Skip to content
Tampin
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Tampin
Tampin
Cerpen

Tampin

  • AMAN SHAH BIN SYED ALI
  • 20 Mei 2025
  • DBP Cawangan Sabah
  • 108
  • 4.8

AKU hanya memerhatikan rakan-rakan yang seusia denganku bermain di halaman rumah mereka. Banyak masa mereka dihabiskan dengan bermain dan bergembira. Bermain galah panjang, konda kondi, guli, ketingting dan lain-lain lagi. Aku mahu menyertai mereka tetapi timbunan ubi kayu yang membukit di depan mata memaksa aku untuk tidak bersama-sama mereka. Ayah dan ibu masih belum kelihatan sejak balik dari kebun tadi. Mungkin ayah sedang membersihkan diri. Ibu pula mungkin sedang memasak untuk makan tengah hari kami.

“Amin, marilah kita bermain galah panjang,” panggil Rosli yang sejak tadi beria-ia mengajak aku untuk bermain bersama.

“Tak apalah, kamu mainlah dulu. Siap aku kupas kulit ubi kayu ini, aku ikut main,” balasku.

“Ala … tinggalkanlah kerja itu dulu. Nanti ayahmu kupas juga semua kulit ubi kayu itu nanti,” Rosli terus memujuk.

Aku hanya menggeleng dan meneruskan kerjaku. Sebilah pisau kecil yang menjadi teman setiaku seperti sudah tahu tugasku belum selesai selagi timbunan ubi kayu itu sedia untuk dijual kepada peraih tampin nanti. Naluri kanak-kanakku mendesak untuk bermain bersama Rosli, Atan, Jakim, Azlong dan lain-lain tetapi ubi kayu itu sumber pendapatan kami sekeluarga. Bukan senang untuk menjadi senang, itu nasihat ayah setiap kali aku mengikut ayah mengambil ubi kayu di kebun yang lokasinya satu kilometer dari rumah kami.

“Amin, cepat sikit kupas ubi kayu itu. Nanti Pak Cik Jalmani siap memarut ubi kayu di rumah Mak Cik Salmah, dia akan ke rumah kita pula.”

Entah bila ibu muncul mematikan monologku. Aku hanya mengangguk. Aku terbayangkan Pak Cik Jalmani yang menolak mesin pemarut ubi kayunya yang kami panggil liisan itu ke rumah kami. Pak Cik Jalmani tidak pernah lekang dengan senyuman. Di sebalik wajah garangnya itu, dia sebenarnya seorang yang pemurah. Hanya 10 sen sahaja upah yang dimintanya bagi sekampit tampin yang telah dijual.

“Ibu, sekarang harga tampin berapa sekampit?” soalku.

“Menurut Pak Cik Jalmani, semalam harga tampin turun lagi, RM1.50 sekampit,” jawab ibu perlahan.

 “Minggu lepas RM2.00,” sambung ibu lagi.

“Harga tampin semakin lama semakin turun,” sampuk ayah yang tadi hanya menjadi pendengar setia perbualan aku dengan ibu. Serentak itu ada keluhan dari bibir ayah yang hitam angkara rokok daun yang menjadi teman setianya tatkala duduk di beranda rumah.

Kami membangunkan daerah sepi bersama keasyikan kami mengupas kulit ubi kayu yang pelbagai warna itu. Ada warna seakan-akan keperangan, merah jambu, kuning langsat tetapi hasilnya nanti apabila sudah menjadi tampin warnanya tetap sama, iaitu putih. Keasyikan kami sesekali diganggu oleh jeritan dan teriakan kanak-kanak riang yang sedang bermain konda kondi di depan rumah. Aku tersenyum memerhatikan tingkah mereka.

“Siatunggggggggggggggg ...” nafasku semakin semput dan tidak dapat menamatkan denda menyebut perkataan siatung sejauh kayu konda kondi yang dipukul jauh oleh Rosli. Aku terpaksa meneruskan lagi denda. Rosli memukul lagi kayu konda kondi dari tempat aku berdiri tatkala nafasku tidak mampu kutahan lagi. Rosli hanya mengekek melihat aku didenda.

“Engkau tahu Amin, konda kondi dalam bahasa Bajau kita panggil sebagai permainan siatung. Sebab itu ada sejenis kayu hutan yang dikenali sebagai kayu siatung,” kata Rosli semasa kami meredah hutan belukar mencari kayu untuk bermain konda kondi.

“Siapa yang beritahu?” tanyaku.

“Ayahku. Kayu ini keras dan apabila kulitnya dibuang memang sesuai dibuat alat permainan siatung,” jelas Rosli lagi.

Aku kagum dengan kehebatan Rosli. Sungguhpun dia agak ketinggalan dalam pelajaran, tetapi dia merupakan raja bagi kanak-kanak di kampung. Apa sahaja permainan tradisional pastinya dijuarai oleh Rosli. Rosli sangat menggemari permainan siatung kerana katanya, siatung menjadikan dirinya tampak hebat dan bertenaga. Aku pun tidak tahu mengapa Rosli berfikiran demikian. Mungkin dia jarang-jarang kalah semasa bermain, tebakku.

“Amin, apa lagi yang kautermenung tu?”

Suara garau ayah menghilangkan ingatanku pada permainan siatung.

“Tak ada apalah, ayah. Saya cuma penat sedikit,” aku berdalih.

“Kalau penat, rehatlah,” saran ibu yang kelihatannya mula mencuci ubi-ubi kayu yang sudah dibuang kulitnya.

“Sekejap lagi, ibu.”

Ibu mula memasukkan air ke dalam besen besar untuk cucian kali pertama. Ubi kayu yang dibuang kulitnya itu sepatutnya berwarna putih tetapi kotor akibat bercampur dengan tanah. Ayah mengambil beberapa helai daun pisang dan meletakkannya bersebelahan dengan besen besar yang kedua. Air dalam besen kedua digunakan untuk membilas ubi kayu yang dikeluarkan dari besen yang pertama. Ayah melakukan kerjanya dengan cepat.

“Siap, ibu,” kataku sebaik sahaja ubi kayu sebesar lenganku itu selesai kubuang kulitnya.

“Pergilah berehat. Nanti tolong ayah bilas ubi-ubi kayu,” ibu sekali lagi meminta aku berehat.

Aku akur dan melangkah ke dalam rumah. Ada makanan terhidang di atas meja di dapur. Ayah dan ibu sudah makan lebih awal. Aku membuka tudung saji dan melihat lauk yang disediakan oleh ibu. Ada gulai ikan buntal yang menarik minatku. Aku makan dengan berselera kerana gulai ikan buntal itu merupakan lauk kegemaranku.

Usai sahaja makan, aku mencuci pinggan yang digunakan. Aku kembali ke depan rumah untuk membantu ayah dan ibu membasuh ubi-ubi kayu. Pak Cik Jalmani sudah sampai dengan mesin liisannya. Dia duduk di pangkin sementara menunggu ayahnya selesai membasuh ubi kayu yang telah diletakkan di atas daun pisang untuk dikeringkan.

“Agak-agak esok harga tampin naik atau turun lagi?” tanya ayah kepada Pak Cik Jalmani yang sedang leka menghisap rokok daun.

“Aku rasa mungkin naik. Sebab hanya engkau dan Ramli yang membuat tampin hari ini,” kata Pak Cik Jalmani.

“Kalau harga tampin terus turun, aku mungkin berhenti menanam ubi kayu. Tidak berbaloi. Aku mahu mencari kerja lain,” ayah meneruskan tutur katanya.

Aku tersentak mendengar kata-kata ayah. Aku hanya menjadi pendengar setia perbualan dua sahabat lama itu.

“Itulah, aku pun fikir begitu juga. Engkau boleh kira sendiri pendapatan aku dalam sehari. Kalau ada 40 kampit tampin aku baru dapat RM4.00. Perit juga,” luah Pak Cik Jalmani.

Jujur, aku memahaminya.

Kalau dulu, mengupas kulit ubi kayu merupakan pesta kecil-kecilan di kampung. Penduduk kampung pergi dari rumah ke rumah untuk membantu kerja-kerja mengupas kulit ubi kayu supaya lebih cepat. Tuan rumah akan menghidangkan air kopi dan biskut kering sebagai tanda penghargaan. Kerja menjadi lebih cepat dan senang.

Namun, sejak kejatuhan harga tampin, bilangan penduduk kampung yang menanam ubi kayu sebagai sumber pendapatan semakin berkurangan. Mereka dibebani dengan harga tampin yang tidak menentu. Kos memarut ubi kayu, kos pengangkutan dan kos pembungkusan perlu diambil kira. Itu kata ayah apabila aku bertanya mengapa penduduk kampung semakin kurang menanam ubi kayu.

Memang sejak akhir-akhir ini rezeki kami pun semakin berkurangan. Kalau dahulunya waktu pagi di jambatan merupakan tempat kami, kanak-kanak seusia mencari seringit dua. Kami akan membantu orang-orang kampung memunggah tampin ke dalam perahu milik Pak Cik Ali. Pak Cik Ali tidak pernah lupa untuk menghulurkan seringgit dua kepada kami yang meringankan kerjanya. Beratus-ratus kampit tampin dipunggah ke dalam perahu Pak Cik Ali menjadi petunjuk murahlah rezeki kami nanti.

Pak Cik Ali pun sudah beberapa kali merungut. Kadang-kadang hanya berpuluh-puluh kampit tampin yang dipunggah ke perahunya. Nilai 10 sen bagi setiap kampit tampin tidak berbaloi untuk dihantar ke pekan, katanya. Dengan harga minyak petrol semakin menggila naik, Pak Cik Ali terpaksa mengurus jadual perjalanan perahunya ke pekan. Dahulunya Pak Cik Ali menghantar tampin  setiap hari, tetapi kini Pak Cik Ali hanya menghantar tampin tiga kali dalam seminggu. Aku dan kawan-kawanku juga kehilangan punca duit poket.

“Ayah, kenapa harga tampin semakin rendah?” tanyaku.

“Berlaku lambakan tampin di pekan. Kalau dahulu daerah kita pembekal tampin utama di negeri Sabah, tetapi sekarang penduduk daerah-daerah lain juga sudah ramai yang menanam ubi kayu,” jelas ayah. 

“Engkau mesti belajar bersungguh-sungguh, Amin. Bantu penduduk kampung kita,” nasihat Pak Cik Jalmani.

Aku hanya mengangguk.

Perancangan Tuhan merupakan perancangan yang terbaik bagi manusia. Kekuatan jiwa dan kekentalan semangat kami sekeluarga bagai diragut sekelip mata tatkala berita pemergian Pak Cik Jalmani menghadap ilahi menyapa telinga. Aku tahu ayah sedih yang teramat kerana sahabat karibnya meninggalkannya tanpa pesan. Pak Cik Jalmani hilang di laut sewaktu memancing. Hilang bersama enjin botnya di lautan luas.

Ayah bergantung harap kepada mesin liisan Pak Cik Jalmani. Pak Cik Jalmani bergantung harap kepada enjin botnya yang menjalankan tugas berselang hari. Bunyi enjin botnya yang kuat tidak lagi akan kedengaran. Ayah menangis hiba di jambatan batu mendengar khabar hilangnya Pak Cik Jalmani bersama botnya. Pak Cik Jalmani hilang di lautan dan hanya ditemui dua hari selepas itu. Bot kecilnya hanyut ke tepian tetapi enjin botnya tiada. Pak Cik Jalmani menjadi mangsa kepada manusia yang tidak bertuhan. Itu tebak ayah.

Usai majlis pengebumian Pak Cik Jalmani, ayah duduk termenung sambil menghirup kopi pahit yang menjadi kegemarannya.

“Ayah mahu berhenti menanam ubi kayu. Tiada orang yang mahu mengambil tugas Pak Cik Jalmani,” keluh ayah.

“Apa yang ayah mahu buat?” soalku.

“Entahlah. Ayah rasa mahu mencuba untung nasib di Kota Kinabalu nanti. Kamu belajar macam biasa. Jadi orang pandai. Jadi orang berguna kepada orang-orang kampung kita,” ayah terus berbicara.

Aku mengangguk.

“Insya-Allah, ayah. Amin berjanji,” sumpahku di hadapan ayah.

Ayah tersenyum memandangku di sebalik kedutan wajah yang disulami duka kehilangan sahabat karibnya.

Nostalgia tampin terus segar dalam memori ingatanku. Hari ini, setiap kali melintasi pasar yang menjual tampin aku teringat arwah ayah yang sudah bertahun menghadap ilahi. Aku teringat keramahan Pak Cik Jalmani. Aku teringat kebaikan budi Pak Cik Ali. Aku teringat kegirangan hati rakan-rakan sepermainanku.

Kini, harga tampin menjadi bualan orang. Harga sekampit tampin mencecah RM6.00 hanya kerana tidak ramai pengusahanya kini. Kalau arwah ayah dan Pak Cik Jalmani masih ada, mereka pasti menjadi orang yang paling gembira mendengar betapa mahalnya harga tampin sekarang.

 

Glosari 

Tampin – bahan yang dihasilkan daripada ubi kayu

Siatung – permainan konda kondi

Liisan – mesin parut ubi kayu

 

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #cerpenkehidupan (2) #dbpselatan (13) #karyasastera (14) #komsas (2) #penulis (4) #penulisbaharu (15) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (4) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (14) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (2) #wadahdbp (4) abuyon (3) adie abd gani (3) bengkel (2) budaya (2) cerpen (9) dbpcawangansabah (4) dbpcawangansarawak (16) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) palestin (2) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (8) puisi (23) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) ramadhan (2) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Air Tangan Isteri
Cerpen

Air Tangan Isteri

  • 14 November 2023
  • 86
  • 4.5
دمسجد نبوي
Puisi Moden

دمسجد نبوي

  • 9 Julai 2023
  • 77
  • 4
Kutunggu di Ujung Jari
Puisi

Kutunggu di Ujung Jari

  • 10 Oktober 2023
  • 166
  • 4.7
Buku Resipi Nenek
Cerpen

Buku Resipi Nenek

  • 20 Februari 2025
  • 256
  • 4.7

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP