Skip to content
Silat dan Busana Melayu: Warisan Pusaka Zaman-berzaman
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Sejarah dan Budaya > Silat dan Busana Melayu: Warisan Pusaka Zaman-berzaman
Silat dan Busana Melayu: Warisan Pusaka Zaman-berzaman
Sejarah dan Budaya

Silat dan Busana Melayu: Warisan Pusaka Zaman-berzaman

  • SAMIRON BIN RAHMAT
  • 20 Disember 2023
  • DBP Wilayah Timur
  • 589
  • 5

Seni mempertahankan diri merupakan warisan yang dipusakai sejak zaman-berzaman. Tae kwan do, taici, silambam dan kung fu merupakan antara seni mempertahankan diri yang popular di dunia. Peradaban Melayu pula mengamalkan seni bela diri seperti silat kerana silat dianggap sebagai warisan yang harus dipertahankan sehingga ke hari ini.

Silat dalam konteks rumpun Melayu mempunyai susur galurnya tersendiri. Silat Cekak, Silat Kuningan, Silat Gayung dan Silat Nasrul Haq merupakan antara silat yang terkenal di Malaysia. Setiap jenis silat itu mempunyai  pecahannya tersendiri.

Silat dan Busana Melayu: Warisan Pusaka Zaman-berzamanSilat dan Busana Melayu: Warisan Pusaka Zaman-berzamanSilat dan Busana Melayu: Warisan Pusaka Zaman-berzaman

 

 

 

 

 

 

 

 

Silat Gayung dapat dipecahkan kepada Silat Gayung Cekak Sendeng, Silat Gayung Garuda, Silat Gayung Harimau, Silat Gayung Laksamana, Silat Gayung Pancasila dan sebagainya. Tidak kurang dari lima belas pecahan Silat Gayung ini telah dicatatkan oleh para pengkaji. Pengkaji membuktikan bahawa 360 jenis silat ini mempunyai pelbagai variasi di Nusantara (Naim Osman, 2015).

Menurut salah seorang pengamal seni Silat Gayung Malaysia, Encik Mat Rani @ Rani Pak Mat Sireh, setiap pertubuhan silat di negara ini mempunyai perlembagaan dan pendaftaran masing-masing. Beliau yang kelihatan gagah dan lengkap dengan busana ditemui oleh penulis dalam salah satu program menghidupkan kembali budaya Melayu yang aktif di negeri Terengganu.

Silat dan Busana Melayu: Warisan Pusaka Zaman-berzaman
Encik Mat Rani @ Rani Pak Mat Sireh

“Persatuan silat didaftarkan di bawah akta pertubuhan 1966 dan mempunyai objektif, keahlian dan tujuan tertentu apabila ditubuhkan. Di samping itu, pertubuhan silat juga mempunyai lambang tersendiri sebagai identiti persatuan,” ujarnya yang merupakan antara penggerak utama Persatuan Seni Silat Gayung Pusaka Merah, Kerteh, Terengganu.

Tujuan penubuhan persatuan silat adalah untuk memelihara dan mengembangkan seni warisan budaya Melayu, memberi kefahaman yang jitu tentang ilmu bela diri sehingga boleh dijadikan kepada satu kerjaya, memperbaiki rohani dan jasmani serta meningkatkan akhlak ahli-ahli persatuan.

Hal ini jelas membuktikan bahawa kewujudan persatuan silat turut memainkan peranan penting dalam kelestarian dan kesinambungan budaya bangsa. Menurut beliau lagi, jati diri dan disiplin dalam kalangan ahli pertubuhan bela diri amat ditekankan.

“Seni persilatan bukan digunakan untuk tujuan bermegah, melakukan perkara jenayah atau salah laku, tetapi untuk membela diri dan mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara. Pada zaman dahulu, para pahlawan dan pengawal istana mesti dibekalkan dengan ilmu persilatan untuk mempertahankan sultan mereka,” sambungnya lagi.

Silat dan Busana Melayu: Warisan Pusaka Zaman-berzaman

Pada masa kini, peranannya mungkin sudah agak berubah. Seni silat sebagai benteng pertahanan negara hanya menjadi warisan dan sekadar mengisi ruang dalam acara-acara tertentu. Bermula dari acara rasmi istana seperti upacara pertabalan, majlis menyambut pembesar negara sehinggalah ke acara rutin seperti majlis perasmian, majlis perkahwinan dan pertunjukan kebudayaan.

Keunikan seni bela diri ini bukan sahaja terletak kepada gerakan dan jurus yang menarik, bahkan kepada busana yang dikenakan oleh pendekarnya. Langkah nan gagah dan tubuh yang sasa menambahkan lagi kehebatan seni mempertahankan diri tersebut.

Pakaian pesilat amat sinonim dengan busana masyarakat Melayu, terutamanya dari segi corak yang menarik dan motif yang memikat. Busana pesilat semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda. Gabungan baju Melayu, bengkung, keris, setanjak  dan kain samping bertenun amat menarik perhatian mata yang memandangnya. Itu belum lagi ditambah dengan aksesori lain seperti aguk, kerongsang dan sebagainya, selalunya dipakai oleh orang kenamaan.

Setiap komponen busana silat yang dipakai mempunyai maksud tersendiri. Keris yang tersisip rapi di pinggang  melambangkan kedaulatan dan kebesaran raja-raja Melayu dan turut berperanan sebagai senjata pendek yang digunakan untuk mempertahankan diri serta menewaskan musuh. Keris Taming Sari dan Keris Sempena Riau merupakan keris yang  menjadi legenda zaman kegemilangan kesutanan Melayu terdahulu.

Terdapat  beberapa bentuk hulu keris yang diminati oleh masyarakat zaman kini, iaitu bentuk burung, bentuk tapak kuda dan bentuk anak ayam. Bentuk-bentuk ini pula akan dikenakan motif ukiran yang halus menggunakan unsur alam seperti tumbuhan. Motif yang sering digunakan adalah seperti motif sulur kacang, paku pakis dan ketumbit. Hulu keris ini biasanya diperbuat daripada kayu yang bermutu atau daripada tanduk.

Begitu juga dengan kain bengkung yang mengikat samping para pemakainyapun turut mempunyai makna tersendiri. Bengkung silat terdapat dalam pelbagai warna dan setiap warna menunjukkan tahap pencapaian pendekar dalam ilmu persilatannya.

Sebagai contoh, pesilat yang melepasi peringkat atau tahap satu perlu menggunakan bengkung merah, manakala pesilat peringkat dua pula akan mengenakan bengkung merah berjalur kuning. Kemudian, pada tahap atau peringkat tiga, pesilat dianugerahkan dengan bengkung kuning dan begitulah seterusnya.

Tidak lengkap busana Melayu jika tidak dikenakan aksesori di atas kepala. Tengkolok atau tanjak amat sinonim dengan dunia pendekar. Zaman sekarang, pemakaian tanjak semakin mendapat perhatian golongan muda, terutamanya dalam majlis kebudayaan dan pada acara tertentu.

Jenis-jenis tanjak yang popular adalah seperti Tanjak Lang Melayang dan Tanjak Dendam Tak Sudah, yang biasanya digunakan oleh pengantin lelaki ketika bersanding. Kebanyakan tanjak dibentuk menggunakan kain songket tenunan tangan yang bermutu tinggi. Pada zaman kesultanan Melayu Melaka, kain sutera China digunakan untuk membentuk tanjak atau destar ini. 

Program seperti Festival Main Gayong dan Karnival Seni Silat Nusantara contohnya, merupakan medan mengumpulkan pesilat di sekitar kepulauan Melayu Nusantara. Program ini merupakan  usaha kerajaan negeri Terengganu dan disokong oleh Persatuan Persaudaraan Pesilat Pantai Timur (PERSIMA) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di seluruh negeri bagi menyemarakkan kembali seni mempertahankan diri Melayu.

Menurut pengerusi Festival Main Gayong Terengganu 2022, Ustaz Hazri Jusoh,  pihaknya menerima kira-kira 200 lebih penyertaan dari perguruan silat seluruh Malaysia, Indonesia dan Thailand. Sambutan program tersebut amat menggalakkan, terutamanya dari pertubuhan silat tempatan.

Matlamat program tersebut adalah untuk mengeratkan silaturahim antara perguruan-perguruan Nusantara yang merupakan teras kepada jati diri Melayu. Di samping itu, karnival seumpama ini dapat mengukuhkan lagi minat dan kefahaman tentang akar budaya dalam kalangan generasi muda.

Silat dan Busana Melayu: Warisan Pusaka Zaman-berzaman

Silat dan busana Melayu merupakan warisan bangsa yang tidak boleh dipisahkan kerana kedua-duanya mempunyai ciri yang sangat istimewa. Tanpa salah satu warisan tersebut, maka hilanglah seni dan identiti masyarakat Melayu. Kesimpulannya, masyarakat diseru supaya menghargai dan menyemai sikap cintakan warisan budaya tradisi kita berbanding memartabatkan budaya luar. Lebih banyak lagi program yang harus dilaksanakan bagi mengekalkan khazanah budaya peribumi ini supaya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #dbpselatan (12) #karyasastera (14) #komsas (2) #penulis (4) #penulisbaharu (14) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (4) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (13) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (2) #wadahdbp (4) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) bengkel (2) budaya (2) cerpen (9) dbpcawangansabah (4) dbpcawangansarawak (16) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) palestin (2) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (8) puisi (23) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Satu Abad Usia Tambak Johor Perkukuh Hubungan Dua Negara
Sejarah dan Budaya

Satu Abad Usia Tambak Johor Perkukuh Hubungan Dua Negara

  • 1 Disember 2024
  • 63
  • 5
ساجق مرديک
Puisi Moden

ساجق مرديک

  • 5 September 2024
  • 4.8
Pintu Gerbang: Monumen Tarikan Pelancong
Kearifan Tempatan

Pintu Gerbang: Monumen Tarikan Pelancong

  • 16 Disember 2024
  • 149
  • 2.3
Perjalanan Penulisan Melalui Pengalaman Yang Berharga
Tokoh

Perjalanan Penulisan Melalui Pengalaman Yang Berharga

  • 5 Mac 2025
  • 40
  • 4.3

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP