AKU berdiri di pantai, memandang laut yang tampak luas dan tenang di hadapanku. Sejak kecil, laut inilah yang menjadi tempat aku mengenal kehidupan – laut yang menyimpan sejarah nenek moyang kami, laut yang menjadi rezeki keluarga kami. Tapi kini, laut yang sama kian tercemar, bisu seperti menyimpan rahsia. Aku tidak tahu sama ada aku masih mendengar suara lautan atau ia telah hilang selamanya.
“Aku hanya mahu laut ini tetap hidup,” bisikku, lebih kepada diriku sendiri.
Ayah selalu berkata bahawa laut ialah ibu yang memberi makan kepada anak-anaknya, tapi kini laut itu seolah-olah semakin suram, tercemar oleh sampah dan minyak yang datang dari tempat-tempat yang jauh. Setiap kali aku melihat tompokan sampah terapung atas permukaannya, hatiku dirundung pilu.
Aku teringat kenangan lama bersama-sama ayah sewaktu kecil. Ketika ombak mula tenang, dia akan mengajarku mendayung bot kecil ke tengah laut, mencari ikan di celah batu karang. Laut pada masa itu terasa lebih jernih dan hidup. Karang-karang berwarna-warni, ikan-ikan berenang riang tanpa gangguan.
Ayah pernah berkata, “Jaga laut ini, Misran. Laut ini tidak hanya untuk kita, tapi untuk generasi yang akan datang.”
Namun, kata-kata itu kini hanya tinggal sebagai ingatan. Dunia sudah berubah. Pencemaran seolah-olah tidak boleh dielakkan lagi.
Suara kawan lamaku, Kim, masih terngiang-ngiang.
“Misran, kau harus cari kerja lain. Lihatlah laut ini. Tak lama lagi, semua ini akan jadi hanya sejarah,” katanya suatu hari sambil memandang air laut yang surut.
Kim yang kini bekerja di bandar, sering pulang ke kampung dengan cerita tentang dunia moden yang katanya menjanjikan kehidupan lebih baik.
Aku tahu kata-katanya benar, namun hatiku tetap berat. Laut ini lebih daripada sekadar sumber rezeki; ia ialah identiti kami. Tapi pada saat yang sama, aku risau tentang masa depan.
Jika laut ini terus tercemar, adakah aku masih bisa bergantung padanya untuk kehidupan anak-anakku?
Aku mendeklamasikan bait-bait puisi yang kucipta ketika sedang termenung di pinggir pantai. Puisi ini menjadi saksi kegelisahan yang meruntun jiwa, antara tradisi yang harus dipertahankan dan masa depan yang kian samar.
Laut yang dulu bicara
kini sunyi tanpa suara
di mana janji yang kaulafazkan
bumi dan langit yang dijanjikan?
Lautmu kian tercemar
sampah dan racun mencemar
apakah kami akan lupa
warisan nenek moyang di dasar samudera?
Aku menarik nafas dalam-dalam, merasakan hembusan angin laut yang berbau asing, seperti bau minyak atau bahan kimia yang tidak pernah kurasakan dahulu.
Aku berbual dengan ayah di beranda rumah.
“Ayah, laut ini semakin kotor. Ikan semakin kurang, bot kita pun sering kembali kosong. Adakah ini masih jalan yang terbaik?” tanyaku, berharap mendapat jawapan yang akan menenangkan hatiku.
Ayah menghela nafas panjang, pandangannya merenung jauh ke laut yang gelap.
“Misran, hidup ini memang penuh pilihan. Kau boleh pilih jalan yang lebih mudah, tapi kau akan kehilangan laut ini. Ingatlah, kita bukan sahaja nelayan, tapi penjaga laut ini.”
Namun, kata-kata itu tidak cukup untuk meredakan kegelisahanku. Aku memandang laut yang seolah-olah mengadu kepada kami. Semakin hari, laut ini membawa sampah yang tak diingini, botol plastik, jaring yang koyak, malah bangkai ikan yang terdampar akibat pencemaran.
Beberapa hari kemudian, aku bertemu Kim yang pulang ke kampung. Wajahnya tampak gembira, seakan-akan dia telah menemui kehidupan yang lebih baik.
“Kau tahu, Misran, hidup di bandar tidak mudah, tapi setidaknya aku punya masa depan,” katanya sambil menyandarkan diri di dinding kayu.
“Apa yang akan jadi pada kampung kita jika semua orang ke bandar?” balasku, sedikit marah.
Namun, dalam hati, aku tahu, aku juga tergoda dengan tawarannya. Tapi setiap kali aku memikirkan untuk meninggalkan laut ini, hatiku seolah-olah dirundung rasa bersalah yang mendalam.
Aku teringat kembali pada laut yang penuh dengan sampah itu, dan aku tidak dapat mengusir bayangan wajah ayah yang menekankan betapa pentingnya menjaga laut ini. Aku tidak ingin anak-anakku melihat laut ini seperti aku melihatnya kini – sebagai sesuatu yang tercemar dan kehilangan jiwa.
Hari demi hari, aku semakin gelisah. Setiap kali aku turun ke laut, aku merasakan seakan-akan tempat ini tidak lagi menerima kehadiranku. Aku tidak dapat menahan rasa bimbang apabila memikirkan masa depan. Adakah aku akan meninggalkan semuanya untuk kehidupan yang lebih baik di bandar, seperti Kim?
Aku terduduk di tepi bot, memandang ke laut yang kian suram. Dalam sejenak, bayangan ayah yang penuh kasih muncul di benakku.
“Ada dua perkara yang tak pernah berubah, Misran,” kata ayah. “Satu, laut ini akan terus ada. Dua, kita tidak boleh melawan takdir.”
Tapi apa yang aku rasa sekarang?
Laut ini, yang selama ini menjadi sahabat, kini hanya membuat aku terperangkap dalam kebingungan.
Aku bangkit dari tempat dudukku, memandang kembali ke arah rumah kami. Ibu sedang sibuk di dapur, seperti biasa. Wajahnya tidak menunjukkan apa-apa, tetapi aku tahu dia tahu apa yang aku rasa. Ibu tidak pernah mahu berbicara tentang masa depan, tentang apa yang berlaku apabila laut tidak lagi menjadi sumber kehidupan kami. Ibu lebih memilih untuk membiarkan segala-galanya berlalu tanpa persoalan, tanpa konflik.
“Aku tidak boleh terus begini,” aku berkata pada diriku sendiri, tetapi aku tahu itu hanya kata-kata kosong.
Keputusan ini bukan mudah. Dalam hatiku, aku masih berasa berat. Akankah aku mengkhianati semua yang telah diajar oleh ayah? Adakah aku akan berpaling daripada warisan keluarga ini hanya kerana takut akan masa depan? Perjalanan hidupku terasa seperti perahu yang tak tentu arah, terkandas di tengah laut tanpa kompas. Aku berdiri di tengah-tengah antara dua dunia, antara tradisi yang aku hargai dan masa depan yang aku impikan.
Di antara langit dan laut aku berdiri
mencari jejak langkah yang hilang
antara harapan yang menggapai
dan kenyataan yang memenjarakan
Aku berdiri lama di pantai, memandang matahari yang hampir terbenam, membawa cahaya jingga yang mengalir di permukaan laut. Laut yang selama ini menjadi rakan karib, kini terasa seperti tempat asing yang penuh misteri. Sebuah dunia yang sudah semakin jauh dari jangkauan aku, dan aku bertanya-tanya, apakah keputusan untuk pergi adalah yang terbaik? Namun, hatiku bergelora. Adakah aku bersedia untuk melepaskan segala yang aku kenal?
Tiba-tiba, sebuah suara memecah keheningan itu.
“Misran,”
Aku tahu itu suara ayah, walaupun terdengar seperti bisikan angin. Aku berpaling, dan dia sudah berada di sana, berdiri dekat batu besar tempat aku duduk tadi.
“Jangan lari dari takdirmu,” kata ayah dengan suara tenang, namun penuh makna.
Aku terdiam, tidak tahu bagaimana mahu menjawabnya. Ayah tidak pernah mengerti perasaan aku. Aku cuba untuk menelan kata-katanya, tetapi ada ketegangan yang tidak dapat aku buang. Apakah takdir yang dimaksudkan ayah?
“Takdir?” aku berbisik. “Ayah mahu aku terus jadi nelayan, walaupun laut ini semakin terhakis, malah tercemar? Apa yang akan kita dapat dari laut ini jika kita terus begini?”
Ayah menggeleng. “Laut ini akan memberi, jika kita tahu cara mengambilnya. Kau tahu, dulu ayah juga seperti kau. Penuh keraguan. Tapi akhirnya, aku mengerti, Misran. Laut ini bukan hanya sumber rezeki. Ia juga sesuatu yang lebih besar, sesuatu yang mengikat kita kepada tanah ini.”
Aku memandang ayah, tetapi perasaan ragu masih menguasai hati. Apakah aku hanya akan terperangkap dalam ilusi warisan ini? Sesekali, aku teringat akan kata-kata Kim yang sentiasa memujuk aku untuk keluar dari dunia ini. Tetapi, ada sesuatu dalam kata-kata ayah yang aku tak dapat nafikan. Laut ini memang ada sejarah dalam darah kami.
Ayah meninggalkan aku sendirian di pantai setelah meluahkan kata-kata yang harus diucapkannya untuk aku berfikir lebih dalam dan membuat keputusan yang tidak akan aku sesali suatu hari nanti. Pantai yang luas dengan hamparan pasir yang memutih menggamit aku untuk melepas lelah dengan berbaring di dadanya. Aku menutup mata dan membiarkan bait-bait puisi terakhir mengalir dalam fikiranku.
Laut yang pernah jernih
kini keruh penuh perih
adakah esok anakku melihat
laut tanpa riak dan hayat?
Aku menyedari bahawa apa-apa pun keputusan yang aku buat, ia akan memberikan kesan bukan sahaja kepada diriku, tetapi juga kepada keluargaku dan laut ini. Aku harus memilih dengan hati yang tenang, bukan hanya kerana tradisi atau tekanan untuk mencari kehidupan yang lebih baik, tetapi untuk memahami apa makna laut ini dalam hidupku dan untuk generasi akan datang.
Setelah malam yang panjang dan penuh kegelisahan, aku menyedari bahawa apa-apa pun yang aku pilih, aku harus bertindak. Jika aku tinggal, aku akan berjuang untuk membersihkan laut ini, walau sedikit demi sedikit. Dan jika aku memilih untuk pergi, aku harus memastikan ada yang akan meneruskan perjuangan ini, agar laut ini tidak dilupakan.
Aku melihat langit yang mulai cerah, dengan sedikit harapan yang menyelinap masuk. Aku tahu, apa-apa pun yang terjadi, aku tidak akan mengabaikan laut ini. Aku mengangkat tangan, menyentuh angin yang bertiup, dan berkata kepada diri sendiri, “Aku akan membuat keputusan yang terbaik, untuk keluarga ini, untuk aku, dan untuk masa depan.”
Di pantai ini aku berdiri
menyambut angin membawa luka
malam merayap membungkus hati
segala keraguan tak tertangguhkan
Langit malam tak mampu memberikan jawapan
hanya bintang berkelip
seperti harapan tak pernah padam
tapi, apakah harapan ini milikku?
Laut telah mengajar banyak
tapi aku mahu belajar yang baharu
sediakah aku tinggalkan jejak kaki
yang tertinggal di pantai yang sama?