Skip to content
Muzium Mersing: Arkib Sejarah Laut dan Darat
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Sejarah dan Budaya > Muzium Mersing: Arkib Sejarah Laut dan Darat
Muzium Mersing: Arkib Sejarah Laut dan Darat
Sejarah dan Budaya

Muzium Mersing: Arkib Sejarah Laut dan Darat

  • Mokhtar Omar
  • 5 Jun 2025
  • DBP Wilayah Selatan
  • 311
  • 5


Muzium Mersing: Arkib Sejarah Laut dan Darat

Kanvas lukisan wajah ceria Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menyambut kehadiran pengunjung Muzium Mersing yang terletak di Jalan Ibrahim, Mersing, Johor. Muzium Mersing merupakan institusi warisan yang unik dan berbeza daripada muzium lain di Malaysia. Muzium yang dirasmikan pada 15 Mei 2016 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bersempena dengan Program Kembara Mahkota Johor ini bukan sekadar mengangkat imej sejarah tempatan tetapi juga menawarkan pengalaman yang mengujakan tentang peristiwa penting dalam sejarah negara.

 

Pada asalnya bangunan Muzium Mersing dibina pada tahun 1920-an dan digunakan sebagai Pejabat Pentadbiran Daerah Mersing. Bangunan ini dipercayai menjadi markas operasi Tentera Imperialis Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua meletus, sehingga tahun 1945. Selepas tentera Jepun tewas, bangunan ini kembali berfungsi semula sebagai pejabat kerajaan sebelum diubah suai menjadi muzium di bawah kawal selia Yayasan Warisan Johor. Lebih daripada 300 koleksi artifak ditempatkan di Muzium Mersing yang diperoleh melalui sumbangan pengumpul dan masyarakat. Muzium ini membawa anda menelusuri zaman silam dari era penjajahan, ke peristiwa peperangan, hinggalah kepada kehidupan masyarakat maritim Johor.

Muzium Mersing: Arkib Sejarah Laut dan Darat
Bangunan Muzium Mersing dibina pada tahun 1920-an dan menjadi markas operasi Tentera Imperialis Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua.

Dinding-dinding Muzium Mersing turut dihiasi foto-foto Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar semasa majlis perasmian muzium dan acara-acara dalam Program Kembara Mahkota Johor 2016. Terdapat juga puluhan foto asli lama hitam putih yang merakam lokasi dan peristiwa bersejarah di Mersing. Antaranya termasuklah foto bulatan di tengah bandar Mersing bertarikh 24 Mei 1967, Jambatan Mersing sementara yang dibina oleh tentera Australia setelah musnah dibom oleh Jepun pada 25 Mei 1942, Jambatan Sungai Mersing tahun 1938 dan Pantai Mersing tahun 1960.

 

 

 

Muzium Mersing: Arkib Sejarah Laut dan Darat

Artifak peralatan harian seperti cepu berukir kayu dan pelbagai bentuk tempayan dalam susunan ruang berkaca dipamerkan kemas di kaki lima bahagian dalam muzium. Perkakasan ini yang digunakan sekitar abad ke-16 hingga 19 memberikan gambaran tentang aktiviti kehidupan seharian penduduk suatu masa dahulu. Beliung, penimbang tembaga, mata cangkul dan lampu suluh penoreh getah berusia puluhan tahun, menjadi bahan nostalgik khususnya berkaitan masyarakat Melayu lama.

 

 

 

Muzium Mersing: Arkib Sejarah Laut dan Darat
Replika perahu sekoci yang turut dipamerkan di Muzium Mersing.

Endau dan Mersing memang tersohor dengan kehidupan laut. Model dan replika pengangkutan serta logistik penduduk Mersing dahulu turut dipamerkan. Antaranya termasuklah perahu sekoci, sejenis perahu tradisi yang digunakan oleh nelayan untuk memancing, mencandat sotong dan memukat ikan, perahu haluan katup sebagai pengangkutan untuk menyusur dan menyeberangi sungai serta perahu jalur yang digunakan untuk peperangan.

 

 

Muzium Mersing: Arkib Sejarah Laut dan Darat
Battle of Endau menyorot pertempuran sengit antara tentera Jepun dengan gabungan Tentera Berikat yang tercetus pada 27 Januari 1942 di perairan Endau.

Muzium Mersing: Arkib Sejarah Laut dan Darat

Daya tarikan utama pengunjung di muzium ini pastinya ialah pameran Battle of Endau. Pameran ini menyorot pertempuran sengit antara tentera Jepun dengan gabungan Tentera Berikat yang tercetus pada 27 Januari 1942, di perairan Endau. Antara artifak yang dipamerkan termasuklah enjin pesawat, senjata, radio komunikasi, kamera, basikal dan dokumen persuratan dari era 1940-an hingga 1960-an. Foto dan catatan bersejarah menjadi rujukan kronologi peristiwa yang berlaku dalam satu pertempuran berdarah yang mengubah landskap pentadbiran negara ini ketika itu.

Pameran pentadbiran sosioekonomi yang menampilkan sejarah dan struktur pentadbiran serta perkembangan sosioekonomi daerah Mersing turut dipamerkan di sini. Pameran ini memberikan gambaran menyeluruh tentang evolusi pentadbiran dan pembangunan ekonomi Mersing dari era penjajahan hingga kini. Banyak dokumen penting seperti surat-surat rasmi bertulisan tangan, peta dan foto pemimpin terdahulu seperti Dato’ Bentara Luar Muhammad Salleh bin Perang dan Awang bin Ali atau Awang Daik.

Replika surat-menyurat tulisan tangan Kerajaan Negeri Johor dengan Pesuruhjaya Kerajaan Segamat berusia 93 tahun turut dipamerkan. Juga terdapat replika surat-menyurat tahun 1930 berkaitan dengan pertukaran jawatan Dato’ Abdullah bin Esa, Pegawai Daerah Kota Tinggi ke Mersing selaku Pemangku Pesuruhjaya Kerajaan Endau.

Pameran Khas Bermusim turut diadakan setiap enam bulan, yang menampilkan tema-tema berbeza seperti motosikal klasik tentera semasa Perang Dunia Kedua, yang mempamerkan motosikal jenama Norton, BSA, dan Matchless yang digunakan oleh tentera British.

Muzium Mersing: Arkib Sejarah Laut dan Darat
Mesin jahit antik berusia lebih 40 tahun.

Satu lagi keunikan yang dipamerkan di Muzium Mersing ialah koleksi diraja yang eksklusif. Antaranya termasuklah mesin jahit antik berusia lebih 40 tahun yang dianugerahkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar. Mesin jahit ini, milik seorang wanita berusia 90 tahun, dipersembahkan kepada Baginda dan kemudiannya ditempatkan di muzium untuk tatapan pengunjung. Turut terpamer mesin-mesin taip lama (Royal) dan jam meja klasik yang mengimbau masa lalu.

 

Pelancong antarabangsa dari negara seperti Korea, Eropah dan China turut mengunjungi Muzium Mersing selain pelancong tempatan. Kedudukannya yang amat strategik sebagai pintu masuk ke pulau-pulau indah di Johor menjadikannya destinasi wajib singgah bagi para pelancong yang ingin menyelami sejarah tempatan sebelum meneruskan perjalanan mereka.

Muzium Mersing dibuka kepada umum setiap hari kecuali hari Jumaat, dari pukul 9.30 pagi hingga 4.30 petang. Tanpa sebarang bayaran masuk, menjadikannya destinasi yang mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat. Muzium yang terletak hanya beberapa minit dari jeti ke Pulau Tioman dan Pulau Aur ini merupakan lokasi persinggahan yang ideal sebelum ke pulau.

Muzium Mersing bukan sekadar tempat menyimpan artifak sejarah, tetapi juga merupakan pusat pembelajaran berkaitan warisan tempatan. Dengan koleksi yang unik, pameran yang bermakna dan akses yang mudah, destinasi pelancongan ini sememangnya layak mendapat pengiktirafan sebagai salah satu muzium terbaik di Malaysia.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #cerpenkehidupan (2) #dbpselatan (13) #karyasastera (14) #komsas (2) #penulis (4) #penulisbaharu (15) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (4) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (14) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (2) #wadahdbp (4) abuyon (3) adie abd gani (3) bengkel (2) budaya (2) cerpen (9) dbpcawangansabah (4) dbpcawangansarawak (16) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) palestin (2) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (8) puisi (23) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) ramadhan (2) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Citra Wanita Kelantan
Sejarah dan Budaya

Citra Wanita Kelantan

  • 16 Oktober 2024
  • 231
  • 5
Antara Dua Benua
Cerpen

Antara Dua Benua

  • 5 Januari 2025
  • 150
  • 4.1
ڤد کتيک دي ساج يڠ بنر
Puisi Moden

ڤد کتيک دي ساج يڠ بنر

  • 20 Disember 2023
  • 5
Hati Selamatkan Jiwa yang Hampir Mati
Puisi

Hati Selamatkan Jiwa yang Hampir Mati

  • 19 April 2024
  • 122
  • 4.3

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP