Adakah kita benar-benar boleh melihat hantu?
PERTEMUAN yang tidak disangka-sangka dengan sesuatu ketika sedang mandi di sungai itu telah menyingkap satu rahsia. Watak “Aku” bertemu dengan seorang wanita yang rupa-rupanya ialah hantu yang berkeliaran di situ. Satu rahsia dibuka-kisah pembunuhan yang telah dilakukan oleh seseorang yang tidak dijangka atas ketololan dan cemburu yang menyelubungi. Dan, kisah itu-kisah Seri.
Sesuatu yang menarik telah saya temui di dalam cerpen karya Stefanie Kaso yang dimuatkan di dalam Kumpulan Cerpen Manuskrip Paling Sempurna. Pertama-tama, ia bukanlah soal tema, pembangunan plot, falsafah, pemikiran pengarang atau karakter yang hendak diperkatakan melalui esei ini. Latar belakang pengetahuan saya, iaitu bidang patologi tumbuhan dan psikologi, tidak memungkinkan saya membicarakan soal itu. Saya sedar bahawa ruang pengetahuan saya masih agak terhad untuk membicarakan perkara-perkara tersebut. Namun, persoalan menarik bagi saya di dalam cerpen itu adalah berkaitan dengan supernatural dan persoalan yang dibangkitkan: Mengapa kita boleh melihat hantu, mendengar dan merasakan kehadiran mereka?
Hantu ditakrifkan sebagai roh sesat atau roh yang berkeliaran disebabkan urusan atau hajat yang belum selesai serta dikatakan sebagai satu tenaga yang boleh dirasai dan dikesan (Richardson, 2018; Laily et al., 2024) dan ia juga sering dilihat sebagai simbol kejahatan dan bertentangan dengan konsep kehidupan (Rahman dan Zainal, 2022; Laily et al., 2024). Dalam sesetengah budaya, hantu juga dilihat sebagai pembawa nasib malang atau buruk dan entiti yang dikatakan boleh membalas dendam (Kiyai et. al., 2023). Misteri entiti yang unik ini mewujudkan kepercayaan dan ketakutan dalam kalangan kita menyeberangi budaya serta sosial.
Kepercayaan paranormal, termasuk hantu dan alam ghaib dibentuk menerusi proses kognitif dan pengaruh sosial yang kompleks (Kiyai et. al., 2023). Kepercayaan terhadap hantu lazim dalam kalangan masyarakat Asia Tenggara dan mempengaruhi cara berfikir serta persepsi masyarakat ketika berdepan dengan hal-hal ghaib meskipun data-data secara empirikal masih tidak dapat membuktikan kewujudan hantu. Hoovegeen dan Van (2020) telah menggunakan pengimejan resonan magnet (MRI) untuk menyelidik aktiviti otak bagi menjawab persoalan adakah kepercayaan paranormal berkait rapat dengan persepsi. Kajian ini mendapati bahawa aktiviti pada komponen-komponen otak seperti temporal-parietal junction (TPJ) dan medial prefrontal cortex (MPC), iaitu bahagian yang terlibat dalam proses kognitif seperti perhatian, sosial, motivasi, kepercayaan, membuat keputusan dan memori, terdapatnya aktiviti aktif bagi individu yang memiliki kepercayaan paranormal yang tinggi berbanding dengan mereka yang tidak percaya dan kurang percaya.
Hal ini bermaksud, individu yang mempunyai kepercayaan paranormal yang tinggi, cenderung untuk mengatakan pengalaman melihat hantu, lebih tinggi berbanding individu yang tidak percaya.
Berbalik kepada soalan yang disebut dalam perenggan kedua, adakah jawapannya terletak semata-mata pada konsep hijab terbuka atau amalan ilmu hitam ataupun adanya pendamping yang membenarkan seseorang itu boleh melihat dan merasakan kehadiran hantu atau individu tersebut punya kuasa psikik? Ya, saya tidak nafikan kemungkinan jawapannya memang ada terselit di situ dan mari saya bawa kita melencong ke arah perspektif lain, iaitu penjelasan para penyelidik psikologi tentang entiti ghaib ini. Esei ini tidak membicarakan dari perspektif kecelaruan minda tetapi menyentuh soal sensasi, persepsi dan emosi. Esei ini turut memasukkan pandangan peribadi berkenaan dengan adakah Stefanie berjaya mewujudkan kesan seram pada cerpen tersebut.
Sensasi dan Persepsi: Otak Bermain Tipu Muslihat?
Otak mengorganisasikan sensasi rangsangan yang diterima menerusi proses persepsi dan pareidolia mendominasi penjelasan berkaitan mengapa kita boleh melihat hantu dan mendengar suara-suara aneh. Pareidolia ialah satu fenomena kecenderungan minda manusia untuk melihat atau mendengar sesuatu rangsangan, khususnya rangsangan baharu, samar-samar atau tidak dikenali lalu mentafsirkan sesuatu itu sebagai suatu bentuk atau bunyi yang dikenal atau mempunyai makna (Kumar, 2025).
- Saya memberikan satu gambaran: ketika merenung awan, pernahkah anda mendapati terdapatnya bentuk-bentuk awan yang jika diperhatikan, persis objek yang anda kenal? Tikus, anjing atau persis kepak atau paha ayam (KFC)? Jika pernah, ini ialah contoh-contoh pareidolia. Atau, ketika anda berada di dalam sebuah bilik, tiba-tiba anda mendengar suatu bunyi yang redam-redam. Anda tidak nampak objek tersebut namun otak mencari maklumat yang telah berada dalam simpanan sebelum ini dan memberikan tafsiran kepada anda berdasarkan maklumat tersebut. Ya, mungkin otak akan memberikan makna bahawa rangsangan itu tadi ialah kucing yang mengiau kerana suara itu tersimpan dalam memori kita.
Dalam konteks melihat hantu atau mendengar suara-suara aneh, ada ketikanya otak “tersalah” memberikan maklumat sehingga mentafsirkan rangsangan yang diterima sebagai entiti ini. Sudah tentu kita ada menonton filem-filem seram atau mendengar kisah-kisah hantu. Siapa yang tidak pernah? Susuk hantu-hantu yang kita tonton itu, kisah yang kita dengar itu, maklumat itu sudah tersimpan dalam memori. Setiap objek yang tidak jelas, terutamanya ketika berada dalam suasana gelap, otak akan menyelitkan setiap maklumat dalam ruang persepsi kita. Berdasarkan maklumat yang kurang itu, kita cenderung untuk mengatakan yang kita telah melihat susuk atau makhluk yang menakutkan atau mendengar suara-suara ganjil sekali gus mencetuskan ketakutan.
Saya pernah melihat satu kiriman gambar di Facebook yang memaparkan susuk hantu perempuan yang tergantung di ampaian sehingga menyebabkan rasa ketakutan pada setiap warga yang melihat. Namun, apabila diperhatikan benar-benar dan lampu dibuka, rupa-rupanya, ia adalah beberapa pakaian yang digantung di situ! Bukannya hantu! Itulah hasilnya apabila otak melakukan penipuan.
Pareidolia dalam Karya Seram
Dalam karya seram dan mistik, perlukah pareidolia diselitkan? Adakah ia sesuatu yang penting?
Adakah ia penting atau tidak, perlu atau tidak-bagi saya tidak jadi masalah asalkan ada unsur keseraman dalam karya tersebut. Segala penceritaan bergantung kepada kreativiti dan olahan para pengarang dalam merembes perasaan takut kepada para pembaca memandangkan mencetuskan ketakutan dan ketidakselesaan adalah tujuan utama karya-karya seram dibuat. Psikologi pembaca perlu diganggu ketika menonton, membaca atau mendengar kisah-kisah seram. Penulis-penulis genre seram kelahiran Malaysia seperti Maria Kajiwa, Megat Ishak, Shield Sahran, Tunku Halim dan Anuar Darwisy, tidak memasukkan unsur-unsur pareidolia dalam segelintir karya mereka tetapi tetap boleh mencetuskan rasa merinding dan mengganggu psikologi pembaca.
Namun demikian, untuk cerpen “Seri”, secara peribadi, tiada sensasi seram yang saya rasakan. Sensasinya agak mendatar dan terus-terang, ceritanya agak membosankan. Dan saya berpendapat, untuk cerpen ini, tiadanya unsur pareidolia pada permulaan plot, mengurangkan sensasi ketika saya membaca cerpen tersebut.
Bagi saya, karya yang mengandungi unsur supernatural seharusnya mencetuskan sensasi merinding meskipun tidak melimpah-limpah rasa meremang, namun, sedikit sebanyak perlu ada untuk mengganggu ketenteraman minda pembaca. Rasa meremang itu perlu ada dan pembaca mengalaminya. Saya berpandangan, pengalaman bertemu hantu yang dialami oleh “aku”, jika terdapat beberapa bahagian yang diselitkan pareidolia, ia akan membantu dalam mencetuskan sensasi sebegitu (sedikit sebanyak).
Cerpen “Seri” ini sememangnya cerita yang klise. Justeru, oleh sebab ia sudah dibuat sebegitu, tiada kesalahan jika menambahkan unsur-unsur klise yang berupa pareidolia sebagai tambah baik untuk karya-karya yang selanjutnya. Sebagai cadangan, antaranya seperti melihat bayang-bayang lalu-lalang di sebalik pohon; atau mendengar suara bersenandung tanpa kelibat; ataupun ada babak suara yang memanggil watak secara redam-redam ketika mandi itu lalu membuatkan watak tertanya-tanya dan membuat spekulasi.
Cadangan-cadangan lain yang boleh digunakan seperti kaki watak ditarik-tarik dari dalam sungai; watak yang sedang mandi dicuit-cuit bahunya; angin deras secara tiba-tiba dan ada bau wangi berselang-seli bau bangkai. Memandangkan Seri dibunuh di situ, di sungai itu, pasti keadaan akan lebih mencengkam jika watak “aku” dibenamkan kepalanya oleh sesuatu yang tidak diketahui ketika mandi. Setelah dia timbul semula, dalam keadaan panik amat, bingung tentang apa yang telah berlaku, keadaan persekitaran berubah secara tiba-tiba dan di situlah perjalanan inciting incidence diteruskan, iaitu dia bertemu dengan Seri. Bukan secara berbual-bual seperti dalam cerpen ini, tetapi watak “aku” yang menjadi Seri dan mengalami pengalamannya dibunuh. Ya, saya yakin, cerita “Seri” tentu akan lebih menguja.
Emosi dan Fisiologi Ketakutan
Dalam pembinaan karya seram, bermain-main dengan emosi watak dan pembaca terutamanya ketakutan ialah elemen yang penting. Ketakutan merupakan satu emosi yang kuat dan membolehkan perubahan persepsi terhadap segala rangsangan di sekitar kita (Thoksakis dan Papesh, 2022).
Ketakutan melibatkan emosi negatif dan penting dalam tujuan boleh hidup (survival). Otak kita akan mentafsirkan bahawa terdapat ancaman di sekitar kita dan mencetuskan reaksi lawan atau lari (fight or flight). Perkara ini akan membuatkan kita lebih peka. Semasa kita berada dalam keadaan tersebut, terdapat perubahan proses-proses penting di dalam otak dan menyebabkan terjadinya fikiran tidak rasional (Thoksakis dan Papesh, 2022). Fikiran tidak rasional ini kemudian mendorong kita membuat kesimpulan secara melulu.
Seterusnya, kita jelajah aspek emosi dan ketakutan melalui cerpen “Seri”. Watak “aku” bertemu dengan Seri, dalam keadaan begitu sahaja, dengan hanya sedikit unsur ketegangan. “Aku” timbul dari dalam sungai dan melihat Seri sedang memberus baju. Stefanie telah mewujudkan kecurigaan kepada watak dengan kemunculan tiba-tiba wanita itu, tetapi elemen saspens terhenti di situ sahaja tanpa permainan psikologi yang melarat pada watak. Kemudian, “aku” mendekati wanita itu dan pada waktu ini, barulah “aku” sedar bahawa wanita itu ialah hantu setelah melihat senyumannya. Di sini, Stefanie memberikan sesuatu yang tidak jelas.
Senyuman seperti apa yang membuatkan “aku” berfikir itu ialah hantu? Adakah senyuman wanita itu seperti watak Laura dalam filem Smile sebelum membunuh diri? Atau senyumannya persis Pennywise the Clown? Atau senyuman Joker?
Kita tahu bahawa “aku” berasa gerun ketika melihat senyuman itu. Semasa watak mengalami rangsangan ini, isyarat akan dihantar ke bahagian amigdala, iaitu komponen utama dalam pemprosesan emosi, khususnya ketakutan, menerusi laluan tertentu yang melibatkan talamus dan korteks visual. Amigdala akan mencetuskan isyarat yang menandakan “senyuman” itu ialah ancaman. Bertindak segera! Itulah yang dilakukan oleh “aku”, iaitu berenang ke tebing sungai dan ingin pulang. Tiada perincian ketegangan berat dalam psikologi wataknya. Saya berpendapat bahawa mungkin Stefanie tidak mahu wataknya terlalu tertekan, justeru, Stefanie meletakkan ketegangan yang biasa sahaja.
Perkara yang tidak jelas perinciannya ini menyebabkan sensasi ketegangan terbantut. Sebagai contoh, saya ambil petikan pada muka surat 153, dan tambahkan cadangan perincian untuk menunjukkan ketegangan psikologi yang dialami oleh watak “aku”:
Versi asal: Namun wajahnya masih terlindung oleh rambut hitam dan lebat. Hanya bibirnya yang aku lihat. Itu pun sedang tersenyum. Melihat wanita itu tersenyum, bulu romaku naik tanpa sebab. Dia berhenti memberus. Aku berenang-renang ke tepi sungai, dengan agak tergesa. Aku cuba bersikap bersahaja, tetapi, ya Tuhan, aku ingin terkencing. Air sungai terasa seperti ais, sangat sejuk dan tidak nyaman. (Petikan cerpen “Seri”, hlm. 153-154).
Cadangan perincian: “Wajahnya masih terlindung oleh rambut hitam dan lebat. Hanya bibirnya yang aku lihat. Meskipun hari beransur gelap, aku jelas sekali dapat melihat bibirnya yang ungu kebiruan, sedang mengukir senyuman. Senyumannya itu melebar, kian melebar dan kian melebar. Ya, jelas sungguh aku nampak barisan gigi-gigi yang tajam itu! Ya, Tuhan! Aku benar-benar nampak! Ketika itu juga, ketawanya bergema di situ. Jahanam, ketawa-ketawa pula dia!
Aku, ketika itu, masih di dalam sungai, ingin lari tetapi tiada mampu ke mana-mana. Tubuhku pegun di dalam air, seolah-olah sungai itu menjadi ais dan aku terperangkap. Aduh! Kenapa aku tidak dapat bergerak? Waktu-waktu ini pula!
Dan ketika itu juga, perlahan-lahan dia membuka mulutnya. Bedebah! Kenapa aku tidak dapat bergerak! Mataku juga tidak mampu ditutup. Jelas, jelas sungguh aku nampak, dia menganga, luas, semakin luas dan semakin luas sehingga-Ya, Tuhan! Kenapa aku tidak dapat bergerak? Oh, sungguh-sungguh jelas, Ya Tuhan! Ya, Tuhan! Sungguh jelas! Kepala aku mampu ditelannya dengan sekali lahap dengan bukaan mulut sedemikian. Ketika ini pula, dia perlahan-lahan mengangkat wajahnya. Jahanam. Jangan, jangan… jangan lihat aku… jangan! Kelangkangku berasa hangat. Ya, Tuhan… tolonglah! Tolonglah aku!”
Gejala-gejala ketakutan berdepan dengan hantu, jika ingin ditulis dalam bentuk fiksyen, tidak semestinya hanya terkencing semata-mata atau bulu roma meremang. Saya tidak mengatakan itu salah, boleh sahaja tetapi para pengarang boleh menggunakan gejala-gejala lain untuk menunjukkan emosi ketakutan yang sedang menelan diri. Gejala-gejala yang kita alami sewaktu berhadapan dengan ancaman, iaitu reaksi lawan atau lari yang dicetuskan oleh sistem saraf simpatetik boleh diguna pakai semasa menjelaskan perasaan takut atau cemas. Denyutan jantung bertambah, anak mata membesar, berpeluh, pernafasan tidak keruan dan meningkat dan kenaikan tekanan darah adalah antara gejala-gejala tersebut.
Stefanie menggambarkan perasaan ketakutan pada watak “aku” secara teknik pemberitahuan: bulu roma meremang, tergesa-gesa naik ke tebing sungai, watak terkencing, tergagap-gagap, dan menggigil-gigil. Apa-apa yang digambarkan oleh Stefanie ini sememangnya antara sifat dan tingkah laku yang menggambarkan kita berada dalam keadaan ketakutan dan ingin lari daripada situasi tersebut.
Saya mengerti, penulisan prosa bukanlah seperti komik yang kita boleh lihat ekspresi setiap watak namun itu bukan bermakna para pengarang prosa tidak boleh mengekspresikan ketakutan itu menerusi penulisan. Buku-buku Chris Carter: Genesis, An Evil Mind, I am Death dan bukunya yang lain-terdapat contoh perincian terhadap emosi setiap watak. Kita lihat bagaimana Carter menggambarkan ketakutan tersebut sebagai rujukan:
“He was a chubby man, with a round face, plump cheeks and chunky arms. He was sweating profusely, and though he didn’t look hurt, there was no doubt about expression on his face. His eyes were wide open, and he was taking in quick gulps of air through the cloth gag in his mouth. Hunter could tell by the fast ‘up-and-down’ movement of his belly that he was almost hyperventilating. The man was shivering and looking around himself like confused and frightened mouse.” (Petikan novel One by One, hlmn.7 dan 8)
Sungguhpun cerpen “Seri” tidak memberikan sensasi seram yang mendalam secara peribadi kepada saya, cerpen ini telah menjadi satu wadah penyampaian ilmu kepada para pembaca untuk memikirkan tentang pengalaman supernatural yang boleh dijelaskan melalui lensa psikologi. Melalui pemahaman berkaitan mekanisme otak dan emosi, kita dapat melihat bahawa pengalaman melihat hantu atau merasakan kehadiran entiti ghaib lebih berkait rapat dengan cara otak kita memproses sesuatu maklumat daripada kewujudan sebenar entiti tersebut. Oleh itu, cerpen “Seri” bukan sekadar sebuah kisah seram, tetapi juga sebuah eksplorasi tentang interaksi minda manusia dengan dunia ghaib, yang seringkali dipengaruhi oleh kepercayaan, budaya dan proses kognitif yang kompleks.