RAUF pun bersara. Namun, persaraan Rauf banyak menimbulkan polemik. Ramai yang mempersoalkan mengapa dia ingin bersara pada umur 56 tahun? Mengapa dia tidak sabar untuk menunggu empat tahun lagi? Mengapa dia tergesa-gesa membuat keputusan? Sedangkan dia merupakan seorang Pegawai Penyelidik Muzium Diraja yang cemerlang.
Ramai juga rakan sekerja meminta Rauf membatalkan niatnya untuk bersara, tetapi Rauf tetap dengan keputusannya. Buah fikiran dan tenaga Rauf masih diperlukan di Jabatan Muzium Diraja. Dia tetap akan bersara. Keputusannya telah tersimpul mati. Sesiapa pun tidak boleh merombaknya kembali.
Sehinggalah Kurator Muzium sendiri, Wan Khamis Wan Halif memanggil Rauf bersemuka. Surat permohonan persaraan Rauf masih belum mendapat kelulusan. Wan Khamis agak keberatan untuk meluluskan permohonan Rauf. Wan Khamis merasakan khidmat Rauf masih diperlukan lagi.
“Keputusan saya untuk bersara awal ialah muktamad tuan. Saya tidak ada apa-apa masalah dengan tuan atau dengan jabatan. Keputusan saya ini keputusan peribadi,” jelas Rauf.
Akhirnya, Wan Khamis meluluskan permohonan Rauf. Ahli Lembaga Muzium Diraja memperakukan permohonan Rauf bin Ripin, Pegawai Penyelidik Kanan Muzium Diraja. Orang yang paling sedih dengan persaraan Rauf ialah Wan Khamis. Dia merasakan persaraan Rauf satu kehilangan besar buat jabatannya. Rauf merupakan permata yang sentiasa berkilau.
Wan Khamis sedar Rauf seorang pegawai yang berdedikasi dan cekap. Komitmen beliau terhadap kerja amat tinggi. Dan yang lebih penting, hasil kerja Rauf amat berkualiti. Sehingga kini, tidak ada sesiapa yang mampu menandingi hasil kerja Rauf.
Hasil kerja Rauf memang bertaraf dunia. Dia membuktikan kehebatannya melalui kerja-kerja penyelidikan berkaitan dengan salasilah keturunan raja-raja, nik-nik, wan-wan dan che-che di Kelantan. Semuanya siap pada waktu yang tepat dan amat membanggakan.
Kajian konsisten yang dijalankan selama tiga tahun telah menghasilkan sebuah buku Salasilah Keturunan Kelantan yang lengkap. Asbab buku itulah nama Jabatan Muzium Diraja dikenali dan dihormati. Pihak istana berkenan menganugerahkan Surat Kepujian kepada Pengerusi Muzium Diraja. Pejabat Menteri Besar juga mengutuskan surat ucapan tahniah.
Tetapi mengapa Rauf tiba-tiba bersara di saat namanya berada di puncak? Wan Khamis buntu mencari jawapan kepada persoalan tersebut.
Tiba-tiba, jawapan mengapa Rauf bersara awal telah tersebar di kantin. Beberapa orang rakan Rauf telah menceritakannya. Tohmahan mengapa Rauf bersara awal sedang hangat diperkatakan.
“Tentu ada sebab Rauf bersara lebih awal. Mesti ada sebab yang besar, Din,” sambung Mazlan.
“Dia sebenarnya kecewa kerana tak naik pangkat. Dia dah bekerja begitu lama. Dia malu kepada pegawai-pegawai yang lebih muda daripadanya,” Sudin menambah.
Perbualan antara Mazlan dan Sudin menjadi topik hangat di pejabat. Kemudian topik itu mulai tular. Akhirnya, perkhabaran itu sampai ke telinga Wan Khamis. Cuping telinga Wan Khamis kemerah-merahan. Kemarahannya kian memuncak apabila namanya dikaitkan dengan persaraan awal Rauf.
Rauf kecewa dengan Wan Khamis yang tidak menyokong kenaikan pangkatnya. Khabar itulah yang membuatkan Wan Khamis amat kecewa.
Rauf hanya tersenyum menerima khabar itu. Sambil menunjukkan Whatsapp kepada isterinya, bibirnya sempat berkata, “Aku bukan mengejar pangkat.”
Setelah khabar itu beransur reda, kedengaran khabar lain pula tentang Rauf.
“Rauf bersara awal kerana dia ada kes. Kes salah laku. Dia bimbang kesnya terbongkar dan dia akan disabitkan kesalahan,” Halim bersuara.
“Aku tak percaya,” bahas Hilmi.
“Semuanya ada bukti dengan Tuan Khamis. Bajet untuk dia buat penyelidikan tentang istana lama yang ditinggalkan telah disalah guna,” Halim mempertahankan kata-katanya. “Sebahagian besar wang itu dibelanjakan untuk lawatan ke seluruh negara,” Halim terus berhujah.
Khabar ini lebih panas daripada khabar dahulu. Semakin bermain-main di fikiran Wan Khamis. Akhirnya Wan Khamis memanggil semua kakitangan untuk mengadakan pertemuan tergempar.
Pertemuan seluruh kakitangan Jabatan Muzium Diraja agak mencemaskan. Amaran daripada kuratornya juga lebih pedih dan panas daripada besi yang dibakar.
“Saya akan membuat laporan polis jika khabar angin serta tohmahan seperti ini berlaku sekali lagi. Awak semua boleh menuduh secara peribadi tentang Rauf, tetapi jika melibatkan jabatan, ianya dikira kes serius. Untuk makluman semua, persaraan Rauf bukan kerana hal itu. Semua tuduhan itu palsu. Sebenarnya Rauf bersara awal kerana …,” suara Wan Khamis terhenti.
Wan Khamis mengangkat sebuah fail berwarna coklat. Dia tiba-tiba berhenti bercakap. Fail itu diletakkan semula ke atas meja.
Suasana sepi seketika. Semua mata memerhatikan fail di tangan Wan Khamis.
“Baiklah, kita bersurai. Saya berharap perkara-perkara yang negatif tidak akan berlaku lagi dalam jabatan ini,” Wan Khamis menambah.
Mereka bersurai. Masing-masing keluar dari auditorium itu dengan penuh persoalan dan tanda tanya.
Seperti biasa, Rauf menerima khabar itu dengan senyuman. Dua bulan selepas persaraannya, Rauf datang kembali ke muzium. Satu jam dia berada di bilik Wan Khamis. Kemudian mereka berdua dilihat berada di kantin.
Semua kakitangan muzium memerhati gelagat mereka berdua itu dengan penuh kehairanan. Yang lebih berasa hairan tentulah Sudin, Mazlan, Hilmi dan Halim. Adakah Rauf akan dipanggil bekerja kembali? Atau Rauf sedang disiasat?
Keesokan harinya, ruang kantin muzium kembali hingar bingar.
“Tentu dapat projek. Kalau tidak, haram dia nak pijak kaki di pejabat ini lagi. Aku kenal siapa Rauf,” Sudin bersuara lantang.
Khabar itu sekali lagi sampai ke pengetahuan Wan Khamis. Wan Khamis hanya tersenyum. Khabar itu turut sampai ke telinga Rauf. Seperti biasa, Rauf juga tersenyum.
Rauf senyum lebih daripada hari-hari sebelum ini. Cek yang diterima daripada kerajaan melalui Wan Khamis cukup besar. RM300,000.00 amat bernilai untuk Rauf. Sangat berbaloi dengan tugasnya di beberapa buah muzium selama 37 tahun. Amat bermakna demi mencapai cita-cita dan masa depannya.
Sifat curiga rakan setugas dan orang ramai terhadap Rauf bukan setakat berlegar di muzium, malah turut tersebar dalam kalangan adik-beradik, saudara-mara dan orang-orang kampungnya.
Mereka semua hairan dengan sikap dan perbuatan Rauf. Kehidupan Rauf telah berubah. Dia keluar rumah waktu pagi dan balik semula pada waktu malam. Rauf tidak pernah lekat di rumahnya. Rauf begitu sibuk.
Sehinggalah pada satu hari, kakaknya Hasanah bertanya kepada Iris, isteri Rauf.
“Rauf sudah tidak bekerja, tetapi keluar pagi dan balik malam. Dia ke mana?”
Iris hanya geleng kepala.
“Saya pun tidak tahu, kak. Dia selalu berkunjung ke tempat atau bangunan lama yang akan dirobohkan, pasar karat dan pasar malam di seluruh negara,” tambah Iris.
Hasanah bertambah hairan dengan tingkah laku adiknya itu. Kehairanannya kian memuncak apabila dia teringat kembali peristiwa setahun yang lalu.
***
“Tanah dusun dan tapak rumah ini aku serahkan kepada kamu, Hasanah. Aku hanya inginkan tanah berbukit itu saja,” Rauf bersuara.
Hasanah mula berfikir, mengapa adiknya memilih tanah yang lebih murah daripada tanah tempat mereka tinggal ini? Tanah ini mencecah ratusan ribu seekar, tetapi tanah bukit itu terlalu murah. Hasanah menyimpan rapi persoalan tersebut.
Iris menerima segala pertanyaan daripada ahli keluarganya dengan senyuman. Dia sebenarnya tahu tentang perihal suaminya itu, namun rahsia mereka tetap disimpan erat. Resit pembelian barang-barang semakin menimbun di meja Rauf.
Di Kedai Kopi Razak juga heboh dengan sikap Rauf. Biasanya, Rauf akan singgah pada setiap pagi dan petang, tetapi sekarang bayangnya langsung tidak kelihatan. Yang mereka nampak hanya kereta antik hitam jenama Hillman kepunyaan Rauf, memecut ke hulu ke hilir.
Apa sebenarnya yang dicari dan dikejar oleh Rauf? Wang ganjaran telah banyak. Pencen bulanan pula besar. Ketiga-tiga orang anak juga sudah berjaya.
***
Ketika Rauf mula membangunkan Bukit Garu, tanah bukit bercerun di tepi Lebuh raya Salor-Tunjong, orang kampung mula merasakan Rauf sudah tidak betul. Tapak rumahnya yang ada sekarang ialah hartanah kelas A, sedangkan tapak tanah yang dia bangunkan pula ialah kawasan pedalaman dan agak jauh daripada bandar.
Membangunkan kawasan itu memerlukan perbelanjaan yang banyak. Rauf harus membersihkan hutan, menebang pokok-pokok balak, membina jalan dan meratakan tapak tanah.
“Keraguan mereka itu akan aku lipat dan simpan dalam kehidupan,” Rauf berkata-kata sendirian.
Dia kemudian menghidupkan kereta antik hitamnya dan memecut menuju ke Bukit Garu.
Ketika sampai di Bukit Garu, beberapa orang pekerja sedang membina pagar konkrit. Separuh kawasan seluas dua hektar itu sudah siap berpagar dan dibuat daripada bahan batu-batu sungai. Kawasan berbukit, lembah dan sungai sudah berubah wajah.
Beberapa buah bangunan tradisional Kelantan yang dihiasi dengan bumbung potongan perak, berdinding papan dan berlantai kayu kelihatan sudah siap. Sebahagian besar bahan untuk pembinaan itu Rauf ambil daripada kayu-kayu balak yang ditebang di Bukit Garu. Manakala batu-batu dari Sungai Garu digunakan sepenuhnya untuk membina pagar yang melingkungi seluruh kawasan itu.
Iris sebenarnya tahu bahawa di dalam pagar setinggi tujuh kaki itu terdapat empat buah bangunan, tetapi dia tidak pasti bangunan itu untuk kegunaan apa.
“Semua bangunan itu untuk apa, abang?” Iris menyoal.
Rauf hanya tersenyum.
“Rumah kita,” Rauf menjawab.
“Sampai empat buah?” tanya Iris lagi.
Rauf angguk.
Pengguna lebuh raya juga mulai tertanya-tanya.
Pagar apakah yang telah terbina itu? Umpama Tembok Besar China. Mungkin juga pagar istana kerana kelihatan bangunan antik di dalamnya.
Semua pertanyaan itu tidak terjawab.
Tidak ada papan tanda dan pintu pagar utamanya yang berwarna hitam kuning sentiasa tertutup dan berkunci. Hanya pintu gerbang berbumbung kulit kayu dan bertiang batang kayu cengal di kiri kanan berdiri gagah dari depan. Ada kawalan keselamatan yang ketat. Lori-lori keluar masuk setiap hari.
***
Dewan Pameran Muzium Tradisi penuh sesak. Menteri Kesenian dan Warisan mula mengambil tempat. Juruacara majlis mempersilakan Rauf Ripin mengiringi Datuk Seri Suliman Saggarman untuk majlis perasmian pada petang itu. Tiupan tetuang yang diperbuat daripada tanduk kerbau mula kedengaran.
“Dipersilakan Datuk Seri Suliman Saggarman, Menteri Kesenian dan Warisan untuk memalu gong yang diperbuat daripada tembaga merah sebagai simbolik Majlis Perasmian Muzium Tradisi milik Rauf Ripin, mantan Pegawai Penyelidik Kanan Muzium Diraja,” juruacara memanggil dengan penuh hormat.
Paluan gong sebanyak lima kali bergema dan menusuk ke telinga tetamu. Peserta bangun dan bertepuk tangan dengan kuat. Wan Khamis tersenyum gembira. Fail coklatnya masih lagi dibawa ke mana-mana.
Ketika orang ramai mengucapkan tahiah kepada Rauf, Sudin, Mazlan, Hilmi dan Halim perlahan-lahan meninggalkan kompleks muzium yang menempatkan peralatan tradisional pertanian, ternakan, perikanan air tawar, perikanan air masin serta ternakan haiwan.
Mereka berempat tidak mahu bertentang mata dengan Rauf. Mereka ingin segera meninggalkan majlis tersebut.