Sudah dua malam Pak Salam tidak jerab tidur. Dia sudah tidak dapat memadamkan api kemarahan yang menyala dalam kepalanya. Dan malam itu jam tiga pagi dia sudah bangun. Setelah menghirup secawan kopi, dia terus bersiap. Lampu suluh sudah diganti bateri baharu. Parang panjang di tepi pintu dicapai dan diletakkan di hadapannya.
“Tak usahlah pergi, bang,” ujar isterinya sambil bangun menggenyeh mata. “Bahaya tu bang!” gesanya lagi dengan suara risau melihat suaminya tidak mendengar cakapnya.
Melihat suaminya bangun mengambil pemetik api dan mencapai sekotak mercun yang diletak atas meja, Mak Besah ikut bangun.
Pak Salam menyambar jaket hitam dan tergesa-gesa memakainya. Pemetik api dan kotak mercun dimasukkan ke dalam poket jaket yang agak labuh.
Mak Besah sedar, hasrat suaminya tidak boleh dihalang lagi. Sudah beberapa hari dia merungut tentang kerakusan babi hutan meratah buah-buah duriannya yang luruh pada waktu malam. Setiap pagi apabila dia ke dusun, didapati kulit buah itu bersepahan di bawah pokok. Banyak buah yang baik mutunya dimakan babi yang pandai memilih. Yang pasti buah yang gagal dipecahkan, kurang bermutu dan kecil saiznya ditinggalkan begitu sahaja.
Tanpa mempedulikan kata-kata isterinya, Pak Salam bangun membuka pintu pondok. Hulu parang panjang digenggam kejap bagaikan tidak sabar mahu mencantas musuh yang amat dimarahi. Di tangan kanannya, lampu sudah menyala menerangi halaman bertanah merah.
Dia terus membuka langkah pantas.
“Ni telefon, takkan tak bawa?” Mak Besah berdiri di muka pintu dengan kebimbangan yang menambah kedut pipinya.
“Oh, ya…,” Pak Salam berpatah balik dan menjerabar telefon pintarnya tanpa menatap wajah isterinya.
“Jaga baik-baik,” pesan isterinya lagi. “Telefon tu penting.”
Pak Salam terus membisu. Dia sedar, telefon itu amat penting untuk berkomunikasi dengan sesiapa sahaja, apalagi dengan isterinya yang bimbang akan keselamatan dirinya.
Ketika melalui bawah pokok nangka, sebuah guni baja yang berada di bawah pokok itu dibawa bersama. Jika ada rezeki, guni ini akan digunakan untuk mengisi durian nanti, getus hatinya.
Malam pekat diredah dengan pantas. Dia memakai kasut but getah separas lutut. Setidak-tidaknya dia terelak daripada patukan ular kapak yang banyak membiak di dalam dusun seluas empat ekar itu.
Tanah dusun itu dibeli beberapa tahun sebelum persaraan, dijadikan dusun buah-buahan dengan tanaman durian, cempedak, nangka, manggis, dokong dan lain-lain. Dia bersyukur tahun ini semua pokok berbuah lebat. Hasilnya tentu lumayan jika dapat dipasarkan dengan baik. Walaupun negara dilanda pandemik COVID-19 dan belum ada tanda akan reda, PKP dan lockdown pula menyekat segala macam aktiviti kehidupan. Rakyat semakin tertekan hinggakan ada yang mengibarkan bendera putih.
Pak Salam menganggap ini satu dugaan Allah yang patut diterima dengan reda. Ada hikmahnya di sebalik musibah yang melanda seluruh dunia ini.
Dia amat simpati, terutama pada rakyat marhaen. Ramai yang sudah hilang kerja dan putus punca pendapatan Setahu Pak Salam, inilah pertama kali kerajaan menerima kritikan yang amat keras daripada semua lapisan rakyat akibat kegagalan menangani wabak yang datang daripada sekecil-kecil kuman tetapi amat bahaya dan mampu mematikan manusia pada skala yang besar.
Namun begitu, Pak Salam cepat pula sedar, kerajaan telah berusaha bersungguh-sungguh menangani wabak ini dengan segala kepakaran yang ada. Pelbagai bantuan dengan biaya berbilion ringgit di salur dan dibelanjakan demi meringankan beban rakyat. Namun wabak yang degil ini belum mampu diatasi. Kita belum menang! Slogan ini bagi Pak Salam sudah basi malah mengundang kecaman keras daripada masyarakat.
Pak Salam sependapat dengan mereka yang berfikiran kritis. COVID-19 adalah bala daripada Tuhan bagi mengajar hambanya yang sudah lama hanyut dibuai kemewahan. Wang ringgit menjadi raja dalam mengejar dan mempertahankan kuasa. Ramai orang suka berfoya-foya, kemungkaran merupakan budaya baru, penyelewengan disanjungi dan integriti diletak di bawah tapak kaki.
Laluan ke tempat tuju tidak bermasalah. Lampu suluh memanahkan sinar sejauh mungkin. Kaki Pak Salam tidak tersadung akar dan semak yang menghalang. Lorong itu sudah rata menjadi tempat pejalan kaki dan peraih durian. Itu dulu. Kini tiada lagi. PKP menyekat kedatangan peraih yang datang dari merata tempat. Tetapi lorong itu masih kekal bersih kerana dia dan isterinya sering berulang alik melihat dusun.
Pak Salam berazam akan berusaha sedaya upaya. Pada usia melepasi enam puluh, dia bersyukur tidak dihinggapi apa-apa penyakit. Mungkin aktivitinya di dusun yang menitiskan banyak peluh, menambah saham kesihatannya. Kini dia tidak gentar dengan dugaan yang datang, tetapi dugaan yang datang dari musuh yang mengganggu dusunnya amat menyakitkan hatinya.
Mahu tidak mahu dia terpaksa bekerja keras. Pada awal pagi lagi, dia terpaksa berkejar ke hujung dusun kerana kera, lotong dan tupai yang berjumlah ratusan ekor masuk ke dalam dusun memakan dan merosakkan buah yang belum masak. Binatang-binatang itu kelaparan kerana kawasan yang selama ini bebas untuk mencari makanan telah dimiliki manusia yang rakus pada tanah. Lalu merempatlah semua binatang mencari tempat berteduh selain mencari makanan yang makin sedikit sedangkan suku sakat membiak pantas.
Menghalau kera dan lotong lebih mudah dari menghalau babi yang banyak dan bermaharajalela. Kera, lotong, tupai dan lain-lain bertempiaran bila terdengar letupan mercun atau senapang. Kumpulan ini akan bertempiaran ke kebun sebelah atau ke hutan berdekatan dan hanya datang semula beberapa jam kemudian.
Berbeza dengan babi hutan. Kumpulan ini juga jumlahnya bukan sedikit. Malahan kedatangannya bersama deretan anak cucu yang degil dan garang pula. Dan yang paling menyusahkan, babi hutan lebih selesa pada waktu malam. Tidak seperti binatang lain yang bergerak atas pokok sedangkan babi hutan menyondol di atas tanah dan pandai memilih durian yang mahal dan sedap isinya.
“Aku dah tak boleh bersabar,” ujar Pak Salam setelah memutuskan akan bangun awal mengutip musang king yang mulai gugur sejak beberapa hari lalu. “Aku tak boleh biarkan durian itu dibaham babi, sedangkan kita menunggu bertahun-tahun untuk mengutip hasilnya.”
Mak Besah diam. Sambil menuang secawan kopi, dia teringat pada adiknya, peniaga buah-buahan di Ipoh. Setelah meletakkan cawan kopi yang berasap di hadapan suaminya dia bersuara, “Yati beritahu, ramai kawan setamannya pesan buah tu. Ada yang pakai Whatsapp dan sanggup beli dengan banyak.”
Mak Besah ada lesen memandu. Tiada masalah baginya memandu pikap berisi durian ke Ipoh dan menjualnya bersama adiknya. Tinggal Pak Salam mengutip durian dan menghalau kera, tupai dan lotong yang menggila di siang hari.
Pak Salam menghirup kopi. “Kerana tu, aku tak akan biarkan durian tu menjadi habuan babi lagi. Inilah masa kita mengutip hasil dari keringat kita yang tumpah selama ni.”
Sesudah menuruni lurah, Pak Salam sampai ke hujung dusun. Di situ puluhan pokok musang king berbuah lebat. Kerana letaknya di tepi semak, babi mudah menyondol masuk walaupun dipagar kawat berduri bersimen di bawahnya.
Banyak wangnya habis dibelanjakan bukan sahaja untuk membuat pagar, tetapi juga untuk membolehkan duriannya dipasarkan ke luar daerah. Dia terpaksa menubuhkan syarikat dan mendaftarkannya di SSM. Kemudian baru boleh mendapatkan kebenaran MITI dan kelulusan polis bagi melancarkan urusan perniagaan pada ketika pandemik COVID-19 menggugat kehidupan sekarang.
Setelah melintasi caruk kecil, Pak Salam sampai ke kawasan pokok musang king. Lampu suluh ditebarkan cahayanya ke serata arah. Alangkah terperanjatnya dia melihat puluhan ekor babi, kecil dan besar, sedang meratah durian yang baru gugur. Anak-anak babi pula mengelilingi ibu dan bapa yang gemuk mengerumuni buah durian yang mudah dikopak, meratah isinya dengan lahap.
Pak Salam menyaksikan gelagat babi-babi itu dengan perasaan geram yang amat sangat.
Lalu dia bertempik sekuat tenaga. Banyak babi yang terkejut dan melarikan diri. Parang tajamnya digawang-gawang.
Tiba-tiba muncul seekor babi besar bertaring tajam. Babi jantan itu agak terasing dari babi-babi yang lain.
“Gerrr… greeer… geeerhhhh… .” Babi yang garang itu menyeringai dan meluru ke arahnya.
Pak Salam menyeluk poket dan mengeluarkan mercun. Belum pun sempat dia menyalakan pemetik api, babi ganas itu menyerbunya. Dia panik dan terlepas pemetik api. Mujur lampu suluh kuat di dalam genggaman dan parang pantas digawang, melibaskan hujungnya ke muka binatang bertaring kuning itu.
Pak Salam bertempik sekuat hati. Namun tempikannya hanya bergaung ke kejauhan dan menyerap dalam kegelapan malam. Tempikan itu tidak dihiraukan babi tunggal yang semakin berani. Libasan yang mengenai muncung babi itu bukan menakutkan, tetapi kecederaan yang dialami menyebabkan babi itu semakin ganas menyerangnya.
Dengan sepenuh kudrat yang ada, Pak Salam melibas kiri dan kanan. Libasan pertama menyipi, libasan kedua pula menghiris muncung dan badan babi berkulit tebal itu. Namun kerana serangan itu bertubi-tubi, tenaga tuanya mengendur juga. Dalam kepenatan, tiba-tiba kakinya tersepak tunggul kayu. Dia mengaduh sambil tersepuk jatuh. Ini membuka peluang kepada babi yang cedera itu menyondolnya kiri dan kanan.
Pak Salam tetap tidak beralah walaupun parang sudah hampir terlepas dari genggaman. Dia cuba menyeluk poket, mencari telefon pintar.
Namun dia gagal. Belum sempat jari-jarinya yang terketar, menekan punat telefon, babi itu menyondol bahunya lagi. Dia hampir tertiarap tetapi dengan tenaga yang berbaki, dia terus mempertahankan diri dengan libasan yang tiada hentinya.
Di pondok, Mak Besah makin tertekan dengan kebimbangan yang membuak-buak. Sudah berkali-kali dia menelefon, tetapi tiada jawapan. Malam bening terus menggelap. Jika ada sebuah lagi lampu suluh, dia pasti memberanikan diri ke tempat suaminya berada sekarang, di hujung dusun yang menjadi tumpuan babi yang ganas itu.
Dia tidak ada pilihan. Jiran sebelah hanya berada setengah kilometer dari pondok. Lalu tanpa membuang masa dia menelefon anaknya, Fakri yang berjanji akan pulang pada pagi Sabtu itu untuk membantu bapanya mengutip durian. Dalam borang SSM ikut tercatat nama Fakri sebagai rakan kongsi yang boleh merentas daerah dalam membantu perniagaan mereka.
“Saya dalam perjalanan ni, mak.” Suara Fakri terkejut ketika kenderaannya memecut laju. “Saya akan sampai tak lama lagi.”
“Alhamdulillah!” balas Mak Besah cuba menyembunyikan kegelisahannya. “Pandu baik-baik!”
Fakri tiba pada waktunya. Mereka terus berkejar ke tempat yang sudah pasti Pak Salam berada.
Alangkah terkejutnya kedua beranak itu. Pak Salam yang cedera dan terduduk, masih gagah memegang hulu parang. Seakan-akan sudah trauma, dia terus melibas kiri dan kanan. Babi yang garang itu menghilang sebaik sahaja terdengar kedatangan Fakri. Yang tinggal cuma bersepahan kulit durian di sana sini.
Pak Salam menahan sakit, tetapi sedaya upaya dia memperlahankan suaranya bagi menggambarkan tidak ada apa yang patut dirisaukan.
Namun begitu, kerut di wajahnya tidak dapat disembunyikan. Sesungguhnya dia sedang menanggung kesakitan yang amat sangat.
“Sebelum pulang, isikan guni tu dengan baki buah yang ada!” Suara Pak Salam tersekat-sekat sambil menetak anak-anak pokok di tepinya bagaikan tidak dapat menahan kemarahan yang belum reda.
“Tak apa, pak!” pintas Fakri. “Buah-buah tu dah tak ke mana. Kesihatan pak lebih penting.”
Fakri segera memapah bapanya pulang ke pondok. Dia mahu membawa bapanya mendapatkan rawatan segera.
Mak Besah yang mengekori di belakang, hanya membisu. Lampu suluh di tangannya sudah malap, tidak menghalang atur langkah mereka. Orang tua itu bersyukur, suaminya selamat walaupun mengalami luka di bahu dan kaki.