Persatuan penulis merupakan nadi penggerak dalam merancakkan aktiviti memperjuangkan bahasa dan sastera tanah air. Gerakannya atas rasa kecintaan untuk mewarisi sastera bangsa dan memartabatkannya.
Peranan persatuan penulis perlu selari dengan kehendak dan tuntutan masyarakat juga negara yang ingin melihat bahasa kebangsaan dan penyuburan minat terhadap sastera menjadi keutamaan. Perkara ini menjadi tunjang perjuangan memandangkan keadaan amalan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul masih belum berada pada tahap yang membanggakan di negara kita. Pada masa yang sama, masih berlaku amalan nilai murni yang rapuh dalam kehidupan masyarakat majmuk di negara ini. Jati diri mereka belum teguh ekoran rempuhan budaya yang begitu pantas dalam menghadapi dunia tanpa sempadan ini.
Oleh hal yang demikian, persatuan penulis khususnya di selatan tanah air iaitu Persatuan Penulis Johor (PPJ), Perkumpulan Penulis dan Peminat Bahasa Melayu Muar (PPPBM), Komuniti Buku dan Pengkarya Johor (KBKJ), Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA), Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM), dan Lembaga Bahasa Melayu (LBM) wajar mewujudkan satu kesepakatan dalam merangka gerakan yang bersungguh-sungguh membantu dan menjayakan usaha memartabatkan sastera di selatan tanah air. Usaha ini akan menjadi lebih bermakna dengan sokongan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) yang menakhodai pertemuan dan persepakatan.
Pertemuan ini bukan sahaja bakal menemukan pelbagai persoalan perjuangan dan saranan daripada penggerak persatuan, malah rangka kerja untuk sepakat berganding bahu menjayakan misi murni ini akan menjadi lebih berkesan dan terarah sekali gus dijangka memberikan manfaat kepada khalayak peminat bahasa dan sastera khususnya dan masyarakat awam amnya. Malah pemain sastera ini patut menjadi rakan kongsi DBPWS yang akrab ke arah memacu sastera yang lebih gemilang di bumi daksina.
Penggerak persatuan perlu berfikir jauh ke hadapan dalam memperkasa aktiviti melahirkan penulis yang dapat menjangkau persoalan dan konflik kehidupan pada masa akan datang. Kehidupan yang mula bersandarkan pada kecanggihan teknologi digital. Kebijaksanaan penulis meneroka alam baharu serba mampu menjana minda pembaca untuk berkongsi dan memiliki imaginasi sekali gus menggerakkan mereka untuk lebih bersedia dalam menempuh kehidupan yang lebih mencabar. Pendekatan ini dilihat positif memandangkan kehidupan kini memerlukan transformasi pemikiran dalam menyediakan kesiapsiagaan masyarakat ketika berdepan dengan situasi yang tidak menentu.
Sewajarnya penggerak persatuan penulis memulakan peranan ini supaya dilihat tidak terlalu terikat dengan pendekatan menulis berpaksikan pengalaman hidup dan pemerhatian isu-isu semasa sebagai bahan penceritaan semata-mata. Gerakan baharu ini tidak menafikan mana-mana penulis yang ingin terus merakamkan realiti pada zamannya untuk dijadikan rujukan kepada generasi akan datang. Namun demikian, sudah tiba masanya masyarakat pembaca disajikan dengan kehidupan dalam alam yang sarat dengan amalan teknologi tinggi yang sedang melanda dunia kesusasteraan pada ketika ini.
Dalam merintis peranan ke arah meneroka ruang lingkup tema baharu karya pelbagai genre, penggerak persatuan penulis wajar mendampingi tenaga pakar yang arif dalam memperkatakan kemajuan yang akan datang. Perkongsian maklumat terkini dalam wadah seperti seminar, forum, kursus dan bengkel amat bermanfaat. Kepekaan penulis terhadap perkembangan baharu ini pasti mampu diterjemahkan oleh penulis dalam karya mereka.
Pelibatan golongan penulis remaja amat perlu. Sebagai penulis pelapis, mereka wajar menerima pendedahan untuk sama-sama mentafsir kehidupan masa depan pada sudut pandangan golongan muda yang mempunyai pelbagai capaian keinginan dan kaedah penyelesaian sesuatu masalah.
Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) telah pun melaksanakan siri pendedahan penulisan novel futuristik pada tahun 2018 dalam melahirkan penulis novel yang memenuhi konsep futuristik dalam Sayembara Penulisan Novel Futuristik GAPENA 2019. Sambutan menggalakkan daripada penulis tanah air membuktikan penulis perlu digerakkan minda mereka untuk sama-sama meneroka kehidupan masa depan yang lebih rumit dan mencabar.
Setiap penggerak persatuan penulis cukup berwibawa dan berjiwa besar dalam memartabatkan sastera khususnya di selatan tanah air. Mereka merupakan penulis mapan dan berpengalaman. Minda mereka kaya pengetahuan dalam memperjuangkan bahasa dan sastera malah mereka mempunyai gagasan besar untuk melahirkan lebih banyak lagi penulis di pentas karya. Pastinya, masyarakat terus menantikan karya agung daripada penulis selatan tanah air.
Walau bagaimanapun, sebagai badan pertubuhan sukarela, mereka tetap berdepan cabaran dalam mencari sokongan kewangan untuk menjayakan aktiviti yang dirancang. Oleh sebab itu, penggerak penulis perlu bekerja keras mendapatkan dana daripada pihak yang mempunyai kepentingan dalam memperjuangkan bahasa dan sastera seperti DBP, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Majlis Kebudayaan Negeri (MKN), Perbadanan Perpustakaan Awam juga pemimpin masyarakat untuk bekerjasama menjayakan aktiviti bahasa dan sastera di wilayah selatan secara berterusan setiap tahun.
Sesungguhnya sastera di selatan tanah air akan terus berkembang namun segalanya menjadi tanggungjawab semua pihak. Peranan memartabatkan sastera di persada tanah air bukan hanya di bahu persatuan penulis dan institusi sastera sahaja tetapi juga di bahu warga selatan tanah air. Tanpa sokongan semua pihak, mana mungkin aktiviti sastera dapat digerakkan dan dilaksanakan pada setiap tahun.
Tidak ada alasan sastera gagal gemilang di selatan tanah air jika dilihat ketika era Tun Sri Lanang, Munshi Abdullah mahupun Pendeta Johor, Mejar Dato’ Haji Mohd Said Haji Sulaiman. Oleh hal yang demikian, pemartabatan sastera di selatan tanah air mestilah didukung secara bersungguh-sungguh oleh gerakan penulis dan pejuang bahasa.