Ilmu Pengajian Melayu merupakan satu bidang pengajian yang sangat luas merangkumi pelbagai disiplin ilmu yang didasari oleh bahasa, sastera dan budaya, khususnya dalam konteks ketamadunan Melayu. Apabila kita membincangkan soal Melayu, secara tidak langsung perkara itu membuka ruang kepada kita untuk membincangkan Melayu itu bukan sahaja terhad dalam ruang lingkup bahasa, sastera dan budaya semata-samata. Akan tetapi, perbincangan tersebut boleh dilebarkan merangkumi skop politik, ekonomi, sosiologi, antropologi dan sains teknologi.
Kepelbagaian disiplin ilmu yang terdapat dalam pengajian Melayu telah memberikan kelebihan ketamadunan ilmu Melayu itu sendiri. Jika mahu mendalami ranah Melayu dalam konteks Pengajian Melayu, fokusnya haruslah tidak hanya terhad dalam ruang legar Asia Tenggara sahaja tetapi menjangkau lebih daripada itu.
Jika mahu menghitung keluasan wilayah Melayu atau nama lainya, Kepulauan Melayu, Gugusan Kepulauan Melayu, Dunia Melayu atau Malay Archipelago, ruang lingkupnya amat luas. Mengikut takrifan UNESCO, Kepulauan Melayu bermula dari selatan Thailand hinggalah kepulauan Indonesia dari Pulau Formosa, termasuklah hingga ke Madagaskar.
Wilayah-wilayah ini ditakrifkan sebagai dunia Melayu. Wilayah Melayu cukup luas dan menyimpan pelbagai rahsia keilmuan yang hingga hari ini belum habis diteroka oleh para penyelidik mahupun sarjana. Perlu ditekankan di sini bahawa wilayah Melayu pada hari ini bukanlah wilayah Melayu yang sebenar tetapi wilayah yang telah wujud daripada warisan atau persempadanan politik yang ditentukan oleh penjajah bagi kepentingan mereka pada ketika itu.
Maka itu, perlu kita fahami bahawa ilmu Pengajian Melayu bukan sahaja terhad membicarakan soal bahasa, sastera dan budaya serta penyelidikan dalam konteks Asia Tenggara. Akan tetapi, ilmu pengajian Melayu itu satu bidang pengajian yang merentasi sempadan politik dan wilayah.
Tambahan pula, apabila menyebut ilmu Pengajian Melayu, kita tidak boleh memisahkan ilmu Pengajian Melayu itu dengan ajaran Islam. Hal ini disebabkan, agama Islam dan masyarakat Melayu seolah-olah mempunyai hubungan yang sangat rapat. Begitu juga apabila membicara soal Melayu atau ilmu Pengajian Melayu, agama Islam itu tidak harus diketepikan sama sekali. Malah, kedatangan Islam telah berjaya mengubah banyak peradaban Melayu yang dahulunya berkiblatkan kepercayaan animisme atau Hindu-Buddha kepada mentauhidkan Allah yang Maha Esa.
Hari ini kita harus berbangga kerana ilmu Pengajian Melayu mendapat ruang yang cukup selesa untuk terus berkembang dengan tertubuhnya Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Malaya yang pada ketika itu berpusat di Singapura. Idea penubuhan Jabatan Pengajian Melayu lahir daripada cadangan Suruhanjaya Carr-Saunder pada tahun 1948 yang fokusnya untuk memberikan kesedaran kepada penduduk tempatan perihal kepentingan memahami tradisi budaya sendiri.
Apabila Jabatan Pengajian Melayu berpindah dari Singapura ke Kuala Lumpur pada tahun 1959, usaha untuk mengembangkan ilmu Pengajian Melayu tetap diteruskan. Pada tahun 1990, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya telah ditubuhkan hasil daripada Laporan Lembaga Akademi Pengajian Melayu. Akademi Pengajian Melayu menjalankan kerja-kerja penyelidikan, penerbitan dan pendokumentasian sebagai pelengkap kepada fungsi Jabatan Pengajian Melayu di Fakulti Sastera dan Sains Sosial.
Pada 14 Julai 1995, Jabatan Pengajian Melayu dan Akademi Pengajian Melayu telah bergabung dengan menjadi institusi akademi di Universiti Malaya. Selain menjalankan penyelidikan, penerbitan dan pendokumentasian, Akademi Pengajian Melayu menjalankan fungsi pengijazahan bermula pada peringkat ijazah dasar hingga doktor falsafah yang merangkumi pelbagai disiplin ilmu.
Perkembangan ilmu Pengajian Melayu sebenarnya tidak hanya terhad berlegar dalam ruang Malay Archipelago sahaja. sebenarnya, dunia pengajian Melayu pada ketika ini semakin meluas di beberapa buah negara, antaranya Rusia, Uzbekistan, Korea Utara, Korea Selatan, Jepun, Kemboja, India, Sri Langka, Afrika Selatan, Tanzania, Mesir, Ukraine, Turki, China, Jordan, Denmark, Kanada, United Kingdom dan beberapa buah negara lain.
Jelas bahawa bidang Pengajian Melayu bukan satu bidang yang boleh dipandang sebelah mata oleh sesetengah pihak tetapi satu bidang pengajian yang semakin popular dan menjalar ke serata dunia. Berdasarkan laporan Utusan Malaysia bertarikh 21 April 2011, Timbalan Perdana Menteri menyatakan enam buah universiti di China telah menawarkan program Pengajian Bahasa Melayu, iaitu Universiti Komunikasi China, Universiti Peking, Universiti Pengajian Asing Guandong, Universiti Bangsa-Bangsa Guangxi, Universiti Bangsa-Bangsa Yunan, dan Universiti Asing Beijing.
Kursi Pengajian Melayu di peringkat antarabangsa pula terdapat di Leiden University, The Netherlands, Victoria University of Wellington, New Zeland dan Beijing Studis University, Republik Rakyat China dan kursi Tun Abdul Razak untuk kajian Asia Tenggara di Ohio University, Amerika Syarikat.
Antara tokoh sarjana yang pernah menyandang Kursi Pengajian Melayu universiti di luar negara termasuklah Yang Berhormat Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan (Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University) dari tahun 2007 hingga 2011, Profesor Dr. Mohammad Haji Salleh dari tahun 1993 hingga 1994, Profesor Dr. Abu Hassan Mohd Sham dari tahun 1994 hingga 1995, Profesor Dr. Abdul Wahab Ali (Kursi Pengajian Melayu di Leiden University) dari tahun 1995 hingga 1997, Dato’ Profesor Dr. Yaacob Harun (Kursi Pengajian Melayu di Victoria University of Wellington) dari tahun 2001 hingga 2004, dan Profesor Dr. Mohammed Yusoff (Kursi Pengajian Melayu di Universiti Ohio, Amerika Syarikat (dari tahun 1995 hingga 1997) .
Perkembangan pesat ilmu Pengajian Melayu di beberapa buah negara di Eropah dan Asia Timur merupakan suatu pengiktirafan tertinggi terhadap dunia Melayu. Penebaran bidang Pengajian Melayu di beberapa buah universiti telah membuktikan ilmu Pengajian Melayu mampu menyaingi pelbagai cabang ilmu lain.
Selain itu, penubuhan beberapa Kursi Pengajian Melayu di beberapa buah universiti secara tidak langsung menyebarluaskan pelbagai ilmu baharu yang melibat dua peradaban dunia yang merangkumi bahasa, sastera, budaya mahupun sejarah. Sebagai contoh, kajian Profesor Liang Liji daripada Universiti Peking yang mengkaji hubungan empayar Melaka dan Dinasti Ming abad ke-15 telah membuktikan ilmu peradaban Melayu mula diterokai oleh bangsa asing sejak kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Tuntasnya, peluasan program Pengajian Melayu telah membuktikan bahasa Melayu mampu menjadi bahasa intelektual dan bukannya bahasa yang dianggap bertaraf “kampung”.
Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim secara rinci dalam makalahnya yang bertajuk “Ke Arah Pemerkasaan Modal Insan: Penyediaan Lulusan Pengajian Melayu” menekan supaya ilmu Pengajian Melayu harus menepati keperluan zaman dan bukan hanya statik ditakuk yang sama sahaja.
Bagi menjawab persoalan individu bagaimanakah yang diharapkan akan lahir menerusi bidang Pengajian Melayu, maka harus difikirkan usaha yang tepat dalam menyediakan siswazah Pengajian Melayu untuk menghadapi cabaran pasaran pekerjaan. Graduan bidang Pengajian Melayu perlu berpegang pada pepatah Inggeris, knowledge is power. Maka itu, para siswazah perlu mencabar diri bagi menguasai segala ranah ilmu kerana hanya dengan memiliki ilmu, seseorang itu mendapat kedudukan yang tinggi dalam masyarakat.
Menurut Profesor Dr. Mohd Taib Osman, pengajian di universiti tidak terhad kepada soal mendapatkan ilmu pengetahuan sahaja tetapi yang lebih penting adalah membuka alam fikiran mahasiswa supaya dapat berfikir dengan terang dan bernas. Dalam soal ini, disiplin linguistik, antropologi, sosiologi, bahasa dan budaya merupakan bidang ilmu pengetahuan yang diyakini dapat meluaskan pemikiran dan menguatkan minda dalam menghadapi fatamorgana kehidupan akan datang.
Corak pengajian di universiti juga menepati fungsi universiti yang sinosim dengan gelaran menara gading. Sebenarnya, para pensyarah tersepit antara keinginan untuk memberi pendidikan yang dapat meluaskan alam fikiran mahasiswa dengan keperluan untuk memenuhi permintaan pasaran semasa. Maka itu, universiti juga perlu bertanggungjawab dalam menyediakan bakal siswazah yang berkualiti dari sudut ilmu pengetahuan yang ditekuninya dengan pelbagai kemahiran yang boleh memenuhi keperluan semasa. Dan setelah tamat pengajian akan lahirlah modal insan yang berilmu pengetahuan serta kaya dengan pelbagai kemahiran yang memenuhi kehendak pasaran global.