Latar Belakang
Nama sebenar beliau ialah Yusoff bin Mamat dan dilahirkan di Kampung Laut, Tumpat Kelantan pada 28 Disember 1951. Beliau lebih dikenali sebagai Pok Soh atau Pak Usop dalam kalangan pelancong asing, manakala penduduk Kampung Laut memanggil beliau dengan gelaran Yusoff Lepok (kerana semasa zaman kanak-kanak beliau sering bergaduh dengan kawan-kawan dan akan mengetuk kepala orang yang membuat hal dengannya). Anak ketiga daripada lima orang adik-beradik ini telah mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan hatinya, Zaharah Hassan yang berasal dari Kampung Dalam Rhu, Tumpat ketika berusia 19 tahun. Pasangan bahagia ini dikurniakan 13 orang cahaya mata.
Berguru dengan Pak Hamzah
Beliau memulakan kerjaya sebagai tok dalang wayang kulit dengan menjadi pemain canang untuk sebuah kumpulan wayang kulit di bawah pimpinan Omar Kampung Buluh seawal usia empat tahun. Pada ketika itu, Kumpulan Wayang Kulit Omar Kedai Buluh sering mengadakan persembahan di Kampung Laut. Melalui pemerhatian tersebut, Pok Soh banyak mempelajari gerak-geri watak, cerita-cerita wayang kulit dan cara-cara tok dalang menggerakkan watak tersebut. Pada ketika itu juga, Pok Soh mula belajar membuat patung wayang kulit dengan menggunakan kertas. Pada usia kanak-kanak lagi Pok Soh telah menunjukkan minat dalam persembahan wayang kulit. Tidak hairanlah Pok Soh telah menjadi Tok Dalang Wayang Kulit Kelantan dan dikenali ramai oleh pelancong asing. Minat dan kebolehan yang dianugerahkan oleh Ilahi menjadi pendorong utama kepada beliau untuk menceburi seni persembahan wayang kulit.
Pada tahun 1970, Pok Soh dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan dikir barat dan sering mengadakan persembahan dikir barat di merata-rata tempat. Pada waktu yang sama, Pok Soh mengambil peluang menyelitkan cerita-cerita wayang kulit sehingga akhirnya didengari oleh Pak Hamzah. Kemudian Pok Soh dipelawa oleh Pak Hamzah untuk menjadi anak didiknya. Pada pandangan Pak Hamzah, Pok Soh mempunyai bakat untuk menjadi tok dalang. Pak Hamzah mengajar Pok Soh tentang watak-watak dalam persembahan wayang kulit dan melukis patung. Pok Soh berlatih percakapan dengan hanya menggunakan kayu tanpa menggunakan patung sebenar. Pok Soh berguru dengan Pak Hamzah lebih kurang setahun.
Pengenalan Patung Cerah
Menurut Pok Soh, beliau merupakan tok dalang pertama yang memperkenalkan patung cerah dalam permainan wayang kulit. Warna-warna yang dipilih untuk mengecat patung-patung wayang kulit amat menarik. Oleh sebab itu, persembahan wayang kulit Pok Soh diminati ramai dan patung-patung buatannya mendapat permintaan yang tinggi daripada pelancong asing. Semasa temu bual ini dijalankan, Pok Soh menerima kunjungan pelancong dari Sepanyol yang ingin membeli patung wayang kulit buatannya. Hal ini menunjukkan bahawa patung wayang kulit Pok Soh sudah mendapat nama di luar negara. Dari jauh pelancong asing berkunjung ke rumah Pok Soh semata-mata untuk mendapatkan patung wayang tersebut.
Selain itu, satu kebolehan yang dimiliki oleh beliau ialah pandai membawa lenggok-lenggok percakapan berdasarkan watak-watak dalam wayang kulit mengikut asal usul atau darjat watak tersebut sama ada watak raja, rakyat jelata, watak antagonis, watak protagonis, watak humor dan sebagainya. Keistimewaan yang dimiliki oleh Pok Soh ini menyebabkan persembahan beliau mendapat sambutan ramai sehinggakan pihak penganjur, Gelanggang Seni terpaksa memanjangkan tempoh persembahan Pok Soh pada suatu ketika dahulu.
Sikap peramah Pok Soh juga antara faktor yang menarik minat masyarakat untuk menyaksikan persembahan beliau. Pok Soh akan melayan sesiapa sahaja yang berkunjung ke rumahnya. Hal ini dialami sendiri oleh pengkaji apabila pertama kali bertemu dengan Pok Soh untuk sesi temu bual dan pengkaji merasakan sudah lama mengenali beliau. Oleh itu, tidak hairanlah rumah Pok Soh sentiasa mendapat kunjungan daripada pelawat atau pelancong asing sama ada untuk membuat kajian, temu ramah, belajar bermain wayang kulit, membeli patung wayang kulit dan sebagainya.
Pok Soh juga sering menampilkan watak-watak yang berlainan dalam setiap kali persembahan yang jarang diketahui oleh tok dalang lain. Menurut Pok Soh, beliau belajar mengenali watak-watak tersebut sejak kecil, semasa beliau menjadi pemain canang dan semasa menonton persembahan wayang kulit pada zaman dahulu. Watak-watak tersebut jarang kita dengar seperti Sang Sakti Cambuari, Galah Pusing, Pahat Putar, Panglima Gajah Meta dan sebagainya. Inilah sebahagian daripada keistimewaan yang dimiliki oleh Pok Soh sebagai Tokoh Budaya Negeri Kelantan, yang bukan sahaja terkenal di dalam negara malah tidak keterlaluan dikatakan bahawa nama Pok Soh sentiasa meniti di bibir pelancong asing yang meminati persembahan wayang kulit Kelantan. Pok Soh boleh diibaratkan sebagai nadi kesenian wayang kulit. ‘Ingat Pok Soh, ingat wayang kulit’.
Jasa Pok Soh sebagai Tok Dalang Wayang Kulit
Antara jasa dan sumbangan Pok Soh sepanjang pembabitannya dalam kesenian wayang kulit ialah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa melalui persembahan di luar negara seperti Jepun, Afrika, Indonesia, Thailand, Singapura dan banyak lagi. Pok Soh sering mendapat undangan bermain wayang kulit oleh negara-negara luar. Walaupun pada hakikatnya, mereka tidak faham bahasa yang dituturkan oleh Pok Soh, namun mereka meminati gaya persembahan wayang kulit yang dilakukan oleh Pok Soh. Menceritakan kepada penulis, beliau pernah didatangi oleh seorang warga Jepun, iaitu Yati (nama yang diberikan oleh Pok Soh) untuk belajar bermain wayang kulit. Yati begitu berminat dengan seni persembahan wayang kulit sehingga membawanya bertemu dengan Pok Soh. Yati tinggal di bangsal wayang kulit Pok Soh selama enam bulan serta disediakan pelbagai kelengkapan seperti tempat tinggal, makan dan minum. Pok Soh telah menganggap Yati seperti anak sendiri.
Manakala jasa dan sumbangan Pok Soh dalam negara pula ialah mengajar seni persembahan wayang kulit di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi. Pok Soh pernah mengajar wayang kulit di UITM Shah Alam, Sekolah Kebangsaan Kampung Laut dan sebagainya. Pok Soh memuji peranan yang dimainkan oleh universiti-universiti tempatan yang memperkenalkan dan menjadikan wayang kulit sebagai salah satu daripada kursus ditawarkan oleh universiti. Sekurang-kurangnya generasi muda zaman sekarang dapat mengenali dan mengetahui tentang seni persembahan wayang kulit, pembuatan patung wayang kulit, alat-alat muzik yang mengiringi persembahan wayang kulit dan cara-cara wayang kulit dipersembahkan.
Penawaran kursus ini telah diperkenalkan oleh universiti-universiti yang menyedari tentang kepentingan dan nilai seni persembahan wayang kulit. Hal ini juga dapat memberikan nafas baharu kepada persembahan wayang kulit. Sekurang-kurangnya wayang kulit tidak akan dilupakan begitu sahaja dan tidak ditelan zaman walaupun persembahan wayang kulit sentiasa menerima perubahan dan kecanggihan teknologi dari semasa ke semasa. Dengan adanya usaha yang dilakukan oleh pihak universiti ini telah memberikan sokongan dan semangat baharu kepada Pok Soh mahupun tok dalang yang lain untuk terus berkarya. Hal ini kerana, mereka yakin bahawa persembahan wayang kulit masih diterima oleh masyarakat sehingga ke hari ini. Walaupun pada zahirnya mereka seakan-akan ‘’hidup segan, mati tak mahu’’.
Menurut Pok Soh, sesetengah daripada dalang wayang kulit hanya menghasilkan patung wayang kulit sebagai jualan sahaja kerana tidak mendapat undangan untuk mengadakan persembahan. Patung wayang kulit masih mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat. Menurut Pok Soh, ada yang membeli patung wayang kulit untuk simpanan peribadi dan ada juga yang membelinya untuk dijadikan bahan pameran oleh pihak muzium. Tok dalang wayang kulit pernah mengalami zaman kegelapan apabila mereka tidak lagi mendapat undangan untuk mengadakan persembahan. Cara yang dilakukan oleh mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup adalah dengan menjual patung wayang kulit. Melalui usaha yang dilakukan ini, sekurang-kurangnya wayang kulit masih wujud dalam kehidupan masyarakat sekarang. Pencapaian terakhir Pok Soh ialah beliau telah dinobatkan sebagai Tokoh Budaya Seni Negeri Kelantan pada bulan Mac 2018 sebelum menghembuskan nafas terakhir akibat sakit jantung pada tahun 2019. Walaupun Allahyarham telah meninggalkan kita, namun bakat seninya akan tetap dihargai sehingga ke akhir zaman.
catatan: Data diperoleh melalui temu bual penulis dengan tokoh berkenaan pada tahun 2015 di Kampung Laut, Tumpat, Kelantan.
