Kepelbagaian bangsa, budaya dan agama di negara Thailand atau lebih sinonim dengan jolokan negara gajah putih ini menjadikan negara tersebut sangat unik dengan adat resam dan bahasanya.
Malah, bahasa Melayu tutur menjadi bahasa pertuturan masyarakat, Thailand terutama di wilayah selatan negara berkenaan. Hal ini disebabkan majoriti masyarakat yang mendiami wilayah selatan tersebut merupakan masyarakat Melayu Pattani yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan harian mereka di samping menggunakan bahasa Thailand
Wilayah Selatan Thailand meliputi tiga wilayah Selatan utama, iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat. Masyarakat Melayu Pattani mempunyai budaya, adat istiadat, dan penampilan yang sama seperti masyarakat Melayu di Malaysia.
Bahasa Melayu Pattani merupakan bahasa ibunda (bahasa pertama) bagi penduduk di kawasan tersebut, termasuk empat daerah di wilayah Songkhla (termasuk Thepa, Chana, Nathawi dan Saba Yoi). Menurut Paitoon (2005:53), sekitar 75 peratus daripada penduduk kawasan ini merupakan orang Melayu yang beragama Islam dan berbahasa Melayu Pattani, manakala 25 peratus lagi bukan Melayu.
Masyarakat Melayu Islam di tiga wilayah selatan Thailand ini, menyebut diri mereka sebagai “Orang Na yu” yang bermaksud orang Melayu. Bahasa yang mereka guna dalam komunikasi harian mereka juga dikenali sebagai “Baso Nayu” atau “Bahasa ‘Na yu” yang bermaksud bahasa Melayu.
Dalam masyarakat umum, bahasa Melayu Pattani ini sering disebut sebagai “Bahasa Yawi”, “Bahasa Islam”, “Bahasa Khaek”, “Bahasa Melayu setempat” dan “Bahasa Melayu setempat Pattani”.
Sebenarnya, “Yawi” bukanlah nama bahasa tetapi merujuk kepada tulisan Arab yang disesuaikan untuk menulis dalam bahasa Melayu. “Islam” ialah nama agama, bukan nama bahasa. Sering kali orang Thailand beragama Buddha menyebut bahasa Melayu Pattani ini sebagai “Bahasa Khaek”. Istilah ini tidak disenangi oleh masyarakat Melayu Pattani kerana bagi mereka, perkataan “Khaek” membawa maksud penghinaan.
Bahasa Melayu Pattani ialah bahasa setempat yang digunakan di kawasan bekas kerajaan Pattani yang meliputi wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat pada masa sekarang. Oleh itu, bahasa Melayu setempat ini lebih tepat disebut sebagai “Bahasa Melayu Patani”.
Istilah “bahasa Melayu setempat” bermaksud bahasa setempat bagi bahasa Melayu tanpa menunjukkan kawasan penggunaannya. Istilah “bahasa Melayu setempat Pattani” bermaksud bahasa setempat bagi bahasa Melayu yang digunakan di kawasan Pattani. Jika dilihat dari aspek makna perkataan, “Pattani” merujuk kepada wilayah Pattani pada masa sekarang dan tidak termasuk wilayah Yala, Narathiwat dan beberapa daerah di Songkla.
Menelusuri sejarahnya, suatu ketika dahulu selatan Thailand merupakan tempat tinggal masyarakat Melayu. Apabila Kerajaan Thailand menguasai kawasan ini, orang Melayu di kawasan ini terpaksa berubah menjadi warganegara Thailand (Chai Ruangsilapa 1974 dalam Worawit Baru, 2001m hlm. 121).
Mereka juga diwajibkan menganggap diri mereka berbangsa Thailand dan berketurunan Thailand, walaupun pada hakikat sebenarnya mereka ini berketurunan Melayu dan berbangsa Melayu.
Kerajaan Thailand telah berusaha untuk mengubah keunggulan budaya dan bahasa di kawasan ini dengan memindahkan orang Thailand dari utara ke tiga wilayah selatan. Situasi ini menjadikan bahasa Thailand mula memainkan peranan penting dalam kehidupan harian dan dalam sistem pendidikan masyarakat Melayu.
Kesannya, generasi selatan Thailand yang berusia bawah 40 tahun yang mampu berkomunikasi dalam dialek Melayu semakin berkurangan kerana negara Thailand menitikberatkan sistem pendidikan sekolah di seluruh negara dalam bahasa Thai. Masyarakat tempatan juga wajib fasih berbahasa Thailand standard yang merupakan bahasa kebangsaan Thailand. Hal ini menyebabkan bahasa Melayu Patani semakin hari semakin merosot.
Penggunaan bahasa Melayu di selatan Thailand mengalami kemerosotan meskipun ada rasa pemilikan dan identiti dalam kalangan penuturnya. Sikap dan kebiasaan generasi muda dan penduduk bandar menunjukkan bahawa tanpa tindakan yang sewajarnya, bahasa Melayu mungkin akan pupus.
Menurut ahli linguistik seperti Krauss (1992), “Sebanyak 90% bahasa di dunia akan pupus menjelang akhir abad ini atau sedikit selepas itu”. Dewasa ini, keluarga Melayu di tiga wilayah selatan Thailand semakin hari semakin luntur darjah kesetiaan mereka terhadap bahasa ibunda mereka.
Walaupun datuk nenek mereka bertutur dalam bahasa Melayu, namun kini mereka yang berpendidikan dan mempunyai kedudukan yang tinggi lebih selesa menggunakan bahasa Thailand dalam pergaulan harian mereka. Generasi muda juga mula seronok menggunakan bahasa Thailand disebabkan sistem pendidikan yang mengutamakan bahasa Thailand.
Keadaan ini memberikan gambaran kejayaan kerajaan Thailand dalam mewujudkan integrasi nasional dalam kalangan masyarakat Melayu. Namun demikian, kejayaan ini memberikan kesan negatif terhadap kedudukan bahasa Melayu Pattani di tiga wilayah selatan Thailand.
Pengaruh bahasa Thailand yang sangat kuat dan beberapa polisi yang bertujuan untuk menghapuskan bahasa Melayu Pattani merupakan faktor utama yang menyebabkan bahasa ini semakin lemah. Ahmad Fathi (2001) menyatakan bahawa bahasa Melayu Patani hanya digunakan dalam pergaulan harian, penyampaian khutbah dan pengajaran agama di masjid atau madrasah. Bahasa Melayu tidak lagi digunakan dalam urusan rasmi kerajaan, media massa, papan tanda dan lain-lain.
Kesimpulannya, usaha dan tindakan yang tersusun dan berterusan perlu dilakukan bagi mengekalkan kedudukan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat selatan Thailand agar bahasa Melayu terus terpelihara dan kekal diwarisi oleh generasi akan datang.