SETELAH penyair T. Alias Taib meninggal dunia, kedengaran suara-suara kekesalan mengapa penyair besar ini tidak dicalonkan untuk Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Award)? Sama halnya, kenapa Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) tidak dinobatkan sebagai Sasterawan Negara pertama? Begitu juga dengan Azizi Hj Abdullah, setelah beliau pulang ke Rahmatullah, baru kedengaran rungutan bahawa sasterawan besar ini wajar diangkat dan dikalungkan anugerah Sasterawan Negara.
Demikian yang telah berlaku dalam dunia sastera kita. Baik anugerah S.E.A. Write Award mahupun anugerah Sasterawan Negara, keputusan dibuat oleh sebuah jawatankuasa pemilihan yang terdiri daripada tokoh-tokok akademik yang mempunyai kepakaran yang tersendiri dalam bidang kesusasteraan. Pemilihannya pula tentu berpandukan faktor-faktor tentu yang menjadi format selain kriteria yang telah ditetapkan. Perubahan jawatankuasa penilai pada setiap kali pemilihan menunjukkan sikap terbuka DBP dalam menjaga dan menghasilkan keputusan terbaik dan dapat diterima khalayak.
Dalam dunia puisi tanah air, nama T. Alias Taib (Allahyarham) tidak boleh dikesampingkan sebagai penyair yang berbakat, mempunyai stail atau gaya yang tersendiri dalam berpuisi selain arah dan isi kepenyairannya pelbagai dan menarik perhatian ramai. Sensitivitinya mendalam menyerlahkan kebolehannya mengetengahkan apa sahaja persoalan dengan teliti dan menyentuh hati. Atas alasan ini, beliau wajar diberi pengiktirafan yang sewajarnya sesuai dengan nilai puisi-puisi yang telah hasilkannya.
Dalam penulisan puisi, beliau sebaris dengan Zurinah Hasan, Dharmawijaya, Rejab F.I., Kemala, Firdaus Abdullah dan lain-lain. Masing-masing mempunyai kelebihan dalam penghasilan puisi, namun T. Alias Taib mempunyai ciri-ciri kelebihan yang tersendiri sebagai penyair yang kritis dan unggul. Dalam berpuisi beliau tidak membuat banyak ekperimen, tetapi dengan menggunakan bahasa yang mudah, halus dan bertenaga, beliau dapat menghasilkan puisi yang baik dan menyentuh hati pembaca. Dengan mengambil tema biasa, beliau berjaya mempersembahkan puisinya dengan berkesan. Atas kelebihan ini, puisi T. Alias Taib terus hidup dan meninggalkan kesan yang mendalam untuk dikaji.
Dalam masyarakat yang sudah “celik”, puisi bukan selonggok kata-kata yang kosong, sebaliknya puisi merupakan anyaman kata-kata yang berisi dengan kompleksiti yang berdiri dan mendokong pengertian dengan jurus pandang yang unik dan ini menagih daya penghayatan yang tinggi. Atas kefahaman ini, puisi tidak bertujuan mencapai satu sistem abstrak yang diucapkan melalui satu sistem monosign, tetapi puisi cuba menimbulkan pola-pola kata yang unik, setiap satu itu merupakan satu objek dan satu tanda, dan digunakan dalam satu cara yang tidak dapat diramalkan oleh mana-mana sistem di luar puisi.
Sebagai Penyair, T. Alias Taib, Miliki Kelebihan Tersendiri
Antara penyair berbakat yang memiliki sifat-sifat kritis dan banyak kelainan dalam puisi-puisi yang dihasilkannya ialah T. Alias Taib. Keunggulan daya kreatifnya begitu menyerlah jika puisinya dihayati dan dianalisis dengan bijaksana. Walaupun beliau telah meninggal dunia pada tahun 2004, Allahyarham telah meninggalkan sejumlah puisi dalam beberapa buah kumpulan puisi perseorangannya seperti Laut Tak Biru di Seberang Takir (1972), Seberkas Kunci (1985), Opera (1988), Piramid (1990) Petang Condong (1996) dan Pasar Pengalaman (2004) yang bermutu dan boleh diselongkar idea dan pemikirannya yang kritis daripada pelbagai sudut.
Karya sastera (khususnya puisi), lahir daripada pemikiran kritis pengarang. Tanpa pemikiran kritis, tidak akan tercipta sesebuah karya sastera. Pemikiran kritis terbentuk sama ada seseorang pengarang itu bersetuju atau tidak dengan sesuatu isu; misalnya antara manusia dengan manusia, manusia dengan alam mahupun manusia dengan Tuhan. Hal ini secara langsung menyentuh soal persekitaran, budaya, politik, ekonomi dan lain-lain.
Sepanjang pembabitan T. Alias Taib dalam penulisan puisi, daya sensitivitinya sentiasa tersentuh dengan persoalan yang dinyatakan di atas. Beliau tergolong sebagai salah seorang penyair pengembara dan pengembaraan meluaskan pengalaman yang kemudian dituangkan dalam baris-baris puisinya. Beliau pernah mewakili negara ke Persidangan Seoul Asian Poets, di Seoul pada tahun 1986. Pada tahun 1989, T. Alias Taib menyertai lawatan PENA ke Paris, London dan Frankfurt. Pada tahun 2000, beliau mengikuti rombongan GAPENA ke Pontianak dan Daik-Lingga, Indonesia.
Anak kelahiran Terengganu ini diiktiraf karya puisinya kerana memenangi Hadiah Karya Sastera pada tahun 1975 dan 1976, Hadiah Sastera Malaysia tahun 1986/87, 1988/89, 1990/91, Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada tahun 1996/97, 1998/1999 dan Hadiah Sastera Utusan Melayu – Public Bank pada tahun 1987, 1990, 1993 dan 1999.
Sebagai seorang pendidik, T. Alias Taib telah membuktikan kemampuannya dalam penulisan puisi. Puisi-puisinya lahir dalam pelbagai tema dan persoalan. Biarpun apa yang digarapnya hanya persoalan kecil, ia boleh mendokong makna dan falsafah yang besar. Dengan menggunakan kata-kata biasa, baris-barisnya dianyam keharmonian, rima dan rentak, kelainan yang dimiliki penyair ini ialah kebolehannya merakamkan situasi yang besar dan meminta pembaca menghayati maknanya yang mendalam dan boleh menjurus kepada pelbagai sudut. Inilah kelebihan bakat semula jadi yang ada pada penyair kelahiran Terengganu ini.
Bagi membuktikan sensitiviti T. Alias Taib, tulisan ini hanya membataskan kepada tiga buah puisi beliau yang menyentuh tentang kehidupan dan warna yang ada membentuk peristiwa dan tingkah laku manusia. Betapa tajamnya sensitiviti penyair ini dapat diteliti dalam puisi “Pasar Perasaan“. Dari landasan pemikiran kritis, penyair melukiskan suasana dalam sebuah gerai. Tentu lokasinya di tepi jalan yang sibuk dan menjadi tumpuan ramai. Tentunya juga kedai kopi atau warung ini disinggahi rakyat biasa. Pasti tuan punya warung gembira kerana jualannya laris. Pelanggan berkumpul dan berbual sambil minum dan merokok, juga menikmati kuih-muih. Dalam situasi begini, tentu ada dua pihak yang terlibat:
pada gerainya duduk penjual sentimental
yang dikunjungi pembeli emosional.
Bagi penyair, antara dua pihak yang berbual, mereka tidak ubah seperti penjual dan pembeli. Apa yang dijual beli, ia cuma berunsur perasaan. Ia juga lebih dibayangi emosi. Justeru itu, ia bagaikan pasar perasaan, di mana kedua-dua pihak berjual beli (berdebat dan bertukar pendapat).
Persoalannya tentang apa? Barangkali tentang isu semasa yang menjadi buah mulut masyarakat, tentang gejala sosial yang semakin meruncing, tentang pergolakan politik yang gawat? Mungkin juga tentang pemimpin yang tiada amanah dan tiada integriti? Tentang rasuah yang berleluasa, inflasi atau tentang apa sahaja yang terlintas dalam fikiran orang yang memulakan perbualan. Dalam hubungan ini, yang memberikan respons yakni pembeli, membelinya dengan emosi. Luahan emosi ini lazimnya bukannya terbit daripada pertimbangan akal fikiran yang boleh dipertanggungjawabkan. Pendeknya, ia mentah dan dangkal.
Kerana itu penyair secara sinis menggambarkan;
Mereka memperdagangkan kata-kata
Yang terbit daripada kalbu
Bukan terbit daripada akal.
Gambaran di atas jelas bahawa penyair mahu memperkatakan kenyataan sebenar dalam perbualan yang tidak membawa apa-apa manfaat. Idea dan pemikiran yang dicetuskan oleh kedua pihak hanya berenang dalam kolam perasaan; ia tidak mencetuskan sebarang spesifikasi dan fakta, jauh sekali menjunjung nilai ilmu apalagi daya intelektual yang boleh dipertahankan.
Lantaran itu, penyair memberikan penilaian;
Mereka memperdagangkan hujah
Yang rapuh dan lapuk
Bagai kayu buruk;
Yang mudah dipatahkan
Bagai ranting kering.
Tabiat berborak kosong di kedai kopi sebenarnya sudah sekian lama menjadi budaya dalam kehidupan orang-orang Melayu. Kerana itu kita dapati kedai kopi tumbuh di mana-mana kerana ada pengunjungnya gemar berbual, membuang masa sedangkan ia tidak membawa sebarang keuntungan. Dari sini jelas penyair menyampaikan mesej; mengkritik masyarakat yang menjadikan kedai kopi sebagai “parlimen” untuk berbahas dan berhujah, sedangkan apa yang didebatkan adalah lapuk dan buruk dan tidak membawa sebarang kesan kepada masyarakat dan negara.
Dari satu segi, budaya ini merugikan dan wajar dihindarkan dari terus menjadi penyakit yang membarahi sikap dan perangai orang-orang Melayu. Penggunaan perkataan “bagai kayu buruk” dan “bagai ranting kering” selain puitis, begitu tajam maknanya mendukung diksi dan simile yang memayungi keindahan puisi ini. Penyair memberikan tafsiran bahawa mereka yang membabitkan diri dalam “pasar perasaan” ini sebagai sungai manusia yang datang dan pergi, menghilirkan suara kosong, biarpun riuh dan berdegar-degar tetapi sebenarnya kosong, terhasil dari pandangan orang yang cetek akal, yakni tidak berilmu, malah miskin dengan kebijaksanaan.
Justru itu boleh dianggap bahawa daripada pemikiran kritis penyair, mereka yang menghabiskan masa di warung kopi dan berbual dan berbahas tanpa fakta yang boleh dipertanggungjawabkan secara ilmiah, tidak adanya kebijaksanaan dan ini tidak lebih daripada cakap kosong yang boleh dirumuskan;
Ini pasar tidak berakal
Yang diriuhkan kekosongan.
Di sinilah terpapar pandangan kritis T. Alias Taib terhadap perdebatan di kedai kopi. Walaupun nampak menarik, tetapi kerana ia tidak bersandarkan pemikiran dan fakta, maka jadilah perdebatan itu sekadar berpaut pada emosi dan ilusi yang cetek. Secara langsung inilah kelainan yang diketengahkan penyair ini dalam puisi-puisinya. Stail bahasa yang terbentuk dalam hampir semua puisinya ialah pendek dan mudah difahami. Perulangan konsonan dan vokal turut mengunggulkan puisi ini. Ini dapat dikesan pada baris “di tengah penjual dan pembeli” dan “kususuri sungai sibuk ini”.
Di samping itu, unsur personifikasi dan metafora dianyam dengan kata-kata yang puitis seperti, “ini pasar tidak berakal”, dan “pasar perasaan” serta “sungai manusia”. Bertolak dari sini bolehlah ditafsirkan bahawa penyair mahu kita tidak emosional, tetapi berfikir dan mendalami ilmu dan mencari fakta sebelum menyuarakan sesuatu pendapat.
Sebuah lagi puisi yang mengangkat keunggulan daya kreatif T. Alias Taib ialah “Menteri”. Puisi ini melakar kewibawaan manusia. Menteri lahir daripada seorang wakil rakyat dari satu kawasan parlimen atau seorang senator yang dilantik. Status menteri begitu tinggi di mata masyarakat kerana di tangannya ada kuasa untuk melaksanakan sesuatu untuk kesejahteraan rakyat. Menteri ialah seorang Yang Berhormat yang disanjung rakyat, kepadanya juga digantungkan harapan untuk menunaikan segala janji yang ditabur ketika kempen pilihan raya. Ucap penyair;
Dituangnya segala ikrar dan janji
Ke atas rapuh sebuah jambatan kampung
Kita yang mendengarnya bertepuk tangan
Puisi ini jelas memfokuskan kepada situasi pengundi. Hal ini berbeza sama sekali dengan pengundi di bandar. Pengundi di bandar yang sudah mempunyai prasarana yang lengkap, tidak kisah dengan kempen dan janji seorang wakil rakyat. Mereka lazimnya lebih fokus kepada polisi dan perancangan kerajaan yang membuka peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Tetapi bagi penduduk kampung, nilai sebuah jambatan amat penting. Dengan jambatan yang menjadi jalan keluar masuk untuk urusan di luar kampung, barangan kampung dapat dibawa dan dipasarkan ke pekan sehari dan lain-lain. “Rapuh sebuah jambatan” boleh dimengertikan jambatan yang uzur perlu diganti dengan jambatan baru. Hal ini menjadi janji seorang menteri yang datang melawat. Inilah harapan orang kampung. Dalam pengertian lain, maksud rangkai kata tersebut boleh juga dimengertikan sebagai rapuhnya janji seorang menteri.
Ia mungkin tinggal janji, kerana tak tercatat apa-apa. Tiada jaminan yang kukuh hinggakan dilukiskan secara simbolik oleh penyair, “kali yang membisu tak bertepuk tangan, tapi mencatat bersama air yang mendesah.” Air dalam kali lebih dimengertikan kepada orang-orang yang tahu tentang gelagat wakil rakyat. “Air yang mendesah”, ia menyentuh hati orang tertentu dan tetapi sekadar mendengar, terjentik hatinya tetapi tidak mengharapkan sesuatu yang luar biasa boleh berlaku. Penyair memperlihatkan pemikirannya yang tajam dan kritis dalam rangkap kedua;
Dituang segala ikrar dan janji
Ke atas merah sepotong jalan kampung
Kita yang mendengarnya terangguk-angguk.
Kemudahan asas yang dikehendaki orang kampung, melibatkan semua aspek kehidupan seperti sekolah, klinik, jambatan, jalan, bantuan pertanian dan lain-lain. Walau bagaimanapun, bagi penyair, selain jambatan, jalan kampung yang menghubungkan dengan persekitaran amat penting.
Kampung yang dilukiskan oleh penyair ialah kampung yang masih mundur. Hal ini dibuktikan dengan jalan kampung yang masih berdebu dengan tanah merah dan berlumpur apabila hujan. Penduduk amat mengharapkan jalan berturap tar yang selesa. Mereka bertepuk dan terangguk-angguk; gambaran satu harapan yang tinggi kepada wakil rakyat mereka. Namun apa yang dijanjikan itu belum tentu akan menjadi kenyataan. Kerana mulutnya janji, orang kampung berjabat tangan, tetapi “rumput yang pilu tak berjabat tangan”. Rumput boleh digambarkan segelintir masyarakat yang syak dan wasangka. Mereka dilukiskan hanya mengangguk dan meliuk-liuk. Hal ini merupakan satu lukisan diplomasi yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan sebuah masyarakat tradisional yang masih menjunjung tinggi nilai hormat kepada pemimpin yang menjadi tetamu mereka. Daifnya sebuah kampung di pedalaman dilukiskan dalam rangkap ketiga;
Dituangnya segala ikrar dan janji
Ke atas nipah bumbung sekolah kampung
Kita yang mendengarnya meleleh senyuman
Pemikiran penyair yang kritis membawa pengertian bahawa kemunduran sesebuah kampung menjadi bahan dan isu yang mudah dipermainkan seseorang yang bergelar wakil rakyat, apalagi menteri. Kedaifan sebuah sekolah; institusi yang amat penting untuk mendidik anak-anak supaya berilmu dan bakal menjadi manusia berguna pada masa hadapan, menjadi harapan orang kampung agar dibaiki segera malah dibaik pulih semua kemudahannya supaya lebih selesa.
Namun begitu penyair dengan kritis melontarkan pandangannya dengan menjelaskan; “dinding yang robek tak pandai senyum, tapi pandai menangkap gemanya”. Bumbung nipah, dinding yang robek bukan sahaja simbol kedaifan tetapi juga simbol kealpaan pemimpin yang tidak menyeimbangkan penyaluran kemudahan dan pembangunan antara bandar dan kampung yang terpencil. Hali ini merupakan gambaran ketidakadilan sosial yang diwarisi dari zaman penjajah. Gema ketidakadilan dan kepincangan ini semakin hari semakin ketara disedari rakyat. Pembangkang berperanan mempersoalkan isu ini. Ia satu proses yang sihat dalam negara demokrasi seperti Malaysia.
T. Alias Taib merupakan penyair yang unggul dalam menyampaikan idea melalui kritikan yang tajam. Tidak ramai penyair yang mempunyai kelebihan menghasilkan puisi dalam bentuk begini. Pemikiran yang disimpulkan dalam puisinya diolah secara mudah dan bersahaja. Ia mudah difaham dan ditanggapi maknanya baik secara tersurat mahupun yang tersirat. Hal ini terbukti kukuh dalam puisi ini. Ikut bersama disalurkan nilai falsafah yang mendalam. Penyair boleh dianggap kecewa dengan wakil rakyat yang tidak menunaikan tanggungjawabnya secara total. Lantaran itu dalam puisi ini, dia merumuskan janji wakil rakyat bertaraf “menteri” dengan kesimpulan;
Ada yang cair bersama air
Menjadi lumpur
Ada yang reput bersama rumput
Menjadi lumut
Ada yang dimakan anai-anai
Menjadi habuk.
Setiap janji apabila tidak dapat ditunaikan, ia ibarat cair dan larut bersama-sama air. Dalam larutan ini wujudlah lumpur yang kotor berdanur menambah keladak dalam sungai kehidupan. Lumpur yang telah reput itu akhirnya menjadi lumut yang dibawa arus dalam pembangunan yang tidak setara. Ibarat kayu yang dibiarkan terdedah kepada panas dan hujan, maka ia akan menjadi sarang dan makanan anai-anai yang pasti menambah kerosakan sedia ada hingga menjadi habuk yang bila-bila masa diterbangkan angin. Ia sesuatu yang tidak bermakna lagi dan menjadi amat parah jika dikaitkan dengan pembangunan negara.
T. Alias Taib merupakan penyair yang prihatin dengan persekitaran. Sensitivitinya tajam dan dibawa ke mana sahaja beliau pergi. Pengalaman yang dikutipnya ketika berada di mana sahaja diterjemahkan ke dalam puisi yang segar dan dalam maknanya. Terungkap juga di dalamnya nilai kemanusiaan yang memperlihatkan beliau seorang penyair yang mempunyai kelainan yang tersendiri jika dibandingkan dengan penyair-penyair lain. Kelainan inilah yang menjadikan puisi-puisinya menyerlahkan keunggulan daya kreatif yang tinggi nilai estetikanya.
Dari segi gaya bahasa, T. Alias Taib mengekalkan unsur puitis. Dia memilih perkataan, “dituangnya janji” pada setiap rangkap sebagai pengulangan bagi menonjolkan unsur “sinis”, di samping mengaitkannya dengan imejan yang penuh simbolik dengan janji seorang menteri dan betapa tingginya harapan rakyat; tentunya di kampung yang mundur.
Penduduk kampung yang tidak berpelajaran, miskin dalam kehidupan dan dihimpit dengan kedaifan prasarana, dilukiskan dengan jelas melalui nada ungkapan; “rapuh sebuah jambatan kampung”, “merah sepotong jalan kampung”, dan “nipah bumbung sekolah kampung”. Umumnya penduduk amat mengharapkan perubahan baik spiritual mahupun fizikal mengalir masuk ke kampung dan dengan itu kampung akan berubah wajah dengan kemajuan seiring dengan kemajuan negara yang diuwar-uwarkan rancak dengan segala macam pembangunan untuk kesejahteraan rakyat.
Melalui puisi “Pemain Akordian Buta”, penyair mengangkat kisah seorang peminta sedekah yang menjaja suara dan kemahirannya bermain akordian untuk menagih simpati orang ramai. Nyata peminta sedekah ini manusia istimewa, bukan insan gelandangan yang menjadi sampah masyarakat. Insan ini mempersembahkan kebolehan yang ada padanya untuk mencari rezeki yang halal. Selain dilukiskan tentang kebolehan pemain akordian, penyair secara langsung memaparkan nasib dan getaran jiwa peminta sedekah ini dengan begitu jelas dalam rangkap pertama;
Dari akordiannya diperah santan muzik
Dari jarinya mengalir dunia yang cair
Dalam muziknya bergetar irama hidup
Dalam dunianya belayar awan redup
Dalam menjalankan kegiatannya, peminta sedekah ini tidak mahu menadah tangan dengan wajah kusam, juga berpakaian compang-camping untuk menagih simpati orang ramai. Dia seorang yang tidak berserah kepada nasib begitu sahaja. Peminta sedekah ini seorang yang dedikasi dan memerah daya kreatifnya bermain akordian dengan lagu yang enak dan menghiburkan.
Hal ini dilukiskan sebagai santan, iaitu pati daripada pengalaman dan kebolehan yang dimilikinya. Dan jari jemarinya yang dikurniai Allah SWT tidak disia-siakan begitu sahaja. Dari jari-jarinyalah, akordian dimainkan, di mana “mengalir dunia yang cair” melukiskan suara rasa dan luahan jiwanya. Irama muzik yang terhasil daripada akordiannya, tidak lari daripada “irama hidup” yang penuh dengan pancaroba. Jelasnya, “awan redup” atau kehidupan sukar yang dialami peminta sedekah ini membawanya meminta sedekah dengan akordian sebagai instrumen untuk menarik perhatian ramai. Rangkap ini juga disesuaikan keserasian rimanya yang berkesan iaitu; “irama hidup” dan “awan redup”.
Dalam rangkap kedua, penyair dengan jelas memaparkan keadaan peminta sedekah yang sebenarnya buta. “Matanya buta tetapi lagunya celik”; satu gambaran walaupun peminta sedekah ini cacat penglihatan tetapi lagu yang dimainkan selain menghiburkan, juga terselit pengajaran yang berguna. Betapa pemain akordian ini meluahkan perasaan dan suara hatinya; “suaranya pedih tapi dunianya jernih”.
Dia menyanyi dan bermain alat muziknya dengan penuh perasaan bagi melukiskan aliran jiwanya yang bersih; yakni bersih daripada sebarang syak wasangka dan sifat ketidakjujuran. Aksi pemain akordian ini memantul kepada diri penyair sendiri. Dia sedar dirinya; “mataku celik tapi laguku buta, suaraku jernih tapi duniaku pedih”. Dibandingkan dengan dirinya, penyair merasakan ada jurang yang memisahkan, nilai dirinya dengan nilai diri peminta sedekah itu amat berbeza. Walaupun mata penyair celik, tetapi kehidupan yang dilaluinya tidak seindah mana, malah penuh dengan dugaan dan cabaran, tidak terjangkau walaupun sifat dirinya lengkap, tetapi dia masih tidak kesampaian dalam memenuhi cita-cita hidupnya.
Rangkap ketiga, penyair lebih terarah untuk menjelaskan tentang kisah hidup pemain akordian yang bukan sahaja miskin, tetapi alat muziknya juga sebenarnya sudah usang tetapi masih baik untuk digunakan sebagai saluran meluahkan suara hati dan perasaannya. Walaupun pemain akordian seorang seniman jalanan, dengan alat muziknya dia berjaya memaparkan kisah diri yang sebenarnya penuh dengan kesengsaraan, tetapi demi mencari sesuap nasi, digagahi juga memainkan lagu laranya. Peminta sedekah atau seniman jalanan ini, sanggup berhijrah dari kota ke kota; yakni dari satu tempat ke satu tempat untuk mencari rezeki yang lebih baik. Berbekalkan kemahiran yang datang dari jari-jemarinya, pemain akordian meneruskan kegiatannya sama ada di lorong-lorong yang kenyang yakni di kawasan yang mudah mendapat simpati ramai mahupun di ‘lorong-lorong yang tak menghiraukannya, di mana lagu-lagunya yang dinyanyikannya sudah kurang mendapat sambutan.
Pemain akordian tidak berputus asa. Dia ialah seniman jalanan yang masih kurang diberi tempat di negara ini, sedangkan jika di negara barat, ia merupakan insan yang dihargai. Di kota hiburan seperti Paris, seniman jalanan seperti pemain akordian buta boleh hidup mewah, malah boleh memiliki harta berjuta. Penyair secara tersembunyi cuba mengenengahkan satu isu bahawa pemain akordian buta bukan sampah masyarakat, sebaliknya insan seni yang boleh menjadi aset pelancongan yang berpotensi jika pihak berkuasa secara profesional menyantuni pelan tindakan positif bagi membantu insan seperti ini yang memerlukan pembelaan yang sewajarnya.
Dalam situasi begini, secara subjektifnya, sumbangan seni pemain akordian buta mungkin lebih bernilai tinggi daripada “penyanyi glamor” yang menempa nama secara pantas melalui pertandingan juara lagu popular di media elektronik dan kemudiannya digilai peminat bukan kerana suara dan bakatnya, tetapi kerana promosi, hiasan, pakaian dan solekan yang membalut diri penyanyi glamor yang rata-rata diminati peminat berfikiran rendah.
Walau apa pun dunia tetap berubah dan pemain akordian buta juga perlu mengubah dirinya menjadi lebih gigih dengan perubahan masa. Penyair membina keunggulan puisi ini dengan membawa mesej positif yang dibumbui ironi dengan memaparkan pemain akordian itu sentiasa tabah; “dalam matanya menyingsing fajar cekal, dalam dadanya bersinar matahari pejal”. Walau apa pun dugaan yang datang, pemain akordian itu terus yakin dengan dunia dan kehidupannya. Rezekinya tetap ada selagi dia berusaha, berbekalkan kemahiran yang ada padanya. Dari satu segi, inilah keunggulan yang ada pada T. Alias Taib sebagai penyair yang mencerna diri dan membina hidup masyarakat terutama masyarakat marhaen seperti pemain akordian buta.
Sebenarnya ada banyak lagi puisi yang mengangkat persoalan masyarakat marhaen dihasilkan penyair ini. Justeru itu, penyair dari Terengganu ini amat simpati pada masyarakat bawahan meskipun kemudian dia berhijrah ke Kuala Lumpur kerana tuntutan kerjayanya.
Kesimpulan, berdasarkan analisis di atas, adalah jelas bahawa T. Alias Taib merupakan seorang penyair yang berbakat besar. Beliau mempunyai kelebihan dan teknik yang tersendiri dalam penghasilan puisi-puisinya yang ringkas tetapi bermutu tinggi. Semua puisi yang dihasilkannya memaparkan pemikirannya yang kritis walaupun persoalan yang diketengahkannya biasa tetapi apabila diolah dalam bentuk puisi yang kuat dengan nilai estetika, ia mendukung makna dan falsafah yang tinggi dan menagih penafsiran yang mendalam daripada pembaca.
Nilai-nilai kemanusiaan yang digarapnya adalah hasil daripada pautan dunia imaginasi dan realiti, pengamatannya berpaksikan kejujuran dan keikhlasan, semuanya dianyam dengan nostalgik dan simpatik. Jelasnya dia mengumpul dan menggauli peribadi semulajadi manusia, menapis isi alam dengan mengambil inti yang terbaik.
Hasil daripada analisis ini, tidak ditemui puisi-puisinya yang berunsur propaganda dan bombastik seperti dimiliki beberapa kerat penyair. Bertolak dari sinilah; keunggulannya bukan sahaja terletak dalam bentuk dan gaya tetapi juga mencakupi daya kreatifnya yang matang. Biarpun gaya bahasanya bersahaja, diadun dengan padat, mengungkapkan makna yang dalam; yakni yang tersurat mahu pun tersirat. Bukan sahaja kerana keindahan bentuk dan mesej yang terkandung dalam puisinya, bahkan mutu keseluruhan hasil kepengarangannya telah memberikan sumbangan yang besar kepada dunia kesusasteraan kebangsaan kita.
Rujukan:
Muhammad Haji Salleh, 1988. Pengalaman Puisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, .
T. Alias Taib, 2004. Pasar Pengalaman. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka .
T.Alias Taib, 1985. Seberkas Kunci.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Wellek dan Warren, 1988. Teori Kesusasteraan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.