Seni mempertahankan diri merupakan warisan yang dipusakai sejak zaman-berzaman. Tae kwan do, taici, silambam dan kung fu merupakan antara seni mempertahankan diri yang popular di dunia. Peradaban Melayu pula mengamalkan seni bela diri seperti silat kerana silat dianggap sebagai warisan yang harus dipertahankan sehingga ke hari ini.
Silat dalam konteks rumpun Melayu mempunyai susur galurnya tersendiri. Silat Cekak, Silat Kuningan, Silat Gayung dan Silat Nasrul Haq merupakan antara silat yang terkenal di Malaysia. Setiap jenis silat itu mempunyai pecahannya tersendiri.
Silat Gayung dapat dipecahkan kepada Silat Gayung Cekak Sendeng, Silat Gayung Garuda, Silat Gayung Harimau, Silat Gayung Laksamana, Silat Gayung Pancasila dan sebagainya. Tidak kurang dari lima belas pecahan Silat Gayung ini telah dicatatkan oleh para pengkaji. Pengkaji membuktikan bahawa 360 jenis silat ini mempunyai pelbagai variasi di Nusantara (Naim Osman, 2015).
Menurut salah seorang pengamal seni Silat Gayung Malaysia, Encik Mat Rani @ Rani Pak Mat Sireh, setiap pertubuhan silat di negara ini mempunyai perlembagaan dan pendaftaran masing-masing. Beliau yang kelihatan gagah dan lengkap dengan busana ditemui oleh penulis dalam salah satu program menghidupkan kembali budaya Melayu yang aktif di negeri Terengganu.
“Persatuan silat didaftarkan di bawah akta pertubuhan 1966 dan mempunyai objektif, keahlian dan tujuan tertentu apabila ditubuhkan. Di samping itu, pertubuhan silat juga mempunyai lambang tersendiri sebagai identiti persatuan,” ujarnya yang merupakan antara penggerak utama Persatuan Seni Silat Gayung Pusaka Merah, Kerteh, Terengganu.
Tujuan penubuhan persatuan silat adalah untuk memelihara dan mengembangkan seni warisan budaya Melayu, memberi kefahaman yang jitu tentang ilmu bela diri sehingga boleh dijadikan kepada satu kerjaya, memperbaiki rohani dan jasmani serta meningkatkan akhlak ahli-ahli persatuan.
Hal ini jelas membuktikan bahawa kewujudan persatuan silat turut memainkan peranan penting dalam kelestarian dan kesinambungan budaya bangsa. Menurut beliau lagi, jati diri dan disiplin dalam kalangan ahli pertubuhan bela diri amat ditekankan.
“Seni persilatan bukan digunakan untuk tujuan bermegah, melakukan perkara jenayah atau salah laku, tetapi untuk membela diri dan mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara. Pada zaman dahulu, para pahlawan dan pengawal istana mesti dibekalkan dengan ilmu persilatan untuk mempertahankan sultan mereka,” sambungnya lagi.
Pada masa kini, peranannya mungkin sudah agak berubah. Seni silat sebagai benteng pertahanan negara hanya menjadi warisan dan sekadar mengisi ruang dalam acara-acara tertentu. Bermula dari acara rasmi istana seperti upacara pertabalan, majlis menyambut pembesar negara sehinggalah ke acara rutin seperti majlis perasmian, majlis perkahwinan dan pertunjukan kebudayaan.
Keunikan seni bela diri ini bukan sahaja terletak kepada gerakan dan jurus yang menarik, bahkan kepada busana yang dikenakan oleh pendekarnya. Langkah nan gagah dan tubuh yang sasa menambahkan lagi kehebatan seni mempertahankan diri tersebut.
Pakaian pesilat amat sinonim dengan busana masyarakat Melayu, terutamanya dari segi corak yang menarik dan motif yang memikat. Busana pesilat semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda. Gabungan baju Melayu, bengkung, keris, setanjak dan kain samping bertenun amat menarik perhatian mata yang memandangnya. Itu belum lagi ditambah dengan aksesori lain seperti aguk, kerongsang dan sebagainya, selalunya dipakai oleh orang kenamaan.
Setiap komponen busana silat yang dipakai mempunyai maksud tersendiri. Keris yang tersisip rapi di pinggang melambangkan kedaulatan dan kebesaran raja-raja Melayu dan turut berperanan sebagai senjata pendek yang digunakan untuk mempertahankan diri serta menewaskan musuh. Keris Taming Sari dan Keris Sempena Riau merupakan keris yang menjadi legenda zaman kegemilangan kesutanan Melayu terdahulu.
Terdapat beberapa bentuk hulu keris yang diminati oleh masyarakat zaman kini, iaitu bentuk burung, bentuk tapak kuda dan bentuk anak ayam. Bentuk-bentuk ini pula akan dikenakan motif ukiran yang halus menggunakan unsur alam seperti tumbuhan. Motif yang sering digunakan adalah seperti motif sulur kacang, paku pakis dan ketumbit. Hulu keris ini biasanya diperbuat daripada kayu yang bermutu atau daripada tanduk.
Begitu juga dengan kain bengkung yang mengikat samping para pemakainyapun turut mempunyai makna tersendiri. Bengkung silat terdapat dalam pelbagai warna dan setiap warna menunjukkan tahap pencapaian pendekar dalam ilmu persilatannya.
Sebagai contoh, pesilat yang melepasi peringkat atau tahap satu perlu menggunakan bengkung merah, manakala pesilat peringkat dua pula akan mengenakan bengkung merah berjalur kuning. Kemudian, pada tahap atau peringkat tiga, pesilat dianugerahkan dengan bengkung kuning dan begitulah seterusnya.
Tidak lengkap busana Melayu jika tidak dikenakan aksesori di atas kepala. Tengkolok atau tanjak amat sinonim dengan dunia pendekar. Zaman sekarang, pemakaian tanjak semakin mendapat perhatian golongan muda, terutamanya dalam majlis kebudayaan dan pada acara tertentu.
Jenis-jenis tanjak yang popular adalah seperti Tanjak Lang Melayang dan Tanjak Dendam Tak Sudah, yang biasanya digunakan oleh pengantin lelaki ketika bersanding. Kebanyakan tanjak dibentuk menggunakan kain songket tenunan tangan yang bermutu tinggi. Pada zaman kesultanan Melayu Melaka, kain sutera China digunakan untuk membentuk tanjak atau destar ini.
Program seperti Festival Main Gayong dan Karnival Seni Silat Nusantara contohnya, merupakan medan mengumpulkan pesilat di sekitar kepulauan Melayu Nusantara. Program ini merupakan usaha kerajaan negeri Terengganu dan disokong oleh Persatuan Persaudaraan Pesilat Pantai Timur (PERSIMA) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di seluruh negeri bagi menyemarakkan kembali seni mempertahankan diri Melayu.
Menurut pengerusi Festival Main Gayong Terengganu 2022, Ustaz Hazri Jusoh, pihaknya menerima kira-kira 200 lebih penyertaan dari perguruan silat seluruh Malaysia, Indonesia dan Thailand. Sambutan program tersebut amat menggalakkan, terutamanya dari pertubuhan silat tempatan.
Matlamat program tersebut adalah untuk mengeratkan silaturahim antara perguruan-perguruan Nusantara yang merupakan teras kepada jati diri Melayu. Di samping itu, karnival seumpama ini dapat mengukuhkan lagi minat dan kefahaman tentang akar budaya dalam kalangan generasi muda.
Silat dan busana Melayu merupakan warisan bangsa yang tidak boleh dipisahkan kerana kedua-duanya mempunyai ciri yang sangat istimewa. Tanpa salah satu warisan tersebut, maka hilanglah seni dan identiti masyarakat Melayu. Kesimpulannya, masyarakat diseru supaya menghargai dan menyemai sikap cintakan warisan budaya tradisi kita berbanding memartabatkan budaya luar. Lebih banyak lagi program yang harus dilaksanakan bagi mengekalkan khazanah budaya peribumi ini supaya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.