“Tengok tu!” jari telunjuk yang sedikit melentik itu, ditujukan pada seorang kanak-kanak lelaki yang sedang berjalan keseorangan. Langkahnya tidak selari, lahirnya dia sebagai anak kurang upaya; kakinya pendek sebelah kiri. Bukan itu sahaja, dia juga tidak sempurna akalnya, pada usia sepuluh tahun masih lagi comot dengan palitan hingus pada wajah.
“Bili, sini!” panggil seorang budak lelaki yang berada di dalam kumpulan seramai lima orang itu, Menjadi pemerhati Bili sejak tadi. Senyumnya jelas kelihatan sinis. Ada sesuatu yang tidak baik dirancang oleh mereka.
Bili yang sememangnya tidak pernah, waima sekalipun, untuk berfikir terlebih dahulu sebelum membuat keputusan. Walaupun sering diajar kakaknya, Rima, agar dia tidak bergaul dengan budak lelaki yang sering mengacaunya. Dengan mudahnya, dia menghampiri kumpulan budak lelaki itu.
“Bili, nah! Guna ini!”
Tali nilon yang diikat dengan tin kosong digantung pada lehernya. Bili berdiri tegun, merelakan lehernya digantung dengan rantai nilon tin kosong itu.
“Wah, segak bergaya kau, Bili!”puji budak-budak lelaki di situ.
Bili tersenyum. Budak-budak itu semakin galak memujinya sambil ketawa terkekeh-kekeh.
“Macam ni, baru kau bergaya! Ke mari, aku letak batu di dalamnya. Barulah ada muzik sikit. Rantai kau sangat istimewa, Bili!” Mendadak, mereka ketawa besar.
Bili yang tidak mengerti, hanya tersengih-sengih. Baginya, kata-kata mereka itu, pujian manis yang memuja dirinya.
Bili pulang ke rumah sambil menggoncang tin yang diisi batu itu. Rima yang mendengarnya, segera berlari mendapatkan adik lelakinya itu. Dia cuba membuka rantai tin kosong itu, tetapi Bili enggan, dia tidak mahu rantai itu dirampas daripadanya.
“Bili, buka tu! Siapa yang buat Bili begini? Ini seperti… ahh, jahat benar budak-budak kampung ni. Buka rantai ni. Hodoh sekali kau memakainya!”
Akhirnya, dengan rela, Bili mengalah. Hati Rima menggelupur kesakitan, seakan-akan dicarik apabila melihat adiknya diperlakukan sedemikian.
“Ini mesti kerja Ayung, Icil, Samat, Zika dan Ajil, bukan? Kakak dah banyak kali beritahu, jangan dekati mereka. Dah, pergi mandi!” Suara Rima garang. Ada gema tidak puas yang datang dari hatinya. Tetapi apakan daya, kalaupun dia mengingatkan Bili setiap saat tentang itu ini, Bili tetap akan lupa apa-apa yang diberitahu padanya. Malah pada saat ini, dia mungkin sudah tidak ingat tentang apa-apa yang dikatakan oleh Rima.
“Mulai hari ini, kakak tak mahu kamu merayau-rayau lagi. Duduk dengan kakak di rumah sahaja,” ujar Rima.
Wajah Bili berubah. Rima kenal wajah itu, tetapi dia harus bertegas.
Hanya kerana dia istimewa, bukan beerti dia harus dipergunakan.
“Jangan menangis. Kakak tak mahu kamu dikerjakan budak-budak nakal lagi. Kamu boleh sahaja bermain di rumah ini. Tetapi, jangan sesekali bergaul dengan budak-budak jahat,” tegasnya.
Rima tahu, sebagai satu-satunya saudara sedarah yang masih hidup kepada Bili, dia harus melindungi Bili daripada sesiapa pun. Rima berhenti sekolah pada usia empat belas tahun, tetapi remaja itu telah mengenal erti tanggungjawab seorang kakak. Ibu bapa mereka meninggal dunia kerana kemalangan lima tahun lalu. Maka, tinggallah mereka berdua sebatang kara. Hanya bekalan bantuan cukup-cukup makan diperoleh oleh mereka berdua untuk mengharungi hidup yang berbaki, bersama kasih sayang antara beradik serta masa depan yang belum pasti.
Bili masih merajuk. Seringkali dia menunjuk ke arah sungai. Dia sangat suka bermain air, malah sangat mahir berenang. Arwah bapa yang mengajarnya berenang sejak dia berusia tiga tahun. Katanya, berenang akan jadi salah satu cara Bili menenangkan diri. Bili semasa kecil, sangat sukar mengawal emosi. Dia mudah mengamuk. Arwah bapa menemui cara itu melalui pertemuan dengan pakar kanak-kanak istimewa.
Oleh sebab itulah Rima sentiasa tahu akan keberadaan Bili. Setiap kali kelibat Bili tidak kelihatan, dia akan mencari di sungai, tempat kegemaran Bili. Di situ juga, kenangan bersama arwah bapa sentiasa terikat pada memori Bili. Tetapi kali ini, dia tidak mahu Bili ke sana lagi. Cukup sudah budak berlima itu mengganggu Bili. Bagaimana jika gangguan itu akhirnya menjadi kecederaan serius? Tidak, cukuplah setakat ini.
Bili tidur bersama tangisan, sedu-sedan dibawanya ke mimpi sehingga meracau. Dibelai Rima pada dahinya. Tidak lama kemudian, dia tenang. Rima akhirnya tertidur di sebelah Bili. Lima tahun Rima menjalani hidup umpama air mata jatuh ke perut; kesedihan yang dialami mereka berdua, hanya mereka yang tahu.
“Bili!” panggil Acil.
Bili menghampiri tebing. Dia dibaling dengan seluar, terkena tepat pada wajahnya. Melihat keadaan itu, yang lainnya mengetawakan Bili. Bili hanya tersengih sambil membuang seluar itu ke tanah. Sudah sejam dia mencangkung di situ sambil memerhatikan Acil dan rakan-rakannya mandi.
“Jika kakak nampak Bili basah ataupun pakai apa sahaja yang Zika, Acil, Ayung, Samat dan Ajil suruh, kakak tak mahu kawan dengan Bili lagi. Kakak tak nak masak, Bili masak sendiri. Kakak juga tidak mahu buatkan Bili susu.” Dia teringat pesanan kakaknya. Ada perasaan takut di dalam hatinya. Tetapi, dia tetap melanggar peraturan yang baru ditetapkan oleh kakaknya semalam; dilarang ke sungai itu lagi dan bertemu dengan lima sekawan itu.
Tiba-tiba dia dikejutkan dengan jeritan. Ternyata, Acil, kakinya telah kebas kerana kesejukan sehingga dia hanyut dibawa arus. Yang lain lekas-lekas berenang ke tepian, menyarung pakaian dan meninggalkan Acil yang masih terkapai-kapai. Bili terpinga-pinga memerhati rakan-rakan Acil yang telah pergi seperti lipas kudung lalu hilang dari pandangan.
Sedetik, Bili teringat pada arwah bapa yang pernah berpura-pura tenggelam dalam air. Lalu, Bili terjun dan cuba menarik Acil. Akhirnya, dia berjaya membawa Acil ke tebing.
Muncul ayah Acil, Pak Said bersama Ayung dan Samat seketika kemudian, manakala yang dua lagi barangkali sedang bersembunyi di dalam selimut tidur masing-masing. Pak Said menghela nafas panjang sambil mengurut dada. Lega melihat Acil terduduk di tebing; mengenang nasib yang hampir sahaja menjadikan perbuatan bulinya terhadap Bili sebagai dosa terakhirnya di dunia ini. Bili duduk mencangkung sambil memerhati Acil yang masih lagi kesal.
Pulang ke rumah, Bili diiringi oleh mereka berempat. Rima yang tidak mengetahui hal sebenar, mengambil sebatang rotan meluru ke arah Bili yang basah kuyup. Di fikirannya, tentu Bili berbuat kesalahan besar. Belum sempat rotan itu dirembat ke betis Bili, Pak Said mencegahnya dan menceritakan hal sebenar. Rotan itu jatuh dari genggaman Rima. Kemarahan beralih sebak.
Adik yang disangka tidak mendengar kata, menjadi hero kampung pada hari itu walaupun tuan badan tidak mengerti sedikit pun tentang hal yang terjadi.
Yang dia tahu, senyuman kakak lebih manis dan sempurna kali ini. Pelukan kakak menghangatkan dirinya yang mulai menggeletar disentuh anak-anak angin yang membelai tubuh yang kebasahan.