melayu sebagai alat pentadbiran pada peringkat komuniti dan pengukuh perpaduan di negeri Sabah. Sementelahan masyarakat di Sabah terdiri daripada pelbagai etnik yang menuturkan bahasa masing-masing, Presiden USNO, Tun Datu Mustapha, berusaha untuk mengangkat penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan mendaulatkan kedudukannya di Sabah. Dasar untuk pelaksanaan, pengembangan dan peluasan bahasa Melayu di Sabah sentiasa diletakkan pada landasan utama.
Pada 15 Mac 1970, Badan Bahasa Sabah (BAHASA) ditubuhkan dan dipimpin oleh Dzulkipli Abdul Hamid, salah seorang tokoh politik USNO yang diberikan mandat oleh Tun Datu Mustapha untuk mendaulatkan dan menyemarakkan bahasa Melayu di Sabah. Melalui BAHASA, beberapa inisiatif dilaksanakan, antaranya melantik semua pegawai daerah pada masa itu sebagai Pengerusi BAHASA pada peringkat daerah di samping menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu dalam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), khususnya dalam urusan rasmi kerajaan.
Kejayaan terbesar BAHASA pada ketika itu dapat diperhatikan dengan jelas melalui penganjuran Seminar Bahasa dan Sastera Melayu di Maktab Sabah pada 4 Ogos hingga 6 Ogos 1970, yang menghimpunkan para penulis dan sasterawan dari seluruh negara, termasuklah wakil kesatuan guru, persatuan belia serta jabatan-jabatan di negeri Sabah. Resolusi seminar ini menetapkan supaya bahasa Melayu diisytiharkan sebagai bahasa rasmi bagi negeri Sabah, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Dewan Undangan Negeri Sabah kemudiannya menerima resolusi itu dan pengisytiharan berkenaan berkuat kuasa pada 16 September 1973.
Dasar dan peraturan penggunaan bahasa Melayu dilaksanakan dengan tegas dan berani di bawah kepimpinan Tun Datu Mustapha selaku Ketua Menteri Sabah pada ketika itu. Pada masa yang sama, medium komunikasi bercetak yang ada hanyalah akhbar. Secara tidak langsung, usaha untuk menerbitkan akhbar dalam bahasa Melayu mula diusahakan dan digerakkan oleh beberapa orang individu dalam usaha menyahut seruan kerajaan agar mendaulatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negeri Sabah. Usaha ini merupakan pemangkin awal kepada penerbitan akhbar berbahasa Melayu sepenuhnya di negeri Sabah.
Faktor kedua yang menggalakkan penerbitan akhbar berbahasa Melayu di Sabah ialah kebangkitan penulis, aktivis bahasa dan sastera serta persatuan-persatuan penulis untuk menyahut seruan kerajaan agar mendaulatkan bahasa Melayu. Hal ini dipengaruhi oleh situasi pada akhir tahun 1950-an, apabila para penulis serta pencinta bahasa dan sastera di Sabah mula berganding bahu menubuhkan persatuan seterusnya bergiat aktif dalam pelbagai kegiatan bahasa, sastera dan budaya.
Antara persatuan yang tertubuh ialah Angkatan Gaya Baru (AGABA) pimpinan Tun Mohd. Fuad Stephens (sebelumnya dikenali sebagai Donald Stephens) dan K. Bali, Persatuan Penulis Sabah (PERPESA) yang dipimpin oleh Noraini Haji Salleh, serta Angkatan Persatuan Melayu Sabah (APMS) yang dipimpin oleh Mursidi Nambi. Pada tahun 1970, AGABA dan PERPESA bergabung lalu membentuk Persatuan Badan Bahasa Sabah (BAHASA). BAHASA dipimpin oleh Dzulkipli Abdul Hamid di samping setiausaha pertamanya, Jamdin Buyong yang seterusnya banyak memainkan peranan penting dalam memartabatkan bahasa Melayu di negeri Sabah sehingga hari ini.
Tun Mohd. Fuad Stephens bukan sahaja memimpin AGABA bahkan merupakan pemilik akhbar NBN & ST. Pada awalnya, Tambi Hashim Ali dilantik menjadi editor bahasa Melayu bagi ruangan The Malay Fortnighly Supplement yang turut menyiarkan karya sastera, meskipun tumpuannya lebih banyak dalam bidang penulisan rencana dan berita. Apabila K. Bali dilantik menjadi pengarang pada tahun 1954, beliau telah menukar nama ruangan tersebut kepada Our Romanised Malay Corner.
Selain itu, usaha individu untuk menyemarakkan dan mendaulatkan bahasa Melayu di Sabah juga tidak dapat dinafikan. Akhbar Fajar Sabah misalnya, diterbitkan pada bulan Oktober 1965 atas usaha M. A. Rahman, yang bekerjasama dengan editornya, Ismail Abbas. Kedua-dua individu ini dikenali sebagai penulis juga aktivis bahasa dan sastera. Akhbar Fajar Sabah diterbitkan sepenuhnya dalam bahasa Melayu dan memuatkan berita semasa, politik, bahasa serta karya-karya sastera. Walaupun akhbar ini hanya bertahan sehingga bulan Januari 1966, namun sumbangannya amat penting dalam perkembangan akhbar berbahasa Melayu di Sabah.
Selepas hampir 10 tahun, seorang lagi tokoh politik dan penulis, Abdul Hamid Awang, telah menerbitkan akhbar berbahasa Melayu sepenuhnya, iaitu Utusan Rakyat pada tahun 1976. Akhbar ini diterbitkan oleh Persatuan Penulis Gabungan Penulis Sedar (GAPURA). Akhbar berbentuk tabloid ini banyak menyiarkan berita dan rencana politik, kegiatan persatuan dan karya sastera seperti puisi dan cerpen. Akhbar ini tidak dijual di pasaran kerana edarannya yang terhad dan hanya dilanggan oleh ahli-ahli GAPURA di seluruh Sabah dan beberapa Institusi Pengajian Tinggi di Semenanjung Malaysia. Akhbar ini juga tidak bertahan lama seperti akhbar Fajar Sabah.
Faktor ketiga yang merancakkan penerbitan akhbar berbahasa Melayu di Sabah ialah keperluan untuk menampung penyiaran karya-karya sastera seperti puisi, cerpen, rencana dan kegiatan persatuan penulis. Pada akhir tahun 1950-an, para penulis, aktivis bahasa dan sastera serta persatuan penulis di Sabah mula bergerak aktif dalam pelbagai kegiatan berkaitan bidang bahasa, sastera, budaya dan kesenian. Memandangkan pada ketika itu peluang agak terhad untuk menyiarkan karya-karya dan berita berkaitan kegiatan bahasa, sastera, budaya dan kesenian di Sabah, maka penerbitan akhbar berbahasa Melayu mula diusahakan oleh ahli-ahli persatuan. Secara kebetulan, ada ahli persatuan yang turut menyandang jawatan editor akhbar tertentu, misalnya Tun Mohd. Fuad Stephens, K. Bali, M. A. Rahman, Ismail Abbas, Jamdin Buyong dan Abdul Hamid Awang yang menganggotai persatuan seperti AGABA, PERPESA dan APMS.
Faktor seterusnya dapat dilihat dari aspek politik. Pada era 1990-an, muncul akhbar-akhbar berbaur politik seperti akhbar Suara Sabah yang diterbitkan oleh Parti Bersatu Sabah (PBS), parti pemerintah ketika itu dan Berita Sabah, yang dimiliki oleh Jeffrey Kitingan, salah seorang pemimpin PBS yang juga adik kepada Ketua Menteri, iaitu Joseph Pairin Kitingan. Walaupun menggunakan medium bahasa Melayu, akhbar-akhbar ini diterbitkan sesuai dengan fungsi dan peranannya sebagai lidah rasmi PBS. Kandungan akhbar ini lebih banyak melaporkan kegiatan-kegiatan parti serta aktiviti para pemimpinnya. Kedua-dua akhbar ini tidak bertahan lama apabila PBS tumbang dalam pilihanraya negeri pada tahun 1995.
Cabaran Penerbitan Akhbar Berbahasa Melayu di Sabah
Menjelang abad ke-21, industri akhbar berbahasa Melayu di Sabah mula beralih kepada penerbitan digital, seiring dengan kemajuan teknologi maklumat. Pada awalnya, penerbitan akhbar secara dalam talian di Sabah dilihat bertujuan untuk memenuhi selera golongan tertentu. Namun demikian, keperluan semasa sebahagian besar masyarakat terhadap maklumat yang lebih mudah diakses mendorong syarikat penerbitan meningkatkan tumpuan terhadap penerbitan akhbar dalam talian.
Dengan populariti media sosial pula, berlaku kemerosotan yang ketara dalam pengedaran akhbar bercetak sehingga menjejaskan pendapatan daripada iklan. Hal inilah yang mendorong pihak pengurusan The New Sabah Times menutup operasi sepenuhnya pada 31 Disember 2020 yang lalu. Masalah yang dihadapi ini sebenarnya sama seperti yang dialami oleh kebanyakan syarikat akhbar di seluruh dunia, ditambah pula dengan situasi pandemik yang tidak tentu. Bermula pada 1949 dengan nama The North Borneo News, walaupun lebih enam dekad sudah beroperasi, satu daripada akhbar berbahasa Melayu di Sabah ini akhirnya kecundang buat kali kedua. Penerbitan akhbar yang namanya telah ditukar beberapa kali ini pernah dihentikan pada 1995 ketika dikenali dengan nama Sabah Times. Pada 8 Mac 1998, akhbar ini diterbitkan semula di bawah pengurusan baharu dengan nama The New Sabah Times.
Sehingga hari ini, hanya Utusan Borneo dan Harian Ekspres yang kekal sebagai akhbar berbahasa Melayu di Sabah. Kedua-dua akhbar ini turut diterbitkan dalam bentuk digital. Selain memuatkan berita tempatan dan luar negara, rencana serta iklan, kedua-duanya turut menyediakan ruangan khas pada setiap hujung minggu yang menyiarkan karya cerpen dan puisi.
Walaupun industri penerbitan di Sabah sudah bertapak sejak zaman pemerintahan kolonial Inggeris lagi, namun usaha untuk menerbitkan akhbar berbahasa Melayu sepenuhnya di Sabah hanya bermula sekitar tahun 1960-an. Penerbitan akhbar berbahasa Melayu ini mengalami kemuncaknya pada tahun 1990-an. Terdapat beberapa faktor yang menggalakkan kerancakan penerbitan akhbar ini, antaranya semangat mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kebangkitan persatuan penulis dan aktivis bahasa, keperluan untuk menampung karya sastera berbahasa Melayu serta pengaruh politik. Kepesatan teknologi yang pada awalnya dilihat dapat membuka ruang baharu dalam industri akhbar kemudiannya bertukar menjadi ancaman apabila penerbitan akhbar berbahasa Melayu di Sabah semakin terhad dengan dua sahaja akhbar yang masih wujud pada hari ini, iaitu Utusan Borneo dan Harian Ekspres.