KALAU namanya jalan raya apalagi lebuh raya, mana ada yang lengang? Kelengangan berlaku hanya pada waktu tidur, sekitar pukul 12.00 tengah malam hingga pukul 4.00 pagi. Tempoh itu dikira waktu tidur yang lazim bagi orang Malaysia. Hakikatnya, lebuh raya tidak pernah lengang, sebagaimana kenyataan hidup bahawa orang mencari rezeki dengan bergerak ke sana sini, tanpa terikat kepada masa.
Pak Mus melayan fikirannya ketika kenderaan dipandu dengan cermatnya oleh kawannya, Jedi. Pak Mus terbayang akan alma maternya, MPSI. MPSI itu nama yang panjang sejarahnya, sejak tertubuhnya SITC pada 22 November 1922. Sejak 1957, SITC dikenali pula sebagai MPSI, kemudiannya IPSI mulai 1987 dan menjadi UPSI, sejak 1997. Pak Mus sebagai mantan ketua pengarang majalah maktab peka akan maklumat asas tentang Ibu Kandung Suluh Budiman, nama timangan alma mater.
Haluan Pak Mus dan Jedi pada siang 1 April itu ialah Tanjung Malim. Jedi bagaikan pemandu tetap jika Pak Mus ada urusan di alma maternya.
“Banyak juga kereta ya, Di,” ujar Pak Mus, cuba merungkai kesunyian ketika itu.
“Raya nanti jauh lebih banyak,” unjur Jedi.
“Itulah keadaan kita, asalkan boleh bergerak dikira boleh tahan. Jangan sampai menetap di lebuh raya!” balas Pak Mus, meminjam kosa kata yang pernah diselorohkan oleh Ustaz Samsul Debat, penceramah yang terkenal.
“Sedang eloklah Di, tiba di Tanjung Malim nanti kita terus jamak takdim di masjid,” usul Pak Mus.
Jedi tidak membalas usul Pak Mus tetapi menunjukkan reaksi faham.
Pukul 3.00 petang, Jedi menghentikan kenderaan di hadapan bangunan E-Learning. Pak Mus turun lalu beredar, sementara Jedi pula bergerak ke Surau al-Mursyidin, tentunya beristirahat. Pak Mus terserempak dengan Haji Idham, Naib Bendahari Agung. Mereka menapak tenang menuju ke lif. Sebaik-baik sahaja memasuki lif, Pak Mus menekan butang nombor lima. Majlis berlangsung di aras lima.
“Di mana dewan kita ini, Haji?” Pak Mus melontarkan pertanyaan.
Haji Idham tidak terus menjawab, sebaliknya menjenguk ke ruang berhampiran.
“Oh, di dewan ini,” jawab Haji Idham setelah melihat susunan meja bulat dan kerusi memenuhi ruang dewan.
Datuk Presiden Alumni dan isterinya, Datin Julaiha sudah awal-awal lagi berada di dewan. Puan Som juga ada sama. Timbalan Presiden, Dr. Seri; Naib Presiden 1, Cikgu Zain; Setiausaha Agung, Dr. Masdi; dan Bendahari, Puan Aryati juga ada. Pak Mus menyantuni rakan-rakan alumni, kemudian mencatat sesuatu pada skrip setelah diberikan maklumat baharu oleh Datuk Presiden tentang atur cara yang akan berlangsung esok. Pensyarah UPSI merangkap exco Alumni Suluh Budiman turut hadir berkongsikan beberapa maklumat lanjut.
“Encik Mus, esok pukul 11.00 pagi kita buat raptai,” pesan Datuk Presiden.
“Beres, Datuk. Pukul 10.30 esok saya sampai. SS ke sini bukannya jauh,” balas Pak Mus. Sejak menawarkan diri, Pak Mus berusaha membuktikan kesediaannya menjadi pengacara bagi Majlis Iftar Alumni.
“Atas nama muafakat, saya tawarkan diri,” beritahu Pak Mus kepada Dr. Masdi menerusi WhatsApp beberapa hari lalu. Pak Mus berkeyakinan tinggi bahawa tugas pengacaraan yang pernah ditanganinya semasa bekerja dahulu, bukan sesuatu yang berat, tetapi tetap menuntut persiapan selengkapnya.
“Haji Idham, pastikan teks doa tak terlalu panjang,” pesan Datuk Presiden.
Haji Idham senyum sahaja. Tidak sukar baginya melaksanakan tugas sebagai pelafaz doa, sudah lumrah baginya. Sementara itu, kain rentang sudah dilekatkan pada dinding pentas oleh Datin Julaiha dan Puan Som. Gegantung pula sudah dibawa ke bilik kuliah di aras satu, tempat berlangsungnya majlis khatam al-Quran yang dipimpin oleh Haji Din dan Haji Mukhtar.
****
Di kamar 501 Scholar Suites …
“Kita nak berbuka di mana, Di?” Pak Mus meminta kepastian setelah dimaklumkan oleh petugas kaunter bahawa ruang berbuka di SS sudah ditempah sepenuhnya.
“Ikut Cik Mus, saya tak kisah mana-mana pun,” jawab Jedi.
Pak Mus dan Jedi bersetuju berbuka di Restoran Tak Bai, kerana restoran itu dapat dilihat oleh mereka dari jalan raya.
“Awak ‘dah macam alumni ya, Di. ‘Dah berapa kali teman saya ke sini? Saya pun tak sempat kira. Yalah, isteri awak pun alumni sini, kira awak mewakili isteri,” Pak Mus berbasa-basi.
“Tak apa, selagi tak bertembung dengan urusan lain saya sanggup saja,” balas Jedi.
Pak Mus mengubak mauduk bicara. “Di, bagus juga kalau saya ada rumah di sini ya!”
“Itu ‘dah tentu, Cik Mus,” balas Jedi, sambil berdehem, kemudian senyum meleret.
“Itulah, ada juga hati nak terima cadangan kawan-kawan, tetapi…,” kata-kata Pak Mus terhenti seketika, kemudian melanjutkan, “…tetapi susah pula nak tinggalkan Melaka. Macam-mana hal termasuk PIBG, persatuan penulis kita, kerja penyuntingan buku swaterbit, semuanya memerlukan saya berada di Melaka.”
“Sebenarnya, Cik Mus patut ‘dah lama ada pengganti. Kalau pengganti ‘tu orang yang bekerja di Tanjung Malim, tentu ada kebaikan juga,” saran Jedi, terserlah kematangannya.
“Entahlah, Di. Usia kian bertambah ‘ni. Mujur awak membantu saya. Bagi saya, lebih selesa saya serahkan tugas pemanduan kepada awak yang pro,” ujar Pak Mus.
Jedi tersenyum simpul menerima pujian.
Waktu berbuka pun tiba. Dengan menu berupa nasi putih, sup ayam dan telur dadar serta air sirap, Pak Mus dan Jedi berbuka, kemudian kembali ke SS.
“Sebenarnya Dr. Seri, Timbalan Presiden Alumni pelawa kita berbuka di masjid tadi, Di,” ujar Pak Mus dan menyambung, “Syukur kita ‘dah berbuka di sini, boleh balik ke SS untuk berehat.”
****
Pukul 11.30 pagi hari Selasa, seperti dijanjikan, Pak Mus, Datuk Presiden, Timbalan Presiden, Setiausaha Agung, dan YM Raja Azman sudah duduk semeja di dewan aras lima. Perbincangan berjalan dengan lancarnya. Pak Mus menokok tambah maklumat pada draf skrip pengacaraan yang sudah dikemas kini sebelumnya.
Sesi raptai dapat dilaksanakan sebanyak tiga kali. Oleh sebab semua jawatankuasa merupakan otai-otai dalam bidang tugas yang diamanahkan, raptai berjalan dengan penuh persefahaman. Perapian dewan dengan kelengkapan majlis termasuk sistem siar raya semakin menyerlah. Selain pihak UPSI mengurus aspek teknikal, pengangkutan dan banyak lagi, rakan-rakan helwa Alumni Suluh Budiman sendiri tak menang tangan. Pihak pembekal juga rancak mengatur kelengkapan untuk sajian bagi majlis iftar petang nanti.
Dalam pada itu, Pak Mus mengambil kesempatan menggunakan komputer dan pencetak milik Alumni. Dia gembira dapat memurnikan skrip pengacaraannya. Dia mengubah beberapa fakta berdasarkan pandangan balas oleh Datuk Presiden sendiri. Pak Mus tahu bahawa Datuk Presiden memang arif dalam kerja di lapangan. Pak Mus masih ingat lagi nama Datuk Presiden ketika beliau aktif mengelolakan halaman pendidikan di sebuah akhbar arus perdana. Pak Mus pula merupakan pengamal konsep Akhbar Dalam Darjah serta Majalah Dalam Darjah ketika bertugas di sekolah menengah. Nyata ada kait-mengait.
“Terima kasih, Cikgu Zain. Berbaloi bawa komputer dan pencetak dari Rumah Alumni ke sini,” ucap Pak Mus kepada Cikgu Zain, Naib Presiden 1 Alumni. Cikgu Zain sekadar tersenyum.
Sewaktu menaip, ada seorang gadis masuk ke dewan. Tentunya dia bukan alumni berdasarkan raut wajahnya yang tampak muda. Sudahlah muda, ayu pula! Secara spontan, serentetan kalimat indah bermain dalam benak Pak Mus yang tiba-tiba dipagut sunyi.
‘Apabila malam saja sunyi; apabila sunyi saja malam!’ Benar ada, lucu pun ada!
“Encik, saya diminta bertugas di meja pendaftaran,” beritahu gadis itu kepada Pak Mus yang sedang menghadap komputer. Pak Mus sempat tersenyum serta membalas, “Cuba bertanya kepada Datin di meja sana.”
Gadis ayu yang tampil kemas lantas mendekati Datin Julaiha dan Puan Som. “Nama saya Suri,” ucap si gadis kepada Datin Julaiha. Begitu bunyi namanya yang sampai ke indera dengar Pak Mus.
Lantas, Pak Mus segera mengimbau pengalaman awalnya menjadi guru di Sabah. ‘Nama Suri macam nama bekas pelajar aku dulu!’
‘Siapa pula gadis ini? Kalau siswi UPSI, tentu dia bakal guru. Mungkin juga dia guru terlatih yang sedang melanjutkan pengajian sarjana atau PhD?’ Hati Pak Mus diimbas pertanyaan. Tiada sesiapa yang memaksa. Itulah yang dikatakan fitrah insaniah, fikirnya.
Petang kian berhujung. Kerja memurnikan skrip pengacaraan dapat dilakukan oleh Pak Mus dengan lancarnya. Saat itu, gadis siswi ayu yang berbual dengan Datin Julaiha entah ke mana perginya. Pak Mus khusyuk membaca satu per satu butiran pada skrip pengacaraan.
Pak Mus memandang jamnya. Tepat pukul 4.30 petang seperti yang dijanjikan dengan Jedi, Pak Mus turun ke aras bawah. Ketika itu, Jedi sudah berada di parkir tidak jauh dari bangunan E-Learning. Pak Mus menapak ke kereta.
“Di, nampaknya kita bertukar pakaian macam hari itu,” usul Pak Mus.
“Tak susah, Cik Mus. Kita buka pintu kereta, terlindung sedikit,” balas Jedi.
Suasana Kampus Sultan Abdul Jalil agak lengang ketika itu. Hanya sesekali kelihatan pelajar berjalan melintasi kawasan berhampiran. Pak Mus dan Jedi bersedia menuju ke aras lima bangunan E-Learning, lengkap berbusana Melayu.
****
Majlis Iftar, Khatam al-Quran dan Infak Ramadan berjalan mengikut perencanaan Alumni Suluh Budiman. Khatam al-Quran berlangsung dengan jayanya, walaupun sederhana tetapi bermakna, sesuai dengan semangat Ramadan. Majlis menjelang iftar juga berjalan dengan amat baik, tampak meriah dan jelas berbaur kemesraan.
Pak Mus berasa kaget apabila Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, Naib Canselor UPSI sudi menyantuninya. Pada hemat Pak Mus, ucapan Naib Canselor petang itu jelas bersemangat, mengharukan. Pak Mus sudah lama mengagumi sifat rendah diri Dato’ Naib Canselor itu. Bagi beliau, semua bekas pelajar tidak kira lulusan SITC, MPSI, IPSI, apalagi UPSI, dianggapnya sebagai anak-anak Ibu Kandung Suluh Budiman.
“Bukanlah Prof. Dato’ Naib Canselor jika tidak melafazkan kata yang bersemangat dan mengharukan!” Pak Mus menghargai ucapan tetamu perasmi sore Selasa itu.
Terdahulu, Datuk Presiden turut menzahirkan perasaan gembira atas kehadiran para tetamu, kakitangan universiti serta exco-exco, para penyumbang, kemudian mengiringi Dato’ Naib Canselor menyerahkan infak kepada anak-anak yatim Baitul Mahabbah.
****
Dalam perjalanan pulang ke Melaka seusai solat, Pak Mus masih terkenang akan penampilan siswi ayu, petugas di kaunter pendaftaran. Sempat Pak Mus bertanyakan kepada rakan-rakan exco menerusi WhatsApp tentang identiti siswi itu. Pertanyaan itu disambut ceria oleh rakan-rakan, tetapi kemudiannya beransur-ansur lenyap ditelan waktu.
“Di, jangan laju-laju sangat! Kita santai saja sambil mendengar lagu syahdu yang diputarkan,” Pak Mus mengingatkan Jedi. Ada ketikanya Pak Mus menjeling papan pemuka yang jelas menunjukkan tahap kelajuan kereta.
“Syukur Di, semua sudah beres! Satu saja yang belum beres,” ujar Pak Mus, sengaja menimbulkan persoalan, sekadar meraikan kejayaan bertandang ke Tanjung Malim.
Dalam galau tetapi tenang, Pak Mus berkata lagi, “Alangkah bertuahnya kalau saya sempat mengenali siswi ayu tadi. Awak tak perasan dia sebab awak duduk di meja depan.”
“Ramai boleh bantu Cik Mus,” balas Jedi, tulus memahami konteks bicara.
“Ala, ‘dah balik ‘ni, tamatlah cerita! Entah-entah dia isteri orang!”
Pak Mus dan Jedi tergelak. Mereka memandang polos suasana malam di lebuh raya.