Pengenalan
Kritikan sastera merupakan aktiviti yang dimulai dengan pembacaan sesebuah teks sastera kreatif. Mana Sikana (2015) menyatakan bahawa hasil daripada pembacaan itulah yang kemudiannya melahirkan kegiatan kritikan sastera. Proses kritikan mengandungi penghayatan, penganalisisan dan penilaian terhadap teks yang dibaca itu. Teras kepada kritikan sastera termasuklah menilai dan menghukum sesebuah teks atau karya itu sama ada berjaya atau tidak.
Selain itu, kritikan sastera merupakan satu disiplin ilmu untuk menilai teks sastera secara objektif. Hashim Awang (1997) menyatakan kritikan kesusasteraan merupakan suatu usaha untuk menilai hasil ciptaan seseorang sasterawan atau penulis sastera dengan beralas serta bersistem dan bertujuan untuk mengembangkan sesuatu yang difikirkan baik lagi indah. Kritikan sastera bertujuan sebagai kegiatan untuk membuat penilaian, pertimbangan dan penganalisisan terhadap sesebuah karya melalui proses pembacaan, pengamatan dan perbandingan menggunakan teori ataupun pendekatan.
Sehubungan itu, kemunculan buku Antologi Cerpen Remaja Talia Ellysa merupakan satu hasil penulisan terkini yang berfokus kepada tema remaja bagi menyerlahkan lagi warna-warni kepelbagaian isu dunia remaja. Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ini telah memperlihatkan beberapa aspek teori atau pendekatan untuk menganalisis karya sastera yang terkandung dalam 23 cerpen. Penulis yang terlibat terdiri daripada gabungan penulis muda yang berbakat. Rata-rata penulis memberikan gambaran awal akan tumpuan yang lebih serius di dalam memacu matlamat jelas ke hadapan bagi melahirkan karya-karya yang lebih bermutu tinggi.
Pemfokusan pemilihan teori buku ini telah menggunakan gaya kritikan relativistik, iaitu dengan mendekati atau menyorot karya sekumpulan penulis muda ini agar pendekatan sebegini mampu mempelbagai dimensi pandangan terhadap sesuatu karya kritikan.
Cerpen dalam Antologi Cerpen Remaja Talia Ellysa
Misi Mencari Perigi Pelangi oleh Dang Farrah Satera Bulkiah menumpukan perbincangan meliputi aspek teori psikoanalisis Freud sebagai pendekatan pilihan dalam menganalisis keperibadian diri Aning. Teori ini jelas memperlihat tentang perkembangan watak diri Aning. Teori yang memperlihat satu perkembangan motivasi, cetusan emosi dan nilai-nilai keperibadian boleh berlaku di dalam realiti masyarakat. Kita dapat melihat satu kaedah penelitian pola pemikiran dan penganalisisan tingkah laku dalam mempertimbangkan kesan psikologi terhadap emosi seseorang remaja. Sementara itu, mekanisme pertahanan ego Freud (sublimasi) juga merupakan strategi diri Aning untuk mencegah dan meredakan kesan penyisihan oleh keluarganya. Dia menukarkan peristiwa tersebut dengan membalasnya dengan nilai-nilai kebaikan.
Seterusnya cerpen kedua Dang Farrah Satera Bulkiah, iaitu Ujian mengetengahkan perspektif kemanusiaan dan aspek moraliti. Penulisan ini bukan sahaja mengetengahkan ilmu memahami nilai kemanusiaan, tetapi juga berpendapat bahawa manusia itu mempunyai pandangan yang optimistik (Abraham Maslow). Menurut penulis, semua manusia memiliki kebebasan. Watak Adam sangat menjelaskan bahawa tingkah laku yang baik itu telah diwarisi daripada ibu bapanya. Faktor persekitaran dan warisan yang dimilikinya telah menjadikan penceritaan watak tersebut menjadi lebih menarik. Turut diselitkan juga tentang kisah sejarah yang mampu mengangkat semangat cintakan tanah air dalam kalangan remaja. Walaupun demikian, perkaitan unsur-unsur kemanusian dan sejarah ini perlu diterap dan digarap dengan subplot yang berkesinambungan agar aspek penceritaan tersebut menjadi lebih segar dan diterima dalam kalangan pembaca.
Seterusnya teori hieraki keinginan oleh Abraham Maslow menerusi Daus dan Lelaki yang Menyelongkar Sampah oleh Edward Solibi. Cerpen ini menjurus kepada kajian susunan dan keperluan yang mempengaruhi tingkah laku manusia. Watak Daus telah menunjukkan bahawa beberapa keperluan manusia yang harus dipenuhi bagi menjalani kehidupan di dunia ini dengan lebih baik. Pemikiran dan sikap moral yang tinggi terhadap golongan yang mengalami kesusahan telah mendorong diri Daus untuk membantu lelaki tua yang menyelongkar sampah. Penulis tahu bahawa keperluan seperti fisiologi, keselamatan, kasih sayang, penghargaaan terhadap diri dan keperluan kesempurnaan diri mampu menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh golongan yang susah ini. Keperluan-keperluan ini disusun mengikut urutan dari asas ke peringkat yang lebih tinggi. Usaha murni Daus telah membantu keperluan-keperluan seperti ini dapat dicapai. Nilai keberanian juga turut ditonjolkan dalam memenuhi keperluan keselamatan sesebuah komuniti masyarakat.
Persoalan teori psikologi, diutarakan menerusi cerpen Kepulangan juga oleh Edward Solibi. Teori psikologi menurut Goldon Allport sebenarnya lebih menumpukan keperibadian sebagai sesuatu yang ada di dalam diri individu yang nantinya akan membimbing pada tingkah laku seseorang. Prinsip psikologi yang dimiliki oleh Eddie, iaitu dia mempunyai keperibadian bertanggungjawab; yakin dengan kemampuan dirinya sendiri bahawa dia dapat mengatasi masalah kehidupannya sendiri tentunya dengan usaha dan berdoa kepada Tuhan Yang Maha Esa. Kemandirian; mempunyai sifat mandiri dari dalam dirinya sendiri, baik dari pola pikir, cara bertindak, cara watak mengambil keputusan, mengembangkan dan mengarahkan diri dengan menyesuaikan dirinya sendiri terhadap norma yang berlaku dalam lingkungannya. Sikap matang dan bangkit dari kekecewaan bagi mencapai kejayaan yang diingini.
Menarik sekali tema alam sekitar turut dipertimbangkan dalam mengutarakan cerpen seterusnya, iaitu Serasi oleh Fauziah Moksin. Teori pemodenan ekologikal (EMT) mula-mula dibangunkan pada awal tahun 1980-an berasaskan latar belakang Eropah Barat (Mol & Sonnenfeld, 2000 p.5). Teori pemodenan ekologikal membawa para pembaca memahami makna kelestarian alam sekitar dari segi pelaksanaan institusi, perubahan dan ekologi alam sekitar itu sendiri ke dalam sesuatu karya. Disokong lagi dengan pendapat Lee dan Egbu (2006) menyatakan penting bagi pasukan projek mempunyai pengetahuan dalam kaedah pembinaan hijau, teknologi pembinaan dan bahan binaan yang digunakan terutama kontraktor dan pereka profesional. Aplikasi menggunakan prinsip tersebut turut dicadangkan oleh watak Adyba bagi meneruskan projek ‘Nyah Polisterina’ ddalam cerpen ini. Walau bagaimanapun, penerapan teori dalam aplikasi karya tidak dijelaskan dengan teliti tetapi lebih menekankan kepada penerangan mengenai perjuangan teori.
Isu feminisme turut dimanfaatkan dalam penjanaan teori sastera. Isu wanita turut dibicarakan menerusi cerpen Anahita oleh Fauziah Moksin. Pengarang membincangkan hasil penelitian tentang aplikasi teori feminisme yang terdapat dalam watak Anahita. Watak seorang remaja yang masih tertakluk (subservient) kepada kuasa dan arahan orang tuanya. Watak ini harus akur dengan kehendak ayahnya sehinggakan boleh menganggu gugat impiannya. Sebenarnya, seseorang wanita itu amat memerlukan kasih sayang, kemesraan, keterbukaan emosi, kedamaian, pentadbiran, politik, kesamarataan dan keindahan dalam hubungan yang sangat baik dan harmoni. Teori feminisme terhadap karya sastera ini mampu memberikan semangat kepada para pembaca bahawa perlu ada alternatif yang lebih efisien bagi melindungi hak dan keinginan seseorang wanita.
Selanjutnya Iqram Akmal mengetengahkan cerpen beliau yang bertajuk Ad Meliora. Cerpen ini membincangkan mengenai drama percintaan fantasi. Menurut pendapat editor Fantastic Literature: A Critical Reader, David Sandner mengatakan fantasi adalah lebih luas berbanding dengan sastera yang mengandungi unsur magis yang ringkas. Bagi Sandner, fantasi boleh menjadi khayalan dan nostalgia yang tulen (lari dari kenyataan) dan perpecahan sastera yang dapat menunjukkan kepada pembaca mengenai cara baharu dalam memandang dunia mereka. Cerita-cerita fantasi telah bermula dari zaman dahulu lagi kerana kanak-kanak amat menggemari cerita yang berunsur khayalan, dongeng, dan angan-angan. Dalam cerpen ini, percintaan Deanna dengan watak yang bernama Dafi (makhluk Elf – sumpahan malam mengambang) dilihat mampu menarik perhatian para pembaca untuk menyusuri jalan penceritaan. Namun, penulisan ini masih berkait pada nilai sesebuah percintaan yang biasa dan mampu diterjemah pengakhirannya.
Melihat keutamaan tajuk Talia Ellysa, iaitu karya kedua Iqram Akmal yang diangkat menjadi tanda nama bagi pengenalan kepada antologi ini. Fantasi sebenarnya sukar ditakrifkan secara khusus atau diberikan sempadan secara jelas kerana mungkin bersifat epik, mitos, atau jenaka yang merentas genre. Fantasi juga mungkin bermula dari dunia ini dan waktu ini, kemudian berkembang menuju alam lain atau zaman lain. Cerita fantasi merupakan cerita yang penuh dengan pelbagai kemungkinan yang luas, seluas pemikiran dan khayalan manusia. Kanak-kanak sehingga remaja dalam mana-mana budaya amat menggemari segala unsur fantasi yang wujud sama ada dalam filem, buku-buku cerita mahupun penceritaan secara lisan yang disampaikan oleh ibu bapa di rumah. Sehubungan itu, kajian ini telah memperlihatkan kewujudan fantasi dalam karya Talia Ellysa berkenaan memainkan peranan penting sebagai proses perkembangan pemikiran kerana fantasi dapat menyuburkan imaginasi dan juga sebagai landasan kreativiti remaja. Alangkah baiknya jika penulis mampu menjelaskan elemen-elemen ini dengan lebih mendalam bersama subplot yang segar dan tidak cuma berkisar kepada alam percintaan sahaja. Jika pengaplikasian teori dan kaedah ini diteruskan, hal ini mampu melonjakkan karya sastera penulis ke peringkat yang lebih tinggi lagi.
Si Gadis Bunga Raya merupakan cerpen yang ditulis oleh Jouvinia Jounin. Menurut Robertson (1993) pula, patriotisme menerangkan sentimen kecintaan terhadap negara, bangsa, budaya dan politik secara praktikal menebal dengan unsur-unsur etnosentrik. Bagi diri penulis, dengan mengangkat isu patriotisme ini dalam kalangan remaja sekolah amat bertepatan pada masanya. Melalui sentimen nasionalis yang dizahirkan mampu melihat perkembangan secara realiti melalui perubahan tingkah laku. Kesetiaan kepada jati diri ini amat berkait rapat dengan soal kasih sayang, kesetiaan, kebanggaan, semangat perjuangan dan keinsafan yang terpupuk dalam sanubari seseorang yang menganggap diri mereka sebagai pejuang nasionalis. Watak Raya mampu mengangkat idea patriotisme ini ke peringkat yang lebih tinggi dengan menunjangi pelbagai nilai moral baik ke dalam perubahan tingkah laku remaja.
Isu feminisme turut juga dibicarakan menerusi cerpen Perhitungan Syukur oleh Jovinia Jounin. Pengarang membincangkan hasil penelitian tentang aplikasi teori feminisme yang terdapat dalam watak Yulia. Watak seorang remaja yang tabah dan tidak berputus asa dalam kehidupannya. Teori yang menampakkan sistem idea kehidupan sosial dan pengalaman manusia telah berkembang ke atas persoalan wanita dalam masyarakat. Sebenarnya, penceritaan utama kisah cerpen ini berkisarkan pengalaman kisah wanita. Wanita yang menjadi kuat dan menempuh pelbagai halangan dan dugaan sehingga mewujudkan suatu kehidupan yang lebih baik kepada dirinya. Teori feminisme terhadap karya sastera ini mampu memberikan pandangan yang lebih jelas mengenai dasar-dasar kemenjadian diri seseorang wanita itu ke arah yang lebih bersifat kompetetif.
Konflik psikologi juga mempunyai idea dasarnya, iaitu seseorang pengarang itu mempunyai pandangan tersendiri terhadap sesuatu isu perkara, hal, dan objek. Pandangan seseorang pengarang itu akan meletakkan idea psikologi itu tenang menelusuri watak-watak dalam keluarga. Analisis cerpen Semanis Rindu mendapati hubungan antara anak dengan ibunya dan sekaligus memperlihatkan hubungan watak dengan adiknya. Perkembangan konflik watak ini telah memberikan kesan psikologi terhadap emosi diri dan orang perseorangan yang berada di persekitarannya. Teori ini telah menekankan bahawa manusia mampu menyelesaikan dan melalui setiap tahap konflik.
Fokus kajian berikutnya berdasarkan cerpen bertajuk Sehari Sebelum oleh Norashiqin Murphy. Fokus kajian mengambil kira teori cinta John Alan Lee yang multidimensi. Teori ini juga dikenali sebagai gaya bercinta. Menurut teori ini, penulis mengambil dua gaya bercinta, iaitu primer; eros (cinta romantis) dan storge (cinta persahabatan). Lee juga telah mencadangkan tiga gaya bercinta sekunder yang dibentuk daripada gabungan gaya bercinta primer tetapi masih mempunyai sifat-sifat dan ciri-ciri yang unik. Gaya bercinta ‘agape’ (cinta pengorbanan) daripada gabungan eros dan storge. Ini sangat jelas bahawa penulis memasukkan elemen percintaan tiga segi. Watak Irfan dalam diam menukarkan nilai persahabatan itu kepada benih-benih cinta. Namun tidak kesampaian. Kisah romantik yang penuh tragis menjadi medium penceritaan yang agak menarik. Ironinya, kisah cinta remaja ini memberikan gambaran luas kepada pembaca bahawa urutan keperluan; kasih sayang (Abraham Maslow) memainkan peranan penting semasa menerokai alam dunia remaja.
Menurut E.B. Taylor, budaya merupakan keseluruhan kompleks yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, keseniaan, moral, undang-undang, adat dan sebarang bentuk kebiasaan. Analisis menggunakan teori ini diperlihatkan melalui cerpen Hantu Labu karya kedua Norashiqin Murphy. Karya ini memaparkan senario mengenai kepercayaan sesuatu suku tertentu berkenaan dengan pantang larang semasa berlakunya kematian. Watak nenek Shuhada menjelaskan bahawa terdapat perkaitan peristiwa yang berkait rapat dengan unsur budaya dan kepercayaan masyarakat setempat, iaitu berkaitan dengan orang meninggal dunia. Tidak jelas dinayatakan secara terperinci mengenai spesifikasi etnik yang ingin dinyatakan dalam karya tersebut. Karya ini lebih menarik jika benar-benar merupakan suatu penceritaan yang sangat jelas dan diikuti dengan sorotan kesusasteraan yang lebih mendalam.
Fokus kajian berikutnya bertajuk Laut Yang Menyimpan Cinta oleh Norsyafiqah Roslan. Fokus kajian ini juga mengambil kira teori cinta atau dikenali sebagai gaya bercinta, John Alan Lee yang multidimensi. Berbanding cerpen Sehari sebelum, cerpen ini mengetengahkan watak utama, iaitu Zulaikha yang berkorban melepaskan Andika demi tuntutan keluarga kerana berbeza darjat dan bangsa. Cinta yang tidak kesampaian ini diserikan dengan unsur dramatik, iaitu kisah sedih Zulaikha yang jatuh rebah ddalam pelukan bekas kekasihnya. Kisah romantik yang penuh tragis menjadi medium penceritaan cinta yang agak menarik.
Teori konflik yang digagaskan Neal E. Miller (2008) yang membahagikan konflik kepada dua bahagian, iaitu konflik luaran dan konflik dalaman. Neal E. Miller mengklasifikasikan konflik kepada empat bentuk, iaitu konflik mendekat-mendekat (++), konflik menghindar-menghindar (–), konflik mendekat-menghindar (+-) dan konflik mendekat menghindar, mendekat-menghindar (+-+-). Analisis menggunakan teori konflik ini diperlihatkan melalui cerpen Lelaki dan Pemancing Tua karya kedua Norsyafiqah Roslan. Berdasarkan analisis kajian, konflik yang berlaku dalam cerpen berkait rapat dengan perbezaan haluan dan keinginan. Watak antagonis, iaitu Rashid melakukan pengkhianatan terhadap emosi dan kehidupan diri Wani demi mengejar harta kekayaan Milah. Kisah dan pergolakan perhubungan emosi Wani dan keluarganya sehingga satu persatu ahli keluarga Si Pemancing Tua meninggal kesan daripada konflik kekeluargaan ini. Watak antogonis, iaitu Rashid telah memperlihatkan kita bahawa nilai ketamakan itu menjadi penyebab kepada konflik dalaman dan luaran kepada kisah yang berlaku. Perspektif memementingkan diri dan sanggup mengenepikan makna kebahagiaan bersama yang mampu dimiliki oleh Wani sekeluarga.
Cerpen yang seterusnya akan membincangkan mengenai gabungan sains fiksyen dan fantasi penulis. Bagi David Sandner dalam bukunya Fantastic Literature: A Critical Reader, fantasi boleh menjadi khayalan dan nostalgia yang tulen (lari dari kenyataan) dan perpecahan sastera yang dapat menunjukkan kepada pembaca mengenai cara baharu dalam memandang dunia mereka. Manakala sains fiksyen merupakan cerita yang dikarang bukan berasaskan kejadian atau peristiwa sebenar yang telah berlaku. Pengembaraan angkasa lepas, dunia khayalan dan kehidupan planet lain berdasarkan penemuan saintifik atau jangkaan masa depan dalam cerpen Malam Yang Panjang, Siang Tinggal Kenangan karya Philippa Yuson, pergolakan dan pengkhianatan telah berlaku terhadap diri Octavio. Makhluk asing yang dikatakan rakan-rakannya telah menyerahkan Octavio kepada Zuhal. Perincian plot cerita ini menjadi menarik dengan menggerakkan dunia orang yang sudah meninggal dengan dunia realiti. Namun, penulisan ini pada awalnya menekankan nilai sesebuah persahabatan namun sesuatu pengkhianatan itu mampu membuat peleraian konflik ini tergantung dengan seribu pertanyaan dalam kalangan para pembaca untuk menterjemahkan pengakhirannya.
Teori konflik terbahagi kepada dua, iaitu aliran Marx dan aliran Weber. Menurut Marx, konflik bukan semata-mata sebagai satu cara analisis sosiologi tetapi satu cara reformasi sosial. Cara ketegangan yang berpunca daripada ketidaksamaan memberi kesan kepada kestabilan dan perubahan. Halusinasi didefinisikan sebagai seseorang yang merosakkan stimulasi yang sebenarnya. Tidak ada stimulus dari manapun baik stimulus suara, bayangan, bau-bauan, pengecapan mahupun perabaan (Yosep, 2011). Cerpen Melodi Asing karya kedua Philippa Yuson mengetengahkan masalah yang dihadapi oleh adik Giselle, iaitu Ginny. Kesan perubahan pendengaran muzik biasa kepada muzik yang berunsurkan kultus sesat membuatkan adik Gisselle terjerumus untuk bertindak mencederakan diri. Pemikiran di bawah sedar juga mampu membuatkan seseorang bertindak di luar kawalan rasional dengan tingkah laku yang sukar diramal. Penceritaan yang menarik dan segar dengan idea baharu mampu membawa karya ini ke peringkat yang lebih tinggi. Tambahan subplot dan ilmu tambah untuk memperkemaskan lagi jalan penceritaan ini akan memungkinkan seribu keindahan dalam penerokaan pembacaan.
Teori psikoanalisis (konflik psikologi) juga digunakan dalam kajian, iaitu penumpuan kepada soal perselisihan pendapat, perbalahan, konflik dalam masyarakat dan menitikberatkan soal perubahan dan disintegrasi pada pelbagai unsur dalam masyarakat. Analisis dilakukan terhadap cerpen Raimah Daim yang bertajuk Hanya Tinggal Rindu yang dikaji dari aspek inti pati hubungan sosial dan kesan psikologi. Penelitian ke atas cerpen tersebut mendapati bahawa watak Amanda menjadi mangsa pengkhianatan hubungan sosial, iaitu dalam konteks kekeluargaan dan percintaan diri Amanda. Mesej yang disampaikan oleh pengarang turut membincangkan babak-babak pergolakan keluarga yang amat besar sehinggakan di pengakhiran karya ini meninggalkan beberapa persoalan melibatkan perleraian plot cerita ke dalam pemikiran para pembaca.
Cerpen berikutnya Sapu Tangan Merah Jambu oleh Sandra Abdullah. Teori hierarki keperluaan manusia diperkenalkan Abraham H. Maslow (1943) dalam kertas kerjanya yang bertajuk “A Theory of Human Motivation” digunakan untuk melihat pola keperluan dan kehendak manusia. Terdapat lima peringkat yang utama, iaitu keperluan fisiologi, keperluan keselamatan, keperluan kasih sayang dan keinginan dimiliki, keperluan penghargaan kendiri dan keperluan penyempurnaan kendiri. Penelitian dilakukan terhadap cerpen ini menunjukkan bahawa watak Danish ingin mencapai kesemua keperluan seorang manusia yang terdapat dalam teori hierarki keperluan manusia oleh Abraham H. Maslow. Artikel ini membawa pembaharuan dalam bidang kritikan sastera kerana mengaplikasikan teori pengurusan dalam karya sastera. Tambahan lagi, teori peringkat keperluan ini mengehendaki watak Danish perlu tabah dan meneruskan kehidupannnya bagi mencapai makna kesempurnaan.
Selanjutnya Sandra Abdullah mengetengahkan cerpen beliau yang bertajuk Tajau Kasih. Cerpen ini membincangkan mengenai kehidupan realiti dan fantasi. Menurut David Sandner, fantasi bermula dari zaman dahulu lagi kerana kanak-kanak amat menggemari cerita yang berunsur khayalan, dongeng, dan angan-angan. Dalam cerpen ini, watak Lily membesar dengan neneknya dengan mencari hasil hutan sebagai menampung perbelanjaan seharian. Kesusahan mereka adalah realiti dengan mempamerkan pergolakan konflik dalam kehidupan yang sangat mencabar. Apabila unsur-unsur majis atau fantasi ini diselitkan dalam sesebuah cerita, hal ini mampu meninggalkan kesan yang menarik dalam kalangan pembaca. Penemuan tembikar yang sangat berharga mampu menterbalikkan keadaan susah kepada sedikit senang. Namun, penulisan ini masih mampu diperkemaskan bagi memperindahkan lagi subplot pada pengakhiran cerita.
Teori adaptasi yang digagaskan Hutcheon (2006) dalam bukunya, A Theory of Adaptation, ditumpukan dalam cerpen Hilang oleh Sandra Abdullah. Kajian memfokuskan bahawa adaptasi tidak hanya terhad kepada teks dan filem, tetapi meliputi segala jenis media sebagai medium adaptasi seperti televisyen, Internet, taman tema, pentas dan arked video. Kajian menggunakan teori adaptasi diaplikasikan dalam pembangunan teks, watak dan plot cerita seperti Puteri Gunung Ledang. Teori ini dilihat dari aspek sumber dan cara adaptasi, tujuan adaptasi dan konteks adaptasi. Dapatan kajian berdasarkan kesesuaian kisah watak Puteri Ledang sebagai sumber adaptasi cerita untuk dipersembahkan dalam bentuk baharu, iaitu pembangunan teks dan plot mendapat sambutan dalam kalangan para pengkarya. Watak Rayyan menukarkan suasana majis fantasi ke alam bunian Puteri Ledang dan mengaitkannya ke dalam kehidupan realiti manusia. Walau bagaimanapun, adaptasi yang dilakukan hanya menumpukan watak cerita sahaja dalam Puteri Gunung Ledang, iaitu kisah Rayyan menyintai Puteri tersebut. Hal ini tidak memberikan gambaran keseluruhan kisah yang terdapat dalam karya Puteri Gunung Ledang sebenar.
Cerpen seterusnya Ikan Liking di Hujung Kampung karya Siti Azeyana hajat juga menggunakan teori psikoanalisis (konflik psikologi). Teori ini jelas digunakan dalam kajian, iaitu penumpuan kepada soal perselisihan pendapat, perbalahan, konflik dalam masyarakat dan menitikberatkan soal perubahan dan disintegrasi pada pelbagai unsur dalam masyarakat. Analisis dikaji dari aspek intipati hubungan sosial dan kesan psikologi. Penelitian terhadap cerpen tersebut mendapati bahawa watak Aman telah berubah setelah watak sahabatnya Guan menegur dan menasihatinya. Aman telah menggunakan medium teknologi maklumat dengan berkesan bagi mempromosikan perniagaan ayahnya. Hubungan anak dan ayah juga berkolaborasi demi kestabilan perniagaan ikan Liking mereka. Tambahan lagi, pengarang berjaya mengetengahkan ilmu kulinari dalam karya beliau. Mesej yang disampaikan oleh pengarang amat jelas bahawa pendekatan hubungan kekeluargaan yang baik akan mendatangkan nilai-nilai yang baik dalam diri, keluarga dan masyarakat sekeliling.
Bab terakhir yang merupakan cerpen ke-23 dalam antologi ini, Siti Azeyana Hajat menghasilkan Bunga Harapan. Pengarang menggunakan teori psikoanalisis (konflik psikologi). Penelitian terhadap cerpen tersebut mendapati bahawa watak Ayu telah menempuh pelbagai musibah yang beruntun malang. Watak mempunyai personaliti dan tingkah laku yang positif mampu mengharungi keadaan sukar tersebut dengan baik dan tenang. Tidak dinafikan juga, pengarang telah menyelitkan ilmu botanikal dalam karyanya. Jika ditambah lagi dengan ilmu input yang menarik sudah pasti karya ini mampu mendatangkan kesan pembacaan yang lebih menarik. Mesej yang disampaikan oleh pengarang amat jelas bahawa sikap bersabar dan tabah dalam kehidupan dapat menjamin kehidupan masa depan yang lebih cerah dan berpelangikan kejayaan.
Secara keseluruhnya, Antologi Cerpen Remaja Talia Ellysa ini menampilkan beberapa kekuatan dari segi kandungannya yang sarat dengan pelbagai jenis teori yang berkaitan dengan bidang kesusasteraan Melayu mahupun Barat. Hal ini turut mencakupi penelitian dari sudut teori dan aplikasinya. Sesuai dengan tajuk, buku ini sangat santai dengan mengetengahkan watak utama seorang remaja sebagai judul antologi. Hal ini menunjukkan kepentingan kritikan kesusasteraan dalam menilai sesebuah karya sastera. Walaupun buku ini memperlihatkan kekuatan dari aspek perbincangan kandungan ilmunya, namun terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian dalam keseluruhan menerima buku ini. Terdapat perbincangan teori yang tidak disertai dengan aplikasi yang lebih mendalam untuk memudahkan pemahaman pembaca. Secara keseluruhannya, teori psikoanalisis, teori fantasi dan sains fiksyen, teori gaya bercinta, teori feminisme serta teori hieraki keperluan berulang-ulang digunakan oleh pengarang dalam buku ini. Selain itu, beberapa unsur mistik yang diterjemahkan melalui kepelbagaian idea. Walaupun agak klise dan masih terikat dengan pendekatan konvensional, keseluruhan karya ini dapat memberikan pengalaman yang menarik dan boleh diterima kandungannya. Antologi Cerpen Remaja Talia Ellysa merupakan hasil penyelidikan dalam bidang teori kesusasteraan yang sangat bermanfaat sebagai rujukan terutama kepada para pelajar, pensyarah, pengkaji sastera serta sesiapa sahaja untuk mendapatkan ilmu mengenai teori dalam kesusasteraan Melayu.
Rujukan:
Mana Sikana. 2015. Penulisan Akademik Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hashim Awang. 1997. Kritikan Kesusasteraan: Teori dan Penulisan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sohaimi Abdul Aziz. 2014. Teori dan Kritikan Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamariah Kamarudin. 2022. Teori dan Kririkan Sastera. Penilaian dan Wacana. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rosnah Baharudin. 2012. Siri Kajian Pemikiran Sasterawan Negara: Pemikiran Sasterawan Negara S. Othman Kelantan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shahrun Nizal Mohd Nor. 2023. Esei-esei Sastera: Fikrah Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.