‘’Kesusasteraan bukanlah taman bunga tempat orang yang sesekali datang berehat menghirup udara segar dalam masa lapangnya. Kesusasteraan ialah rumah dan kehidupan manusia yang berombak dan bergelombang, dengan denyut nafas dan degup jantungnya.’’
Usman Awang dan A. Samad Said,
(Tema dan Tugas Sastera Melayu )
Kesusasteraan juga menjadi rumah kepada pelbagai tragedi dalam kehidupan manusia. Dalam tradisi drama Yunani, tragedi digerakkan oleh nasib, keperluan, peluang dan campur tangan para dewata (Raymond Williams, 1966).
Penderitaan watak utama melambangkan penderitaan seluruh manusia. Namun dalam karya sastera moden, tragedi adalah berkenaan satu aturan hidup dan musibah yang tiba, kejatuhan wira, tindakan yang tidak boleh diundur kembali serta ikaitannya dengan kematian dan tumpuan kepada kejahatan.
Tulisan ini akan membincangkan beberapa puisi terpilih karya Sasterawan Negara ke-13, iaitu Dato’ Dr. Zurinah Hassan (selepas ini Zurinah Hassan) daripada pandangan tragedi hidup moden.
Setiap kali membaca puisi Zurinah Hassan, latar dan wataknya yang terus hidup dan dapat digambarkan. Beliau bukan lagi bermain-main di alam perasaan atau alam yang abstrak.
Kata-kata yang hidup dan menepati realiti itulah metafora bagi karya-karya Zurinah. Puisi bukan sekadar longgokan kata-kata indah, bercanda dengan unsur alam dan watak manusia. Peristiwa-peristiwa kecil yang dialami setiap hari juga boleh menjadikan puisi seseorang itu besar, baik dari segi maknanya mahu pun nilai tragisnya.
Terdapat puisi beliau yang dipetik daripada kumpulan Menunggu Pesawat (DBP, 2021), berjudul Suara Yang Hilang. Puisi ini berkisar kepada Karim, iaitu seorang penjual video cakera padat (VCD) di pasar malam. Ini sebuah puisi yang mempunyai kejutan plot. Puisi dimulakan dengan kisah seorang penjual VCD yang mendapat rezeki daripada VCD ceramah politik dan kemudian bergerak ke kisah pasaran VCD menjadi suram.
Bukanlah kisah kehilangan pendapatan akibat pasaran suram itu yang menarik perhatian. Tetapi kisah kehilangan ‘suara’ tokoh yang VCD ceramahnya pernah menghangatkan pasaran dan menjadi punca rezeki Karim kerana ramai mencari VCD ceramah beliau. Baris yang mengejutkan dan merupakan cerita sebenar dari keseluruhan puisi ini ialah ‘tokoh yang dulu sering mencaci kini telah menjadi menteri’.
Puisi ini satu kritikan terhadap pihak yang sudah berubah arah. Zurinah sangat cakna dengan perkembangan sosiopolitik tanah air. Tokoh yang sering menggegarkan pentas ceramah dan lantang mengkritik pemerintahan terus kehilangan suara sebaik sahaja menjadi pihak pemerintah.
Kitaran ini terus berlaku dan tokoh yang dahulu kelihatan garang dalam perjuangannya tiba-tiba membisu. Segala yang dibantahnya sebelum ini kini diamalkannya sendiri dan inilah tragedi dalam perjuangan seorang politikus.
Puisi Sebuah Kereta Mewah (Dewan Sastera Julai 2021) tidak disolek kata-kata indah dan perlambangan yang sukar difahami. Susunan kata-katanya mudah tetapi menerbitkan kesan perasaan. Baris ‘kakiku tersadung bakul terhumban, terhentak pula pada sebuah kereta’ menerbitkan kesan luluh, kerana bayangan imej watak terus tercetak di ruang fikiran.
Luluh menjadi bertambah pedih apabila membaca rangkap kedua ‘aku hampir terjatuh disuruh segera menjauh’ apabila pemilik kereta memarahi watak utama, kerana lebih risaukan kereta mewahnya yang mungkin tercalar. Seorang tua mengutip barang-barang yang tumpah dari bakul beliannya, dihina dan dimalukan oleh seorang pemilik kereta mewah yang bengis.
Seperti dinamika sebuah drama, kesan perasaan itu berubah kerana pertukaran plot apabila tiba musim pilihanraya. Pemilik kereta mewah menumpangkan watak utama dengan ramah mesra sambil berkempen membeli undi. Pemilik kereta tersebut tidak sedar atau tidak ingat langsung siapa yang ditumpangkannya.
Bahagian pertama puisi ini dilukiskan dengan kesedihan seorang yang terjatuh hampir dilanggar kereta dan dimarahi oleh pemilik kereta yang angkuh. Namun, ini bukan puisi tentang kesedihan atau kemelaratan. Zurinah mahir memberi kejutan dan isi sebenar puisi ini terletak di bahagian seterusnya, iaitu perubahan watak manusia ketika mempunyai kepentingan.
Puisi ini mengangkat tragedi masyarakat moden dan peristiwanya sangat sederhana; bertolak dari kisah pemilik sebuah kereta mewah yang angkuh tetapi kemudian berubah watak semata-mata untuk memenangi pilihan raya. Situasi yang digambarkan mengingatkan penulis kepada filem Tamil, Mandela (Madonne Ashwin, 2021) yang melondehkan sikap sebenar ahli politik semasa musim mengundi.
Penyair Di Kota Kami (Dewan Sastera, Julai 2021) juga bertolak dari satu peristiwa yang dianggap kecil dan remeh; iaitu tabiat menghadiahkan bingkai gambar/lukisan kepada penyair/sasterawan oleh penganjur acara sastera.
Baris ‘’Periksalah dahulu dinding rumah kami’’ bukan sekadar membawa maksud dinding rumah penyair itu sudah penuh dengan bingkai lukisan. Tetapi keadaan hidup penyair itu sendirilah yang harus diperiksa. Penyair memerlukan tunjangan kewangan dan barang keperluan yang lebih bermanfaat berbanding momento yang akhirnya berkarat dan mengumpul habuk.
Puisi ini bertolak dari peristiwa peribadi yang kerap berlaku kepada Zurinah dan ditulis dengan kesedaran bahawa ini adalah tragedi yang berlaku kepada ramai penyair di Malaysia. Ada penganjur acara sastera di Malaysia seolah-olah berbangga apabila dapat menghadiahkan momento berbentuk fizikal kepada penyair dan mencanangkan jumlah harganya. Sedangkan wang untuk membeli momento tersebut boleh dimasukkan dalam jumlah bayaran kepada penyair yang sememangnya tidak besar.
Membaca puisi beliau yang bertajuk Ayahku Dan Willy Loman: Selepas Menonton Produksi ASK (Salasilah, 2016) melontarkan pembaca ke sebuah kedai di kampung dan kemudian ke wajah letih Willy Loman. Pada tahun 2001, Akademi Seni Kebangsaan telah mementaskan sebuah teater bertajuk ‘Death of A Salesman’ yang diangkat daripada naskhah Arthur Miller.
Menemukan satu watak sastera antarabangsa dengan satu watak tempatan membuktikan bahawa pengarang membina watak berdasarkan kehidupan yang dilaluinya serta melompat masuk dari teks sastera antarabangsa ke dalam alam Melayu yang kita kenali.
Puisi Ayahku Dan Willy Loman mempertemukan dua watak dari dua latar geografi berbeza. Puisi dimulakan dengan kisah ayah membuka kedai, tetapi bukan kisah ayah yang ditekankan dalam puisi ini. Zurinah tidak menulis tentang idea-idea abstrak yang sukar dibayangkan tetapi alam tragis yang kita kenal, watak tragis yang kita jumpa setiap hari.
Pelakon yang memegang watak Willy Loman dalam pementasan Akademi Seni Kebangsaan itu ialah seniman hebat, Ahmad Yatim. Keletihan, kehampaan dan tragedi watak penjual bernama Willy Loman terpancar dengan baik.
Mengeluarkan watak dari sebuah teks sastera dan membina wacana baharu terhadap watak dan naratif teks tersebut adalah satu kerja interteks yang dilakukan dengan baik oleh Zurinah. Puisi ini dimulakan dengan kisah hidup Willy Loman, watak tragis dalam Death of a Salesman, yang kemudian bertemu dengan watak ayah, juga seorang penjual, di sebuah kampung di Malaysia;
Arthur Miller mencipta Willy Loman
seorang jurujual Amerika
yang lesu dan buntu
yang letih dan sedih
dalam usia enam puluh tiga
Willy bertemu ayahku yang sebaya
di desa kami di Malaysia
setelah berkenalan mereka duduk di bangku panjang
di bawah pokok rendang
membuka lembar-lembar pengalaman
(Zurinah Hassan, 2005:189)
Perbezaan perjalanan hidup antara dua watak ini diperihalkan melalui rangkap-rangkap berikut;
Setelah berpuluh tahun terkejar
Willy tersungkur dan terkapar
di samping isteri yang sabar
di sisi bil-bil tak terbayar
dan anak-anak tidak terajar.
Willy yang tua dan penat
telah dipecat
dicampak bagai kulit buah-buahan
setelah isi yang manis dimakan
oleh sang majikan
kata Willy tak ada jalan lagi
dia akan membunuh diri
(Zurinah Hassan, 2005: 189)
Cerita ayah sebagai seorang penjual pula diperihalkan begini;
Kata ayah dia masih berkedai di hari tua
bukan untuk mencari keuntungan
jauh sekali mengejar kekayaan
tapi sekadar mengisi masa
tak ternilai rasanya kepuasan
membantu sanak-saudara dan jiran-jiran
rasa bahagia adalah rasa diperlukan.
(Zurinah Hassan, 2005:191)
Willy Loman mengatakan dirinya adalah ‘pasir yang diruntuhkan gelombang’ sedangkan ayah ‘bagai pantai yang tenang’. Ayah merumuskan melalui rangkap berikut;
‘’Tuan di Amerika dan saya di Malaysia
itulah perbezaannya
di sini kampung kecil
yang mengizinkan cita-cita kecil
tuan di kota Amerika yang penuh impian
Amerika adalah litar lumba
tuan mesti terus mengejar dan tercungap
Amerika adalah negara kaya
tuan terpaksa menjadi pelahap.’’
(Zurinah Hassan, 2005: 191)
Zurinah bukan sekadar membandingkan watak dari dua bangsa dan agama berlainan. Selain terdapat unsur dakwah, puisi ini adalah kritik terhadap kemajuan pesat yang menjadikan kita haloba, perlu pantas bergerak lalu apakah ertinya kemajuan jika menghakis ketenangan dan nilai-nilai kekeluargaan. Amerika hanya latar, situasi tragis ini boleh berlaku di mana sahaja.
Kecaknaan Zurinah Hassan terhadap isu-isu dunia hiburan turut dirakamkan melalui puisi Ketika Konsert KRU Diharamkan.
Pada tahun 1997, konsert kumpulan penyanyi terkenal tanah air, iaitu KRU telah diharamkan sehingga memerlukan campur tangan kabinet ketika itu. Kumpulan muzik terkenal ini telah ditohmah, kononnya konsert mereka melibatkan penjualan minuman keras. Puisi ini mengambil sudut pandang yang lebih luas, iaitu pembangunan anak muda di sebuah negara membangun.
Golongan muda ini memerlukan pendidikan, hiburan yang sihat, tempat bermain serta teladan yang boleh diharapkan. Apabila konsert KRU atau beberapa lagi acara hiburan diharamkan terus tanpa pertimbangan yang wajar, hal ini menimbulkan kemarahan anak muda. Zurinah menulis puisi ini dengan mengemukakan situasi kontradik, antaranya baris;kita mengharamkan konsert orang muda/menghalalkan kelab orang tua/ berdangdut dan terhinggut/mengulit dan membelit.
Puisi ini menghantar tikaman melalui rangkap;
Ketika mereka merindukan wira dan idola
berupa penyanyi, bintang komik dan tv
jangan salahkan mereka
kerana wira yang lama telah mati
seperti pemimpin yang pernah mengunjungi
mengajar mereka mengenal harga diri
tiba-tiba mengejutkan negara dengan berita rasuahnya
anak-anak kita terkejut dan amat kecewa
sayap harapan telah patah…
(Zurinah Hassan, 2016:160)
Konsert KRU adalah manifestasi pembangunan belia di negara ini. Penyair mempersoalkan apakah pembangunan dan kemakmuran tanah air sudah dapat dinikmati oleh semua golongan di negara ini? Bagaimanakah generasi muda akan membesar dengan selesa dan sihat, apabila pembangunan tidak seimbang menjejaskan kehidupan mereka, melalui rangkap;
Anak-anak kita berteduh di pasar raya
kerana taring pembangunan telah mengoyak padang permainan
mereka juga ingin berasa selesa
di tanah air merdeka.
(Zurinah Hassan, 2016: 161)
Zurinah merumuskan puisi ini dengan mencetuskan satu pemikiran tentang tragedi dalam pembangunan sahsiah, seperti rangkap ini;
Anak-anak kita
Merekakah yang kehilangan arah
Atau kitakah yang bercanggah
Selagi kita bertelingkah mencari keseragaman
Mereka terus hanyut dalam kebingungan.
(Zurinah Hassan, 2016: 161)
Sejumlah puisi Zurinah Hassan yang dibincangkan membuktikan bahawa dalam zaman yang serba mencabar ini, tragedi moden yang berlaku harus dirakam sebaik mungkin. Penyair tidak perlu lagi berada dalam nuansa romantis dan terlalu bermetafora sehingga kata-kata kehilangan fungsinya. Barangkali di zaman yang segalanya serba mencabar dan menyesakkan dada ini, khayal dalam metafora indah juga adalah satu bentuk tragedi.