Skip to content
Tradisi Bubur Asyura di Malaysia: Simbolisme dan Keunikan Hidangan
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Kearifan Tempatan > Tradisi Bubur Asyura di Malaysia: Simbolisme dan Keunikan Hidangan
Tradisi Bubur Asyura di Malaysia: Simbolisme dan Keunikan Hidangan
Kearifan Tempatan

Tradisi Bubur Asyura di Malaysia: Simbolisme dan Keunikan Hidangan

  • Nabillah Bolhassan
  • 20 Januari 2025
  • DBP Cawangan Sarawak
  • 159
  • 5

MALAYSIA merupakan sebuah negara yang terkenal dengan pelbagai budaya, etnik dan agama. Kepelbagaian ini membentuk identiti negara yang unik dan secara tidak langsung dapat dilihat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia. Makanan merupakan elemen budaya yang paling ketara menonjolkan kepelbagaian etnik dan tradisi masyarakat Malaysia. Aneka jenis makanan yang terdapat di Malaysia bukan sekadar menggambarkan keunikan setiap kaum, tetapi turut menjadi petanda keistimewaan sesebuah negeri dan wilayah. Makanan yang menjadi petanda keistimewaan setiap negeri di Malaysia lazim mempunyai ciri khas tersendiri yang dipengaruhi budaya, bahan tempatan dan sejarah yang berbeza. Antara makanan yang dihasilkan dalam pelbagai variasi mengikut keunikan setiap negeri di Malaysia ialah bubur Asyura.

Bubur Asyura merupakan hidangan tradisional yang amat popular di Malaysia, terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu. Bubur Asyura kaya dengan simbolisme dan sering dihidangkan sebagai juadah istimewa pada bulan Muharam serta mengandungi makna mendalam yang berkait rapat dengan peristiwa penting dalam sejarah Islam.

Bubur Asyura berasal daripada tradisi umat Islam yang merayakan hari Asyura, iaitu hari ke-10 dalam bulan Muharam.

Pada hari tersebut, umat Islam memperingati beberapa peristiwa penting seperti penyelamatan Nabi Musa dan umatnya daripada tentera Firaun yang tenggelam di Laut Merah. Umat Islam juga mempercayai bahawa berlakunya beberapa peristiwa besar pada 10 Muharam, iaitu; hari pertama Allah menciptakan alam, Allah menjadikan Malaikat Jibrail, Nabi Adam a.s dicipta, Nabi Ibrahim diselamatkan Allah daripada api Raja Namrud dan beberapa peristiwa lain. Mengikut tradisi pada hari Asyura, umat Islam disarankan untuk memperbanyakkan amal ibadah seperti berpuasa (puasa sunat Asyura).

Bubur Asyura yang diperbuat daripada pelbagai bahan dianggap sebagai simbol perpaduan dan kemurahan hati. Juadah ini juga disediakan sebagai hidangan bersedekah kepada orang miskin dan jiran sebagai salah satu cara untuk berkongsi keberkatan serta kegembiraan. Bubur Asyura biasanya disediakan dalam jumlah yang banyak, terutama oleh keluarga atau komuniti di masjid-masjid. Hal ini kerana tradisi penyediaan bubur ini dianggap sebagai satu bentuk amal jariah. Bubur Asyura akan dibahagikan kepada tetangga, saudara-mara dan orang yang kurang bernasib baik.

Selain itu, bubur Asyura merupakan simbolik keharmonian dan kebersamaan serta melambangkan semangat muhibah dalam kalangan masyarakat. Proses pembuatan bubur Asyura kebiasaannya dilakukan secara bersama-sama dalam kalangan ahli keluarga mahupun komuniti setempat. Aktiviti seperti ini sekali gus mengeratkan silaturahim dan menghidupkan semula semangat gotong-royong yang semakin berkurang dalam kalangan masyarakat kini. Tradisi membahagikan bubur Asyura juga menjadi bukti kepedulian sosial melalui semangat saling membantu dan berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.

Variasi bubur Asyura di Malaysia sangat menarik kerana memiliki rasa dan keunikan yang tersendiri. Setiap variasi bubur ini dihasilkan daripada pelbagai jenis ramuan yang berbeza mengikut tempat. Oleh sebab itu, bubur Asyura menjadi hidangan istimewa serta memberi peluang kepada masyarakat Melayu sendiri dan selainnya untuk meneroka kreativiti dalam penyediaan juadah ini. Antara variasi bubur Asyura yang terdapat di Malaysia ialah bubur Asyura Utara, bubur Asyura Johor, bubur Asyura Kelantan, bubur Asyura Terengganu dan bubur Asyura Sarawak.

Tradisi Bubur Asyura di Malaysia: Simbolisme dan Keunikan Hidangan
Kacang kuda, antara bahan dalam penyediaan bubur Asyura Utara.

Penghasilan bubur Asyura Utara dikatakan lebih mudah dan ringkas kerana variasi ini dibuat daripada campuran tepung beras, daging, jagung, ubi keledek, dan pelbagai jenis kacang seperti kacang kuda, kacang hijau dan kacang tanah.

Uniknya, bubur Asyura Utara tidak menggunakan beras atau nasi sebagai bahan utama sepertimana kebiasaan masakan bubur yang lain.

Bubur Asyura Utara disediakan mengikut kreativiti orang yang memasaknya. Ada yang menghasilkan bubur ini versi pekat dan ada yang menghasilkannya dalam versi cair. Namun, bubur Asyura pekat merupakan versi yang popular di Utara dan kerap dihasilkan menjelang Hari Asyura. Teksturnya yang likat dan berkilat ditambah pula dengan pelbagai warna daripada kacang dan ubi keledek membuatkan sesiapa sahaja terliur dan ingin merasainya.

Tradisi Bubur Asyura di Malaysia: Simbolisme dan Keunikan Hidangan
Bubur Asyura Kelantan.  Sumber gambar: https://www.aziekitchen.com/

Bubur Asyura Kelantan atau turut dipanggil ‘suro’ mempunyai rasa yang berbeza berbanding bubur Asyura negeri lain. Rasanya yang manis dan berempah menambah keunikan pada bubur ini. Teksturnya yang lembut seperti kuih talam, ditambah pula dengan aromanya yang wangi membuatkan sesiapa sahaja yang berada di sekeliling tidak sabar untuk mencubanya.

Cara memasak ‘suro’ Kelantan ada dua, iaitu dengan mencampurkan semua bahan seperti beras, ubi keledek, isi ayam atau daging, jagung, rempah Asyura dan santan pekat ke dalam kawah atau cara kedua adalah dengan menumis bahan kisar, iaitu halia dan serai terlebih dahulu kemudian tuskan minyak sebelum dicampur bersama-sama bahan yang lain.

Rupa bubur Asyura Johor pula seakan-akan bubur lambuk. Bubur Asyura Johor merupakan hidangan yang  kaya dengan pelbagai bahan sekali gus mewujudkan rasa lengkap hasil penyatuan rasa masin, berlemak dan berempah. Rasa tersebut telah menjadikan hidangan ini memiliki pelbagai perisa dan memikat selera sesiapa sahaja. Bubur Asyura Johor menggunakan bahan-bahan seperti lobak, jagung dan kacang yang memberikan tekstur yang berbeza dan menjadikan hidangan ini sangat berkhasiat. Selain itu, gabungan rempah-ratus seperti kayu manis, cengkih dan halia semasa menumis ternyata mencetuskan aroma yang menyelerakan pada resipi bubur Asyura Johor ini. 

Jika masyarakat Kelantan menyebut bubur Asyura dengan nama ‘suro’, di Terengganu pula bubur Asyura terkenal dengan nama ‘sughe’.

Keunikan bubur Asyura Terengganu berbanding bubur Asyura negeri lain ialah bubur ini menggunakan ikan sebagai salah satu bahan utama selain daripada daging.

Ikan dan daging terlebih dahulu direbus sehingga empuk sebelum dicarik-carik isinya. Isi ikan dan daging yang dicarik ini kemudian dicampur bersama-sama bahan-bahan yang lain seperti beras, kekacang dan keledek. ‘Sughe’ biasanya dihidang bersama-sama agar-agar, sambal ikan dan telur dadar yang telah diracik halus. Bayangkan, hidangan ‘sughe’ tersusun cantik bersama-sama agar-agar aneka warna dan telur dadar, dihias pula dengan sambal ikan. Sudah tentu hidangan ini benar-benar mencipta satu palet warna yang mampu menggugah selera.

Tradisi Bubur Asyura di Malaysia: Simbolisme dan Keunikan Hidangan
Bubur Asyura Terengganu. Sumber gambar: https://cararesepi.blogspot.com/

Penghasilan bubur Asyura versi Sarawak pula tidak jauh bezanya dengan cara menghasilkan bubur nasi biasa, Cuma, bubur Asyura Sarawak perlu ditambah dengan serbuk kurma, sup bunjut dan udang kering. Kesepaduan rasa antara bahan-bahan tersebut memberikan rasa yang kompleks – sedikit pedas dan masin, namun setiap suapan terasa lengkap dan memuaskan. 

Melalui pelbagai variasi bubur asyura tersebut, membuktikan bahawa masyarakat Malaysia memiliki kreativiti dalam mengolah resipi. Walaupun terdapat pelbagai variasi, inti pati penghasilannya tetap sama, iaitu sebuah hidangan yang menggambarkan perpaduan dan penyatuan. Bubur Asyura lebih daripada sekadar makanan, malah turut menjadi simbol kekayaan budaya dan kebajikan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang harus terus dipelihara dan dihargai.

 

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #dbpselatan (12) #karyasastera (14) #komsas (2) #penulis (4) #penulisbaharu (14) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (4) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (13) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (2) #wadahdbp (4) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) bengkel (2) budaya (2) cerpen (9) dbpcawangansabah (4) dbpcawangansarawak (16) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (4) dbpwilayahutara (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) palestin (2) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (8) puisi (23) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Latu Purnama
Puisi

Latu Purnama

  • 5 Februari 2024
  • 43
  • 2
نصيحت هاتي ريندو
Puisi Moden

نصيحت هاتي ريندو

  • 5 Oktober 2024
Membaca Nilai-nilai Kekeluargaan dalam “Tangon-Tangon” Etnik Kimaragang
Kearifan Tempatan

Membaca Nilai-nilai Kekeluargaan dalam “Tangon-Tangon” Etnik Kimaragang

  • 3 Mei 2024
  • 833
  • 4.7
Lelaki dari Eropah (Dedikasi khas buat Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh)
Puisi

Lelaki dari Eropah (Dedikasi khas buat Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh)

  • 1 Februari 2024
  • 89
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP