Skip to content
Siapa Pengkhianat?
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Siapa Pengkhianat?
Siapa Pengkhianat?
Cerpen

Siapa Pengkhianat?

  • ZAIDIN ABADI
  • 5 Julai 2025
  • DBP Wilayah Utara
  • 33
  • 4

TUAH merenung sepucuk surat yang diterimanya tengah hari tadi. Dia sudah ulang baca isi kandungan surat itu beberapa kali. Dia juga sudah menanda dengan pen berdakwat merah, membulatkan beberapa patah perkataan yang penting dan bermakna. Kata pegawai khasnya, pagi tadi sebelum dia sampai di pejabat, ada seorang penghantar surat menyampaikan surat itu.

“Mesyuarat petang ini dibatalkan. Keputusan sudah dicapai secara majoriti.” Tiba-tiba mesej ini masuk ke dalam telefon pintarnya.

Tuah melihat jam di tangan kanannya; sudah pukul 12.00 tengah hari. Mesyuarat itu dijadualkan pada  jam 2.30 petang ini. Tuah sudah bersiap sedia dengan segala hujah untuk dibentangkan. Isu besar yang mendasari kebuntuan ini perlu diselesaikan dengan cara bermesyuarat dan berbincang secara ikhlas. Tidak boleh dibincang antara beberapa orang sahaja. Cara itu tidak betul. Keputusan yang diperolehi itu tidak sah.

Surat yang dibacanya berulang kali itu dipegang sekali lagi. Matanya meneliti setiap perkataan dan setiap baris yang tertulis. Tuah mengetap bibir seakan-akan mencari makna sebenar di sebalik tulisan yang tersurat di hadapannya.

“Kami mendesak tuan agar segera bertindak. Jika terlewat, isu ini akan lebih hangat dan mungkin menjejaskan kedudukan tuan.”

Tuah membaca baris pertama peranggan kedua surat itu.

“Jika tuan tidak bertindak segera, kami akan bertindak tanpa tuan.” Sambung isi surat itu lagi.

“Ciss!!! Kamu ugut aku?” Tuah melemparkan surat itu ke atas mejanya. Hatinya memang panas. “Ini semua mesti kerja Jebat!” Telah hati kecilnya.

Telefon tiba-tiba berdering. Tuah menjeling ke skrin, terpapar nama Dato Kendara, Setiausaha Sulit Paduka Raja. “Aghh…ini seorang lagi!” Tuah mendengus geram.

“Ya, saya datang segera!” Suara Tuah agak kasar kedengaran setelah beberapa detik perbualan berlangsung. Dia bergegas keluar dari pejabatnya sebaik sahaja mematikan telefon tangannya.

“Batalkan semua janji temu saya hari ini!” Dia sempat memberitahu Ayu, pegawai khasnya yang duduk di depan pintu pejabatnya. Gadis manis berusia 25 tahun itu, tergamam seketika. Mulut Ayu terkumat-kamit bagai ada sesuatu yang mahu diberitahu kepada bosnya itu. Tuah sudah berlalu pergi.

“Itu bukan keputusan saya. Mereka tidak langsung merujuk kepada saya sebelum membuat keputusan. Saya tidak tahu menahu semua hal yang dibangkitkan itu.” Tuah menjelaskan kepada Paduka Raja.

Ada sehelai surat di tangan kanannya. “Tapi isi surat ini seperti kamu sudah bersetuju.”

“Saya tidak pernah bersetuju!”

“Macam mana dalam surat ini disebut setuju sebulat suara?”

“Mereka batalkan mesyuarat petang ini. Belum ada sebarang persetujuan lagi. Surat itu palsu.”

Paduka Raja berwajah murung. Berbagai-bagai perasaan melanda benaknya. Dia tidak menyangka perkara ini akan berlaku setelah hampir dua tahun dia melantik Tuah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

“Saya tidak mahu terlibat secara langsung. Kamu perlu selesaikan secepat mungkin!” Suara Paduka Raja mengandungi arahan yang perlu disegerakan.

Tuah mengangguk sambil menjeling tajam ke arah Dato Kendara.

Kembali ke pejabatnya, Tuah memanggil Kasturi berjumpa dengannya secara peribadi. Hanya empat mata, tanpa orang lain.

“Apa yang sudah terjadi? Siapa yang buat keputusan itu?” Tuah mula menyoal.

“Saya pun tidak dijemput ke mesyuarat itu,” jelas Kasturi. “Sedangkan saya masih Setiausaha yang sah.”

“Siapa lagi yang hadir?” Tuah menyoal, mahu tahu kedudukan yang sebenarnya. Di dalam hatinya, dia mahu selesaikan perkara itu secepat mungkin.

Di luar pejabatnya sudah ada Lekir dan Lekiu, menunggu giliran dipanggil bertemu Tuah. Tidak lama kemudian Ayu menjemput kedua-duanya masuk ke dalam pejabat. Kasturi masih berada di dalam. Keempat-empat mereka berbincang.

“Apakah semua ini kerja Jebat?” Tuah mengajukan soalan.

“Jebat dipaksa melakukannya.” Pantas Lekir menjawab.

Tuah terkejut mendengar jawapan Lekir. Tapi hatinya masih belum mahu menerima jawapan itu sebagai satu kebenaran.

“Pakteh Darma ugut Jebat, kalau tak buat apa yang dia suruh, Jebat akan dituduh di mahkamah,” Lekir terus memberi maklumat.

Tuah tambah terkejut. Selama ini Jebat tidak pernah bercerita apa-apa kepadanya tentang Pakteh Darma.

Kasturi hanya berdiam diri walaupun dia mendengar segala yang diceritakan Lekir itu dengan penuh teliti. Lekiu pula kelihatan resah; sekejap duduk di kerusi dan sekejap berdiri merenung keluar dari tingkap.

“Apa tuduhannya?” Soal Tuah keras. Dia mahu tahu apa sebenarnya yang berlaku antara Jebat dan Pakteh Darma. Tapi jauh di sudut hatinya, Tuah berasa amat hairan. Kenapa Jebat sembunyikan semua itu daripada pengetahuannya?

“Skandal dengan Puteri Anum, ketika Paduka Raja tiada di dalam negeri,” jelas suara Lekir memberitahu kisah yang sudah heboh dalam kalangan pegawai atasan sejak beberapa hari yang lalu.

Tuah terduduk, terdiam apabila Lekir bercerita begitu. Lekiu segera memaling muka ke arah Lekir sambil mulutnya terkumat-kamit. Misai tebalnya bergerak-gerak sambil mengetap bibir, menahan marah.

“Panggil Jebat sekarang. Saya nak jumpa dia segera!” Suara Tuah bergegar ketika menekan butang intercom memberi arahan kepada pegawai khasnya, Ayu.

Tidak sampai suku jam, Jebat muncul di pintu bilik Tuah. Melangkah masuk sebaik diarahkan Tuah, dengan langkah penuh waspada. Dia tidak tahu kenapa dia dipanggil dengan segera. Tuah merenung tajam ke wajah Jebat, orang kanannya.

“Apa yang sudah terjadi, Jebat?”

“Apa maksud kau Tuah?”

“Cerita skandal kau dengan Puteri Anum sudah membengkak, tunggu masa untuk meletup. Kenapa kau tidak beritahu aku? Sekarang Paduka Raja sudah tahu. Ada surat layang sampai kepadanya.” Panjang Tuah bersuara.

“Aku tak mahu kau terlibat. Biar aku yang selesaikan sendiri.” Tegas suara Jebat seperti kelazimannya dia berkata-kata. Pada wajahnya tiada riak senyuman sedikit pun.

“Tapi sekarang Paduka Raja sudah arahkan aku untuk selesaikan perkara ini. Mesyuarat petang ini dibatalkan. Keputusan sudah dibuat tanpa pengetahuan aku. Siapa yang buat keputusan?” Tuah masih berang.

Jebat tidak menjawab, tetapi mengangkat kedua-dua belah bahunya sambil mencebik bibir.

“Benarkah semua cerita itu?” Suara Tuah masih lantang membentak.

“Kalau betul semua tuduhan itu, elok kita cari jalan untuk selesaikannya,” tingkah Kasturi yang sedari tadi hanya berdiri dan berjalan dengan penuh keresahan.

“Aku sudah katakan tadi, biar aku sendiri yang selesaikan perkara ini. Tak perlu kau atau sesiapa sahaja yang masuk campur!” Jebat tetap tegas dengan pendiriannya. “Aku mahu tengok sampai tahap mana permainan dan fitnah mereka terhadap aku!”

Malam itu mereka berlima berjumpa di tempat biasa, tempat mereka berlatih dan bermain silat. Tetapi malam itu mereka tidak bersilat, sebaliknya mereka hanya berbincang.

“Aku tidak pasti rancangan kau itu akan berhasil, Jebat,” Tuah bersuara setelah mendengar penerangan Jebat tentang tindakan yang bakal dilakukannya terhadap mereka yang menabur fitnah ke atasnya.

“Kalau kau perlu bantuan, aku siap sedia membantu!” Kasturi memberi pengakuan.

“Aku juga!” Lekir ikut bersuara memberi pengakuan.

“Aku juga!” Lekiu pula mencelah.

“Pengkhianat dan penabur fitnah tidak boleh dibiarkan berkuasa!” Jebat terus bersuara.

Tuah tidak menyambung kata-kata. Dia merenung setiap wajah di hadapannya. Dia kenal setiap seorang daripada keempat-empat sahabatnya itu.

“Aku sudah berbincang dengan Dato Kendara. Dia minta aku sampaikan pendapatnya.” Tuah bersuara kembali setelah keempat-empat sahabatnya seakan-akan sudah sepakat untuk bertindak.

“Kenapa kau libatkan Dato Kendara dalam soal ini?” Jebat menyoal dalam nada kesal.

“Dengar dulu, Jebat.” Tuah cuba meredakan perasaan Jebat yang kelihatan agak panas dan marah.

“Dato Kendara tahu siapa yang hantar surat itu kepada Paduka Raja. Dia setuju kalau kita bertindak ke atas si penabur fitnah itu. Cuma caranya sahaja yang perlu diperhalusi. Umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak.”

“Tak ada gunanya berlembut dengan mereka!” Jebat pantas mencelah, mengangkat suara.

Kasturi mengangguk. Lekir dan Lekiu turut mengangguk serentak. Tuah faham maksud yang tersirat.

“Aku akan berjumpa Paduka Raja awal pagi esok. Aku akan beritahu yang aku ada terima sepucuk surat layang tentang perancangan jahat Pakteh Darma. Perancangan jahatnya lebih jahat daripada tuduhannya ke atas kau, Jebat. Aku mahu Paduka Raja buat keputusan. Biar Pakteh Darma tahu yang Paduka Raja bukanlah boneka yang boleh diputar kepala!” Panjang lebar Tuah memberitahu rancangan yang akan diambilnya. “Itulah tugas aku sebagai penasihat kepada Paduka Raja.”

Malam itu, selepas Tuah berjumpa Paduka Raja, mereka berlima berjumpa sekali lagi di tempat yang sama.

“Paduka Raja sudah buat keputusan,” Tuah memulakan perbualan.

Jebat, Kasturi, Lekir dan Lekiu hanya diam menunggu Tuah meneruskan kata.

“Si pengkhianat dan penebar fitnah itu akan dihalau keluar dari negeri ini! Paduka Raja tidak percaya dengan segala fitnah yang dilemparkan kepada kau, Jebat. Puteri Anum sendiri mengaku dia diugut oleh Pakteh Darma. Ada saksi yang melihat perbuatan jahat itu ke atas Puteri Anum.”

“Halau?” Jebat bersuara. “Apakah itu sahaja hukumannya?” Ternyata Jebat benar-benar tidak puas hati dengan keputusan yang dijatuhkan oleh Paduka Raja itu. “Biar aku saja yang berikan hukuman kepada pengkhianat itu!” Serentak Jebat bingkas bangun dan berjalan keluar sambil menghembuskan dengusan yang kuat.

“Kau nak ke mana, Jebat?” Laung Tuah.

“Aku akan bertindak! Siapa sahaja yang menghalang aku, dia musuhku!!”

Langkah Jebat begitu cepat hilang ditelan kelam malam.

 

—————————————————————————————————————————

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #cerpenkehidupan (2) #dbpselatan (14) #karyasastera (15) #penulis (5) #penulisbaharu (16) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (5) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (15) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (2) #wadahdbp (4) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) bengkel (2) budaya (2) cerpen (9) dbpcawangansabah (6) dbpcawangansarawak (17) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (8) puisi (24) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) ramadhan (2) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Pergi ke Detik Henti
Cerpen

Pergi ke Detik Henti

  • 1 September 2024
  • 188
  • 4.6
ميليق کيت
Puisi Moden

ميليق کيت

  • 20 Ogos 2023
  • 42
  • 5
Kopi untuk Sahabat
Puisi

Kopi untuk Sahabat

  • 16 April 2024
  • 81
  • 5
سڬومڤل اون بربيسيق
Puisi Moden

سڬومڤل اون بربيسيق

  • 5 November 2023
  • 72
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP