Demi pembangunan ekonomi, jalinan kasih dan ikatan persaudaraan, keputusan Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar pada tahun 1920 untuk membina sebuah jambatan pertama yang menghubungkan Tanah Melayu dengan Singapura merupakan keputusan paling bijak dan tepat. Pemikiran baginda amat jauh mendahului masa sehingga kesannya dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia dan Singapura hingga ke hari ini. Perpisahan Malaysia dengan Singapura pada tahun 1965 tidak menjejaskan hubungan baik dua negara ini, malahan Tambak Johor terus menjadi lambang ikonik yang memperkukuh hubungan dua hala dan simbol pembangunan negeri Johor. Baginda memikirkan isu penyelesaian kesibukan laluan laut pada kurun ke-19 sehingga menjadikan Singapura sebagai tumpuan pelabuhan kapal-kapal dagang. Perancangan pembinaannya ditangguhkan kerana perubahan kedalaman laut antara 14 hingga 21 meter pada ketika itu tidak memungkinkan pembinaan sebuah jambatan. Akhirnya kerajaan Johor memutuskan untuk menambak perairan tersebut bermula pada tahun 1919. Kubik batu granit diambil dari kawasan Bukit Timah dan Pulau Ubin sebagai material utama pembinaan Tambak Johor.
Tambak Johor telah direka bentuk dengan ukuran 60 kaki lebar dengan dua landasan kereta api dan jalan raya seluas 26 kaki. Tambak ini berukuran 3,465 kaki dengan ketinggian 47 kaki dari paras air. Sebuah pembentung air telah dibina di hujung tambak yang bertujuan untuk menyekat aliran sampah yang memasuki pintu air. Pintu air berkeluasan 170 kaki panjang dan 32 kaki lebar. Keluasan ini memudahkan laluan kapal dagang yang lalu-lalang dan berlabuh di Selat Tebrau tanpa henti. Bahagian bawah pintu air dibina pula saluran khas untuk membawa air bagi kegunaan harian rakyat Singapura ke pusat rawatan air Singapura. Terdapat huruf “S” di tembok sempadan Singapura dan huruf “J” di tembok sempadan negeri Johor bagi mewakili wilayah masing-masing. Inilah tembok yang terletak di tengah-tengah tambak yang dibina sejak awal pembinaannya. Reka bentuk Tambak Johor telah diilhamkan oleh Messrs, Coode, Fitzmaurice, Wilson dan Mitchell, iaitu panel jurutera dari Westminster dan kontrak pembinaannya diserahkan kepada Messrs, Topham, Jones dan Railton Limited, London.
Tambak Johor siap dibina dalam tempoh empat tahun dan dirasmikan oleh Sultan Ibrahim pada 28 Jun 1924. Laluan Tambak Johor merupakan lintasan sempadan Woodlands di antara Malaysia dengan Singapura. Tambak Johor merupakan penghujung wilayah Singapura dan permulaan bagi wilayah Malaysia. Kini tambak yang sepanjang 1056 meter dengan binaan kubik batuan granit mencecah usia 100 tahun pada tanggal 28 Jun 2024. Sejarah tercipta sekali lagi apabila sambutan ulang tahun pembinaannya disempurnakan oleh generasi kelima kesultanan Johor, iaitu Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Pembinaan Tambak Johor menghadapi cabaran yang bukan sedikit terutamanya semasa perang dunia kedua. Teknologi pempaipan dan saliran air bersih dari Johor ke Singapura telah siap dan digunakan sepenuhnya semenjak tahun 1926, namun pihak British terpaksa meletupkan sebahagian daripada Tambak Johor untuk menghalang kemaraan tentera Jepun memasuki wilayah Singapura. Apabila Jepun menduduki Singapura pada tahun 1942, kerosakan Tambak Johor dibaik pulih oleh tentera Jepun. Pemulihan dan penyelenggaraan secara berterusan oleh tentera Jepun menjadikan Tambak Johor sebagai laluan darat terpenting di Tanah Melayu dan Singapura pada ketika itu. Pada tahun 2003 kerajaan Malaysia telah berunding dengan Singapura untuk membina jambatan bengkok bagi mengatasi masalah kesibukan dan kesesakan lalu lintas di Tambak Johor sekali gus menggantikan Tambak Johor. Acap kali Tambak Johor menjadi polemik politik dan percaturan antara dua negara berdaulat. Namun cadangan tersebut tidak dapat disepakati secara tuntas dan Singapura masih memberikan keyakinan bahawa Tambak Johor masih boleh digunakan walaupun teknologi moden mampu menggantikannya. Menjelang 2019 hingga 2021, Tambak Johor menerima tempias akibat pandemik COVID-19 sehingga laluan darat yang disenaraikan sebagai laluan paling sibuk di dunia ini telah menjadi laluan paling sepi apabila pemerintah Singapura menutup sempadan negaranya daripada kemasukan warganegara asing termasuklah rakyat Malaysia.
Tambak Johor menjadi jambatan pertama dibina pada tahun 1920 yang membolehkan kenderaan darat menyeberangi Selat Johor dari Johor Bahru ke Woodlands. Keperluan mendesak pada ketika itu akhirnya membawa manfaat kepada hampir 350,000 rakyat Johor untuk berulang-alik dari Johor ke Singapura terutamanya bagi tujuan mencari rezeki dan ukhwah keluarga.
Dunia telah menyaksikan Tambak Johor menjadi laluan darat paling sibuk di muka bumi ini dengan aliran trafik yang tidak pernah surut sehingga menimbulkan polemik politik pada satu-satu masa. Perayaan tahunan seperti Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri yang disambut serentak oleh kedua-dua negara berjiran ini telah menyumbang pada kesesakan melampau di Tambak Johor. Namun demikian, dengan inisiatif Kerajaan Negeri Johor sebuah kompleks yang menempatkan fungsi Jabatan Kastam, imigresen dan kuarantin telah dibina pada tahun 2008 di bawah projek Gerbang Selatan Bersepadu. Kompleks CIQ tersebut yang dinamai dengan nama Bangunan Sultan Iskandar (BSI) telah berjaya mengawal pergerakan trafik di Tambak Johor yang menghubungkan Lebuh Raya Penyuraian Timur Johor itu dengan Woodlands, Singapura. Kesibukan inilah sebenarnya lambang keakraban pemimpin dan rakyat bagi kedua-dua negara walaupun kepimpinannya silih berganti. Malaysia dan Singapura saling memerlukan dan Tambak Johor menjadi saksi perubahan kemodenan landskap ekonomi bagi Johor dan Singapura. Rutin rakyat Singapura yang memasuki Tambak Johor untuk membeli-belah dan melancong memungkinkan perkembangan sihat pengukuhan ekonomi terutamanya bagi negeri Johor. Nilai hartanah di negeri Johor terutamanya di Johor Bahru meningkat saban tahun terutamanya di zon antarabangsa. Projek-projek hartanah inilah menjadi pemangkin dan pemacu utama ekonomi negeri Johor. Pertukaran nilai mata wang dolar Singapura yang jauh lebih tinggi berbanding ringgit Malaysia menjadikan ruang lingkup kawasan perumahan dan hartanah di Johor Bahru menjadi pilihan rakyat Singapura untuk mendiaminya. Tidak hairanlah jika mereka menjadikan Johor sebagai rumah kedua mereka selaras dengan kemampuan dan perkembangan pesat ekonomi.
Pengurusan dan pentadbiran Tambak Johor kini lebih bersistematik apabila pusat pemeriksaan imigresen telah memisahkan laluan motosikal dan kereta dengan pembukaan 38 kaunter dari laluan Singapura dan 39 kaunter bagi kenderaan yang berlepas dari Malaysia. Manakala 50 kaunter di setiap arah untuk motosikal yang memasuki dan melepasi Malaysia. Begitu juga halnya dengan pemeriksaan kastam yang membuka 36 kaunter untuk kereta dan 25 kaunter untuk laluan motosikal. Hal ini secara tidak langsung telah melancarkan aliran trafik bagi kedua-dua laluan keluar dan masuk antara Malaysia dan Singapura. Tiada lagi pengangkutan air seperti feri dan sampan yang digunakan pada sekitar tahun 1920-an untuk tujuan perdagangan kerana laluan Tambak Johor telah ditambah baik dari semasa ke semasa. Pelabuhan besar barang dagangan dari seluruh pelosok dunia telah membawa negara republik itu ke arah jaringan ekonomi yang lebih luas ditambah lagi dengan kemudahan infrastruktur di sekitar BSI.
Tercipta sejarah pada 28 Jun 2024 apabila majlis sambutan 100 tahun Tambak Johor disempurnakan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor di titik pangkal (Zero Point), Tambak Johor. Seratus ekor burung merpati telah dilepaskan sebagai simbolik seabad usia Tambak Johor yang bebas daripada ancaman dan pergolakan. Hubungan rapat Malaysia dan Singapura berterusan sehingga hari ini dengan jalinan politik yang baik oleh Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dan TYT Dr. Vivian Balakrishnan, Menteri Luar Singapura yang turut hadir meraikan majlis tersebut. Turut diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-100 Tambak Johor ini ialah Pameran Sambutan 100 Tahun Perasmian Tambak Johor di Muzium Tokoh, Bukit Senyum, Johor Bahru.
Demikianlah, Tambak Johor masih relevan hingga hari ini dan mungkin juga untuk 100 tahun akan datang.