Bahasa merupakan medium komunikasi bagi semua masyarakat seantero dunia. Bahasa juga memainkan peranan utama dalam menggambarkan identiti dan lambang kebangsaan sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu bukan hanya sekadar alat perhubungan, tetapi juga simbol penting yang merentasi sempadan etnik dan budaya, bahasa yang memupuk semangat perpaduan antara kaum serta memperkukuh identiti nasional Malaysia. Walau bagaimanapun, kemajuan teknologi menyebabkan kebanyakan generasi muda lebih suka berbahasa asing berbanding dengan menggunakan bahasa kebangsaan dalam berkomunikasi sesama mereka. Sebagai rakyat Malaysia yang berintegriti, adalah menjadi tanggungjawab kita semua, terutamanya generasi muda untuk menjaga dan memartabatkan bahasa kebangsaan. Jika bukan kita, siapa lagi yang akan menjadikan bahasa Melayu sehebat bahasa-bahasa lain di dunia.
Sehubungan dengan itu, kesedaran generasi muda terutamanya golongan belia tanpa mengira profesion mengenai pentingnya bahasa Melayu dalam membina identiti kebangsaan. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu berbangga apabila bertutur dengan menggunakan bahasa Melayu. Walaupun perkembangan global mendorong banyak orang mempelajari bahasa asing, kita sebagai rakyat Malaysia tidak boleh menganggap bahasa Melayu sebagai bahasa lapuk atau memandang rendah terhadap orang yang menggunakannya. Tidak ada salahnya untuk mempelajari dan mendalami bahasa asing kerana melalui bahasa pelbagai ilmu dapat digali dan dipelajari. Menurut Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Halim dalam makalahnya bertajuk “Pastikan Bahasa Melayu Jadi Teras Pendidikan Negara” (Berita Harian, 9 September 2020) menyatakan bahawa, benar dalam akta dan perlembagaan negara, tidak termaktub setiap warganegara perlu menguasai dan fasih berbahasa Melayu, namun sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya ada kesedaran untuk melazimi bahasa Melayu sebagai resam utama kehidupan. Bak kata pepatah, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung!
Oleh hal yang demikian, sebagai rakyat Malaysia kita tidak boleh mengabaikan bahasa Melayu yang pernah membina ketamadunan bangsa Melayu suatu masa dahulu. Yang Berhormat Dato’ Profesor Kassim Thukiman dalam makalah “Naskhah Melayu Klasik Khazanah Berharga Bangsa Melayu” (wadahdbp.my, 5 Ogos 2023) menyatakan bahawa ketika Melaka berkembang sebagai sebuah pelabuhan perdagangan antarabangsa yang pesat, Melaka muncul sebagai pusat pendidikan dan pemangkin perkembangan bahasa Melayu, kesusasteraan dan kesenian Melayu serta menjadi bahasa lingua franca atau bahasa perantara yang digunakan untuk tujuan perdagangan, pertukaran budaya, agama dan intelektual. Para pedagang yang mahu berdagang dengan kerajaan Melaka telah mempelajari bahasa Melayu untuk urusan perdagangan antara pedagang-pedagang dari seluruh dunia.
Sementara itu, menurut Diyana Isamudin dalam makalahnya “Keupayaan Bahasa sebagai Lingua Franca” (Dagangnews.com) menjelaskan bahawa bahasa Melayu berupaya menjadi lingua franca kerana pemerintah pada waktu itu menggunakan pengaruh mereka sebagai pusat maritim utama di rantau ini dengan menggunakan bahasa Melayu dalam pelbagai urusan termasuklah pentadbiran, perdagangan dan keagaamaan. Selain itu, keluasan jajahan Srivijaya hingga ke Selat Melaka dan Selat Sunda telah menyumbangkan penggunaan bahasa Melayu antara raja-raja dengan rakyat jelata. Oleh itu, pedagang asing perlu menguasai bahasa Melayu untuk semua urus niaga.
Oleh hal yang demikian, generasi muda juga perlu mengetahui sejarah bahawa sarjana antarabangsa turut memandang tinggi keupayaan bahasa Melayu. Antaranya, Sarjana Belanda, Francois Valentijin pada tahun 1726, mengatakan bahawa bahasa Melayu telah tersebar jauh dari kepulauan Melayu dan menjadi bahasa antarabangsa. Bahasa Melayu bukan sahaja difahami oleh mereka yang tinggal di kawasan antara Persia (Parsi atau Iran) di sebelah baratnya, namun bahasa Melayu boleh difahami sehinggalah kepulauan Filipina di sebelah timurnya. Melalui perkembangan perdagangan, intelek, rohani dan budaya ini, zaman Melaka telah menyaksikan penubuhan identiti Melayu dan seterusnya pembentukan Alam Melayu di dalam peta dunia. Generasi muda terutamanya dituntut untuk bertanggungjawab dalam usaha untuk memartabatkan kedudukan bahasa Melayu dan dalam masa yang sama mempelajari dan menguasai bahasa asing secara serentak. Sebagai rakyat Malaysia, tanggungjawab memelihara dan memulihara bahasa Melayu adalah menjadi tanggungjawab generasi muda yang bakal mewarisi negara ini daripada pemimpin pada hari ini. Harus diingat juga, tanggungjawab ini menjadi tanggungjawab setiap rakyat yang memiliki taraf warganegara Malaysia.
Seterusnya, penghasilan karya seni dan penyiaran bahan pendokumentasian ilmu dalam bahasa Melayu antara kaedah memartabatkan kedudukan bahasa Melayu dalam arus kemodenan hari ini. Karya seni penyiaran dan bahan bacaan berbahasa Melayu dapat melestarikan dan mempromosikan bahasa Melayu kepada rakyat Malaysia dan dunia luar. Penulisan dan penerbitan karya sastera seperti buku ilmiah, novel, filem dan drama dalam bahasa Melayu merupakan salah satu kaedah penyebaran bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Melihat kejayaan filem Mat Kilau yang berjaya meraih kutipan sebanyak RM97 juta pada tahun 2022 dan menjadi filem dengan kutipan tertinggi di negara kita mengatasi filem Avengers: End Game sebanyak RM87 juta. Munurut laporan berita dalam talian, Astro Awani pada 23 September 2022 bertajuk, “Mat Kilau Masuk Senarai ‘Top 10’ di lebih 15 Buah Negara, Tangga Keempat di Israel”, mencatatkan bahawa filem Mat Kilau meraih tempat kelima dalam carta global Top 10 filem bukan berbahasa Inggeris dari tempoh 12 hingga 18 September 2022, dengan jumlah tontonan 3.97 juta per jam. Kejayaan ini membuktikan bahawa bahasa Melayu mula diberikan perhatian oleh bangsa asing kerana kejayaan filem ini. Filem Mat Kilau ditayangkan dalam bahasa Melayu dan secara tidak langsung bahasa Melayu dapat disebarkan serata dunia kerana kejayaan filem ini.
Seterusnya, umum mengetahui bahawa bahasa Melayu berjaya disesuaikan dengan perubahan zaman, terutamanya dalam era digital pada masa kini. Media massa dan teknologi informasi menggunakan bahasa Melayu secara meluas, memastikan bahawa maklumat dan pengetahuan tersedia dalam bahasa yang dapat diakses oleh semua warganegara. Dalam era digital, bahasa Melayu dapat mencapai khalayak yang lebih luas melalui laman web, media sosial dan platform dalam talian. Usaha ini membuka peluang kepada lebih ramai individu terutama orang asing untuk mendalami dan mempelajari bahasa Melayu. Terdapat ramai pencipta kandungan yang menyiarkan video dalam media sosial seperti Instagram, Tik Tok, Twitter dan Facebook menggunakan bahasa Melayu dan mempunyai ribuan penonton yang terdiri dalam dan luar negara. Sekalung tahniah kepada pempengaruh popular seperti Zack Kirana (@zackkirana27), anak Allahyarham Aziz Desa, Zhindin Aziz (@zhindinaziz) dan Syafiq Aziz (@sywfiq), yang popular di platform TikTok memaparkan kandungan tentang bahasa Melayu. Sementara itu, peniaga dalam talian juga berinteraksi dengan penonton juga menggunakan bahasa Melayu. Video tular juga menjadi platform yang efektif untuk memperkenalkan keunikan bahasa Melayu kepada masyarakat dunia. Dengan demikian, bahasa Melayu dapat terus menjadi bahasa yang semakin dihargai dan difahami oleh manusia di seluruh dunia. Oleh yang demikian, penggunaan bahasa Melayu dalam lingkungan digital mampu memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa yang kuat dan relevan dalam era teknologi maklumat.
Seyogianya, memberi sokongan sepenuhnya terhadap karya-karya sastera Melayu adalah salah satu langkah memartabatkan bahasa Melayu. Karya sastera merupakan salah satu cara yang efektif untuk melestarikan dan memperkukuhkan kedudukan bahasa Melayu. Generasi muda boleh membeli, mendalami dan membaca karya-karya sastera Melayu yang dihasilkan oleh penulis tempatan. Hal ini sekali gus memberikan semangat kepada penulis tempatan untuk terus menghasilkan karya yang terbaik. Karya sastera Melayu yang berkualiti dapat menjadi alat pembelajaran yang berkualiti untuk generasi muda. Membaca karya-karya ini membantu meningkatkan kemahiran membaca dan menulis dalam bahasa Melayu, serta memahami sejarah dan budaya Malaysia. Oleh itu, sokongan terhadap karya-karya sastera Melayu juga memainkan peranan penting dalam mempromosikan penggunaan bahasa Melayu dan memperkukuhkan budaya serta identiti kebangsaan yang tercermin dalam bahasa tersebut. Dengan ini, kita dapat menjaga integriti bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa serta budaya negara kita. Terdapat banyak karya penulis tempatan yang boleh dijadikan bahan bacaan utama generasi muda. Mizan Hashri telah menyenaraikan 100 Novel Bahasa Melayu Yang Mesti Dibaca (Vocket, 3 Disember 2015). Penulis memperturunkan 20 judul daripada 100 yang senaraikan oleh saudara Mizan untuk dibaca dan difahami oleh generasi muda bahawa karya-karya sastera penulis Melayu mempunyai nilai pemikiran yang tinggi dengan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul serta dapat mendidik generasi muda untuk lebih menghargai dan mencintai bahasa kebangsaan kita. Dengan membaca, barulah generasi muda dapat melihat dan menilai betapa pentingnya kedudukan bahasa Melayu dipertahankan dan dimartabatkan seiring perkembangan globalisasi dunia. Berikut ialah senarai 20 buah novel daripada 100 buah novel yang disenaraikan oleh Mizan Hashri untuk dicari dan dibaca oleh rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda.
1. Naratif Ogonshoto – Anwar Ridhwan
2. Ranjau Sepanjang Jalan – Shahnon Ahmad
3. Anak Mat Lela Gila – Ishak Haji Muhammad
4. Rimba Harapan – Keris Mas
5. Sangeetha – Azizi Haji Abdullah
6. Putera Gunung Tahan – Ishak Haji Muhammad
7. Turunnya Sebuah Bendera – Usman Awang
8. Salina – A. Samad Said
9. Jibam – Ibrahim Anon
10. Manikam Kalbu – Faisal Tehrani
11. Seorang Tua Di Kaki Gunung – Azizi Haji Abdullah
12. Budak Beca – Ishak Haji Muhammad
13. Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman – Anwar Ridhwan
14. Sungai Mengalir Lesu – A. Samad Said
15. Imam – Abdullah Hussain
16. Langit Petang – A. Samad Said
17. Ayahanda – Azizi Haji Abdullah
18. Rahsia Perindu – Ramlee Awang Murshid
19. Leksikon Ledang – Nor Azida Ishak, Fadli Al-Akiti
20. Empunya Hikayat – Zainal Rashid Ahmad
Sehubungan dengan itu juga menurut Mohd Fahmi Zakaria dalam tulisannya, “Penterjemahan sebagai Sumber Bahasa Melayu” (Klik Web DBP, 2018) berpandangan bahawa bahasa Melayu akan mencapai kedudukan yang tinggi apabila usaha penterjemahan dilakukan secara konsisten. Pakar bidang seperti Ainon Mohd dan Abdullah Hassan pernah menegaskan di dalam tulisannya bertajuk Teori dan Teknik Terjemahan bahawa bidang sains dan teknologi masih dikuasai oleh bahasa Inggeris yang sebenarnya sedikit demi sedikit akan mempengaruhi minda dan pemikiran orang Melayu yang mempelajarinya. Hakikatnya bahasa Melayu mempunyai kosa katanya yang tersendiri sejak sekian lama, justeru penterjemahan bidang sains dan teknologi hendaklah dilakukan secara aktif supaya pembaca bahasa Melayu tahu bahawa bahasa Melayu juga ada padanannya.
Kesimpulannya, dalam dunia global yang semakin maju dibawa arus perdana, langkah-langkah dalam memartabatkan bahasa Melayu adalah penting untuk memelihara identiti kebangsaan Malaysia. Rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda perlulah mengambil bahagian untuk bersama-sama mengangkat martabat bahasa kebangsaan agar terus dihormati dan disayangi oleh genarasi muda Malaysia tidak kira kaum, agama dan bangsa. Bak kata pepatah, bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Semangat penyatuan serta perpaduan rakyat Malaysia boleh membawa kepada pengukuhan bahasa dan identiti Malaysia itu sendiri. Usaha ini bukan sekadar tentang bahasa, tetapi juga tentang nilai-nilai, budaya, dan sejarah yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang unik. Jika generasi muda bersama-sama bersatu mengangkat bahasa kebangsaan, bahasa kita boleh lebih menyerlah seperti bahasa-bahasa asing yang lain. Ketika bahasa digunakan dengan integriti, berjaya melestarikan, memelihara dan memperkukuh identiti kebangsaan serta nilai-nilai kebudayaan kebangsaan, negara kita akan berjaya menjadi sebuah negara yang maju dan dipandang tinggi oleh negara luar. Dengan usaha berterusan, bahasa Melayu dapat menjadi aset yang penting dalam pembinaan tamadun negara bangsa yang disegani pada peringkat antarabangsa.