Skip to content
Banjir di Mata, Basah di Hati
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Banjir di Mata, Basah di Hati
Banjir di Mata, Basah di Hati
Cerpen

Banjir di Mata, Basah di Hati

  • wan a.rahim
  • 5 Mac 2025
  • DBP Wilayah Timur
  • 227
  • 4.8

BANJIR besar yang melanda tahun 2014 dianggap sebagai bencana oleh sesetengah orang, tetapi tidak bagi atuk. Dia diam dan hanya menyendiri sambil termenung di jendela, melontar pandangannya ke sekeliling. Atuk tidak banyak bercakap, hanya sesekali mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu, mungkin berwirid atau berzikir.

Rumah atuk masih ada sisa-sisa lumpur yang belum hilang. Rumahnya agak tinggi, belum pernah dinaiki air walaupun seinci. Banjir kali ini benar-benar mencatat sejarah, namun atuk tidak menganggapnya sebagai bencana tetapi umpama rezeki yang cukup indah dan bermakna dalam hidupnya.

Perwatakan atuk kadang-kadang agak aneh dan pelik. Dia lebih suka menyendiri sambil melihat alam sekeliling dan bibirnya selalu tersenyum.

“Ingat cu, hujan itu rahmat. Walaupun ia mendatangkan bencana seperti banjir dan mampu meranapkan harta benda dan kediaman, tetapi sebenarnya ia merupakan rezeki yang tidak ternilai harganya,” ujar atuk kepada cucunya, Aliff.

Cucu yang berusia delapan tahun hanya diam dan terlopong. Matanya berkelip-kelip melihat atuk bersandar di tepi dinding rumahnya yang masih ada sisa-sisa banjir.

“Rezeki itu ialah sesuatu yang menenangkan jiwa, bukan yang mengenyangkan perut dan nafsu sahaja. Semua yang kita peroleh ini merupakan rezeki dan anugerah. Hadirnya kita ke dunia ini pun merupakan rezeki untuk memeriahkan alam ini. Rezeki bagi alam kerana menerima kita seadanya,” tambah atuk.

Aliff hanya diam mengangguk. Entah faham atau tidak. Sesekali dia menongkat dagu atau memeluk lutut. Matanya asyik merenung ke wajah atuk yang  kelihatan tenang dan asyik tersenyum.

“Cucu datang ke mari pun rezeki bagi atuk kerana menemani atuk di kala sunyi. Hujan juga bagaikan bisikan dari langit yang menurunkan kata-kata untuk melembutkan hati manusia. Sebagaimana hujan melembutkan seisi bumi yang sekeras waja,” tambah atuk lagi.

Aliff masih lagi diam sambil merenung wajah atuk yang jernih dan ada kedut di pipi. Janggut putih dilurut-lurutkan atuk beberapa kali.

“Hujan itu bukan hanya titisan air yang membasahkan bumi, tetapi juga taburan ilmu yang menyejukkan hati,” atuk bersuara lagi.

Atuk kemudian mengambil sehelai kertas bertulis tangan. Ditatap dan dibacanya tulisan tersebut perlahan-lahan. Aliff diam mengamati kata-kata atuk dengan penuh tekun dan minat.

 

Banjir di mata, Basah di hati

 

Dari Dabong ke Laloh

dari Laloh ke Manek Urai

singgah pula di Kampung Karangan

kemudian ke Kampung Pemberian

suatu pemandangan yang amat

menyedihkan

sayu pilu dan air mata

tanpa diminta

tanpa diduga

tumpah jua.

 

Benarlah kata orang

ia bagaikan tsunami

setiap mata yang memandangnya

menyentuh rasa

dugaan apakah yang datang ini?

 

Dari Temalir terus ke Guchil

singgah pula di Bandar Kuala Krai

ah, bandarnya sunyi sepi!

bagai dilanda petaka

namun semua itu terselit rahsia

kerana setiap yang berlaku itu

adalah pemberian Tuhan.

 

Ianya rencana yang cukup indah

Dia memberikan yang terbaik untuk kita

bagaikan banjir di mata

namun basah di hati.

 

Atuk diam lagi. Dilontar pandangannya ke luar jendela, melihat sampah sarap yang belum dikutip. Kemudian dia kembali menatap kertas di tangannya. Atuk teringat zaman silamnya, zaman kegemilangannya dahulu sebagai seorang penyair.

Benarlah kata atuk. Hujan itu rahmat, banjir itu hikmah. Terlalu banyak rahsia yang tersembunyi di sebalik kejadian yang berlaku.

Selama hayatnya, atuk pernah berkata bahawa dunia ini bagaikan ranting. Seperti burung-burung yang singgah di ranting sebagai tempat persinggahan sebelum meneruskan kehidupan. Kita sebagai manusia pun begitu juga. Dunia ini umpama ranting, tempat persinggahan sebelum meneruskan lagi kembara menuju ke sebuah tempat persinggahan yang lain.

Kita datang tidak meminta tetapi pergi disuruh pula. Ajaibnya kehidupan ini. Kehidupan disediakan hanya untuk orang-orang yang mengerti.

Setiap saat ialah perjuangan dan menuntut kesabaran manusia.

“Kita ini bagaikan sebuah alam. Bukit dan gunung umpama pasak, demikian juga otak dan akal yang tersimpan di puncaknya, iaitu kepala. Alur dan sungai yang mengalir airnya ialah saraf yang menghidupkan dan menyegarkan tubuh manusia. Lihat sahaja apabila kepala seseorang dibotakkan, air yang dijirus di kepala akan meluncur laju ke seluruh tubuh tanpa sekatan,” begitu mendalam kata-kata atuk.

Ah, alangklah harmoninya kehidupan ini jika semuanya mengikut hukum dan ketentuan tanpa merosakkan atau memindanya!

***

Kini atuk sudah tiada, namun kata-katanya masih terngiang-ngiang di telinga Aliff.

“Ingat cu. Suatu hari nanti, cu akan dapat melihatnya. Semua akan dapat dirasai. Apabila kepala dibotakkan, air yang terjirus tidak akan tertahan lagi. Kesabaran itu ialah rezeki yang paling mahal dan mulia,” terbayang-bayang gelagat atuk ketika itu.

Benarlah kata-kata atuk, hidup ini disediakan untuk orang-orang yang mengerti. Aliff yang kini berusia belasan tahun sudah mula mengerti dan faham apa yang pernah dituturkan oleh atuknya dahulu.

Setelah membersihkan rumahnya yang dinaiki air beberapa hari yang lalu, Aliff pulang ke kampung menjenguk rumah peninggalan atuk yang kosong dan terbiar itu. Mungkin tahun ini banjir akan datang lagi akibat sikap manusia yang rakus menarah bukit dan gunung sebagaimana jahil dan gelojohnya manusia membotakkan akhlak dan iman mereka.

Tanpa sedar hujan terus menitis membasahi pipi Aliff, umpama air yang mengalir dan tiada sekatan. Dibiarkannya banjir di mata dan tentu sekali basah di hati.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #cerpenkehidupan (2) #dbpselatan (14) #karyasastera (15) #penulis (5) #penulisbaharu (16) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (5) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (15) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (2) #wadahdbp (4) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) bengkel (2) budaya (2) cerpen (9) dbpcawangansabah (5) dbpcawangansarawak (16) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (8) puisi (23) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) ramadhan (2) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Aku Bukan Pengkhianat!
Cerpen

Aku Bukan Pengkhianat!

  • 14 Ogos 2024
  • 195
  • 4.9
Gadis Kecil Bertocang Dua
Puisi

Gadis Kecil Bertocang Dua

  • 5 Februari 2025
  • 77
  • 4.8
Lia
Cerpen

Lia

  • 20 Ogos 2024
  • 143
  • 4.9
Sejarah Penerbitan Akhbar Berbahasa Melayu di Sabah
Bicara Bahasa

Sejarah Penerbitan Akhbar Berbahasa Melayu di Sabah

  • 5 Ogos 2023
  • 249
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP