AH SAN termenung di jendela sambil merenung bintang di langit. Hidupnya tiada seri. Tiada sekuntumpun bunga yang sudi menghiasi taman hatinya yang gersang, meskipun usianya sudah menjangkau 33 tahun. Esok ialah hari yang akan menentukan sinar hidupnya. Jika untung sabut, dirinya akan timbul. Sebaliknya, jika untung batu, dirinya akan tenggelam. Walau bagaimanapun, dia akan menanti saat penentuan itu dengan sabar. Usai menanti jawapan, perlahan-lahan dia mengukirkan sketsa lakonan dalam peti mindanya.
“Cepatlah abang, sarungkan cincin emas ke jari manis Lin ini. Lin nak tunjuk pada kawan-kawan yang Lin dah ada buah hati,” gesa Lilian yang membahasakan dirinya Lin sambil mencium pipi Ah San yang berjerawat.
Ah San terpesona. Perasaan gembira tiba-tiba bertandang di tangkai hatinya. Dia tidak menduga gadis itu berani menghadiahkan sebuah ciuman mesra di pipinya walaupun mereka baru sahaja berkenalan beberapa bulan yang lalu.
“Sudah tidak ada perasaan malukah gadis zaman sekarang?” Ah San bertanya dalam hati, seraya menyarungkan cincin emas yang berpermata zamrud ke jari manis Lilian.
Lilian tersenyum girang dan melompat-lompat mengelilingi tubuh Ah San yang tinggi lampai. Berkali-kali dia mengucapkan terima kasih kepada Ah San. Desiran angin malam membelai wajah Ah San dan menyedarkannya daripada lamunan.
“Oh, rupa-rupanyanya aku berkhayal saja!” dengus Ah San.
Tubuh Ah San mulai kedinginan tetapi matanya masih segar. Dia mahu sepuas-puasnya menikmati keindahan malam. Malam ini malam bulan purnama. Semesta terang-benderang dipenuhi cahaya rembulan. Seribu persoalan bermain di benak fikirannya. Apakah jawapan yang akan diterimanya esok? Adakah jawapan itu menjanjikan kebahagiaan atau sebaliknya? Sambil membilang waktu, dia mengimbau kembali kenangan lamanya yang mengusik jiwa.
Setelah empat kali pinangan Ah San ditolak, Puan Wong meminta kawannya, Encik Leong mencarikan gadis yang sesuai untuk anaknya itu. Kebetulan Puan Lim, jiran Encik Leong mempunyai dua orang anak dara. Si kakak, Layhun berumur 30 tahun dan tidak bekerja manakala adiknya, Lilian berumur 27 tahun, merupakan seorang tukang jahit.
Suatu hari, Puan Wong, Encik Leong dan Ah San ke rumah Puan Lim.
“Tujuan kami datang ni untuk merisik anak puan,” sapa Encik Leong.
“Layhun. Lilian. Mari sini!” arah Puan Lim kepada anak-anak gadisnya.
Layhun membawa sebuah dulang yang berisi tiga cawan air teh, manakala Lilian membawa sepiring biskut tawar berjenama pingpong. Setelah maklumat peribadi dari segi umur, tahun kelahiran dan nama keturunan kedua-dua gadis itu diambil, Ah San meletakkan dua keping sampul merah berisi wang sebanyak RM12.00 setiap satu ke dalam dulang. Selepas itu, mereka meminta diri untuk pulang. Sebelum beredar, Puan Wong memberitahu Puan Lim bahawa mereka akan datang lagi pada minggu hadapan.
“Hari sudah larut malam, lebih baik awak masuk tidur sekarang supaya kita boleh bangun awal pagi untuk pergi ke rumah Puan Lim,” Puan Wong memberi arahan dari dalam kamarnya. Ah San tersentak. Dia segera menutup jendela dan bergegas ke biliknya.
Keesokan harinya, hati Ah San berdebar-debar menanti jawapan yang akan diberikan oleh Puan Lim.
“Saya tidak setuju kalau adik yang kahwin. Saya mahu si kakak kahwin terlebih dahulu sebab kami tidak mahu langkah bendul. Kalau tidak, pihak lelaki mesti berikan kami satu persalinan kepada si kakak,” tegas Puan Lim. Matanya tajam memerhati gelagat Ah San.
Ah San terdiam. Tiada kata-kata keluar dari bibirnya yang merah. Dia tidak mampu untuk menunaikan permintaan Puan Lim kerana pendapatannya tidaklah seberapa. Encik Leong, bapa Ah San segera mencelah.
“Begini sajalah. Kita buat mudah-mudah. Zaman ini zaman moden. Dah tak ada lagi adat langkah bendul tu,” ucap Encik Leong.
“Ya, betul tu. Lagipun kita nak lihat anak cucu kita hidup bahagia, tidak ada hutang.” Puan Wong menyokong kata-kata Encik Leong.
“Baiklah. Kalau begitu kata pihak lelaki, saya ikut sahajalah,” balas Puan Lim.
Ah San dan rombongannya berasa lega. Sebaik sahaja mendengar kata-kata ibunya, Layhun terus berlari masuk ke bilik dan mengunci pintu. Tanpa mempedulikan Layhun, mereka meneruskan perbincangan untuk menetapkan tarikh pertunangan, tarikh perkahwinan, peralatan dan hantaran yang diperlukan untuk pengantin perempuan.
Tarikh bertunang dan berkahwin telah ditetapkan mengikut feng syui. Feng syui merupakan seni dan warisan orang Cina yang dijadikan sebagai rujukan untuk memilih tarikh yang sesuai bagi mengadakan sesuatu majlis atau upacara. Berpandukan feng syui tersebut, bulan yang paling baik untuk majlis bertunang dan kenduri kahwin ialah pada bulan Ogos, manakala bulan yang paling malang ialah pada bulan Julai kerana bulan Julai ialah bulan hantu.
Mereka telah bersetuju untuk mengadakan majlis pertunangan sehari sebelum tarikh majlis perkahwinan bagi memudahkan kedua-dua belah pihak, meskipun ada segelintir daripada masyarakat mereka yang mengamalkan adat bertunang sebulan atau setahun daripada tarikh majlis perkahwinan.
Barang dan peralatan yang diminta oleh Puan Lim untuk majlis pertunangan dan perkahwinan anaknya ialah mas kahwin sebanyak RM10,000.00, satu set barang kemas yang bernilai RM20,000.00, 16 biji buah epal merah, 16 biji buah limau sunkist, dua kotak kek bertingkat, 150 kotak kek biasa, dua kotak kurma merah kering, dua botol alkohol perisa buah-buahan dan sepasang pakaian untuk pengantin perempuan.
Setelah hari pertunangan tiba, pagi-pagi lagi Ah San menyiapkan diri untuk ke rumah Puan Lim. Dia ingin segera tiba di sana. Hatinya tidak sabar untuk menyunting bunga idaman, menghiasi taman hatinya.
Ketika matahari setinggi galah, Ah San dan rombongannya pun tiba di rumah Puan Lim. Majlis pertunangan dimulakan dengan kedua-dua mempelai menyembah roh nenek moyang mereka dengan dua batang colok yang berwarna merah. Adat yang penuh gilang-gemilang itu telah diserikan dengan paluan gedombak panjang dan tarian rambung oleh penari kebudayaan Cina Siam dari kampung seberang. Kemudian adat menukar cincin pula diadakan. Ah San menyarungkan cincin di jari manis Lilian dan diikuti pula dengan Lilian yang menyarungkan cincin di jari manis Ah San.
Layhun memerhatikan telatah kedua-dua mempelai yang kelihatan begitu bahagia itu. Layhun tidak dapat menahan sedih. Dia takut dia tidak dapat berkahwin sepanjang hayat kerana Ah San tidak memberi satu persalinan kepadanya. Dia menjadi murung, menjerit dan ketawa mengilai diselang-seli dengan tangisan kuat bagaikan dirasuk hantu.
Tiba-tiba, Lilian yang mengidap penyakit sawan semenjak kecil, jatuh tergolek dan pengsan di kaki Ah San kerana terkejut. Matanya terbeliak. Giginya terkacip.
“Lilian. Lilian. Bangun!”
Ah San menyeru nama pasangannya yang baru sebentar tadi dia sarungkan cincin emas di jari. Majlis pertunangan ditangguhkan. Lilian dikejarkan ke hospital. Sepanjang malam Ah San tidak dapat tidur kerana terpaksa menemani Lilian di hospital.
Seminggu kemudian, keluarga Lilian mengembalikan cincin kepada Ah San. Majlis perkahwinan dibatalkan kerana Ah San dituduh membawa sial. Hancur luluh hati Ah San dan Puan Wong apabila mendengar berita sedih ini. Mereka amat malu. Entah di mana mereka mahu letakkan muka. Mahu tidak mahu, mereka terpaksa pekakkan telinga, tebalkan muka dan cekalkan hati. Hidup mesti diteruskan.
Tidak mungkin kerana kecewa untuk mendirikan rumah tangga, dia sanggup menggadaikan nyawanya. Ah San memujuk hatinya. Biarlah peristiwa itu berlalu. Biarlah waktu yang mengubati hatinya yang duka. Soal jodoh pertemuan, ajal dan maut, dia serahkan kepada Tuhan. Biarlah Tuhan yang menentukannya.
Ah San menerima cincin itu dengan hati yang hampa. Tragedi itu betul-betul menghiris perasaannya. Dia melangkah longlai menuju ke motosikalnya dan memecut laju di jalan raya. Dia ingin menenangkan hatinya. Sampai di persimpangan jalan, dia membelok ke kiri dan menuju ke sebuah pusat peranginan di Pantai Dalam Rhu. Setiap kali apabila hatinya berkecamuk dengan pelbagai masalah, dia akan ke tempat itu untuk mencari ketenangan dan menyelesaikannya.
Deruan ombak dan desiran bayu pantai yang nyaman bisa memulihkan semangatnya yang hilang. Dia berbaring di atas hamparan rumput hijau sambil melepaskan pandangan jauh ke tengah pantai. Nostalgia silam kembali bermain dalam fikirannya.
Kali pertama, Ah San jatuh cinta dengan seorang gadis jelita bernama Nancy. Ibu Nancy tidak menerima lamarannya kerana nama keturunan Ah San dan Nancy sama, iaitu Wee. Ibu Nancy tidak mengizinkan mereka berkahwin kerana tidak mahu zuriat anak cucunya menjadi lembam jika berkahwin dengan orang yang mempunyai nama keturunan yang sama.
Kali kedua, Ah San jatuh cinta lagi setelah setahun putus cinta dengan kekasih pertamanya. Kali ini, si gadis yang dicintainya merupakan seorang anak tauke emas. Orangnya cantik. Namanya Lily. Namun ibu Lily tidak mengizinkannya kerana beza umur mereka tujuh tahun dan dikatakan tidak baik serta akan mengundang musibah.
Kali ketiga, Ah San terpaut pula dengan seorang gadis rupawan. Wajahnya berseri-seri bak bulan purnama. Tutur katanya sopan. Dulu semasa kecil, mereka pernah bermain bersama. Mei Mei, panggilan manjanya. Walau bagaimanapun, ibu Mei Mei tidak bersetuju dengan hubungan itu kerana jika berkahwin dengan saudara sepupu, menurutnya akan mendapat zuriat yang cacat akibat mempunyai pertalian darah.
Kali keempat, Ah San berkenalan pula dengan seorang janda anak satu dan terkenal dengan gelaran janda berhias. Dahinya yang luas menandakan bahawa dia seorang yang bijaksana. Sejujurnya, dia seorang wanita yang bercita-cita tinggi, memiliki firma guaman di ibu kota, mempunyai rumah banglo dua tingkat, sebuah mobil berjenama Mercedes Benz dan juga dua orang tukang masak peribadi. Bekas suaminya merupakan seorang jutawan dan dia telah kembali ke negeri tanah kelahirannya di German. Orang tua Molly sangat teliti dalam bab memilih jodoh untuk Molly. Mereka tidak mahu lagi kejadian Molly ditinggalkan suami dan digantung tidak bertali berulang kembali.
Hari sudah semakin senja. Ah San masih berdiri teguh di pinggir pantai yang indah itu. Kelihatan sekawan camar terbang pulang ke sarang. Hati Ah San tersentak dan terasa seolah-olah ada kuasa yang menyerunya pulang ke rumah. Sebelum beredar, dia menulis sesuatu di atas pasir dengan jarinya yang runcing. “Terima kasih Tuhan kerana masih memberi nyawa kepadaku.”