“AKU pejuang kemerdekaan,” tegas Mat Baju Gumbang. Keras nada suaranya.
Dia diberi gelaran Mat Baju Gumbang kerana ke mana pun dia pergi, tidak kira malam atau siang, dia akan berbaju gumbang.
“Gila, mu!” sanggah Seman Keceng. Nada suaranya juga tegas dan keras.
Dia mendapat gelaran ‘keceng’ kerana sebelah matanya tertutup.
Kedua-duanya merupakan rakan kamceng di Kedai Kopi Wan Rohim Kutan. Abangnya, Datuk Wan Romli turut bersarapan pagi setiap hari di situ.
Mat Baju Gumbang dan Seman Keceng selalu makan roti canai dan minum teh O percuma. Datuk Wan Romli belanja tetapi Wan Rohim yang kerap bayar.
“Pejuang kemerdekaan gila? Perjuangan bukan kerja orang gila, bukan kerja orang cedok air dengan raga jarang atau mengail ikan dalam lopak,” ujar Mat Baju Gumbang.
“Kalau gila-gila memang ada. Pejuang dan perjuangan perlu gila-gila. Perlu berkehendak dalam perjuangan. Kerana itu pejuang kena gila-gila,” tambah Mat Baju Gumbang.
“Gila-gila tak apa. Yang tak mahunya gila. Punah otak, putus wayar hijau!” celah Datuk Wan Romli.
Pelanggan lain asyik dengan hal masing-masing, topik perbualan yang berkaitan dengan hal peribadi dan hal kerja, terutamanya pelanggan yang sudah pencen.
Datuk Wan Romli juga sedang berjuang mempertahankan hak penduduk sekampung yang berkemungkinan akan hilang kampung halaman mereka. Pihak syarikat swasta telah mendapat hak untuk mewujudkan pinggir bandar (uptown), menukarkan sawah dan dusun milik orang kampung kepada pembinaan bandar baharu, termasuklah rumah mewah yang harganya tujuh keturunan pun belum tentu mampu dibeli oleh rakyat marhaen.
Harga yang dibayar oleh pihak syarikat untuk pengambilan tanah orang kampung agak murah. Hendak beli sebagai pengganti bukannya mudah, dan kerana itulah orang kampung sangat marah.
“Merdeka kepala bapak!” rengus Seman Keceng. Tempelakannya ditujukan kepada Mat Baju Gumbang, bukannya kepada Datuk Wan Romli, takut tak boleh makan roti canai dan minum teh O percuma lagi di Kedai Kopi Wan Rohim Kutan.
Dia dengan Mat Baju Gumbang tidak pernah sealiran pemikiran, termasuklah hal politik.
“Mu bankrap idea. Selalu cedok idea gemulah Tok Awang Merdeka,” Mat Baju Gumbang menyakat Seman Keceng. Dia seronok kalau melihat Seman naik angin.
“Tok Awang mana pula?” respon Seman Keceng. Dicerlungnya dengan sebelah mata yang tidak keceng pada Mat Baju Gumbang.
Seman Keceng memang naik angin, cuak, jengkel dan marah apabila Mat Baju Gumbang mengatakan yang dia bankrap idea dan selalu cedok idea gemulah Tok Awang Merdeka yang dia sendiri tidak kenal orangnya.
“Jarang orang tak kenal gemulah Tok Awang, yang tak ingat telatah rutinnya. Bila sebut merdeka mesti dia akan sebut merdeka kepala bapak! Nak dapat nasi kerabu sebungkus pun payah.” jelas Mat Baju Gumbang.
“Mu ni ada macam-macam cerita. Kalau aku dengar ceritamu ni, boleh jadi gila aku!” rengus Seman Keceng.
Dicerlungnya lagi Mat Baju Gumbang dengan sebelah matanya yang tak keceng.
“Mu ada baka ke?” Mat Baju Gumbang sengaja kemukakan pertanyaan yang boleh menyebabkan Seman Keceng yang dah naik angin bertambah naik angin lagi.
“Baka apanya?” Seman Keceng bertanya semula kepada Mat Baju Gumbang.
“Gila. Maksud aku baka gila,” jelas Mat Baju Gumbang yang sengaja mahu Seman Keceng selalu bertegang urat dengannya.
“Mu atau aku?” soal Seman Keceng. Suaranya semakin keras. Dicerlungnya lagi Mat Baju Gumbang.
“Apa?” Mat Baju Gumbang menyoal balik tanpa menjawab soalan Seman Keceng.
“Gila. Maksud aku baka gila,” jawab Seman Keceng. Jujur.
“Aku tak ada baka gila,” tegas Mat Baju Gumbang.
“Aku pun tak ada baka gila,” balas Seman Keceng.
“Mu takut tu kenapa? Takut gila dengar cerita aku ke?” tanya Mat Baju Gumbang lagi.
“Pasal mu macam orang gila!” respon Seman Keceng yang agak lurus bendul.
“Alasanmu?” Mat Baju Gumbang mengasak Seman Keceng dengan soalan dan pertanyaan.
“Alasan apanya?” Seman Keceng bertanya semula kerana dia tidak faham maksud pertanyaan Mat Baju Gumbang.
“Mu kata aku macam orang gila.” Mat Baju Gumbang memberi pencerahan supaya Seman Keceng faham.
“Sebab tadi mu kata mu pejuang kemerdekaan,” jelas Seman Keceng.
“Memang betullah aku kata. Mana ada salahnya, tetapi sikapnya?” soal Mat Baju Gumbang.
“Negara dah lama merdeka. Penjajah dah lama diusir. Nak berjuang untuk kemerdekaan macam mana lagi?” soal Seman Keceng.
“Bahasa. Aku pejuang kemerdekaan yang memartabatkan bahasa untuk sebuah negara merdeka dan berdaulat!” tegas Mat Baju Gumbang.
“Aku mahu apa-apa sahaja urusan, termasuklah urusan semasa mengisi borang atau apa-apa jua urusan perlulah menggunakan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa rasmi negara. Aku mahu bahasa rasmi negara didaulatkan,” tambah Mat Baju Gumbang.
“Tidak kira usia, bangsa, darjat dan kedudukan, kita kena martabatkan bahasa kebangsaan. Terutama sekali apabila kita berucap semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” tokok Mat Baju Gumbang.
“Semasa PBB, perwakilannya terdiri daripada pelbagai bangsa. Mereka tak faham bahasa kita,” celah Wan Rohim Kutan.
Seman Keceng diam membisu.
Datuk Wan Romli menyokong pendapat adiknya. Wan Rohim Kutan, orang terkenal tetapi sangat merendah diri. Dia lebih suka bersederhana walaupun ada hartanah bernilai belasan juta ringgit.
“Yang tak faham boleh guna khidmat penterjemah dan terjemah ke bahasa masing-masing,” ujar Mat Baju Gumbang.
“Merdeka apanya kalau borang yang diisi di pejabat kerajaan masih guna bahasa penjajah? Tak cukup sempurna ke bahasa sendiri untuk dijadikan bahasa rasmi negara dan bahasa ilmu?” tambah Mat Baju Gumbang dengan suara yang semakin kuat.
Dia merasakan dirinya seolah-olah Perdana Menteri apabila semua pelanggan yang dari tadi agak bising bercakap mulai bisu, sebisu Seman Keceng sekarang. Semuanya sedang memberi tumpuan terhadap apa-apa yang telah diperkatakan oleh mereka sebentar tadi.
Datuk Wan Romli tertelan roti canai yang belum dimamahnya kerana agak terkejut mendengar suara Mat Baju Gumbang yang lebih bersemangat pada hari ini.
Mat Baju Gumbang seakan-akan mendapat suntikan baharu untuk memperjuangkan bahasa kebangsaan bukan sekadar omong kosong di kedai kopi sahaja.