Sebut sahaja nama Tasik Kenyir, pasti terbayangkan tentang gahnya tasik buatan manusia dan empangan elektrik yang dibina daripada pembinaan tasik ini. Bukan itu sahaja, tasik ini juga menjadi salah satu tempat tarikan pelancong yang berminat untuk memancing atau mereka yang ingin melihat sendiri tanaman herba.
Namun, apakah sebenarnya yang terselindung di dasar Tasik Kenyir ini? Bagaimana pula dengan sejarah yang semakin dilupakan sebelum pembinaan Tasik Kenyir? Artikel ini akan menelusuri kembali sejarah yang telah tenggelam di Tasik Kenyir.
Kampung yang Tenggelam di Dasar Tasik Kenyir
Sebelum pembinaan Tasik Kenyir, tapak asalnya merupakan penempatan beberapa buah kampung penduduk seperti Melor, Keliok, Berching, Petang, Mentong, Melaka, Kuala Terenggan, Kerbak dan Belimbing.
Hal yang menarik sekali, kegiatan ekonomi penduduk kampung pada ketika itu bergantung sepenuhnya kepada sumber alam dan tidak melibatkan penggunaan mata wang. Masyarakat di kampung itu mengusahakan tanaman sawah dan kebun sebagai sumber makanan, manakala sumber protein pula diperoleh melalui aktiviti menangkap ikan di sungai berdekatan.
Apabila berlakunya pembinaan Tasik Kenyir, penduduk di kampung tersebut mula berpindah ke Kampung Dura dan kerajaan menawarkan tanah seluas empat hektar kepada mereka. Kini, Kampung Dura menjadi penempatan bagi bekas penduduk kampung tersebut.
Selain itu, tenggelamnya penempatan lama di hulu Sungai Terengganu ketika empangan dibina juga melibatkan perpindahan komuniti orang asli, terutamanya suku Semaq Beri ke Sungai Berua bermula pada tahun 1977, iaitu sebelum empangan disiapkan dan selepas itu kawasan tasik mula dibangunkan.
Kawasan Hutan Hujan Tropika yang Kaya dengan Flora dan Fauna
Sebelum pembinaan Tasik Kenyir, kawasan ini merupakan kawasan Hutan Hujan Tropika sejak 130 juta tahun lampau. Malah, hutan tersebut juga dikatakan antara Hutan Hujan Tropika yang tertua di dunia.
Di sekeliling tasik pula terdapat ribuan spesies flora dan fauna, termasuklah 2,500 spesies tumbuhan, 290 spesies burung dan 61 spesies ikan. Hutan Hujan Tropika ini juga merekodkan spesies endemik, iaitu spesies yang hanya boleh dijumpai di kawasan itu sahaja dan tiada di tempat lain.
Menurut Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, terdapat beberapa spesies flora dan fauna endemik yang hanya boleh ditemui di Tasik Kenyir seperti Dendrobium terengganuensis (flora), Kenyirus sodhii (siput) dan Pearsonia tembatensis (siput).
Walaupun setelah pembinaan Tasik Kenyir, kepelbagaian flora dan fauna di situ masih terpelihara dengan pengekalan Hutan Simpan Kekal Tembat di utara dan Hutan Simpan Kekal Hulu Terengganu yang bersempadan dengan Taman Negara.
Penemuan Arkeologi
Bukan sahaja kaya dengan alam semula jadi, Tasik Kenyir juga menyimpan khazanah arkeologi yang penting dan dapat memberikan maklumat tentang kehidupan prasejarah.
Penemuan Rangka Purba Pertama di Gua Batu Tok Bidan
Gua Batu Tok Bidan, yang kini ditenggelami oleh air Tasik Kenyir juga merupakan tapak arkeologi penting dan menjadi tempat penemuan rangka purba pertama. Pada tahun 1956, pengkaji sejarah Inggeris, R.O.D. None, menemui artifak seperti kapak batu, kendi dan mangkuk tanah di gua ini.
Namun, gua ini sudah tidak boleh diakses masuk dan berkemungkinan tenggelam sewaktu pembinaan Tasik Kenyir dahulu.
Penemuan Artifak Bukti Zaman Neolitik
Pada tahun 1976, kajian oleh Jabatan Muzium dan Persatuan Sejarah Malaysia Terengganu di Gua Bewah telah menemui artifak rangka manusia, serpihan tembikar, kapak batu dan sisa makanan seperti tulang haiwan dan cengkerang siput.
Penemuan ini menunjukkan bahawa Gua Bewah pernah menjadi penempatan manusia pada zaman Neolitik, iaitu sekitar 2,000 hingga 3,000 tahun Sebelum Masihi.
Penemuan tembikar tanah di kawasan persekitaran juga membuktikan kewujudan tamadun awal prasejarah di kawasan ini.
Corak pada tembikar tanah ini juga seolah-olah lukisan batu yang wujud pada zaman Neolitik dan mirip dengan penemuan arkeologi pada Zaman Neolitik di tempat lain.
Penemuan Rangka Manusia Zaman Mesolitik di Gua Bewah
Gua Bewah terletak di kawasan Tasik Kenyir, yang dahulunya merupakan kawasan hutan dan pergunungan. Gua ini merupakan salah satu tapak arkeologi yang masih bertahan selepas pembinaan Tasik Kenyir.
Pada tahun 2009, satu penemuan penting telah direkodkan oleh Prof. Nik Hasan Shuhami Nik Abdul Rahman dari Universiti Kebangsaan Malaysia dengan bantuan Jabatan Muzium Negara dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu sewaktu kerja-kerja menggali. Pasukan tersebut telah menemui rangka manusia, berusia antara 8,000 hingga 10,000 tahun dan dipercayai milik manusia zaman prasejarah.
Rangka tersebut merupakan rangka seorang remaja dan dijumpai dalam keadaan meringkuk seperti bayi di dalam kandungan. Penemuan ini merupakan penemuan rangka purba yang kedua selepas Gua Batu Tok Bidan.
Penemuan ini masih kekal di tempat asalnya di Gua Bewah dan bekas kaca diletakkan di atas penemuan ini bagi memelihara keadaannya. Pada masa yang sama, ia turut memberikan peluang kepada pengunjung untuk melihat sendiri penemuan tersebut.
Pada tahun 2010 pula, rangka wanita pula dijumpai dan dipercayai berasal dari Zaman Mesolitik. Rangka tersebut disahkan berusia 13, 400 tahun.
Dari Masa Silam ke Masa Kini: Memelihara Warisan Berharga
Keistimewaan Tasik Kenyir bukan hanya terletak pada keindahan landskapnya, tetapi juga pada budaya dan warisan yang wujud di sebaliknya. Malah, pada masa kini, Tasik Kenyir berkembang sebagai salah satu destinasi ekopelancongan yang terkenal di Malaysia.
Selain menjadi tarikan pelancong, usaha pemuliharaan turut dipertingkatkan melalui pembangunan Kenyir Geopark. Antara tarikan yang menjadi pilihan pelancong di Kenyir Geopark ialah:
i. Air Terjun
Pelancong yang berkunjung ke kawasan air terjun boleh menikmati keindahan alam yang mampu menyegarkan minda melalui aktiviti mandi-manda di kawasan Air Terjun Lasir dan Air Terjun Tembat.
ii. Tempat Pembiakan Ikan Kelah
Lokasi ini turut dikenali sebagai Sanctuary Kelah, terletak di Sungai Petang di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu. Pengunjung dibenarkan memberikan makanan, bermain bersama-sama ikan atau ‘memandikan’ diri dengan ikan-ikan jinak dalam kawasan air semula jadi. Pemancing tidak dibenarkan memancing dalam kawasan santuari ini.
iii. Taman Herba
Taman Herba pula terletak di Pulau Sah Kecil, dalam kawasan Tasik Kenyir. Pengunjung yang singgah ke sini akan dapat mencuba minuman herba seperti Tongkat Ali dan Kacip Fatimah yang ditawarkan secara percuma.
Taman Herba menempatkan lebih daripada 200 jenis herba tradisional dan berkeluasan sekitar 15.84 hektar.
Kesimpulan
Tasik kenyir bukan hanya sekadar tasik buatan manusia, namun sebenarnya menyimpan seribu satu cerita di dasarnya. Ia berevolusi dengan keunikan flora dan faunanya pada masa kini. Semoga nilai sejarahnya akan tetap dipelihara agar tidak lapuk ditelan zaman, terutamanya buat generasi muda.
