Ramai menganggap songket sebagai pakaian istana atau hanya untuk golongan elit. Justeru menggunakan atau membelinya seumpama beban kepada pengguna. Ada juga yang mempertikaikan mengapa membeli dengan harga begitu mahal jika ada pilihan yang setara dengan harga yang lebih rendah? Lalu barang tiruan atau keluaran kilang menjadi pilihan pengguna.
Natijahnya, kain songket tenunan tangan yang menjadi khazanah seni tradisi Melayu sejak dahulu semakin kurang mendapat sambutan. Ramai dalam kalangan pengguna songket yang biasanya menjadikan songket sebagai aksesori pelengkap busana seperti tanjak dan kain samping, lebih memilih songket sintetik.
Namun dalam situasi yang mencabar industri tenunan asli atau buatan tangan ini, masih ada dalam kalangan kita yang mementingkan keaslian dan kualiti kain songket tenunan asli. Bukan sahaja golongan istana dan kenamaan yang masih menempah khazanah autentik ini, bahkan orang kebanyakan juga tidak terkecuali. Kehalusan buatan tangan, corak dan benang emas asli yang unik, serta fabrik yang diperbuat daripada songket sutera, mempunyai auranya yang tersendiri.
Di Terengganu, industri songket tenunan ini dikembangkan melalui insentif daripada pelbagai pihak seperti kerajaan negeri, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
Nama-nama seperti Wan Manang, Hajah Habibah Zikri dan Hajah Zainab Mamat, merupakan adiguru songket yang terserlah kehebatannya. Ikon tersebut memang tidak asing lagi dalam industri songket. Mereka menjadi perangsang kepada generasi baharu untuk menceburkan diri dalam bidang ini.
Bagi pengusaha Syarikat Dah Harun Songket yang telah bertapak sekian lama, Haida Harun, minat yang berterusan terhadap songket tenun ini semakin mendalam selepas mendapat galakan daripada ibunya. Menurutnya, kehalusan songket tenun mempunyai aura tersendiri yang sukar diluahkan menerusi kata-kata. Haida yang kini mengendalikan syarikat milik ibunya, bangga dapat meneruskan legasi keluarga. Orang yang menjadi idolanya dalam bidang ini ialah ibunya sendiri, iaitu Hajah Sakiah Mohamad. Menurut ibunya, Dah Harun Songket diusahakan secara kecil-kecilan di kampung. Idea menenun songket ini bermula daripada datuk, nenek dan ibunya. Perusahaan ini telah dijalankan di rumah masing-masing dengan mengupah penenun dari luar.
Semenjak di bangku sekolah, Haida terdedah dengan kerja tenunan songket peringkat asas dan lama-kelamaan beliau semakin mahir dalam menghasilkan tenunan yang bermutu tinggi. Selepas bertapak dan mengambil alih syarikat daripada ibunya, Haida menubuhkan Syarikat Dah Harun Songket pada tahun 2000.
“Kami tidak mempunyai pekerja tetap, tetapi mengupah penduduk kampung dengan memberikan modal kain untuk ditenun. Kami menyediakan bahan mentah seperti kapas, sutera dan benang kepada mereka. Kebanyakan bahan mentah ini diimport dari China dan Singapura,” jelasnya yang masih bersemangat mengusahakan kraf tradisi itu.
Menyedari saingan daripada pengusaha tekstil lain dan lambakan kain songket buatan kilang, Haida pantas mengubah strategi mengikut peredaran zaman. Kebiasaannya, Hajah Sakiah sendiri turun padang mendekati pelanggan untuk menerima dan membuat tempahan. Beliau sanggup pergi ke serata tempat dan berjumpa di rumah pelanggan untuk kepuasan kedua-dua belah pihak.
“Kami sering mendapat tempahan untuk membekalkan songket kepada gedung perniagaan besar di seluruh negara seperti Jakel dan butik-butik pakaian terkenal. Selebihnya, kami bekalkan secara terus kepada pelanggan perseorangan,” tambahnya lagi.
Kini, Hajah Sakiah mewariskan pula minat dan bakat tersebut kepada anaknya, Haida. Sebagai generasi muda, Haida memanfaatkan sebaiknya kemudahan teknologi dan perniagaan secara dalam talian seperti Facebook, Instagram dan sebagainya untuk mempromosikan produk dan meluaskan lagi pasaran songket tenunannya. Strategi lain adalah dengan menyertai program anjuran pihak luar seperti karnival.
“Bagi acara besar seumpama itu, kebanyakan pelanggan membuat tempahan dan perbincangan awal terlebih dahulu. Ini kerana proses pembuatan songket tenun asli ini mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan,” tambah Haida.
“Bahan asas seperti kapas dan sutera, corak dan kemahiran penenun menjadi asas kualiti songket. Kain asas ini akan ditenun dengan benang emas yang beraneka warna. Tenunan ini pula diterapkan motif pelbagai corak untuk menarik perhatian pelanggan,” katanya yang turut memiliki kemahiran menenun.
Antara corak utama yang biasa diterapkan dalam tenunan songket ialah motif tampuk manggis, pucuk rebung, flora dan dedaun. Selain itu, motif geometri dan garis selang-seli juga merupakan antara corak moden yang turut mendapat permintaan tinggi. Keunikan benang emas yang berwarna-warni dan benang pelangi turut menjadikan tenunan songket itu lebih indah. Ada sesetengah produk mengambil masa selama empat hingga enam bulan untuk disiapkan.
“Kami menenun secara manual dan menggunakan mesin tradisional yang dinamakan kek bagi mengekalkan kualiti dan ciri ketulenan songket ini. Masa menenun akan menjadi lebih lama jika corak tenunan yang dibuat adalah lebih kompleks,” jelas usahawan muda ini.
Dah Harun Songket yang beroperasi di Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu mengeluarkan aneka pilihan songket dengan pelbagai pilihan harga dan corak. Menurut Amirul Afiq Ali, harga yang ditawarkan amat berpatutan dengan kualiti yang dihasilkan. Sebagai tambahan, Amirul merupakan Pegawai Pemasaran syarikat tersebut dan juga suami kepada Pengurus Dah Harun Songket, turut sama membantu menjayakan perusahaan ini.
“Kain songket tenun sutera asli seperti ini dijual dengan harga mencecah RM7,000 sehelai. Biasanya tempahan adalah dari pihak istana, dif kehormat, menteri, ahli perniagaan dan orang kenamaan seperti artis, selebriti dan usahawan. Ada juga orang kebanyakan menempah untuk acara tertentu, seperti perkahwinan dan sebagainya,” jelas Amirul, sambil menunjukkan songket tenun bermotif alam.
Amirul menjelaskan bahawa harga songket bergantung kepada beberapa faktor. Antaranya ialah bahan mentah, sama ada sutera atau kapas, benang emas dan sebagainya. Kedua, corak motif yang digunakan.
“Sutera kapas bercorak geometri ini misalnya kami jual dengan harga RM800.00 sahaja. Corak-corak yang menggunakan benang pelangi lebih mudah ditenun berbanding motif bunga atau berasaskan alam,” jelasnya lagi.
Bercakap tentang masa depan industri ini pula, Amirul yakin produk tenunan songket sutera asli masih relevan dan akan kekal sebagai salah satu hasil ekonomi pengusaha tegar. Walaupun harganya mungkin akan meningkat dari semasa ke semasa, namun mereka yang mementingkan kualiti dan keunikan hasil kreativiti tetap akan menjadikan songket ini sebagai pilihan.
Bantuan atau insentif khas perlu disediakan kepada pihak pengusaha dan pemain industri tekstil songket tenun asli supaya dapat meneruskan legasi seni tenunan yang autentik ini. Justeru, pihak yang sewajarnya diharapkan dapat memainkan peranan yang proaktif bagi mengelakkan tenunan songket daripada tenggelam ditelan arus kemajuan di samping melestarikan hasil kraftangan dan seni tradisi agar “tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.”