Selain popular sebagai destinasi pelancongan, Malaysia juga amat terkenal di mata dunia kerana kepelbagaian etnik yang dapat hidup bersama-sama dalam suasana harmoni. Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, negara kita (yang dahulu dikenali sebagai Tanah Melayu) telah tercatat dalam sejarah sebagai sebuah negara yang menjadi pusat perdagangan, penyebaran ilmu dan penyebaran agama Islam terutama di sekitar Nusantara. Maka, tidak hairanlah jika ada dalam kalangan pedagang atau pengembara dari Eropah, China, India dan Asia Timur telah memilih untuk menetap di Melaka atas faktor geografi, kestabilan ekonomi dan politiknya.
Satu daripada etnik yang masih ada di Melaka sehingga kini ialah keturunan “Baba dan Nyonya” atau dikenali juga sebagai “Peranakan”. Apabila memperkatakan tentang keturunan Baba dan Nyonya ini, satu perkara yang akan terlintas dalam fikiran kita ialah irama dondang sayang. Selain popular dalam kalangan masyarakat Melayu, dondang sayang juga amat sinonim dengan keturunan Baba dan Nyonya. Oleh yang demikian, wujudlah dua jenis dondang sayang di Melaka, iaitu dondang sayang Melaka dan dondang sayang Baba Peranakan. Selain itu, terdapat dua jenis lagi dondang sayang, iaitu dondang sayang Tanjung Penyengat dan dondang sayang Pulau Pinang.
Walaupun dondang sayang pada masa kini kian langka dipersembahkan di pentas besar tidak seperti persembahan seni yang lainnya, namun dondang sayang irama malar hijau yang tidak pernah mati, justeru cukup dekat di hati para penggemarnya. Dalam Kamus Dewan edisi keempat, perkataan dondang (dondangan) membawa maksud buaian atau enjutan, manakala dondang sayang pula ialah sejenis nyanyian Melayu yang dinyanyikan oleh dua orang penyanyi dengan berbalas-balas pantun mengikut irama muzik yang dimainkan. Oleh yang demikian, apabila kita mengkaji dondang sayang ini, lirik lagu yang dinyanyikan oleh pasangan penyanyinya sememangnya terdiri daripada beberapa rangkap pantun.
Apakah rahsia dondang sayang mampu bertahan hingga kini? Jika kita menelusuri sejarahnya, dondang sayang dikatakan telah diperkenalkan di Melaka pada abad ke-15 ketika zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah. Dondang sayang dipersembahkan untuk menghiburkan para pedagang yang mampir di Melaka pada ketika itu. Irama dondang sayang yang agak rancak (sesuai pada zaman itu) hasil daripada gabungan alat muzik tradisional utama seperti biola, rebana, gong, gendang yang diadun agar menjadi irama yang mengasyikkan para pendengarnya. Selain itu, alat muzik seperti akordian, marakas, tamborin, seruling, gambus dan gitar boleh diselitkan dalam persembahan dondang sayang untuk menghasilkan irama yang lebih harmoni.
Irama alat muzik yang saling bertingkah dalam persembahan dondang sayang sebenarnya mampu membangkitkan perasaan gembira dan kasih sayang apabila dipersembahkan kepada audiens. Lirik lagunya yang terdiri daripada beberapa rangkap pantun yang disampaikan oleh penyanyinya secara jual beli (berbalas-balas pantun) menjadikan dondang sayang antara irama tradisional yang unik. Sesetengah pantun yang dijadikan lirik dalam persembahan dondang sayang pula ialah pantun tradisional yang masih digunakan sehingga kini. Contoh pantun Baba dalam persembahan dondang sayang pada zaman dahulu adalah seperti contoh di bawah:
Naday Bugis tolak blayar,
Tengah laot patah kemudi-nya;
Hutang budi dapat di bayar,
Hutang hati apa ganti-nya.
Pisang mas bawak blayar,
Masak sa-biji di-atas peti;
Hutang mas boleh di bayer,
Hutang budi menanggong mati.
Pemilihan pantun yang dinyanyikan dalam persembahan dondang sayang ternyata tidak dilakukan secara sembrono. Pantun-pantun yang dinyanyikan ini hendaklah menepati konsep dondang sayang yang dipersembahkan untuk mengeratkan hubungan kasih sayang atau bersuka-suka. Ada ketikanya pantun-pantun yang dinyanyikan dalam dondang sayang ini dikarang secara spontan ibarat suatu pertandingan. Sekiranya pasangan atau pembeli pantun gagal menjawab pantun yang dijual, maka tempatnya boleh digantikan oleh penyanyi gantian.
Contoh jual beli pantun dalam persembahan dondang sayang adalah seperti di bawah yang dipetik daripada saluran www.youtube.com/berdondangwarisan.
Penjual (Lelaki):
Tanam melur tanam selasih,
Tanam mari tepi perigi;
Puas sudah kutabur kasih,
Kenapa adik peduli tak ambil peduli.
Pembeli (Perempuan):
Takut bertemu baik selisih,
Dapat kutahu walau sekilas;
Bukan adik tak mahu berkasih,
Takutkan kasih berbalas tidak berbalas.
Jika kita menghayati kedua-dua rangkap pantun di atas yang dinyanyikan dalam dondang sayang, kita dapat membuat gambaran cara orang dahulu meluahkan perasaan. Mereka berkias melalui pantun yang disusun dengan indahnya melalui pembayang dan maksudnya. Hal ini membuktikan bahawa dondang sayang merupakan suatu medium generasi dahulu meluahkan perasaan kepada pasangan masing-masing. Orang dahulu bijak berkias dan tidak terlalu terbuka seperti generasi hari ini.
Sementara itu, melalui dondang sayang Baba dan Nyonya, mereka juga berpantun untuk mengusik atau memuji pasangannya. Contoh rangkap pantun yang dinyanyikan oleh pasangan Baba dan Nyonya dalam persembahan dondang sayang seperti di bawah:
Lelaki:
Anaklah raja pergi menyumpit,
Dapat seekor burung tekukur;
Alangkah cantik bintang terbit,
Bagaikan songketlah songket kuntum bertabur.
Perempuan:
Sayur labu ditumis hangit,
Labu dipetik dari paya;
Berapa ribu bintang di langit,
Bulan jugalah juga lebih cahaya.
Selain pantun kasih, pantun pujian, alam dan pantun kiasan, pantun budi juga menjadi pilihan dalam persembahan dondang sayang. Pantun yang indah dan disampaikan pula melalui irama dondang sayang yang memikat sukma sebenarnya antara faktor yang mengangkat dondang sayang pada pandangan masyarakat. Contoh pantun budi yang dinyanyikan dalam dondang sayang seperti di bawah.
Awal pertama orang berbangsa,
Keduanya banyak ribu dan laksa;
Ketiga majlis bermanis muka,
Keempat mau budi bahasa.
Ada seekor burung serindit,
Terbang ke paya makan padi;
Kepada orang tamakkan ringgit,
Kepada saya kenangkan budi.
Kedua-dua contoh pantun di atas menunjukkan bahawa dondang sayang turut memainkan peranan sosial untuk memupuk masyarakat mengamalkan norma yang positif sejak berabad-abad lamanya. Jika irama warisan ini tidak dapat dikekalkan atau diletakkan pada tahap yang sepatutnya, kita sebenarnya bakal kehilangan satu lagi khazanah bangsa yang amat berharga.
Oleh hal yang demikian, usaha untuk mengembalikan kegemilangan dondang sayang yang menjadi satu daripada warisan negara khususnya bagi orang-orang Melaka perlu diteruskan. Usaha ini tidak seharusnya dipikul oleh masyarakat Melaka sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama dan kesungguhan daripada seluruh masyarakat Malaysia. Walaupun dondang sayang masih dipersembahkan dalam majlis-majlis tertentu dan pertandingan untuk mencungkil bakat baharu masih dijalankan, namun usaha untuk memupuk kecintaan generasi muda terhadap dondang sayang perlu dilaksanakan secara konsisten. Hal ini dikatakan demikian kerana kita tidak mahu melihat dondang sayang sekadar menjadi persembahan yang menjadi pelengkap atau penyeri acara sahaja. Dondang sayang wajar diletakkan di pentas yang lebih eksklusif setara dengan puncak kegemilangannya ketika zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka.
Kain songket indah belaka,
Benang tenunan tersusun kemas;
Dondang sayang warisan seni Melaka,
Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.