Pantun merupakan sebuah warisan teras hati budi masyarakat Melayu yang penuh dengan kesantunan dan nilai-nilai yang luhur. Memetik kata-kata R. J. Wilkinson dan R. O. Winstedt;
“Orang asing yang belum mengenal pantun, boleh dikatakan orang itu belum mengenal rohani dan jalan fikiran orang Melayu yang sebenar”.
Dalam mencipta pantun, diselitkan segala kebijaksanaan, kehalusan perasaan dan budi pekerti, malahan sarat dengan makna yang melintasi batasan pemikiran manusia. Orang Melayu merupakan seniman yang sangat kreatif, pemikir yang tajam dan perenung alam flora dan fauna. Elemen ornitologi (burung) merupakan salah satu unsur alam yang dijadikan sebagai objek pembayang dalam pantun Melayu. Burung merupakan binatang yang berbulu, berkaki dua dan bersayap (biasanya dapat terbang) atau juga dikenali sebagai unggas. Secara umumnya, burung merupakan haiwan yang amat berguna kepada hidupan lain di muka bumi ini. Burung bukan sahaja berfungsi sebagai rantaian makanan kepada kebanyakan hidupan liar yang lain, tetapi juga berguna sebagai agen penyebaran biji benih kepada banyak spesis tumbuhan. Menurut Jasmi Abdul (2016: 2) dalam masyarakat Melayu, burung bukan sahaja dijadikan bahan makanan, malah juga sebagai kawan penghibur semasa waktu riadah atau waktu rehat.
Dalam penulisan ini penulis memfokuskan kepada tiga jenis burung yang sangat dekat dengan kehidupan masyarakat Melayu, iaitu burung pipit, burung merpati dan burung tiong. Pipit merujuk kepada sejenis burung yang bersaiz kecil. Burung pipit ini terbahagi kepada beberapa spesis, iaitu Pipit Kepala Hitam/Javanese Munia (Lonchura Leocogastroides), Pipit Pinang/Scaly-breasted Munia (Lonchura Punctulata), Pipit Rawa/Chestnut Munia (Lonchura Malacca), Pipit Kepala Putih/White-headed Munia (Lonchura Maja), Pipit Jawa/Java Sparrow (Padda Oryzivora), Pipit Rumah/Eurasian Tree Sparrow (Passer Montanus), Pipit Dada Kuning/Oriental White-eye (Zosterops Palpebrosa), Tempua/Baya Weaver (Ploceus Philippinus).
Lapan Spesis Burung Pipit
Burung Cak jatuh ke paya,
Disambar enggang sambil melompat;
Jangan diharap kepada saya,
Dagang yang hina tidak bertempat.
Sumber: Kurik Kundi Merah Saga, 2015
Contoh pantun di atas menunjukkan penggunaan burung cak dan burung enggang sebagai objek pembayang. Burung cak atau juga dikenali sebagai burung Pipit Rumah dalam baris pembayang pantun dapat diibaratkan sebagai golongan yang berstatus rendah dalam sesebuah masyarakat. Manakala burung enggang pula diibaratkan golongan yang berstatus tinggi dan berkenamaan. Di sini dapat menunjukkan penghasilan makna di minda pembaca atau pendengar pantun ini. Pembaca atau pendengar dapat menghasilkan sesuatu makna dengan lebih mudah jika mereka dekat dengan persekitaran pantun yang diujarkan. Namun begitu, pemilihan objek dalam pantun Melayu bukanlah sekadar penyedap rima dan secara sewenang-wenangnya. Pemilihan burung Pipit dan burung enggang ini mempunyai falsafah dan akal budi Melayu yang tersendiri.
Pernah atau tidak anda terfikir kenapa hanya objek-objek tertentu sahaja digunakan dalam pantun atau peribahasa Melayu tradisional? Persoalan seperti kenapa orang Melayu terdahulu tidak menggunakan burung flamingo atau burung hering untuk melambangkan status dalam masyarakat? Hal ini demikian kerana burung flamingo dan hering ini bukanlah burung yang berada di sekeliling masyarakat Melayu terdahulu. Orang Melayu yang tinggal di Nusantara ini lebih biasa dengan burung-burung seperti pipit dan enggang.
Pemikiran orang Melayu dalam mencipta pantun dan kiasan yang lain sangat tajam. Mereka mejadikan alam sekeliling sebagai rujukan kehidupan. Seperti yang telah dipaparkan dalam pantun sebelum ini, burung pipit merupakan burung yang dianggap rendah tarafnya jika dibandingkan dengan burung-burung yang besar lain seperti enggang yang disebut dalam pantun tersebut. Ciri-ciri burung pipit itu sendiri dapat menggambarkan bahawa burung jenis ini memiliki saiz yang kecil di antara 10 hingga 16 cm sahaja. Burung yang bersaiz kecil ini tidak kuat dan selalu menjadi mangsa kepada burung-burung yang lebih besar daripadanya. Di samping itu, kawasan paya yang nyatakan dalam pantun tersebut juga tidak sesuai dengan burung pipit kerana habitat pipit ialah di kawasan sawah padi dan tanah lapang.
Burung Pipit Burung Enggang
Dalam pantun Melayu, burung pipit selalu digandingkan dengan burung enggang dan pantafsiran makna pantun melibatkan kedudukan dan status dalam sesebuah masyarakat. Burung enggang ini merupakan burung yang kuat dan cantik serta tampak gah berbanding burung Pipit. Di sini terserlahlah falsafah dan akal budi masyarakat Melayu dalam menganalogikan burung dengan status kehidupan manusia. Makna sebenar yang ingin disampaikan oleh pemantun ialah pedagang tersebut merantau ke tempat yang tidak sesuai dengan statusnya serta tidak diterima oleh golongan-golongan berstatus tinggi di tempat tersebut.
Burung tiong pula melambangkan kesedihan, kedukaan dan kekecewaan yang menjadi lumrah dalam kehidupan masyarakat kita. Melalui penelitian dalam pantun-pantun Melayu yang terdapat dalam Kurik Kundi Merah Saga. Hampir 71% pantun yang mengandungi perlambangan burung tiong membawa maksud kesedihan, kekecewaan dan kedukaan. Sebagai contoh pantun di bawah;
Bederai tiong di Linau,
Punai turun dinihari;
Bercerai kasih bujang panau,
Makan nasi sesuap sehari.
Burung tiong beranak tunggal,
Hinggap mari atas bumbung;
Ibu mati ayah meninggal,
Pada siapa hendak bergantung.
Spesis burung tiong berukuran di antara 23 hingga 30 cm panjang. Menurut John MacKinnon (1993) dalam bukunya berjudul Burung-burung di Jawa dan Bali, burung tiong juga dikenali sebagai myna atau secara saintifiknya tergolong dalam suku Coraciidae. Burung spesis ini sering ditemui di Eropa, Asia, Afrika dan Autralia. Makanan burung ini terdiri daripada buah-buahan dan serangga kecil. Burung tiong selalunya berwarna gelap. Berdasarkan rakaman gambar oleh G.W.H Davison & Chew Yen Fook (1995) terdapat 4 jenis daripada burung ini ditemui, iaitu Common Myna (Acridotheres Tristis), Jungle Myna (Acridotheres Fuscus), White-ventes Myna (Acridotheres Javanicus) dan Hill Myna (Gracula Religiosa). Berikut merupakan contoh gambar burung tiong yang terdapat di Malaysia.
Hill Myna Common Myna
Secara ringkasnya, pantun Melayu yang mengandungi burung tiong menunjukkan emosi kedukaan dan kesedihan pada baris maksud pantun tersebut. Hal ini menunjukkan bahawa orang Melayu terdahulu memilih burung tiong sebagai lambang bagi emosi seperti ini. Hal ini demikian kerana, burung tiong merupakan salah satu burung yang menjadi haiwan peliharaan dan teman untuk berbual di rumah. Burung tiong ialah burung yang mudah dilatih untuk bercakap dan meniru gaya bahasa manusia. Berdasarkan penelitian terhadap pantun Melayu terdapat beberapa leksikal yang merujuk kepada emosi kesedihan, kekecewaan dan kedukaan yang dipamerkan. Otak tengah manusia akan bertindak balas mengawal emosi sekiranya seseorang itu mula berfikir atau mengenangkan sesuatu yang sedih. Menurut Euis Heryanti dan Nur Faizah R. (2008) struktur hirarki otak manusia yang dibahagikan kepada tiga, iaitu:
- Bahagian otak bawah: batang otak
- Bahagian tengah: sistem limbik
- Bahagian atas: korteks cerebi (neokorteks)
Sistem limbik ini memiliki fungsi pengendali emosi, perilaku instinktif, drives, dan motivasi. Sistem ini terkait dengan proses penetapan nilai emosional atau isi berbagai objek dan pengalaman serta mengekspresikan emosi ini sebagai perilaku sehingga secara sistem limbik ini dapat dikatakan sebagai wilayah emosi dan selera. Contoh frasa seperti “bercerai kasih”, “panau”, “makan nasi sesuap sehari”, “ibu mati ayah meninggal” mengekspresikan emosi sedih yang dihasilkan oleh otak manusia. Oleh sebab itu, orang Melayu memilih burung tiong sebagai analogi terhadap emosi sedih. Walaupun gelagat burung tiong ini ceria sifatnya seperti memiliki bunyi yang kuat dan nyaring, dapat mengajuk percakapan manusia, dan sentiasa melompat-lompat seperti kegirangan, namun di sebalik kegirangan itu tersimpan satu makna di sebaliknya yang pengkaji boleh katanya ia hanyalah sekadar gelagat seekor tiong untuk menghiburkan hatinya yang sedang terkongkong di dalam sangkar. Jika dilihat semula burung yang hidupnya bebas terbang di langit, apabila dikurung juga memiliki perasaan yang sama seperti manusia. Jika manusia yang berada di tempat burung tersebut manusia juga turut berasa perkara yang sama, iaitu sedih, kecewa dan berduka lara. Bagi pantun yang mengandungi burung merpati melambangkan kasih sayang, percintaan dan kesetiaan. Contohnya;
Burung merpati terbang ke hutan,
Duduk bertenggek di tepi sungai;
Tuan umpama cahaya intan,
Bagai zamrud baru dicanai.
Burung merbuk burung merpati,
Terbang berpusing hala bendang;
Wajah elok menawan hati,
Siang malam hamba terkenang.
Burung merbuk merupakan burung dari kategori spesis yang sama. Berdasarkan pantun yang mengandungi burung merpati dan merbuk di atas jelas menunjukkan bahawa lelaki yang sedang dilamun cinta berada dalam keadaan gelisah dan memikirkan sesuatu. Secara keseluruhan pantun ini dapat kita lihat bahawa gambaran terhadap burung tersebut mewakili kelakuan manusia mengikut situasi pada pandangan masyarakat Melayu terdahulu. Falsafah di sebaliknya merujuk kepada bendang yang menjadi salah satu harapan kepada burung untuk mendapatkan makanan termasuklah burung merpati yang ingin diketengah oleh pengkaji dalam pantun ini.
Kelakuan burung merpati dan merbuk yang berpusing-pusing mengambarkan bahawa manusia yang berada dalam kegelisahan dan sedang mencari sesuatu yang masih belum pasti jawapannya. Hal ini ditonjolkan pada tempat atau kawasan yang dituju, iaitu bendang. Muncul persoalan di sini, mengapa ke bendang? Tidak ke hutan mahupun sungai? Hal ini demikian kerana masyarakat Melayu menganggap bahawa bendang merupakan tempat yang sejuk dan membuahkan hasil kepada kehidupan mereka. Jadi, perkara yang ditonjolkan dalam pantun ini ialah harapan lelaki tersebut terhadap gadis idaman yang dicintainya sekaligus menunjukkan bahawa dia tidak betepuk sebelah tangan.
Pantun yang mengandungi perlambangan burung pipit, tiong dan merpati membawa tema yang berkaitan dengan darjat, kesedihan dan kasih sayang dalam kehidupan masyarakat Melayu dahulu. Masyarakat Melayu bukan hanya memandang burung sebagai fauna yang beterbangan di langit, namun “burung’ dalam pantun membawa pelbagai mesej dan pengajaran kepada kita. Burung melambangkan kehidupan manusia yang merangkumi dari pelbagai aspek terutamanya aspek sosial. Pengkaji menggambarkan perlambangan burung terhadap manusia seperti berikut:
Perlambangan Burung – Manusia
Berdasarkan daripada pemerhatian dan penilaian penulis terhadap pantun-pantun yang melibatkan ketiga-tiga burung ini. Burung merupakan perlambangan kepada kehidupan manusia di dunia ini, misalnya burung merpati melambangkan kasih sayang antara manusia, burung pipit melambangkan darjat antara manusia dan burung tiong melambangkan kedukaan dan kekecewaan dalam kalangan manusia. Hubungan rapat dengan unsur-unsur alam yang ada di sekeliling orang Melayu telah membentuk daya fikir yang kreatif sehingga mampu dijadikan perbandingan kepada kehidupan manusia.