PENUBUHAN UTS, nama asalnya Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS) telah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada 8 Ogos 2012. Majlis Pecah Tanah kampus UCTS telah berlangsung pada 16 September 2012. UCTS mula beroperasi pada 1 April 2014 dan pada 8 November 2021 telah dinaik taraf kepada universiti penuh dengan kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Sarawak (UTS). UTS merupakan universiti di bawah pengurusan Edusar Resources Sdn. Bhd., iaitu syarikat milik Kerajaan Negeri Sarawak melalui Yayasan Sarawak.
UTS merupakan sebuah institusi pengajian tinggi yang semakin menonjol sebagai pemangkin pembangunan ilmu dan inovasi di wilayah tengah Sarawak. Terletak di bandar Sibu dalam pelukan hijau Bumi Kenyalang, UTS bukan sekadar sebuah kampus tetapi nadi yang berdenyut dengan harapan, cita-cita dan transformasi. UTS bukan sahaja memainkan peranan penting dalam menyediakan akses kepada pendidikan bertaraf dunia, malah turut membuka peluang kepada generasi muda Bumi Kenyalang untuk meneroka potensi diri dalam pelbagai bidang.
UTS merupakan gerbang masa depan anak watan tempatan. Di sinilah impian mereka ditenun bersama-sama teknologi dan akar budaya yang disulam dalam naratif global. Sebagai satu-satunya institusi pengajian tinggi serba lengkap di Sibu, UTS membawa sinar kepada wilayah tengah Sarawak bagi membuktikan bahawa kejayaan tidak pernah terikat pada geografi, tetapi pada semangat juang yang membara. Menggabungkan kemajuan teknologi dengan nilai keilmuan yang tinggi, UTS berdiri megah sebagai simbol harapan dan masa depan. Dari kampus moden yang terus berkembang hingga ke komitmen padu dalam membina masyarakat berpengetahuan, UTS mengorak langkah berani untuk melahirkan graduan berdaya saing di peringkat global. Di sinilah denyut inovasi beralun, membentuk sebuah ekosistem ilmu yang inklusif dan penuh aspirasi.
Selaras dengan visinya sebagai Universiti Teknikal Global, UTS berpegang teguh pada misi untuk menyediakan pendidikan teknikal yang bertaraf antarabangsa melalui kerjasama strategik dan perkongsian pintar. Melalui pendekatan ini, UTS bukan sahaja membina jaringan dengan institusi dan industri dari dalam dan luar negara, malah turut memperkasakan pelajarnya dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang relevan dengan keperluan dunia masa kini.
Permata Pendidikan Tinggi di Sibu
Di tengah-tengah landskap pesisir Sungai Rajang, UTS bukan sekadar pusat akademik, malah memainkan peranan penting dalam memperkasakan mobiliti sosial, ekonomi dan intelektual masyarakat sekitarnya. Pemilihan Sibu sebagai lokasi kampus utama mampu membuka ruang kepada pelajar luar bandar dan kawasan pedalaman untuk menikmati akses pendidikan tinggi berkualiti tanpa perlu berhijrah jauh ke bandar besar. Dengan kos sara hidup yang lebih rendah berbanding kawasan metropolitan, UTS menawarkan suasana pembelajaran yang komprehensif, selamat dan lestari untuk pelajar yang lahir daripada pelbagai latar belakang.
Kemunculan UTS juga merangsang pembangunan bandar Sibu, bukan hanya dari aspek infrastruktur, malah melalui kolaborasi antara industri, kerajaan tempatan dan komuniti. Pelbagai program kemasyarakatan, projek penyelidikan dan inovasi turut dijalankan bersama pihak berkepentingan telah menjadikan UTS sebagai nadi intelektual yang hidup dan berfungsi dalam ekosistem tempatan.
Sebagai permata pendidikan tinggi di Sibu, UTS bukan sahaja mencerminkan aspirasi negeri Sarawak dalam melahirkan modal insan berteknologi tinggi, malah membuktikan bahawa pendidikan yang berkualiti dan berimpak global boleh berakar dari tanah tempatan dan terus mekar ke persada dunia.
Kampus yang Berkembang Bersama Aspirasi Ilmu
Selain itu, UTS merupakan sebuah institusi fizikal yang semakin berkembang seiring dengan cita-cita dan aspirasi ilmu yang sentiasa berubah mengikut arus zaman. Dari awal penubuhannya hingga kini, UTS menunjukkan pertumbuhan berterusan dari segi struktur akademik dan penawaran bidang pengajian yang selaras dengan keperluan semasa industri dan masyarakat.
Kini, UTS memiliki enam sekolah akademik utama, masing-masing memainkan peranan khusus dalam melahirkan graduan yang kompeten dalam bidang masing-masing. Sekolah Pengajian Asasi menjadi pintu masuk utama kepada pelajar lepasan menengah yang menyediakan asas kukuh dalam sains, teknologi dan kemahiran komunikasi sebagai persediaan ke peringkat ijazah. Manakala, Sekolah Perniagaan dan Pengurusan pula melahirkan tenaga profesional dalam dunia korporat dan keusahawanan, sementara Sekolah Alam Bina menumpukan kepada pendidikan seni bina dan reka bentuk persekitaran yang lestari.
Dalam era digital yang pesat, Sekolah Komputer dan Media Kreatif menjadi pemangkin dalam pembangunan kandungan interaktif, multimedia dan teknologi maklumat. Sementara itu, Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi memainkan peranan penting dalam menyokong agenda pembangunan negara melalui bidang kejuruteraan yang praktikal dan berasaskan teknologi semasa. Sekolah ini menawarkan program dalam pelbagai cabang kejuruteraan seperti kejuruteraan awam, mekanikal, teknologi makanan, elektrik dan elektronik yang direka untuk melahirkan jurutera profesional yang mampu menyesuaikan diri dalam landskap industri yang sentiasa berubah. Pelajar turut didedahkan kepada latihan industri dan penyelidikan aplikasi sebenar bagi memastikan mereka bersedia menghadapi cabaran dunia kerja sebenar dengan kemahiran teknikal dan pemikiran kritikal yang mantap. Di peringkat pascasiswazah, Sekolah Pengajian Siswazah membuka ruang kepada penyelidikan, inovasi dan penerokaan ilmu secara lebih mendalam dan khusus.
Setiap sekolah ini bukan sahaja berfungsi sebagai entiti akademik, malah merupakan tonggak yang menyokong misi UTS dalam menyediakan pendidikan teknikal global. Dengan penglibatan pensyarah berpengalaman, penawaran program yang dinamik serta persekitaran akademik yang kondusif, UTS membina sebuah komuniti pembelajaran yang inklusif dan berdaya tahan, seiring dengan aspirasi untuk menjadi hab ilmu dan teknologi bagi rantau ini.
Melentur Akal Budi, Menyemai Nilai Sejati
Di sebalik pembangunan teknologi dan kemajuan akademik, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) tetap teguh dalam usaha membentuk pelajar yang seimbang dari segi intelek, emosi dan nilai kemanusiaan. Peranan ini diperkasakan menerusi Pusat Kursus Universiti dan Pembelajaran Inovatif atau Centre for University Couses and Innovative Learning (UCIL) sebagai pusat yang menjadi teras kepada penghayatan nilai, kemahiran insaniah dan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan pelajar UTS. UCIL menawarkan pelbagai kursus yang melangkaui batas teknikal dan teori semata-mata seperti kursus Falsafah dan Isu Semasa, Penghayatan Etika dan Peradaban serta Kursus Integrasi dan Anti Rasuah yang dirangka bagi melatih pelajar berfikir secara kritis, membina pemahaman terhadap isu moral dan sosiobudaya serta memupuk nilai integriti yang kukuh. Melalui perbincangan reflektif dan kajian isu kontemporari, pelajar didedahkan kepada nilai-nilai sejagat yang menjadi asas kepada kepimpinan yang bertanggungjawab dan beretika.
Dalam dunia yang berbilang budaya, kemahiran komunikasi juga menjadi tunjang utama kejayaan.
Justeru, UCIL turut menawarkan kursus Bahasa Inggeris dan bahasa kebangsaan, bukan sahaja sebagai alat komunikasi tetapi sebagai medium untuk memperkukuh jati diri, membina keyakinan diri dan memperluas keupayaan pelajar untuk berinteraksi secara berkesan dalam pelbagai konteks profesional.
Kursus yang ditawarkan pihak UCIL bukan sekadar memenuhi syarat kurikulum, tetapi membuka ruang kepada pelajar untuk mengenal makna ilmu sebagai alat memperkukuh jati diri dalam menghadapi cabaran globalisasi. Pendekatan ini seiring dengan matlamat pendidikan sepanjang hayat, iaitu pembelajaran yang berterusan, fleksibel dan relevan dengan kehidupan sebenar. Di sinilah akal budi pelajar diasah, nilai sejati disemai dan insan berwibawa dibentuk.
Intihanya, UTS bukan sekadar institusi akademik malah merupakan simbol harapan, pemangkin perubahan dan cerminan cita-cita sebuah negeri yang ingin melihat generasinya maju dalam ilmu, berakar dalam nilai dan teguh dalam integriti. Dengan kampus yang terus berkembang, struktur akademik yang mantap dan pendekatan pendidikan yang menyeluruh dari aspek teknikal hingga pembentukan jati diri, UTS berada di landasan kukuh untuk menjadi antara universiti teknikal terunggul di rantau ini. Di bawah naungan visi sebagai Universiti Teknikal Global, UTS bukan sahaja membina masa depan pelajarnya, tetapi juga masa depan Sarawak dan Malaysia.
Dua puluh tahun dari sekarang, UTS diimpikan sebagai sebuah universiti bertaraf antarabangsa yang bukan sahaja menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi malah terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara melalui graduan yang berjiwa besar, berdaya cipta dan berpaksikan nilai kemanusiaan. Di sinilah benih-benih kejayaan disemai, di Bumi Kenyalang yang kaya dengan budaya, harapan dan potensi tanpa sempadan.