Skip to content
Trauma dalam “Nada-nada Bluthner yang Ingin Dilupakan” daripada Perspektif Psikoanalisis
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Sastera > Trauma dalam “Nada-nada Bluthner yang Ingin Dilupakan” daripada Perspektif Psikoanalisis
Trauma dalam “Nada-nada Bluthner yang Ingin Dilupakan” daripada Perspektif Psikoanalisis
Bicara Sastera

Trauma dalam “Nada-nada Bluthner yang Ingin Dilupakan” daripada Perspektif Psikoanalisis

  • JOE JULAIHI
  • 20 Februari 2026
  • DBP Cawangan Sarawak
  • 106
  • 5

KARYA Engy Ibrahim Marzouk, yang tidak ketahuan tajuknya, di laman web ccoptic Orphans, memfokuskan wajah seorang budak dan seseorang yang menekup mulutnya dari belakang dengan latar biru gelap, pekat bergaul dengan warna kelabu dan hitam. Matanya terbelalak. Pipinya basah. Pandangan bergenang budak itu mengarah ke hadapan. Lukisan itu biasa sahaja tetapi di sebaliknya, ia menyampaikan sebuah cerita duka.

Cerpen “Nada-nada Bluthner yang Ingin Dilupakan”, mempersembahkan lara yang sama. Uniknya, karya Stefanie Kaso ini ialah sebuah naratif yang diceritakan oleh susuk bukan manusia, iaitu seekor tikus yang melihat perubahan kehidupan Adam.

Naratif memperlihatkan betapa polos dan rapuhnya dunia kanak-kanak, suara yang ditanggalkan secara paksa, penderitaan yang dipendam dan kesedihan Adam yang tidak diendahkan. Nada-nada yang dialunkan daripada piano, dahulunya melodi riang ria yang melantun-lantun tetapi menjadi nada-nada garang, mempamerkan secara berlapis-kegembiraan Adam dan penderitaannya terperangkap dalam ruang senyap yang menyakitkan.

Rencana ini akan melihat naratif menerusi perspektif psikoanalisis, secara spesifiknya, asas-asas teori yang diperkenalkan oleh Sigmund Freud, berkenaan dorongan minda bawah sedar dan naluri yang mempengaruhi tingkah laku manusia serta pembentukan personaliti.

Selain itu,  rencana ini akan mendedahkan pertembungan psikik dalaman (intra-psychic) dalam diri setiap watak; bagaimana mekanisme pertahanan dicetuskan oleh watak-watak untuk menentang kegelisahan yang wujud akibat daripada pertentangan dorongan naluri; kecelaruan tekanan pascatrauma; penderaan seksual; keruntuhan struktur keluarga dan sebuah kebisuan.

Penelitian teks akan menyentuh perihal tiga komponen minda manusia untuk melihat perkembangan dan transformasi watak, juga, tiga elemen dalam minda yang mempengaruhi serta membentuk personaliti, iaitu Id, Ego dan Superego. Ketiga-tiga elemen ini saling berinteraksi, saling bercanggah dan impaknya kepada watak-watak. Esei ini juga akan menyentuh beberapa mekanisme pertahanan yang berfungsi di dalam teks.

Komponen Minda Manusia Menerusi Lensa Psikoanalisis

 

Trauma dalam “Nada-nada Bluthner yang Ingin Dilupakan” daripada Perspektif Psikoanalisis
Sumber: https://www.thecoolist.com/personality/freud/theory/)

Menurut analogi Bongkah Ais Freud, terdapat tiga komponen yang membentuk minda manusia, iaitu fikiran sedar (conscious), fikiran prasedar (pre-conscious) dan fikiran bawah sedar (unconscious). Pada bahagian paling atas, yang kita boleh lihat pada permukaan, di situ terletaknya fikiran sedar manusia; merangkumi kesemua pemikiran, persepsi, memori dan perasaan pada masa kini yang kita sedari secara aktif (Freud, 1905; Mcleod, 2024).

Bahagian kedua, tepat di bawah permukaan air ialah fikiran prasedar. Maklumat yang disimpan di sini, tidak secara aktif akan diingati pada masa kini tetapi dengan mudah akan dibawa keluar ke bahagian pemikiran sedar jika berkehendak (Freud, 1905; Mcleod, 2024), manakala bahagian yang jauh tersembunyi di bawah permukaan, yang tidak terlihat, di situ terletak fikiran bawah sedar manusia. Freud (1905; Mcleod, 2024) menyatakan bahawa segala memori yang tidak diingini, konflik yang tidak selesai, episod trauma dan keinginan luar batas akan disimpan dalam ruang ini.

Menurut Freud (1923), terdapat tiga elemen, iaitu Id, Ego dan Superego, yang saling bekerjasama untuk membentuk tingkah laku manusia yang kompleks. Setiap komponen mempunyai keunikan tersendiri, menyumbang serta mempengaruhi pembentukan personaliti untuk seseorang individu.

Id ialah bahagian paling primitif, komponen utama yang sudah terbentuk sejak kita lahir dan dinyatakan sebagai sumber semua tenaga intrapsikik; terletak dalam bahagian minda bawah sedar (Freud, 1923; Larsen dan Buss, 2014). Id digerakkan secara prinsip kepuasan, iaitu keinginan untuk memperoleh kepuasan dengan segera tanpa bertolak-ansur dengan sebarang penangguhan, malah tidak berpegang kepada realiti, logik, rasional dan moral (Boag, 2014).

Trauma dalam “Nada-nada Bluthner yang Ingin Dilupakan” daripada Perspektif Psikoanalisis
Sumber: lummi.ai

Superego pula ialah komponen yang berlandaskan moraliti, norma-norma dan peraturan dalam dunia sosial yang individu peroleh daripada pembelajaran pengalaman dan didikan ibu bapa, guru dan masyarakat (Larsen dan Buss, 2014). Ia terbentuk seawal umur lima tahun. Superego berkehendak semua tingkah laku wajib mengikut peraturan dan prinsip moral yang ditetapkan dalam sosial. Ia merupakan komponen minda yang mewujudkan perasaan bersalah, segan dalam diri individu jika melakukan “kesalahan” dan mencetuskan rasa bangga jika kita melakukan sesuatu perkara yang “betul” (Larsen dan Buss, 2014). Superego juga bertindak sebagai ego-ideal, iaitu menjadikan personaliti kepada tingkat tertinggi dan terbaik serta tidak berkompromi dengan apa-apa yang melanggar peraturan dan moraliti (Larsen dan Buss, 2014).

Seterusnya, Ego ialah komponen yang terhasil daripada Id, struktur yang digerakkan berdasarkan prinsip realiti. Komponen ini bertanggungjawab untuk mengawal naluri Id supaya naluri liarnya yang menginginkan kepuasan segera, berpaksikan kepada realiti serta rasional dan juga merupakan perantara kepada Superego dan Id dengan memenuhi keinginan kedua-duanya supaya sesuatu sifat dan tingkah laku akan berpandukan realiti, norma dan moral, sesuai dengan kehendak dan penerimaan sosial (Boag, 2014; Mcleod, 2025).

Konsep kekuatan ego (ego strength) dalam tradisi psikoanalisis merujuk kemampuan komponen tersebut untuk mengatasi paksaan Id dan Superego (Curtis, 2017; Cherry, 2023). Jika komponen ini kuat, ia mampu mengawal  tekanan yang dialami secara berkesan, tetapi jika hal sebaliknya yang berlaku, maka, akan berlaku gangguan dalam psikologi dan mempengaruhi personaliti individu (Kovačić, Peraica, dan Kozarić-kovačić, 2018; Cherry, 2024). Individu yang personalitinya lebih didominasi oleh Id, akan bersifat impulsif, tidak terkawal, memudaratkan, kecelaruan personaliti antisosial, malah, mewujudkan tingkah laku yang menjurus ke arah jenayah (Cherry, 2024).

Libido (Eros) dan Thanatos

Freud (1920, 1925; Larsen dan Buss, 2014) menyatakan bahawa terdapat dua naluri yang membentuk tenaga psikologi dalaman manusia untuk melakukan sesuatu atau menggerakkan motivasi. Dua naluri tersebut ialah seksual dan agresif yang kemudiannya diklasifikasikan oleh Freud sebagai Libido (Eros) dan Thanatos.

Libido merujuk kepada keinginan atau naluri untuk ikhtiar hidup, keperluan kehidupan atau memenuhi keperluan asas, keinginan seksual dan kepuasan serta kegembiraan serta-merta, manakala Thanatos merujuk kepada keinginan manusia untuk menceburkan diri dalam tindakan agresif, tingkah laku berisiko dan keinginan memudaratkan diri atau orang lain (Freud, 1920; Cherry, 2024).

Komponen seperti Id, Ego dan Superego menggunakan sumber tenaga psikologi dalaman ini ialah penggerak yang mempengaruhi personaliti (Meisner, 2009; Larsen dan Buss, 2014). Secara analogi untuk memudahkan pemahaman, bayangkan sebuah kereta. Bahan bakarnya ialah libido dan thanatos, manakala sistem kawalannya pula: Id ialah enjin, Ego ialah pemandu, dan Superego ialah papan tanda dan peraturan jalan.

Pertembungan Konflik Serta MekanismePertahanan dalam Naratif

Larsen dan Buss (2014) menyatakan Freud mengkategorikan kegelisahan kepada tiga, iaitu  kegelisahan objektif yang merujuk kepada ketakutan. Ia berlaku ketika individu mengesan ancaman, sekali gus mencetuskan reaksi lari atau lawan (fight-or-flight response); kedua ialah kegelisahan neurotik, iaitu kegelisahan yang terjadi disebabkan konflik  Id dan Ego apabila Ego mengesan bahaya saat rangsangan liar Id akan mula mendominasi; ketiga, kegelisahan moral. Kegelisahan ini muncul  apabila berlaku pertembungan konflik antara Ego dengan Superego. Kegelisahan yang timbul ialah sesuatu keadaan yang tidak disenangi. Ego berusaha untuk mengawal kegelisahan, mempertahankan diri daripada terus terjerumus ke dalam situasi yang tidak menyenangkan.

Pengarang menggambarkan watak bapa saudara ini bukan sekadar sebagai perlambangan Id yang bersifat dominan dan impulsif, malah sebagai personifikasi yang jelas bagi thanatos. Kehadirannya berfungsi sebagai gangguan utama dalam naratif, yang bukan sahaja meruntuhkan kestabilan psikologi dalaman Adam, malah turut menggugat keseimbangan emosi ibu bapanya. Gangguan ini melambangkan pencerobohan naluri primitif yang merosakkan  ruang domestik, iaitu ruang yang sepatutnya berfungsi sebagai persekitaran selamat untuk eksplorasi serta pembangunan Ego dan Superego.

Dalam naratif ini, Stefanie meletakkan konflik seksual traumatik sebagai anasir utama sekali gus menjadi titik perubahan utama dalam perkembangan psikologi Adam.

Adam, pada awalnya digambarkan sebagai seorang kanak-kanak ceria, nakal dan gemar bermain piano, merupakan watak yang personalitinya didorong oleh dominasi Id yang mencari kepuasan serta-merta. Namun, keseimbangan psikologi ini mula mengalami keruntuhan apabila kemunculan watak bapa saudara Adam yang membawa masuk pengalaman trauma dalam kehidupannya.

Penderaan seksual, khususnya yang dialami pada zaman kanak-kanak, berpotensi mewujudkan kecelaruan tekanan pascatrauma (post-traumatic stress disorder), suatu bentuk trauma yang boleh berpanjangan dalam sesuatu kes. Sistem psikologi Adam mengalami keretakan, sekali gus memaksa Ego berfungsi dalam keadaan terancam demi mengekalkan kestabilan psikik.

Dari perspektif psikoanalisis, repression berfungsi sebagai salah satu mekanisme pertahanan utama yang digunakan oleh Ego untuk menghalang pemikiran, perasaan, memori atau kehendak yang tidak menyenangkan, menyakitkan atau mengganggu daripada memasuki minda sedar (Larsen dan Buss, 2014). Unsur-unsur ini tidak dihapuskan, sebaliknya ditanam jauh ke dalam minda bawah sedar dan berpotensi muncul semula dalam bentuk yang terselindung, suatu fenomena yang dikenali sebagai return of the repressed. Walaupun konsep repression berakar dalam tradisi psikoanalisis, istilah repressed memory tidak digunakan sebagai kategori diagnostik dalam amalan klinikal kontemporari. Sebaliknya, dalam wacana klinikal moden, pemisahan memori trauma daripada minda sedar lebih lazim dirangka melalui konsep dissociative amnesia, yang menekankan fragmentasi ingatan akibat trauma tanpa menafikan kewujudan memori tersebut dalam sistem psikik (Otgaar et al., 2019).

Pengarang menggambarkan proses ini melalui gejala psikologi yang dialami oleh Adam, seperti mimpi-mimpi buruk dan keadaan meracau ketika tidur. Gejala sedemikian merupakan simptom lazim yang dialami oleh individu pascatrauma. Menurut Freud (1900), mimpi berfungsi sebagai medium yang membolehkan kita mengintip kandungan minda bawah sedar, di samping berperanan melindungi kesinambungan tidur. Ketika seseorang berada dalam keadaan tidur, kawalan Ego menjadi longgar, lalu keinginan dan memori yang ditekan berusaha menembusi minda sedar. Sekiranya trauma ini muncul dalam bentuk asal yang terlalu mengancam, ia berpotensi mencetuskan keresahan melampau sehingga menyebabkan individu terjaga (Freud, 1900; Mellman dan Pigeon, 2005;  Newsom, 2025).

Walau bagaimanapun, meskipun mimpi-mimpi buruk ini akan berkurangan atau hilang selepas beberapa minggu peristiwa pascatrauma, namun dalam satu-satu kes, ia boleh berlanjutan. Memori traumatik tersebut tetap kekal tersimpan dalam minda bawah sedar. Keadaan ini menegaskan bahawa ketiadaan gejala, tidak semestinya menandakan penyembuhan, sebaliknya mencerminkan kejayaan sementara mekanisme pertahanan Ego dalam menyembunyikan trauma.

Trauma dalam “Nada-nada Bluthner yang Ingin Dilupakan” daripada Perspektif Psikoanalisis
Sumber: lummi.ai

Selain itu, dalam naratif, sistem Ego Adam juga bertindak memproses mekanisme pertahanan secara displacement. Pengarang mempamerkan tindakan Adam yang tingkah laku agresifnya semakin menjadi-jadi terhadap pencerita (tikus)-suatu bentuk displacement, iaitu mekanisme pertahanan yang menyalurkan naluri agresif terhadap sasaran yang tidak memudaratkan atau mengancam. Adam menyalurkan perasaan marah serta kecewanya terhadap sasaran yang bukan mengancam dirinya, iaitu tikus. Watak ini tidak dapat melepaskan kemarahannya kepada bapa saudaranya kerana wujud perasaan takut kepada susuk tersebut, maka, ia melepaskan naluri agresifnya terhadap sasaran yang tidak akan memberikan kemudaratan trauma terhadapnya.

Di samping itu, mekanisme pertahanan secara sublimation juga dipaparkan pada watak Adam ketika memainkan nada-nada muzik yang tidak menentu dan kasar, pengarang juga menyatakan bahawa alunan nada-nada tersebut adalah beralun kecewa. Ini antara contoh sublimation: naluri agresif yang terpendam dan tidak dapat diluahkan pada sasaran, disalurkan melalui aktiviti yang diterima secara sosial. Dalam naratif, pengarang menjadikan bermain piano sebagai satu cara pertahanan Ego daripada menghadapi sebarang kegelisahan. Melodi yang dimainkan bukan sebagai satu cetusan pelarian atau penafian oleh Adam, tetapi satu proses mekanisme pertahanan terhadap kesakitan yang tidak dapat diluahkan.

Dalam dinamik penderaan seksual, kerosakan terhadap sistem psikik didapati paling mendalam apabila pelaku merupakan ahli keluarga sendiri. Stefanie memperhebat penderitaan protagonis melalui pengalaman pengkhianatan berganda yang dialami oleh Adam. Pengkhianatan pertama berlaku melalui perbuatan bapa saudaranya, manakala pengkhianatan kedua muncul daripada kegagalan ibu bapa Adam untuk melindungi dan mempercayainya.

Walaupun Adam telah meluahkan penderaan yang dialami serta mengharapkan keadilan, suaranya disenyapkan secara paksa apabila ibu bapanya melarang perbincangan lanjut mengenai peristiwa tersebut. Tindakan ini bukan sahaja menafikan pengalaman traumatik Adam, malah lebih meruncingkan konflik. Penderaan tersebut tidak berlaku secara terasing atau tersembunyi, sebaliknya semakin parah disebabkan ketidakmampuan ibu bapa Adam untuk membentuk semula ruang domestik yang telah menjadi kacau-bilau. Kegagalan ini menjadikan trauma Adam berlarutan, sekali gus menegaskan tentang kerapuhan struktur keluarga yang mempercepat keruntuhan psikologi individu yang terdedah kepada penderaan.

Menurut Freud (1926; Larsen dan Buss, 2014), minda bawah sedar sentiasa berusaha mencari saluran untuk mengekspresikan sesuatu perkara yang cuba ditekan dan disembunyikan, meskipun hanya melalui gejala-gejala terselindung. Namun, keengganan ibu bapa Adam, iaitu individu yang sepatutnya berfungsi sebagai sumber perlindungan dan sokongan utama, telah mencetuskan keruntuhan yang serius terhadap struktur Ego dan Superego Adam. Kerosakan ini amat signifikan kerana Superego berfungsi sebagai komponen psikik yang berlandaskan sistem moral, norma sosial dan kawalan dalaman. Apabila struktur ini mengalami keretakan, keupayaan Ego untuk menyeimbangkan tuntutan realiti dan dorongan naluri menjadi semakin lemah.

Akibatnya, dominasi Id yang tidak terkawal berpotensi mengambil alih fungsi psikik, sekali gus mempengaruhi pembentukan personaliti yang bersifat impulsif, tidak terkawal dan berisiko tinggi. Dalam konteks ini, kegagalan intervensi awal terhadap trauma bukan sahaja membahayakan perkembangan psikologi Adam pada masa kanak-kanak, malah membuka kemungkinan pembentukan ciri personaliti antisosial atau kecenderungan kriminal pada masa hadapan. Dinamik ini menegaskan betapa penafian dan pembungkaman trauma dalam ruang domestik, tidak sekadar satu kegagalan moral semata-mata, tetapi satu ancaman serius terhadap pembentukan struktur psikik yang stabil.

Mekanisme pertahanan meresapi keseluruhan tindak balas keluarga terhadap penderaan seksual yang dialami oleh Adam. Pengarang memperlihatkan kehadiran mekanisme penafian (denial) dalam komponen Ego ibu dan bapa Adam, iaitu suatu bentuk pertahanan psikik yang dilancarkan bagi mengelakkan kegelisahan yang timbul daripada pengakuan terhadap realiti penderaan tersebut.

Penafian merujuk kepada suatu proses mental yang berfungsi melindungi individu daripada sumber dalaman dan luaran yang mencetuskan kegelisahan, ketidakselesaan atau rasa bersalah (Iftikhar, Saddique dan Nawaz, 2022). Pada peringkat awal, konsep ini digunakan untuk menerangkan kecenderungan individu mengelak rangsangan luaran yang mengancam kestabilan emosi. Namun, menurut Cramer (1991), pemahaman terhadap penafian kemudiannya diperluas untuk merangkumi rangsangan dalaman, khususnya pemikiran dan perasaan yang menimbulkan kesakitan psikik. Dalam konteks ini, penafian bukan sahaja berfungsi menolak realiti luaran, tetapi turut membantu individu menjarakkan diri daripada pengalaman emosi dalaman yang sukar ditanggung (Cramer, 2006).

Seiring perkembangan konsep tersebut, penafian tidak semestinya berbentuk penolakan sepenuhnya. Mekanisme ini boleh melibatkan penerimaan separa terhadap sesuatu realiti. Individu menerima satu aspek pengalaman sambil menafikan aspek yang lain secara tidak konsisten. Tindakan ini membolehkan individu, pada masa yang sama menyedari kewujudan realiti tertentu, namun tetap menolaknya daripada diterima secara psikik (Cramer, 2006).

Konflik antara Id, Ego dan Superego dalam diri ibu bapa Adam turut dipaparkan secara jelas, apabila Superego yang seharusnya menuntut kesedaran moral dan tanggungjawab, gagal menegaskan bahawa situasi tersebut adalah salah dan memerlukan pembaikan segera. Kegagalan ini dizahirkan melalui sikap ibu bapa Adam yang berkeras kepada pihak guru bahawa penderaan tersebut hanyalah rekaan Adam untuk mendapatkan perhatian, sekali gus menyatakan tingkah lakunya adalah sekadar kenakalan kanak-kanak. Bahkan, mereka turut melarang Adam daripada membicarakan isu tersebut di luar ruang domestik.

Tindakan ini bukan sahaja menafikan pengalaman trauma Adam, malah secara aktif menghalang proses pemulihannya. Dengan menyenyapkan suara Adam, ibu bapanya secara simbolik merampas peluang untuk trauma tersebut diketahui dan ditangani. Walaupun mekanisme pertahanan ini mungkin memberikan kelegaan psikologi sementara kepada ibu bapa Adam, ia akhirnya memerangkap Adam dalam kitaran pengulangan trauma dan kesakitan yang berpanjangan, tanpa sebarang ruang untuk penyelesaian atau penyembuhan.

Pengarang memunculkan watak seorang guru yang menyedari perubahan tingkah laku Adam, menanyakan soalan, dan cuba mencari kebenaran memandangkan Adam pernah bercerita kepadanya. Bagi Adam, kehadirannya melambangkan harapan. Namun, tindakan ibu bapa terhadap guru itu mencerminkan fenomena yang Freud namakan rintangan (resistance), iaitu penolakan untuk berhadapan dengan sesuatu isu yang ditekan. Mereka menafikan soalan guru, memandang remeh kebimbangannya dan mengusirnya dari rumah. Dari sudut psikoanalisis, mereka menyekat kemungkinan “rawatan bercakap” (talking cure); menghalang Adam daripada mencapai katarsis atau penyatuan semula. Katarsis, menurut perspektif psikoanalisis, penting untuk melegakan kegelisahan dan mengembalikan sistem psikologi yang terpecah-pecah semasa mengalami situasi yang memudaratkan atau tidak menyenangkan (Nickerson, 2024).

Trauma dalam “Nada-nada Bluthner yang Ingin Dilupakan” daripada Perspektif Psikoanalisis
Sumber: lummi.ai

Ketidakupayaan untuk bertindak, muncul sebagai salah satu elemen paling dominan dan menyesakkan dalam cerpen Stefanie Kaso ini. Dalam kerangka psikoanalisis Freud, impak trauma tidak dikekalkan oleh individu semata-mata, tetapi turut diperkukuh oleh struktur sosial dan hubungan di sekeliling mangsa. Dalam kes Adam, tindakan “menekup mulut” serta penafian yang dikuatkuasakan melalui arahan ibu bapanya, disertai rasa malu keluarga, menzahirkan ketidakupayaan yang mendominasi ruang domestik. Perintah “jangan cakap dengan sesiapa” menguasai psikologi Adam, sekali gus melemahkan keupayaannya untuk memahami, memproses dan memulihkan sistem psikik. Akibatnya, struktur psikologi tersebut menjadi rapuh dan berpecah tanpa ruang untuk disatukan kembali.

Dalam konteks ini, pengabaian dan pembungkaman suara mangsa tidak boleh dilihat sebagai sikap pasif semata-mata, sebaliknya merupakan satu bentuk keganasan psikik yang serius terhadap kanak-kanak. Lebih membimbangkan, trauma seksual yang tidak ditangani, berpotensi mendorong kepada kemurungan dan pemikiran bunuh diri dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Fenomena ini bukan bersifat terpencil. Di Malaysia sendiri, kajian Institut Penyelidikan Tingkah Laku Kesihatan pada tahun 2022 melaporkan bahawa 12.3 peratus kanak-kanak dan remaja berumur antara 10 hingga 17 tahun, mengalami kemurungan dan mempunyai kecenderungan ke arah pemikiran bunuh diri (Harian Metro, 23 Februari 2024). Statistik ini menegaskan bahawa ketidakupayaan sistem keluarga dan sosial untuk bertindak, bukan sahaja melanjutkan trauma, malah, berpotensi membawa implikasi psikologi yang membawa maut.

Kesimpulan

Melalui lensa psikoanalisis, “Nada-nada Bluthner yang Ingin Dilupakan” menyingkap trauma yang dibisukan, suatu pengalaman batin yang terperangkap antara Id yang bergelora, Ego yang retak dan Superego yang gagal berfungsi dalam ruang domestik yang sepatutnya berperanan sebagai medan perlindungan dan keselamatan. Naratif ini bukan sekadar tentang penderaan dan trauma, sebaliknya mempersembahkan suara individu yang bergelut mencari keseimbangan antara naluri dan moraliti, dorongan untuk melupakan dan kenangan menyakitkan.

Setiap nada piano yang dialunkan oleh Adam berfungsi sebagai metafora kepada konflik psikologi yang berlarutan: suatu ekspresi simbolik kepada pengalaman traumatik yang tidak dapat diluahkan secara lisan. Dari perspektif Freud, trauma yang cuba disembunyikan melalui mekanisme penekanan (repression) tidak pernah lenyap sepenuhnya, sebaliknya terus berfungsi dalam minda bawah sedar dan menzahirkan diri melalui mimpi, tingkah laku serta gejala terselindung yang berulang. Dalam konteks ini, trauma Adam tidak hanya mencerminkan penderitaan individu, tetapi turut menjadi pantulan kepada luka yang berpunca daripada kegagalan sistem keluarga dan struktur kasih sayang yang berlandaskan penafian serta pengkhianatan.

Karya ini menegaskan bahawa selagi trauma tidak diakui dan ditangani, ia akan terus hidup dalam struktur psikik individu dan masyarakat. Dengan demikian, cerpen ini bukan sahaja mendedahkan keruntuhan jiwa seorang kanak-kanak, tetapi turut berfungsi sebagai peringatan kritikal tentang implikasi psikologi dan sosial akibat kegagalan mendengar suara yang dipaksa untuk senyap.

Rujukan

Bernama, (2024, Februari 23). “Makin Ramai Kanak-kanak Cenderung Bunuh Diri?” Harian Metro.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/02/1063396/makin-ramai-kanak-kanak-cenderung-bunuh-diri

Boag, S. “Ego, Drives, and the Dynamic of Internal Objects” dlm. Frontiers in Psychology 5: 666, hlm.1-13, 2014. https://doi.org/10.3389/fpsyg.2014.00666

Cherry, K., (2023, November 3). “Characteristics of Ego Strength.” Verywell Mind. https://www.verywellmind.com/ego-strength-2795169

Cramer, P., (1991). “The Development of Defense Mechanisms: Theory, Research, and Assessment”. New York: Springer-Verlag. http://dx.doi.org/10.1007/978-1-4613-9025-1

Cramer, P. (2006). Protecting the Self: Defense Mechanisms in Action. London: Guilford Press.

Curtiz, R.C., (2017). “Self Defeating Behaviros”. Reference Module in Neuroscience and Biobehavioral Psychology.
https://doi.org/10.1016/B978-0-12-8903324-5.06551-2

Freud, S. (1900/1913). The Interpretation of Dream. New York: Macmillan.

Freud, S. (1905/1920). Three Essays on the Theory of Sexuality. New York and Washington.

Freud, S. (1920). Beyond the Pleasure Principle. London: The International Psycho-Analytical Press.

Freud, S. (1923/1925). The Ego and the Id. W. W. Norton & Company.

Iftikhar, N., Saddique, K. dan Nawaz, A. “Projection of Denial as a Defense Mechanism in Fatima Bhutto’s Novel, The Runaways” dlm. Global Sociological Review 7:2, hlm. 248-254, 2022. https://doi.org/10.31703/gsr.2022(VII-II).27

Kovačić, Z., Peraica, T. dan Kozarić-kovačić, D. “Comparison of Ego Strength Between aggressive and non-aggressive alcoholics: A cross-sectional study. Croatian Medical Journal, 59(4), 156-164, 2018. https://doi.org/10.3325/cmj.2018.59.156

Larsen, R.J. dan Buss, D.M., 2014. “Psychoanalytic Approaches to Personality” dlm. Personality Psychology (5th ed.). McGraw-Hill Education.

McLeod, S., (2024, January 24). “Psychoanalysis: Freud’s Psychoanalytic Approach to Therapy”. Simply Psychology.
https://www.simplypsychology.org/psychoanalysis.html

McLeod, S., (2025, March 13). “Id, Ego and Superego”. Simply Psychology. https://www.simplypsychology.org/psyche.html

Meisner, W.W. “The Question of Drive VS in Psychoanalysis: A Modest Proposal” dlm. Journal of The American Psychoanalytic Association 57:4, hlm. 807-845, 2009. https://doi.org/10.1177/0003065109342572

Mellman, T.A. dan Pigeon, W.R., 2005. “Dreams and Nightmare in Post-traumatic Stress Disorder” dlm. Kyrger, M.H., Roth., T. dan Dement., W.C. (ed.), 2005. Principle and Practice of Sleep Medicine (4th ed.) https://doi.org/10.1016/B0-72-160747-7/50053

Newsom, R., (2025, July 14). “How Trauma Affects Dream”. Sleep Foundation. https://www.sleepfoundation.org/dreams/how-trauma-can-affect-dreams

Nickerson, C., (2024, January 24).” Catharsis in Psychology and Meaning of Cathartic Release”. Simply Psychology.
https://www.simplypsychology.org/catharsis.html

Otgaar, H., Howe, M.L, Patihis, L., Merckelbach, H., Lynn, S.J., Lilienfeld, S.O. dan Loftus, E.F. “The Return of the Repressed: The Persistent and Problematic Claims of Long-Forgotten Trauma” dlm. Perspective Psychological Science  4:6), 1072-1095, 2019. https://doi.org/10.1177/1745691619862306.

 

 

 

# dbpcawangansarawak# Esei# joejulaihi
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Perempuan Orang Putih
Cerpen

Perempuan Orang Putih

  • 5 Ogos 2025
  • 234
  • 4.5
Andai Engkau Tahu Pelangi Itu
Puisi

Andai Engkau Tahu Pelangi Itu

  • 4 Januari 2024
  • 245
  • 4.4
perjamuan belum berakhir
Puisi

perjamuan belum berakhir

  • 11 Oktober 2025
  • 12049
  • 4.4
Kenyalang
Cerpen

Kenyalang

  • 5 Oktober 2024
  • 326
  • 4.4

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP