Kemaman merupakan pintu gerbang kemasukan pelancong atau sesiapa sahaja yang dalam perjalanan ke Pantai Timur melalui Pahang. Daerah ini menjadi laluan wajib singgah kepada semua pengunjung sama ada melalui jalan pantai, jalan lama ataupun melalui Lebuh Raya Pantai Timur. Pengunjung akan keluar melalui Plaza Tol Chukai untuk sampai ke sini.
Daerah Kemaman terkenal sebagai bandar minyak dan berfungsi sebagai bandar penjana ekonomi utama dalam penghasilan keropok. Bandar ini juga sinonim dengan jajaran pantai yang cantik dan menyimpan khazanah sejarahnya tersendiri. Mengikut kajian, para pedagang pada zaman dahulu kerap menggunakan laluan di daerah ini sejak abad ke–17 lagi.
Kebanyakan pedagang yang beragama Islam telah membawa bersama budaya dan agama anutan mereka ke sini. Salah satu monumen dan tinggalan sejarah yang masih kekal dan dapat dikaji asal usulnya sehingga kini ialah masjid.
Terdapat beberapa buah masjid di daerah ini yang menjadi mercu tanda kedatangan Islam dan mempunyai ciri-ciri unsur budaya dari luar Terengganu. Contohnya Masjid Engku Haji Mahmud di Pasir Gajah, Binjai, Kemaman dan Masjid Lama Kampung Tuan di Chukai, Kemaman.
Masjid Engku Haji Mahmud
Masjid Lama Kampung Tuan
Masjid Engku Haji Mahmud dikaitkan dengan Kerajaan Jambi yang terkenal suatu ketika dahulu. Beberapa orang kerabat diraja dikatakan berhijrah ke Tanah Melayu untuk menyelamatkan diri mereka. Dalam catatan Sejarah Melayu ada menukilkan perihal Kerajaan Jambi yang terbina sekitar abad ke–4 sehingga abad ke-13. Kerajaan ini terletak di Sumatera, Indonesia. Lokasi geografinya adalah sekitar 200 km dari Palembang.
Mengikut catatan pada replika informasi yang dibina oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pasir Gajah, Engku Haji Mahmud bin Tengku Abu Bakar (tiga beradik) dan sepuluh orang pengikutnya terpaksa melarikan diri setelah Kerajaan Melayu Jambi tumpas di tangan Belanda pada tahun 1914. Abangnya, Tengku Abdul Karim bin Tengku Abu Bakar merupakan Temenggung Kerajaan Jambi pada masa itu. Mereka telah belayar ke Tanah Melayu menggunakan jalan air dan darat dalam tempoh kira-kira tiga bulan.
Menurut waris terdekat atau pemegang amanah yang menjaga tinggalan tersebut, Tengku Abd Jabar bin Haji Engku Mahmud, 70, pada ketika itu, mereka menjadi buruan pihak Belanda dan terpaksa meninggalkan istana demi keselamatan.
“Dahulu terdapat sungai yang masih berfungsi sebagai jalan utama air dan memudahkan pengangkutan ke tempat ini. Namun kini telah bertukar menjadi daratan dan hutan,” katanya yang merupakan anak kelima daripada enam beradik Almarhum Engku Haji Mahmud. Beliau merupakan anak kepada Jemilah, iaitu isteri ketiga Almarhum.
Menurut Tengku Abd Jabar lagi, nama kampung ini juga berasal dari peristiwa penghijrahan Temenggung Abd Karim, adik-beradik serta pengikutnya.
Anak kelima Almarhum Engku Haji Mahmud, Tengku Abd Jabar bin Engku Haji Mahmud
“Nama Pasir Gajah ini diambil bersempena dengan pembukaan kawasan ini. Ketika awal-awal penerokaannya dahulu, terdapat alur sungai berpasir yang menjadi tempat beberapa ekor gajah bermain dan mandi. Pada waktu malam, gajah-gajah itu menghilang. Lalu mereka menamakan tempat tersebut Pasir Gajah,” jelas Tengku Abd Jabar lagi.
Di sekeliling kawasan itu telah didirikan beberapa buah rumah sanak saudara keturunan Tengku. Binaan dan ciri-ciri rumah mereka mirip seni bina komuniti Jambi. Sebuah masjid juga dibina pada tahun 1939, diusahakan sebagai tempat berkumpul dan melaksanakan ibadat. Masjid ini mula menjadi tumpuan penduduk sekitar bagi tujuan beribadat.
Masjid inilah yang dikenali sebagai Masjid Engku Haji Mahmud. Pelbagai aktiviti keagamaan telah dijalankan di sini. Di samping menjadi tempat solat berjemaah dan bersosial, masjid ini juga dijadikan pusat dakwah dan penyebaran agama Islam.
Masjid ini mempunyai keluasan sederhana dan strukturnya menerapkan beberapa unsur budaya Jambi dan Sumatera. Bahagian puncak kubahnya kelihatan seperti bentuk buah nanas. Sementara di bahagian atas bumbung pula terdapat bentuk seakan-akan duri mata nanas. Berdasarkan rujukan, buah nanas dikatakan amat signifikan dengan masyarakat di Provinsi Jambi, Indonesia. Kebanyakan petani menanam dan menjalankan perusahaan nanas sebagai komoditi utama mereka.
Walaupun usia masjid tersebut sudah lebih 80 tahun, beberapa struktur dan binaan asalnya masih kukuh. Mimbar yang diperbuat daripada kayu cengal masih utuh dan digunakan sehingga kini. Mimbar ini juga menunjukkan masjid tersebut telah menjadi tempat menunaikan solat Jumaat dan bilangan penduduk sekitar kian bertambah.
Mimbar masjid yang masih utuh
Dua batang tongkat kayu yang biasanya digunakan ketika khatib membaca khutbah Jumaat juga kelihatan masih kekal di tempatnya. Masjid tersebut dapat menampung kira-kira 150 orang jemaah pada setiap kali waktu solat.
Tongkat untuk khatib membaca khutbah
Di kawasan belakang masjid pula menempatkan tanah perkuburan generasi ini. Beberapa keturunan Engku Haji Mahmud telah disemadikan di sini termasuklah jasad Almarhum.
Tanah perkuburan di sebelah masjid
Pusara Allahyarham Engku Haji Mahmud
Di kawasan hadapan masjid turut tersergam indah Rumah Jambi yang menjadi lambang kerabat Kerajaan Jambi sebagai peneroka awal di sini. Selain berfungsi sebagai tinggalan khazanah rumah adat silam, masjid ini juga dijadikan tempat pemindahan sementara mangsa banjir di kampung tersebut.
Rumah Jambi
***
Sebuah lagi masjid terawal yang dibina di daerah Kemaman ialah Masjid Lama Kampung Tuan, terletak kira-kira 2 km dari bandar Chukai. Masjid ini mempunyai kisah dan sejarahnya yang tersendiri. Masjid yang dibina pada tahun 1830 ini merupakan masjid pertama di daerah tersebut.
Masjid induk yang berukuran 9.14 meter x 9.14 meter segi empat tepat ini diperbuat daripada kayu cengal dan masih bertahan sehingga sekarang. Terdapat 12 tiang asal yang disambungkan dengan bahagian-bahagian lain menggunakan pasak tanpa sebatang paku pun.
Struktur masjid yang hanya menggunakan pasak tanpa paku
Menurut catatan, masjid tersebut telah dibina oleh seorang ulama dari Patani bernama Syed Abd Rahman bin Haji Abd Samad. Ketika hayatnya, beliau menjadikan masjid ini sebagai pusat pengajian agama untuk penduduk setempat. Keturunan beliau dikatakan berasal dari Palembang, Indonesia dan kemudiannya berhijrah ke Patani, Siam sebelum datang ke Terengganu.
Masjid yang terletak di pinggir Sungai Limbong ini menjadi tumpuan para pedagang, pendakwah dan nelayan pada masa itu. Pernah dicatatkan bahawa Abdullah Munsyi juga pernah singgah dan menunaikan solat di sini ketika dalam perjalanan beliau ke Kelantan.
Bumbung bertingkat menunjukkan ketinggian teknologi seni bina pada masa itu. Pada puncak bumbung masjid ini terdapat replika ‘Buah Butong’ yang dikenali juga sebagai tunjuk langit. ‘Buah Butong‘ diperbuat daripada tembaga dan menjadi pedoman buat para nelayan pulang dari laut pada zaman dahulu.
Binaan bumbung bertingkat
‘Buah Butong‘ daripada tembaga yang menjadi pedoman para nelayan
Sudut mihrab imam diperbuat daripada sebatang kayu balak yang ditebuk, berbentuk separuh bulatan dan menjadikannya sangat unik. Dekorasi bahagian atasnya dibentuk seakan-akan kubah melengkung ke dalam manakala ukiran yang bermotifkan tumbuhan dan tulisan khat diterapkan pada bahagian atasnya.
Mihrab yang dibentuk daripada belahan kayu balak masih kelihatan elok
Satu lagi keunikan masjid ini ialah terdapat tingkap kecil berukuran 60 sentimeter di sekeliling ruang solat. Tingkap tanpa daun ini disempurnakan dengan jeriji kayu yang dipotong berbentuk segi tiga dan dipasang melintang. Tingkap kecil ini berperanan sebagai sisip angin yang membenarkan semilir masuk ke ruang solat dan memberi kesegaran kepada jemaah.
Pintu masuk ke Masjid Lama Kampung Tuan
Masjid Lama Kampung Tuan ini menjadi pusat penyebaran ilmu agama yang penting pada awal penubuhannya, bahkan terdapat sebuah telaga yang menjadi tumpuan penduduk sekitar untuk mendapatkan bekalan air.
Telaga yang sehingga kini masih digunakan
Kini, Masjid Lama Kampung Tuan bertaraf surau bagi penduduk sekitar kerana adanya Masjid Sultan Ahmad yang lebih luas dan selesa serta dapat menampung bilangan jemaah yang kian bertambah.
Dua khazanah bersejarah ini harus dipulihara dan dipertahankan untuk rujukan generasi akan datang. Kerajaan Negeri Terengganu telah mengisytiharkan kedua-dua buah masjid ini sebagai bangunan warisan demi mengekalkan kelestariannya .