Rosani Hiplee merakamkan perjalanan kepengarangan penulis-penulis wanita Sarawak yang telah merintis jalan sastera tempatan sehingga ke peringkat kebangsaan dan mengungkapkan beberapa karya pertama dalam genre kesusasteraan daripada air tangan penulis Sarawak. Rosani Hiplee turut membuka ruang penelitian para pengkaji dan pengkritik sastera terhadap karya-karya penulis wanita Sarawak yang tidak ketinggalan menghidangkan sajian intelektual dan ketamadunan dalam penulisan mereka.
PERJALANAN waktu tidak pernah berjeda walaupun sesaat, begitu juga travelog karya sastera penulis wanita Sarawak. Biarpun dalam gerak langkah yang perlahan dan melenggok santun, namun pesonanya tetap terserlah seperti jalan rama-rama yang terbang indah dari kuntum ke kuntum bunga kehidupan.
Hal ini jelas apabila mengamati kembali travelog sastera Latifah Haji Shebli atau nama sebenarnya Latifah Tuyah Haji Mohd. Sabli. Beliau merupakan figura penulis wanita Sarawak yang telah merintis jalan sastera lokal sehingga ke peringkat perdana pada zamannya. Beliau bersama-sama Maliah Haji Shebli telah menghasilkan antologi puisi Kembang Setangkai Layu Ditugu pada tahun 1974. Berbanding dengan Maliah, beliau masih menulis sehingga kini walaupun perjalanannya perlahan tetapi konsisten padu.
Selain puisi, Latifah juga menulis cerpen dan rencana. Karya-karya beliau disiarkan dalam akhbar dan majalah termasuk Dewan Sastera, Jendela Sarawak, Horison, Dewan Siswa, Sabah Times, dan Daily Express. Beliau juga pernah memenangi Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena yang dianjurkan dalam usaha mencari sajak-sajak yang sesuai dibaca di dalam Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan (SDPHK) yang telah diadakan sejak tahun 1984. Sajak beliau yang dipilih, telah dijadikan teks SDPHK berjudul “Kita Anak Merdeka”. Dalam antologi Malaysia dalam Puisi, selenggaraan Ahmad Kamal Abdullah dan Ahmad Razali Yusof, terbitan DBP 1991, terdapat sajak beliau berjudul “Tanah Lahirku”. Sajak “Aku Menjadi Lebih Berani” turut dipilih untuk teks Komponen Sastera (KOMSAS) dan dimuatkan dalam buku antologi Anak Laut.
Sepanjang tempoh travelog sasteranya, beliau telah menghasilkan sebuah kumpulan puisi berjudul Tanahku Ros Merah dan buku pantun berjudul Pantun Melayu Sarawak yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2009. Buku berjudul Pantun Melayu Sarawak merupakan buku pantun pertama penulis wanita Sarawak yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Selepas Latifah, nama yang menonjol ialah Jamilah Morshidi pada tahun 1980an. Beliau telah menghasilkan novel Kenyalang Terbang Bebas (DBP, 1987) yang merupakan novel pertama penulis wanita Sarawak yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Novel ini memaparkan kehidupan orang Melayu di tebing Sungai Sarawak yang kebanyakannya bekerja sebagai pendayung sampan. Persoalan utama yang menarik adalah tentang hakisan tebing sungai akibat ombak yang dibawa oleh kapal-kapal besar yang mengancam rumah-rumah di tebing sungai. Buku-buku beliau yang lain ialah Di Hujung Harapan (1988), Gadis Bernama Lina (DBP, 1990), Santubong Sang Puteri ( 1991) dan Buntat Teloh ( 2000).
Nama Radzemah Bolhassan pula telah menyaksikan epik travelog sastera penulis wanita Sarawak yang membanggakan dan mengagumkan catatan sejarah penulisan novel tempatan. Justeru beliau telah menghasilkan lebih daripada 30 buah judul novel yang sudah diterbitkan. Novel berjudul Kupohon Kemaafan dan Menanti Keadilan merupakan dua buah novel awal beliau yang diterbitkan oleh Rhythm Publishing pada tahun 1998. Manakala novel berjudul Nilai Sebuah Pengertian, merupakan novel pertama beliau yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2001. Beliau mula menulis pada tahun 1991 dan kini merupakan penulis wanita yang sangat prolifik dalam penjelajahan sastera kebangsaan melalui buku-buku beliau yang telah diterbitkan. Beliau aktif menulis dalam genre cerpen dan novel, terutama yang bertemakan kearifan tempatan.
Selain itu, novel Tirani (DBP, 2008) yang dihasilkan oleh Beb Sabariah telah dipilih sebagai teks KOMSAS tingkatan 5 dan merupakan teks KOMSAS pertama oleh penulis wanita Sarawak. Pencapaian ini turut membanggakan keseluruhan penulis wanita dalam travelog sastera Sarawak.
Beb Sabariah atau nama sebenarnya, Bibi Sabariah mula aktif dalam penulisan karya kreatif pada tahun 1999. Beliau menulis cerpen, puisi dan rencana. Beliau merupakan ahli Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI) pada tahun 2009. Kumpulan Cerpen Mawar Magenta merupakan buku beliau yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 2010. Pada tahun 2001, beliau pernah meraih Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak bagi kategori puisi dan memenangi Naib Johan dalam Sayembara Menulis Cerpen sempena 50 tahun DBP.
Sebuah lagi nama yang rasanya tidak mungkin dipinggirkan dalam travelog sastera penulis wanita Sarawak ialah Rosani Hiplee. Beliau mula menulis sejak tahun 1990, apabila sajak pertama beliau yang berjudul “Elegi Untuk Res” telah disiarkan dalam majalah Dewan Siswa, September 1990. Perjalanan sastera beliau juga amat perlahan tapi konsisten hingga kini. Buku Sari Rahsia Terindah (DBP, 2006) merupakan kumpulan puisi pertama penulis wanita ini yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Buku puisi lain yang telah diterbitkan ialah Cinta Perempuan yang Cantik (DBP 2011), Titik! (ITBM, 2014) dan Sepasang Cerita (ITBM, 2015). Manakala buku kumpulan cerpen pula ialah Membusur Jantung Bidadari (ITBM, 2014). Selain itu, puisi beliau juga telah dimuatkan dalam beberapa buah antologi buku di peringkat nusantara dan antarabangsa. Misalnya, Antologi Karya Sasterawan 2011 (PENA, 2011), Anthology of the 33rd World Congress of Poets (Institut Darul Ridzuan dan World Academy of Arts, U.S.A., 2013), Cinta Bersulam Anekdot: Risalah Melayu Nun Serumpun (Persatuan Sasterawan Numera Malaysia, 2014) dan Antologi Puisi MALAYSIA-THAILAND (Institut Terjemahan & Buku Malaysia, 2016). Puisi beliau berjudul “Perempuan Cahaya” telah menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan juga Hadiah Sastera Penulis Sarawak pada tahun 2009.
Dalam travelog sastera penulis wanita Sarawak juga perlu memperlihatkan anugerah berprestij yang pernah diperoleh oleh tokoh penulis wanita kita. Misalnya, di sepanjang majlis Anugerah Sastera Negeri Sarawak (ASNS) yang pernah dianjurkan. Anugerah Sastera Negeri Sarawak merupakan pengiktirafan tertinggi yang pertama kali diberikan oleh Kerajaan Sarawak kepada para penulisnya. Sejarah penganugerahan ini bermula pada tahun 1994 apabila pihak Kerajaan Negeri Sarawak melalui Kementerian Pembangunan Sosial menyediakan peruntukan khas bagi membiayai segala dana dalam pelaksanaan ASNS tersebut, termasuk hadiah-hadiah yang diberikan. Oleh itu, penulis Sarawak wajar berasa bangga dengan nilai yang telah diiktiraf dalam anugerah tersebut. Berikut merupakan senarai nama penulis wanita Sarawak yang pernah menerima pengiktirafan tersebut:
Hadiah Sastera Kebangsaan Negeri Sarawak (kategori Cerpen)
- Hajijah Jais (1998)
- Hadiah Karyawan Harapan Negeri Sarawak
- Sriwati Labot (1997)
- Radzemah Bolhassan (2000)
- Rosani Hiplee (2000)
Hadiah Sastera Kebangsaan Negeri Sarawak (kategori Puisi)
- Latifah Haji Shebli (2000)
Anugerah Penulis Sarawak (kategori Puisi)
- Rosani Hiplee (2014)
Anugerah Penulis Sarawak (kategori Novel)
- Radzemah Bolhassan (2014)
Ironinya, karya-karya kreatif penulis wanita Sarawak sangat jarang ditampilkan dalam dunia kritikan sastera tempatan amnya, dan kebangsaan khasnya. Oleh itu diharapkan selepas ini, akan tampil para kritikus atau penyelidik sastera tempatan yang mahu memperkatakan karya-karya penulis wanita Sarawak sebagai sebuah dokumentasi lokal sekali gus dapat membangkitkan semangat para penulis wanita Sarawak untuk lanjut berkarya. Justeru diyakini bahawa karya-karya penulis wanita Sarawak tetap mempunyai nilai intelektual bangsa dan budayanya.
Barangkali kerana perlahannya langkah, maka tiada pihak yang berminat dengan serius. Tapi mereka lupa bahawa setiap lenggok tari wanita pasti tersisip makna yang misterius dan spiritual.
Nama-nama penulis wanita yang disenaraikan sebelumnya merupakan generasi terawal dan pertengahan, iaitu sekitar era 1980-an hingga 2000-an. Masing-masing setiap penulis wanita tersebut telah membina dan membentuk hala tujunya yang tersendiri dalam berkarya dengan memperlihatkan hasil pencapaian sebagai impaknya dalam berkarya.
Berdasarkan pengamatan semasa, generasi pelapis penulis wanita Sarawak sudah ada yang memperlihatkan travelog sasteranya yang lebih terbuka dan terarah, sesuai dengan kemudahan zaman. Penulis-penulis wanita Sarawak kini ada yang berani tampil dengan langkah berdikari bagi menempatkan karya masing-masing. Hal ini terbukti jika diperhatikan pada pencapaian mereka mukhtahir ini.
Nur Azshielda Sahran atau Shield Sahran merupakan penulis wanita muda yang sedang lincah meneroka perjalanan dunia tinta di Sarawak. Beliau merupakan antara penulis yang dibina melalui ruangan Wadah Bahasa dan Sastera, kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak. Tetapi kini, beliau sudah melangkah jauh, dan jauh lagi dengan minat dan potensi yang ada dalam dirinya. Novel Acang Merpati (2018, DBP), Niqab (2018, Buku Fixi), Pengiran Bulan (2019, DBP) dan Memori Nem (2022, DBP) telah membuktikan beliau sudah melepaskan diri dengan penuh keyakinan untuk serius berkarya. Selain itu, karya-karya beliau sudah menarik perhatian panel hakim pertandingan apabila pernah berjaya merangkul hadiah johan dalam Sayembara Pertandingan Mengarang UNION/PENULIS Integriti 2019 dan menerima pengiktirafan dalam Hadiah Sastera Penulis Sarawak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak.
Penulis novel Jangan Benci Cintaku (2013, Penerbitan Idea Kreatif), Emelyne Bani Anak Jam atau lebih dikenali dengan nama pena Emy Roberto berasal dari Bintulu, Sarawak. Beliau sudah menghasilkan lapan buah buku dan Jangan Benci Cintaku dihasilkan ketika beliau berada pada tahun akhir pengajian bidang perubatan. Novel tersebut dihasilkan pada tahun 2012 dan baru diadaptasi sebagai drama yang ditayangkan di TV3 menerusi slot Akasia. Novel Jangan Benci Cintaku 2 (2019, Penerbitan Idea Kreatif) merupakan kesinambungan novel tadi. Manakala Pink Smile ialah sebuah siri drama televisyen Malaysia 2020 dibintangi oleh Sweet Qismina, Fattah Amin, Intan Najuwa dan Izzat Mushtaq. Sebuah lagi adaptasi dari novel bertajuk Pink Smile (Penulisan 2U, 2016) oleh Luna Adresia, atau nama sebenarnya Dayang Nurafni Awang Sahari. Drama ini memulakan tayangan perdana di slot Lestary TV3 dari 31 Julai 2020 hingga 16 September 2020. Selepas novel Pink Smile, beliau telah menghasilkan sebuah lagi novel yang berjudul Orkid Serena (Penulisan 2U, 2018).
Selain itu, Jamilah Epin yang merupakan penulis baharu juga sudah mempunyai buku yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, iaitu Kumpulan Cerpen Remaja Serondeng Nasi Pulut pada tahun 2016.
Dipercayai ramai lagi penulis wanita muda Sarawak yang telah meneroka travelog sasteranya dengan lebih jauh ke depan tanpa disedari oleh khalayak sastera kita sendiri. Justeru sudah ramai bilangan mereka yang menghala sendiri tujuan mereka di peringkat kebangsaan, mungkin juga sudah di peringkat nusantara dan dunia dengan memanfaatkan peluang dan ruang dunia tanpa sempadan.
Oleh itu, disarankan agar khalayak pengkaji dan pengkritik kita bersedia untuk meluaskan cakupan pemerhatian mereka dengan lebih jauh agar dapat mengesan para penulis wanita Sarawak yang telah mendahului hal tuju penulisan setempat tanpa menghiraukan birokrasi penerbitan karya dan politik sastera setempat.
Sememangnya, penulis wanita Sarawak dulu, kini dan akan datang pasti sentiasa bersedia untuk berani melangkah jauh tanpa peduli pada sistem atau peraturan yang membataskan keyakinan mereka untuk terus berkarya. Barangkali inilah yang cuba dibuktikan oleh penulis wanita Sarawak bahawa
bergerak perlahan bukanlah kelemahan tapi kekuatan dalam mencapai kehebatan melangkah keluar daripada kelaziman dan stigma budaya bangsa yang tipikal.