Skip to content
Tak Mati Dek Keji, Tak Hidup Dek Puji: Kelantan dan Ketahanan Jati Diri
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Bahasa > Tak Mati Dek Keji, Tak Hidup Dek Puji: Kelantan dan Ketahanan Jati Diri
Tak Mati Dek Keji, Tak Hidup Dek Puji: Kelantan dan Ketahanan Jati Diri
Bicara Bahasa

Tak Mati Dek Keji, Tak Hidup Dek Puji: Kelantan dan Ketahanan Jati Diri

  • Nurbaya Arifin
  • 20 Februari 2026
  • DBP Wilayah Timur
  • 172
  • 5

Kelantan merupakan negeri yang sering menjadi tumpuan dalam wacana budaya dan identiti nasional Malaysia. Artikel ini meneliti konsep ketahanan jati diri masyarakat Kelantan melalui lensa peribahasa Melayu “tak mati dek keji, tak hidup dek puji”, yang menggambarkan kekuatan psikososial dan budaya sesuatu komuniti dalam menghadapi tekanan luaran. Meskipun sering dijadikan sasaran stereotaip dan celaan, masyarakat Kelantan memperlihatkan daya tahan identiti yang luar biasa, berakar pada loghat unik, semangat kekitaan dan kelangsungan tradisi budaya yang teguh. Melalui pendekatan kualitatif berbentuk analisis teks dan sorotan literatur, kajian ini menghuraikan tentang loghat Kelantan yang menjadi simbol identiti linguistik yang dipertahankan dengan penuh kebanggaan, nilai ukhuwah yang menyuburkan modal sosial komuniti serta keharmonian antara kaum yang terjalin secara organik melalui sejarah dan interaksi budaya harian. Di samping itu, amalan budaya seperti dikir barat dan makanan warisan yang diadaptasi dalam platform digital memperlihatkan ciri ketahanan sosiobudaya yang bersifat dinamik. Artikel ini mencadangkan bahawa jati diri yang utuh bukan sahaja melindungi masyarakat daripada asimilasi negatif, malah menjadi sumber kekuatan untuk berinteraksi secara harmoni dalam negara majmuk. Implikasi kajian ini menunjukkan bahawa model ketahanan Kelantan boleh dijadikan rujukan dalam pembentukan dasar budaya yang menyokong kelestarian identiti tanpa menafikan keterbukaan terhadap perubahan zaman.

Pengenalan

Malaysia sebagai sebuah negara majmuk sentiasa menjadi medan interaksi budaya, bahasa dan agama yang dinamik. Setiap negeri memiliki identiti tersendiri yang mencerminkan pengalaman sejarah, warisan tradisi serta sistem nilai lokal yang diwarisi turun-temurun. Dalam konteks ini, Kelantan muncul sebagai entiti yang unik, bukan sahaja dari aspek sosiobudaya, malah dari sudut ekspresi jati diri kolektif yang sangat kuat dan konsisten. Negeri ini, yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, sering menjadi tumpuan perbincangan akademik, media dan wacana kerana keistimewaan demografik, politik serta semangat kenegeriannya yang luar biasa.

Jati diri masyarakat Kelantan bukanlah sesuatu yang terhasil secara spontan. Ia terbina melalui proses sejarah yang panjang, termasuklah pengalaman penjajahan, pengaruh kerajaan-kerajaan Melayu lama serta pengamalan agama Islam yang menjadi tunjang kehidupan seharian. Di sinilah letaknya keunikan Kelantan, bukan sahaja sebagai sebuah negeri, tetapi sebagai komuniti budaya yang memiliki nilai-nilai tersendiri yang tidak mudah digugat oleh arus pemodenan mahupun tekanan luar. Dalam banyak hal, masyarakat Kelantan memperlihatkan daya tahan budaya yang tinggi (cultural resilience), iaitu kemampuan untuk mengekalkan nilai dan identiti tradisional dalam menghadapi cabaran-cabaran kontemporari seperti globalisasi, homogenisasi budaya dan stereotaip sosial. Namun, kekuatan ini juga menjadikan Kelantan sering menjadi sasaran kepada tanggapan negatif dan stereotaip. Dialek Kelantan, misalnya, dianggap kasar atau sukar difahami oleh sesetengah pihak luar, manakala gaya hidup rakyatnya pula dilabelkan sebagai konservatif atau tidak progresif. Menurut Nur Azuki et. al (2024), persepsi ini diperkuat lagi oleh sejarah politik negeri yang cenderung kepada pendekatan pentadbiran berasaskan nilai-nilai Islam, sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi daripada pihak luar yang melihat pendekatan itu sebagai eksklusif atau tidak selari dengan arus pembangunan nasional. Tambahan pula, sikap kekitaan masyarakat Kelantan yang sangat tebal kadangkala disalah tafsir sebagai cauvinisme kenegerian, sekalipun pada hakikatnya ia merupakan refleksi kepada solidariti dan semangat komuniti yang tinggi.

Namun begitu, segala bentuk keji dan celaan ini tidak menjadi faktor kelemahan bagi rakyat Kelantan. Sebaliknya, ia memperkukuh lagi jati diri dan semangat kolektif untuk mempertahankan cara hidup dan nilai yang mereka anggap sebagai warisan yang tidak ternilai. Di sinilah relevannya peribahasa Melayu “tak mati dek keji, tak hidup dek puji” dalam menggambarkan pendirian dan sikap masyarakat Kelantan. Peribahasa ini bukan sekadar retorik sastera, tetapi merupakan prinsip kehidupan yang mendarah daging dalam jiwa rakyatnya, tidak mudah goyah dengan kritikan dan tidak mudah lupa diri apabila dipuji. Ia melambangkan ketahanan psikologi, sosial dan budaya yang jarang dapat dilihat dalam konteks komuniti lain di Malaysia.

Loghat Kelantan sebagai Penanda Identiti

Dialek atau loghat merupakan salah satu elemen linguistik yang memainkan peranan penting dalam pembentukan identiti sesuatu komuniti. Dalam konteks Kelantan, dialek tempatan yang sering dikenali sebagai “Bahasa Kelate” menjadi salah satu ciri utama yang bukan sahaja membezakan masyarakat di negeri ini dengan negeri-negeri lain di Malaysia, tetapi juga memperkukuh rasa kekitaan dan kebanggaan terhadap asal usul mereka. Loghat Kelantan bukan sekadar variasi linguistik, tetapi berfungsi sebagai simbol warisan budaya, alat pengekalan identiti serta mekanisme penegasan sempadan sosial dalam kalangan penutur asli. Dari sudut linguistik, loghat Kelantan memperlihatkan perbezaan yang ketara dari segi fonologi, leksikal dan sintaksis berbanding bahasa Melayu piawai. Antara ciri fonologi yang menonjol termasuklah penggunaan vokal /e/ terbuka, pengguguran konsonan akhir, serta sebutan nasal yang lebih tebal. Misalnya, kata “makan” menjadi “make”, “pergi” menjadi “gi”, dan “apa” menjadi “gapo”. Hal ini menjadikan loghat Kelantan bukan sahaja unik, tetapi juga mencabar untuk penutur luar memahami atau menirunya dengan tepat. Namun, ciri-ciri inilah yang menjadi tanda pengenalan utama penutur Kelantan, sama ada di  dalam negeri mahupun di perantauan.

Walaupun loghat ini sering dijadikan bahan jenaka, parodi atau sindiran di media arus perdana dan media sosial, khususnya oleh masyarakat luar Kelantan, hakikatnya ia tetap dipelihara dan dituturkan dengan rasa bangga oleh masyarakat Kelantan. Golongan perantau, termasuk pelajar dan pekerja profesional tidak meninggalkan loghat mereka, malah menggunakannya secara terbuka apabila berinteraksi, sebagai lambang kekitaan dan nostalgia terhadap kampung halaman. Dalam hal ini, konsep “linguistic pride” dan “language loyalty” yang dibincangkan oleh ahli sosiolinguistik seperti Holmes (2013) dan Fishman (1991) dapat diaplikasikan secara langsung. Menurut Holmes (2013), kesetiaan terhadap dialek tempatan walaupun dalam situasi dominasi bahasa standard menunjukkan kekuatan identiti kolektif yang menolak asimilasi budaya. Asmah Haji Omar (2008), tokoh linguistik terkenal Malaysia, turut menegaskan bahawa dialek bukan sekadar alat komunikasi semata-mata, tetapi juga merupakan lambang budaya dan jati diri. Dalam erti kata lain, pertuturan dalam dialek tertentu mencerminkan bukan sahaja latar tempat, tetapi juga sistem nilai, norma sosial dan sejarah sesuatu komuniti. Oleh itu, apabila seseorang rakyat Kelantan memilih untuk bertutur dalam loghat Kelantan, tindakan itu bukan sahaja bersifat linguistik, tetapi juga bersifat ideologikal yang menjadi satu bentuk penegasan tentang siapa diri mereka, dari mana asal mereka dan apa yang mereka junjung sebagai nilai kehidupan.

Fenomena ini juga dapat dilihat dalam konteks pendidikan dan pergaulan sosial. Walaupun sistem pendidikan Malaysia mementingkan bahasa Melayu piawai sebagai medium utama, dalam kebanyakan situasi tidak formal seperti dalam pasar, masjid, perbualan harian atau dalam kandungan media seperti lagu-lagu dikir barat dan video TikTok, loghat Kelantan terus digunakan tanpa rasa malu. Bahkan, generasi muda Kelantan turut memperkasakan dialek ini melalui medium digital, menjadikannya sebagai elemen kebudayaan yang hidup dan berkembang. Hal ini menunjukkan bahawa loghat Kelantan bukanlah satu bentuk komunikasi yang terpinggir atau usang, sebaliknya merupakan identiti budaya yang aktif, dinamik dan berfungsi sebagai alat kesinambungan jati diri dalam era moden.

Ukhuwah dan Kesatuan Sosial dalam Komuniti Kelantan

Salah satu ciri istimewa yang menjadi nadi kepada ketahanan jati diri masyarakat Kelantan ialah semangat kekitaan atau ukhuwah yang sangat utuh, biarpun di kampung halaman atau di perantauan. Perkataan-perkataan tempatan seperti “oghe kita” (orang kita) dan “sek kito jange pecoh” (kita jangan berpecah belah) menggambarkan sebuah jaringan sosial yang luas dan inklusif, menjadi satu bentuk solidariti yang menjangkaui hubungan kekeluargaan formal dan memasuki ruang komuniti yang lebih luas. Semangat ini tidak sekadar lahir daripada adat budaya, tetapi turut berpunca dari latar sejarah, pengaruh Islam dan dinamika hidup bermasyarakat yang memerlukan kerjasama sebagai asas kelangsungan hidup.

Dalam kerangka Teori Modal Sosial (Social Capital), Robert Putnam (2000) menegaskan bahawa kekuatan sesebuah komuniti terletak pada keupayaan anggotanya untuk membina rangkaian sosial yang kukuh berasaskan kepercayaan dan kerjasama. Modal sosial ini mendorong bukan sahaja interaksi harian yang positif, tetapi juga memberikan komuniti kemampuan untuk bertindak secara kolektif dalam menghadapi cabaran. Dalam konteks Kelantan, modal sosial terbina secara semula jadi melalui pelbagai interaksi budaya dan agama seperti gotong-royong membaiki rumah, kenduri kesyukuran, solat berjemaah di surau atau masjid serta program keagamaan yang menjadi teras kepada kehidupan masyarakat. Tradisi ini memperlihatkan bahawa semangat ukhuwah di Kelantan tidak bersifat ritualisme semata-mata, tetapi bersifat fungsi sosial yang mengikat komuniti secara organik dan membina jaringan bantuan yang kukuh, terutamanya ketika berlaku krisis. Sebagai contoh, ketika berlaku bencana banjir besar di Kelantan, kita boleh lihat bagaimana masyarakat setempat bangkit dengan pantas, membantu satu sama lain dengan penuh semangat kebersamaan yang jarang dapat dilihat di tempat lain. Hal ini bukan sahaja mencerminkan nilai empati dan keprihatinan, tetapi juga membuktikan bahawa wujudnya struktur sosial informal yang berfungsi sebagai sistem sokongan yang efektif.

Dalam konteks perantauan pula, masyarakat Kelantan turut membawa semangat ukhuwah ini ke luar negeri. Hal ini dapat dilihat menerusi kewujudan pelbagai persatuan anak Kelantan di universiti, tempat kerja bahkan di luar negara. Persatuan seperti Persatuan Anak Kelantan Perantauan (PERAKAN) atau Persatuan Mahasiswa Kelantan (PMK) bukan sahaja berperanan menjaga kebajikan ahlinya, tetapi turut menjadi platform memperkukuh identiti kenegerian dan semangat persaudaraan. Melalui aktiviti seperti majlis berbuka puasa, program kebudayaan atau bantuan sesama ahli dalam kesusahan, nilai ukhuwah terus hidup dan berkembang biarpun jauh dari tanah asal.

Kajian oleh Abdul Rahman Embong (2008) menyokong kenyataan ini dengan menunjukkan bahawa kekuatan sosial berasaskan ikatan ukhuwah membolehkan masyarakat bertindak secara kolektif dalam menghadapi cabaran ekonomi, sosial mahupun alam sekitar. Kesatuan ini memperlihatkan bentuk ketahanan sosial (social resilience) yang tinggi, apabila nilai tradisional berjaya digembleng dalam bentuk yang relevan dengan keperluan kontemporari. Dari sudut antropologi dan sosiologi, ikatan seperti ini merupakan salah satu bentuk solidariti mekanikal yang dibincangkan oleh Emile Durkheim, iaitu masyarakat yang bersatu kerana persamaan nilai dan norma. Dalam masyarakat Kelantan, persamaan ini dikuatkan lagi dengan nilai agama Islam, bahasa dialek tempatan serta sejarah kebudayaan yang dikongsi secara kolektif. Oleh itu, ukhuwah dalam konteks Kelantan bukan sekadar nilai sentimental, tetapi merupakan struktur sosial yang kukuh dan fungsional, menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang berdaya tahan, harmoni dan bersatu padu.

Keharmonian Kaum: Keunikan Model Kelantan

Kelantan sering digambarkan dalam wacana arus perdana sebagai sebuah negeri Melayu yang konservatif dari segi budaya dan agama. Namun, naratif ini sering kali mengabaikan hakikat bahawa negeri ini juga merupakan contoh harmoni kaum yang unik di Malaysia, negeri harmoni yang tidak berpaksikan dasar formal kerajaan semata-mata, tetapi berakar dari sejarah sosial dan interaksi komuniti yang telah berlangsung berabad lamanya. Hubungan antara etnik di Kelantan terbina atas dasar saling mengenali, menerima dan bergantung, menjadikannya satu model integrasi sosial yang bersifat organik dan stabil. Komuniti bukan Melayu seperti Cina dan Siam telah lama menjadi sebahagian daripada landskap sosial Kelantan. Mereka bukan sahaja diterima sebagai sebahagian daripada masyarakat tempatan, tetapi turut menyumbang secara signifikan terhadap aspek ekonomi, kebudayaan dan sosial negeri. Kehadiran mereka bukan sebagai orang luar yang diasingkan, sebaliknya sebagai jiran, rakan perniagaan, bahkan sebagai anggota masyarakat yang saling berinteraksi dalam pelbagai bidang kehidupan harian. Dalam konteks ini, model keharmonian kaum di Kelantan dapat dilihat sebagai bentuk perpaduan horizontal yang berlaku secara mendatar antara rakyat biasa, bukan semata-mata hasil dasar vertikal dari negara.

Salah satu contoh paling nyata perpaduan ini adalah di Pasar Siti Khadijah, sebuah pusat ekonomi yang bukan sahaja terkenal sebagai lambang kekuatan wanita Melayu dalam bidang perniagaan, tetapi juga sebagai ruang yang memperlihatkan jaringan ekonomi pelbagai kaum yang saling bergantung. Di sini, peniaga wanita Melayu, Cina dan Siam berdagang di bawah satu bumbung, saling melengkapi dalam ekosistem perniagaan yang lestari. Hubungan antara mereka tidak digerakkan oleh keperluan dasar atau insentif kerajaan, sebaliknya oleh keperluan bersama untuk membina kehidupan yang sejahtera dalam suasana saling menghormati dan saling mempercayai. Kajian oleh sejarawan ternama, Khoo Kay Kim (1991), menyatakan bahawa integrasi kaum di Kelantan lebih stabil berbanding di sesetengah negeri lain kerana ia terbentuk secara semula jadi melalui hubungan sejarah antara komuniti. Sejak zaman sebelum kemerdekaan lagi, masyarakat Cina di Kelantan telah terlibat aktif dalam kegiatan ekonomi dan sosial, dengan sebahagian daripada mereka mempunyai pertalian perkahwinan dengan masyarakat Melayu. Begitu juga masyarakat Siam yang menetap di sempadan Tumpat dan Bachok, hidup secara harmoni dengan jiran Melayu mereka, mengamalkan adat resam yang hampir serupa dan turut sama-sama menyertai aktiviti masyarakat seperti kenduri dan gotong-royong.

Uniknya, hubungan antara kaum di Kelantan tidak terhad kepada aspek sosial dan ekonomi semata-mata, malah turut merangkumi dimensi linguistik dan budaya. Ramai peniaga Cina dan Siam di negeri ini bukan sahaja memahami, tetapi juga bertutur fasih dalam loghat Kelantan, satu fenomena integrasi budaya yang jarang berlaku di negeri lain. Hal ini secara langsung menggambarkan tahap akomodasi linguistik yang tinggi serta penerimaan terhadap budaya majoriti, tanpa mengorbankan identiti asal masing-masing. Fenomena ini menepati konsep cultural integration seperti yang dihuraikan oleh Berry (1997), iaitu proses golongan minoriti mengadaptasi unsur budaya majoriti secara sukarela, sambil mengekalkan nilai dan identiti etnik mereka. Dari perspektif sosiologi, pendekatan ini menyerupai model pluralisme integratif yang mengiktiraf perbezaan tetapi tidak mengasingkan. Di Kelantan, pengiktirafan ini tidak hanya bersifat simbolik atau dasar, tetapi dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Hal ini dapat dilihat dalam sambutan perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Deepavali dan lain-lain yang diraikan secara bersama-sama oleh masyarakat pelbagai kaum di kawasan tertentu, serta kerjasama masyarakat dalam kegiatan kemasyarakatan tanpa mengira bangsa atau agama.

Ketahanan Sosiobudaya: Praktik Peribahasa Melayu

Peribahasa Melayu “tak mati dek keji, tak hidup dek puji” merupakan warisan lisan yang kaya dengan makna falsafah hidup, mencerminkan sikap tegar, berprinsip dan tidak mudah goyah oleh pandangan luar. Bagi masyarakat Kelantan, peribahasa ini tidak sekadar menjadi perhiasan bahasa, tetapi telah dihayati sebagai prinsip kehidupan kolektif yang membentuk daya tahan sosiobudaya mereka. Ia menjadi cerminan kepada keyakinan terhadap nilai dalaman, memperlihatkan satu bentuk jati diri yang tidak bergantung kepada pengiktirafan luar dan tidak pula melemahkan semangat apabila berdepan stereotaip atau penghinaan. Ketahanan ini terbina atas asas sejarah dan kepercayaan budaya yang mendalam. Dalam konteks Kelantan, masyarakatnya memperlihatkan satu bentuk kekuatan budaya yang bukan sahaja bersifat bertahan, tetapi juga proaktif dalam mendefinisikan semula makna tradisi. Mereka tidak menolak perubahan, tetapi menyesuaikannya dengan nilai dan konteks tempatan. Hal inilah yang dimaksudkan oleh Wells (2013) dalam konsep cultural resilience, keupayaan sesebuah komuniti untuk mengekalkan nilai dan amalan budaya dalam bentuk yang adaptif terhadap arus perubahan sosial dan teknologi. Budaya tradisional seperti dikir barat, wayang kulit, menora, rebana ubi serta pelbagai permainan rakyat seperti gasing dan wau tidak lagi terikat kepada ruang persembahan konvensional semata-mata. Dalam era digital, generasi muda Kelantan telah mengambil langkah inovatif dengan membawa warisan ini ke platform moden seperti YouTube, TikTok dan Instagram. Sebagai contoh, terdapat banyak akaun media sosial yang mempersembahkan dikir barat dalam bentuk parodi, gabungan muzik moden atau dengan gaya persembahan visual yang menarik minat khalayak muda. Meskipun medium telah berubah, inti budaya dan mesej asal tetap dikekalkan, menjadi satu bukti bahawa warisan budaya Kelantan tidak statik, tetapi dinamik dan progresif.

Selain bentuk persembahan, ketahanan sosiobudaya ini juga terserlah dalam aspek gastronomi warisan. Makanan seperti nasi kerabu, budu, akok dan somtam bukan sahaja terus popular dalam kalangan masyarakat tempatan, tetapi telah diangkat ke peringkat antarabangsa melalui usaha perniagaan, festival makanan serta promosi digital oleh perantau. Melalui pendekatan ini, makanan bukan sekadar produk komersial, tetapi juga menjadi medium representasi budaya yang memperkukuh lagi identiti Kelantan di luar sempadan geografiknya. Dalam kajian antropologi budaya, hal ini menunjukkan bagaimana cultural persistence dan cultural innovation dapat wujud secara serentak dalam masyarakat yang memiliki kesedaran jati diri yang kuat. Kelantan menjadi contoh tentang nilai tradisi dapat disuburkan dalam bentuk baharu tanpa mengorbankan makna asalnya. Paling penting, semua ini berlaku dalam suasana yang tidak memerlukan pengesahan dari luar. Masyarakatnya tidak menunggu pujian untuk mengekalkan budaya mereka dan tidak juga berhenti apabila diperlekeh atau disalah faham. Lebih jauh, nilai ketahanan ini membentuk daya tahan kolektif yang memberikan masyarakat Kelantan satu kekuatan untuk terus maju walaupun dalam keadaan terpinggir dari sudut pembangunan material atau perhatian media. Ketahanan ini bukan sahaja dibina dari aspek fizikal seperti ekonomi, tetapi berpunca daripada kestabilan makna budaya dan identiti yang dikongsi. Dalam erti kata lain, budaya menjadi benteng psikososial, satu bentuk cultural armor yang menjadikan masyarakat tidak mudah dipatahkan oleh tekanan luar, biarpun dalam bentuk diskriminasi, urbanisasi, mahupun globalisasi.

Penutup

Kelantan bukan sekadar sebuah entiti geografi di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Kelantan merupakan lambang kekuatan budaya, identiti dan kesedaran jati diri yang kental. Dalam arus pemodenan yang sering kali menghakis nilai tradisi dan meleburkan identiti lokal ke dalam naratif global, masyarakat Kelantan kekal sebagai contoh ketahanan sosiobudaya yang luar biasa. Mereka tidak mengharapkan pengiktirafan luar untuk berasa berharga dan tidak pula runtuh apabila berdepan dengan tohmahan atau stereotaip negatif. Prinsip ini digambarkan secara tepat oleh peribahasa Melayu “tak mati dek keji, tak hidup dek puji” yang menjadi satu falsafah yang telah dijadikan panduan hidup secara kolektif oleh rakyat di negeri ini. Melalui perbincangan yang telah dibentangkan, dapat disimpulkan bahawa ketahanan jati diri masyarakat Kelantan bersandarkan kepada beberapa dimensi utama, iaitu bahasa dan loghat sebagai penanda identiti, jaringan sosial yang kukuh berasaskan ukhuwah dan modal sosial, keharmonian antara kaum yang bersifat semula jadi dan bersejarah serta pemeliharaan budaya yang dinamik dan adaptif terhadap zaman. Setiap aspek ini tidak beroperasi secara terpisah, sebaliknya saling mengukuhkan dan menghasilkan satu ekosistem budaya yang kukuh dari dalam dan sukar digoyahkan dari luar.

Dari segi implikasi, kajian ini membawa beberapa saranan penting. Pertama, model ketahanan jati diri Kelantan wajar dijadikan rujukan bagi pembinaan dasar sosial dan budaya peringkat nasional. Dalam negara yang majmuk seperti Malaysia, pengukuhan jati diri lokal yang bersifat inklusif dan tidak defensif boleh menjadi teras kepada perpaduan nasional yang lebih mapan. Kelantan menunjukkan bahawa jati diri yang kuat tidak semestinya membawa kepada eksklusivisme, sebaliknya ia mampu menjadi asas penerimaan, dialog dan interaksi antara kaum dan budaya. Kedua, pendekatan budaya yang dinamik dan berasaskan komuniti seperti yang diamalkan oleh masyarakat Kelantan perlu diberikan lebih banyak ruang dalam perancangan pembangunan sosial. Dalam era digital, warisan dan tradisi tidak hanya dilindungi, tetapi juga dibuktikan melalui medium moden yang dekat dengan generasi muda. Pendekatan adaptif inilah yang membolehkan sesuatu budaya kekal relevan tanpa kehilangan nilai asalnya.

Akhir sekali, kajian ini juga menegaskan pentingnya memahami peribahasa bukan hanya sebagai sastera lisan, tetapi sebagai indikator kepada falsafah hidup masyarakat. “Tak mati dek keji, tak hidup dek puji” bukan sekadar kata-kata indah, tetapi suatu refleksi terhadap keutuhan spiritual, psikososial dan budaya yang telah terbina dan diuji oleh masa. Maka, dalam landskap sosiobudaya Malaysia yang sering berdepan dengan cabaran integrasi, globalisasi dan kehilangan akar budaya, Kelantan berdiri sebagai simbol harapan bahawa tradisi dan jati diri bukanlah penghalang kepada kemajuan, tetapi asas yang memungkinkan sesebuah masyarakat untuk terus bergerak maju dengan keyakinan, integriti dan maruah.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Banjir di Mata, Basah di Hati
Cerpen

Banjir di Mata, Basah di Hati

  • 5 Mac 2025
  • 284
  • 4.7
KEPALA MEREKA: SEGI EMPAT
Cerpen

KEPALA MEREKA: SEGI EMPAT

  • 5 Januari 2025
  • 168
  • 4.7
ساجق مرديک
Puisi Moden

ساجق مرديک

  • 5 September 2024
  • 4.8
برچمبه سچوڤق برس
Puisi Moden

برچمبه سچوڤق برس

  • 5 Disember 2024
  • 4.3

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP