Penggunaan tulisan Jawi pernah mendominasi Alam Melayu sekitar abad ke-17 hingga abad ke-19 Masihi lagi. Menurut Amat Juhari (1996) dalam bukunya, Perancangan Bahasa: Sejarah Askara Jawi mencatatkan bahawa, tulisan Jawi diiktiraf sejak tahun 1750-an lagi sebagai tulisan utama bagi kesusasteraan Melayu klasik dan tetap terus bertahan sampai selepas Perang Dunia ke-2 di negeri-negeri Melayu terutama Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu. Selain itu, tulisan Jawi turut berkembang pesat di negeri-negeri Melayu di luar Semenanjung seperti Brunei, Riau-lingga, Siak seri Inderapura, Jambi, Palembang, Deli-Serdang, Aceh, Pontianak, Sambas dan Banjarmasin.
Namun demikian, detik kemerosotan penulisan Jawi bermula apabila wujudnya Akta Bahasa 1963 yang menetapkan tulisan Rumi menjadi tulisan Rasmi bahasa Melayu di negara kita. Menurut Ahmad Faisal Abdul Hamid dan Faizuri Abdul Latif (2014) dalam makalahnya bertajuk “Sejarah Perkembangan Tulisan Jawi: Analisis Mengenai Teori Kang Kyoung Seok” mengatakan bahawa kemerosotan tulisan Jawi disebabkan oleh penetapan akta bahasa. Selain itu, pejuang tulisan Jawi menghadapi pelbagai kekangan yang menyulitkan usaha memurnikan dan mengangkat tulisan Jawi seiring perkembangan tulisan Rumi.
Pada tahun 2019, isu tulisan Jawi menimbulkan pelbagai polemik dan menjadi tumpuan serta topik utama perbincangan di parlimen, forum terbuka dan tertutup, media cetak, media massa dan di laman sosial. Perbincangan ini serius dibahaskan terutamanya dalam kalangan generasi muda yang ingin tahu tentang tulisan Jawi. Hal ini berlaku kerana tulisan Jawi umpama “hidup segan mati tak mahu” sepanjang keberadaannya di negara ini. Dalam waktu yang sama, pihak berautoriti mestilah bertindak segera dengan mengambil inisiatif membetulkan salah persepsi dan menyampaikan maklumat yang benar tentang tulisan Jawi.
Secara realitinya tulisan Jawi mempunyai masa depan yang cerah tetapi bersyarat. Selagi bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa rasmi negara, tulisan Jawi akan terus kekal terjamin dalam peruntukan perlembagaan negara. Selain itu, penggunaannya yang semakin meluas dalam pelbagai bidang dan penghasilan bahan bertulis yang berterusan dapat merancakkan lagi penggunaan tulisan Jawi.
Kemajuan teknologi dan media sosial banyak memberi keuntungan kepada pemugaran semula tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat Malaysia. Pengguna boleh menulis Jawi dalam semua hal atau medium tanpa sekatan. Tulisan Jawi bukan hanya untuk urusan agama dalam bidang sains, teknologi, permotoran, masakan dan hiburan tanpa batasan. Pengguna tulisan Jawi juga boleh menulis pada laman media sosial seperti Facebook, Instagram, Whatsapp, Telegram dan pelbagai aplikasi lain dengan mudah.
Seterusnya, Akta Bahasa Kebangsaan 1963 telah menyatakan bahawa tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi: dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan. Oleh hal yang demikian, akta ini secara jelas menegaskan bahawa tulisan Jawi adalah tulisan rasmi dan boleh digunakan dalam pelbagai urusan pentadbiran di negara ini.
Pelbagai usaha dilaksanakan untuk kembali memugar tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat Malaysia. Pada tahun 2020, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mewartakan setiap hari Jumaat sebagai hari menulis Jawi. Usaha ini dilihat berupaya memberi kesedaran kepada masyarakat berbilang kaum tentang keseriusan kerajaan. Tanpa mengira status agama dan bangsa, setiap rakyat di negara ini perlu menerima hakikat bahawa tulisan Jawi diiktiraf di dalam perlembagaan. Tidak selayaknya tulisan Jawi dipersendakan dan dihina kerana penggunaan tulisan Jawi sah di sisi undang-undang negara kita.
Tambahan pula, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 berkenaan panduan penggunaan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan awam. Surat pekeliling ini bertujuan memberi panduan mengenai penggunaan bahasa kebangsaan bagi urusan rasmi dalam perkhidmatan awam di negara ini. Secara tidak langsung, penggunaan tulisan Jawi juga dibenarkan ataupun, menggunakan dwi tulisan, iaitu Rumi dan Jawi serentak.
Sementara itu, usaha Kerajaan Negeri Pahang dan Kelantan mewajibkan tulisan Jawi pada papan tanda premis perniagaan dan papan tanda jalan haruslah diberi pujian dan penghargaan yang sewajarnya oleh kerajaan pusat. Hal ini merupakan usaha untuk memartabatkan kedudukan tulisan Jawi pada mata masyarakat. Pihak yang prejudis terhadap usaha murni ini perlulah muhasabah diri dan mengkaji sejarah tulisan Jawi yang sudah mencapai kegemilangan sejak abad ke-17 lagi. Mereka harus menyedari bahawa bahasa Melayu kekal sebagai bahasa kebangsaan di negara ini. Pada masa yang sama, tulisan Rumi dan Jawi adalah tulisan rasmi bagi bahasa Melayu.
Dalam bidang pendidikan pula, terdapat arahan khusus daripada pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menghendaki Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan (PEJYD) yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), digunakan dalam semua peringkat pendidikan seperti yang dinyatakan dalam petikan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1992.
Arahan ini menghendaki semua sekolah rendah, sekolah menengah, maktab perguruan dan institut pendidikan yang lain menggunakan PEJYD sebagai medium pembelajaran tulisan Jawi. Sebaiknya, arahan tidak hanya tertakluk kepada institut pendidikan kerajaan sahaja, sekali gus merangkumi institut pendidikan swasta juga. Di samping itu, arahan ini meliputi penggunaannya di dalam buku teks dan bahan bertulis lain. Arahan ini sewajarnya diperluas penggunaannya pada peperiksaan yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan dan Majlis Peperiksaan Malaysia.
Sebenarnya semua bidang ilmu di dalam pendidikan dan setiap pelajar berbilang kaum di sekolah dan institut pengajian boleh menggunakan tulisan Jawi. Tujuan arahan ini adalah supaya semua pihak dapat menggunakan tulisan Jawi yang terkini, betul dan selaras sepertimana tulisan Rumi. Tulisan Jawi dapat dimartabatkan sekiranya pengguna mampu menggunakannya mengikut sistem ejaan Jawi yang tepat dari segi sistem ejaan, sebutan, istilah dan kaedahnya.
Lebih-lebih lagi, pada bidang pedagogi para pendidik telah mencipta pelbagai inovasi pembelajaran tulisan Jawi. Bagi menyahut saranan KPM yang menggalakkan pedagogi berasaskan teknologi, wujud banyak alat dan bahan bantu mengajar serta aplikasi Jawi yang telah dicipta. Inisiatif ini telah menarik minat murid untuk belajar tulisan Jawi dengan lebih berkesan. Objektif menjadikan pelajar sifar buta huruf akan berjaya sekiranya teknologi dan tulisan Jawi digunakan bersama.
Tulisan Jawi mempunyai masa depan yang cemerlang sekiranya semua pihak mengambil inisiatif menjayakannya. Misalnya inisiatif yang diambil oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pada tahun 2020, DBP telah menerbitkan Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu Dewan yang telah dikemas kini dan diselaraskan isi kandungannya. Tujuan dikemas kini dan diselaraskan supaya tulisan Jawi menjadi “mesra pengguna” apabila dipelajari dan digunakan.
Di bawah pengurusan DBP, Munsyi Dewan (Jawi) telah dilantik dan berperanan memberi maklumat serta menghebahkan aktiviti berkaitan tulisan Jawi kepada masyarakat setempat. Pengguna Jawi seharusnya memanfaatkan para munsyi yang terlatih ini untuk lebih mengetahui sistem ejaan Jawi terkini, betul dan selaras penggunaannya. Pengguna Jawi perlu membuang sikap menulis Jawi secara hafalan, agak-agak atau ikut-ikutan.
Sementara itu, bercambahnya aktiviti dan bahan penulisan Jawi secara bercetak atau atas talian telah merancakkan lagi perkembangan tulisan Jawi. Inisiatif pihak kerajaan, NGO, syarikat persendirian, badan berkanun, persatuan dan individu menganjurkan program dan menghasilkan buku berkenaan tulisan Jawi telah menambah minat masyarakat. Usaha ini turut menarik minat masyarakat dari luar negara yang ingin mempelajari tulisan Jawi dan mengkaji sistem ejaannya. Prof. Dr. Kang Kyoung Seok, dari Busan University of Foreign Studies mula mengkaji tulisan Jawi sejak tahun 1974 lagi. Beliau berpandangan, tulisan Jawi merupakan satu keunikan yang dimiliki Malaysia, khususnya kepada bangsa Melayu. Prof. Dr. Kang Kyoung Seok telah menulis sebuah buku bertajuk Perkembangan Tulisan Jawi dalam Masyarakat Melayu yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 1990.
Masyarakat berbilang kaum di negara ini juga perlu bersikap patriotik dalam membincangkan isu tulisan Jawi. Sikap tidak bertolak-ansur dan prejudis terhadap tulisan Jawi tidak mendatangkan apa-apa keuntungan kepada mereka. Tindakan negatif dan provokasi akan menyebabkan perpaduan antara kaum di negara ini semakin rapuh. Budaya hormat-menghormati dan mempelajari warisan kaum lain perlu ditanam dalam diri setiap individu. Sewajarnya tulisan Jawi diterima dengan hati terbuka untuk diperkenalkan dan dipelajari di semua sekolah dan institusi pendidikan di negara ini.
Secara tuntas, masa depan tulisan Jawi di negara ini semakin cemerlang perjalanannya. Tulisan Jawi semakin diterima oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini, sama seperti tulisan Tamil, Mandarin dan tulisan dari seluruh dunia. Tulisan Jawi hanyalah sebuah tulisan dan bukannya sebuah kitab yang menyebarkan ajaran tertentu. Tulisan Jawi juga mendapat perhatian dan minat daripada masyarakat dari luar negara. Tidak mustahil pada masa akan datang tulisan Jawi boleh dikenali dan dipelajari serata tempat di dunia.
Tulisan Jawi umpama emas yang bernilai kepada negara yang diwarisi daripada para intelektual terdahulu. Sungguhpun tulisan ini tidak dapat dijual beli dengan apa-apa material di dunia ini, namun tulisan ini menyimpan banyak khazanah ilmu yang berharga untuk bangsa Melayu. Banyak manuskrip lama yang tersimpan di luar negara menggunakan tulisan Jawi yang sangat berharga kepada bangsa Melayu dan negara kita. Tulisan Jawi merupakan maruah kepada negara ini dan mesti dipertahankan tanpa ragu-ragu. Tulisan Jawi simbol jati diri dan warisan bernilai negara ini.
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.