HAMPIR tiga jam aku merenung komputer riba di hadapanku, dengan harapan ilham akan muncul. Begitulah aku menemui Calliope, ilhamku. Calliope muncul dari arah tingkap bilik kecilku. Membawa cahaya terang, sehingga aku terpaksa menggosok-gosok mataku kerana pedih. Cahaya itu menjadi malap, lalu akhirnya menjadi sosok seorang wanita. Kecil sahaja. Aku hampir menyangka dia toyol yang didatangkan untuk merompak rumahku yang tiada apa-apa.
Aku menyoal, “Siapa kamu?”
“Aku Calliope.”
Aku berkata, aku tidak mengenali sesiapa bernama Calliope, maka aku tanya sekali lagi, “Siapa kamu yang sebenar?”
“Aku ilham kamu. Aku datang untuk membantu,” jawabnya.
Ketika aku menyoal Calliope, dia tidak memandang wajahku. Dia sibuk memerhatikan setiap sudut bilik tempat aku menulis. Satu aku tanya, satu juga dia jawab.
“Bagaimana kamu boleh membantu?” soalku lagi. Aku harap dia membawa seuncang debu ajaib, yang akan dia taburkan atas komputer riba lalu mewujudkan sebuah cerita atau puisi yang paling indah dibaca. Tetapi tidak.
“Aku akan menemani kamu menulis.”
Menemani? Bukan jawapan itu yang aku harapkan. Aku mula sangsi dengan kewujudan wanita kecil yang aneh itu.
Seakan-akan tahu membaca fikiranku, Calliope memberitahu dia tidak berbohong. Calliope mula menceritakan tentang dirinya.
Dia memberitahu, dia berasal daripada zaman Yunani. Ayahnya Zeus. Ibunya Mnemosyne. Katanya lagi, dia adalah anak sulung daripada sembilan adik-beradik.
Mendengarkan Calliope keningku berkerut. Sesiapa sahaja boleh mengaku sebagai dewa-dewi Yunani. Google dan Wikipedia membolehkan segalanya. Diam-diam aku menatal telefon bimbit, mencari berita tentang penjenayah atau penipu yang mungkin terlepas dari penjara yang berhampiran.
“Kamu masih tidak percaya kepadaku?” dia menyoal lagi. Agaknya, Calliope memang ada kebolehan membaca fikiran.
“Bukan aku tidak percaya. Cuma … kenapa kamu baru muncul hari ini?” soalku. “Aku telah menunggu kehadiran ilham sejak tiga bulan yang lepas. Kenapa hari ini?”
“Kamu terlalu menginginkan kehadiran aku. Maka aku muncul.”
Ya. Ada benarnya. Seorang rakan penulis pernah memberitahu, jika aku merenung komputer riba itu cukup lama, aku akan mendapat ilham dan boleh mula menulis. Seorang lagi rakan penulis berpendapat itu cuma kata-kata kosong, gurauan katanya. Kalau sudah terdesak, kata-kata kosong atau gurauan terasa benar bagiku. Otak aku beku, tidak mampu menulis untuk jangka masa yang lama. Sebab itu, aku mencuba memanggilnya sejak minggu lepas.
“Kamu tentu kenal Homer bukan?”
Aku mengangguk. “Siapa tidak kenal?”
“Akulah yang membantunya mencipta Iliad dan Odyssey. Puisi terhebat sepanjang zaman. Dan Archilles … aku yang mengajarnya menyanyi.” Calliope terlihat bangga.
Aku terangguk-angguk. Jika benar bagai dikata, maka aku sangat bertuah. Memandangkan hari sudah jauh malam, aku memintanya berehat. Aku akan menyediakan tempat tidurnya di sofa.
“Aku tidak boleh tidur di sini. Badanku akan sakit-sakit. Bolehkah aku tidur di bilik kamu?”
Aku menarik nafas dan berkata, “Apa sahaja untuk keselesaan kamu Calliope.”
Aku merenda senyum kecil dan memimpinnya ke bilik tidur. Malam itu Calliope tidur dan wajahnya persis seorang anak kecil.
Keesokan hari aku sediakan sarapan untuk Calliope. Aku hidangkan secawan kopi dan lempeng. Calliope sangat menyukainya dan memuji masakan aku. Percayalah Calliope, itu sahaja yang dapat aku sediakan untuk kamu. Selain tidak dapat menulis, aku juga kesempitan wang. Lebih-lebih lagi pada tengah bulan. Pendapatanku sebagai seorang kerani biasa di sebuah syarikat swasta cukup-cukup makan untuk aku setiap bulan.
Sebaik sarapan, aku membawa Calliope bersiar-siar di sekitar pekan aku yang kecil. Aku kenalkan Calliope dengan saudara-mara dan sahabat handai yang sering aku jumpa di pekan. Calliope mudah mesra dengan orang yang baru dia kenali. Dia melambai-lambai dari dalam kereta dan menegur orang di jalanan, termasuk orang yang tidak aku kenal.
Pada sebelah malam, aku ajak Calliope berjumpa dengan rakan-rakan penulis. Setiap hujung minggu, kami akan mengadakan perjumpaan. Rakan penulis yang ada sajak baharu akan membawanya bersama dan membacanya di hadapan rakan penulis yang lain.
Ketika aku memperkenalkan Calliope kepada mereka, seperti aku, mereka juga kurang percaya. Tetapi Calliope sangat bijak menarik perhatian orang lain. Dia petah bercerita. Seperti semalam, Calliope menceritakan sejarah dan susur galur keluarganya yang panjang dan rumit. Melongo rakan-rakan penulis aku.
Yang percaya kepada Calliope, mengatakan aku sangat bertuah memilikinya sebagai ilham. Rakan yang skeptikal, meminta aku berhati-hati. Dia mungkin penipu atau penyamar yang cuma mahu menumpang di rumahku.
Aku sanggah, tidak mungkin. Calliope datang dalam cahaya, terlihat menjanjikan, penuh dengan pengharapan. Aku percaya dengan Calliope, dengan janji-janjinya.
Sudah seminggu Calliope berada di rumahku. Aku menunggu dia membuat keajaiban agar aku boleh menulis dan mencipta sebuah puisi yang luar biasa, dikenali ramai. Kalau boleh sepanjang zaman, kataku kepada Calliope.
Itu tidak sukar untuk dilakukan, katanya. Dia berjanji akan membantu. Namun katanya, dia masih letih sejak ketibaannya di rumah aku. Seperti orang baru mendarat di lapangan terbang, dia mengalami mabuk perjalanan.
Aku terkekeh mendengar jawapannya. Dari mana Calliope tahu tentang mabuk perjalanan?
“Bukankah sudah aku katakan. Aku wujud ribuan tahun yang lalu … dan sudah menemani ramai penulis. Kebanyakan yang sudah tiada di dunia. Aku tahulah serba sedikit mengenai dunia kamu”
Aku terdiam. Dia berkata lagi, “Kamu kenal Hemingway?”
Aku mengangguk dan menjawab ya.
“Aku yang menemaninya ke perkampungan orang Indian. Malam itu aku dan Hemingway menghasilkan sebuah cerpen yang diingati ramai. Kem Orang Indian, kamu pernah membacanya?”
“Ya, ya … pernah. Tidak mengapalah. Kamu rehat dulu.”
Perkara ini berlanjutan ke minggu berikutnya. Calliope sering memberi alasan bahawa dia masih mabuk perjalanan. Ketika aku mula sangsi padanya, dia membacakan puisi-puisi penulis handalan dunia dan kesangsianku ditutup dengan kepetahannya.
Bahkan, Calliope pernah menyanyi di hadapanku dan suaranya sangat merdu, lalu aku mengalah dalam perbalahan kecil mengenai janjinya.
Pada hujung minggu, kelibat Calliope tidak kelihatan. Aku panik dan mencarinya di kawasan sekitar. Salah seorang rakan penulis menghantar pesanan ringkas dan mengatakan Calliope bersama mereka, sedang membaca puisi.
Ketika ibu dan ayah memerlukan aku di kampung, aku tinggalkan Calliope untuk menjaga rumahku. Sebetulnya, aku ingin membiarkan dia berehat dengan puas dan setelah aku pulang dari kampung, aku ingin dia mula membantuku. Lagi pun aku percaya, untuk mencipta sebuah karya epik tentu mengambil masa. Calliope bersetuju dan mengatakan dia berjanji akan membantu sebaik aku kembali.
Seminggu aku berada di kampung. Dalam waktu itu, sekali-sekala aku meminta salah seorang rakan penulis untuk menjenguk keadaan Calliope. Ketika aku bertanya mengenai keadaannya, rakan aku berkata, “Aku tidak tahu bagaimana mahu memberitahu kamu. Eloklah kamu pulang dan lihat sendiri.” Keesokan hari aku pulang.
Badai. Rumahku seperti baru sahaja dilanda badai. Kerusi, meja, buku, barang perhiasan rumah berselerakan di ruang tamu. Baju-baju dan seluar kotor diletakkan begitu sahaja di atas sofa. Bekas makanan, kulit kacang dan kuaci memenuhi ruang tamu. Bahkan, lantai aku terasa melekit bila dipijak dan bunga-bunga yang aku letakkan di luar beranda mulai layu.
Aku jenguk ke dapur. Keadaan yang sama. Pinggan mangkuk, cawan, sudu dan periuk dibiarkan sahaja di dalam sinki tanpa dicuci. Sampah di dapur juga berlonggokan. Hati aku mula panas. Apa yang Calliope lakukan di rumahku? Aku telah memberinya kepercayaan untuk menjaga rumahku. Sekurang-kurangnya, jagalah kebersihan.
Aku mendengar langkah seseorang menghampiri. Calliope bersandar di tepi pintu dapur.
“Kamu sudah pulang rupanya,” katanya tersengih-sengih.
Meluru aku bertanya, “Apa yang kamu lakukan pada rumahku Calliope? Kenapa semuanya berantakan? Berselerak?”
“Apa yang kamu jangkakan? Mahu aku berkemas? Di istana ayahku, aku tidak pernah membuat kerja-kerja biasa yang kecil, kawan. Itu semua dayang-dayang dan hamba yang lakukan.”
Aku tunjuk pada bajunya. “Itu. Dari mana kamu dapat baju itu? Aku tidak pernah melihatnya.”
Calliope tersengih dan mengatakan baju itu hadiah yang diberikan oleh pemilik kedai baju yang dilawatnya di pekan.
Aku menambah, “Jadi kamu … sudah berehat sepuasnya bukan? Malam ini kamu akan membantuku menulis Calliope?”
Seperti orang ragu-ragu Calliope mengiya-iyakan sahaja.
Setelah mengemas rumah, mandi dan makan, aku masuk ke bilik menulis. Aku harapkan Calliope sudah menunggu, tetapi aku silap. Aku tidak melihat kelibat Calliope di mana-mana. Ah, di mana Calliope?
Sudah dua hari aku tidak melihat kelibat Calliope. Entah hidup, entah tidak. Aku telah mencarinya di sekitar pekan. Bahkan, aku mencarinya di tempat kesukaannya, iaitu di tempat biasa aku dan rakan penulis berkumpul. Ternyata, Calliope sudah jarang mengunjungi tempat itu.
Malam itu, bejat fikiranku memikirkan keberadaan Calliope. Adakah dia begitu marah denganku sehingga tidak mahu muncul di hadapanku lagi? Tetapi marahku bersebab. Calliope sudah berjanji denganku. Dia harus menunaikan janjinya.
Satu patah perkataan belum ditulis sejak beberapa bulan ini.
Ingatkan, dengan kehadiran Calliope semua akan menjadi mudah. Perkataan akan mengalir bagaikan air, begitu sahaja, indah dan menikam. Namun beberapa minggu ini, tembok yang menghalang aku daripada menulis semakin tinggi dan kukuh. Oh, aku memerlukan Calliope untuk memecahkannya.
Ketika aku sedang menongkat dagu, pintu rumahku dibuka. Aku bingkas bangun untuk memeriksa. Di hadapanku Calliope berdiri, mengenakan persalinan berjenama, dari kepala ke hujung kaki. Calliope juga mengenakan beberapa barang perhiasan leher dan pergelangan tangan, ditambah kaca mata hitam. Dia terlihat seperti wanita kelas elit. Tangannya menjinjing sebuah beg kertas yang dia suakan kepada aku. Aku sambut tetapi tidak berminat dengan isi di dalamnya.
“Ke mana kamu sejak dua hari ini Calliope? Sedarkah kamu … aku sangat risau.”
Calliope melabuhkan punggungnya di atas sofa. “Aku pergi kerana kamu sibuk mengemas dua hari yang lalu. Aku tidak mahu mengganggu pekerjaan mengemas kamu. Tentu ia mengambil masa dan aku bosan menunggu. Jadi aku pergi untuk melapang jiwa dan fikiranku. Apa yang selalu orang katakan sekarang? Healing ya? Ya, ya. Healing.”
“Penyembuhan apa yang kamu perlukan? Kamu tidak perlu disembuhkan sama sekali. Yang memerlukan kesembuhan sekarang adalah aku. Kesembuhan menulis. Janji yang sepatutnya kamu penuhi sejak dahulu … membantuku menulis.”
“Oh, jadi kamu masih mengungkit tentang janji-janjiku?”
“Kenapa tidak? Bukankah itu sebabnya aku terpaksa merenung komputer riba berjam-jam lamanya, sehingga naik pedih mataku?” Marah mula menggeletek hatiku. Muka aku terasa panas.
“Baik, baik! Kalau itu yang kamu mahu … mari kita mula sekarang.”
Calliope bingkas bangun dan beredar menuju ke arah bilik menulis aku. Aku mengikuti Calliope dari belakang. Ketika itulah pintu rumah aku diketuk bertalu-talu. Aku ubah haluan lalu menuju ke pintu hadapan. Aku buka pintu. Di luar, beberapa wajah pemilik kedai yang aku kenal berdiri di hadapanku. Wajah mereka tidak ramah sama sekali.
Aku bertanya hajat mereka datang malam-malam ke rumahku. Bertubi-tubi mereka meminta aku memanggil Calliope. Aku tanya kenapa mereka mahu menemui Calliope. Lalu mereka menunjukkan resit pembelian pakaian berjenama, barang-barang perhiasan, makanan dan minuman yang ditandatangan oleh Calliope.
“Dia berjanji akan membayar kami hari ini. Tetapi dia tidak datang. Bagaimana ini?” soal salah seorang pemilik kedai.
Aku meminta mereka bertenang, lalu meminta izin untuk memanggil Calliope. Namun, ketika aku mencarinya di bilik menulis, kelibat Calliope langsung tidak kelihatan. Aku segera meminta maaf kepada mereka dan berjanji untuk membayar hutang Calliope secara ansuran. Memandangkan mereka mengenal dan percaya kepadaku, mereka bersetuju dan beredar. Calliope benar-benar melampaui batas.
Semalaman aku menungggu Calliope muncul. Akhirnya dia muncul pada waktu pagi. Munculnya seolah-olah seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Dia meminta aku membuatkannya secawan kopi dan lempeng. Lalu aku buatkan. Aku juga tidak bertanya mengenai hal semalam. Aku malas mahu berbalah dengannya.Ketika meminum kopi yang aku buat, Calliope meminta maaf atas kesulitan yang dia timbulkan.
Aku tersenyum dan bertanya, “Berterus-terang denganku Calliope … benarkah kamu ilham aku?”
Calliope meneguk kopi itu sehingga ke titisan terakhir. Dia tersenyum. Belum pun sempat menjawab, dia menguap dan lantas tertidur di meja makan. Calliope tidur dengan nyenyak.
Sementara dia tidur, aku angkat tubuhnya yang kecil dan aku tempatkan di tempat duduk penumpang di belakang. Aku selimut badannya memandangkan cuaca agak sejuk dan redup pagi itu. Aku memandu sekitar dua jam, menuju ke arah pantai.
Tiba di sebuah pantai, hanya debur ombak yang kedengaran. Tiada seorang pun manusia yang kelihatan. Aku angkat tubuh Calliope dan aku tempatkan di salah sebuah perahu milik nelayan berhampiran. Aku pacak sebuah kayu atas pasir, lalu aku gantung plastik berisi wang dan nota meminta maaf kerana menggunakan perahu nelayan yang entah siapa.
Aku bekalkan pakaian bersih, selimut dan sedikit bekalan makanan untuk Calliope yang sedang tidur nyenyak. Aku tolak perahu ke air. Tetapi sebelum itu, aku memejam mata dan berkata, “Pergilah Calliope. Aku tidak ingin menemui kamu lagi. Aku lepaskan kamu. Selamat tinggal, Calliope.”
Pagi yang sejuk itu, aku lepaskan Calliope ke lautan. Malam hari yang sama, rumah aku terasa sepi. Namun aku gagahkan diri duduk di hadapan komputer riba, merenung ia untuk sejam. Kemudian, aku letak jari-jemari atas papan kekunci.
Waktu subuh, bunyi ketukan papan kekunci mengisi ruang bilik tempat aku menulis. Saat itu, aku sedang menulis tentang Calliope. [ ]