KEDENGARAN nyanyian ombak di pantai. Iramanya mengikut desiran bayu pepohon. Damai, tetapi tidak sedamai hatinya yang sedang diburu resah. Lantas, ketenangan cuba diraihnya biarpun cuma seketika. Kanak-kanak pula berwajah girang. Berlari berkejaran bersama teman-teman. Menggamit kenangan silam. Terkadang, cemburu menerpa tatkala memandang keceriaan mereka.
“Ibu, ibu, Maisarah nak main tu.”
“Adib pun nak juga!”
“Anak-anak ibu nak main apa ni?” Sariah cuba mengerti. Lamunannya tadi telah terganggu. Ada-ada sahaja gelagat mereka berdua.
“Oh, layang-layang pantai. Beli satu pun sudah cukup, nanti main bersama!” tegas Sariah.
Anak-anaknya akur. Sesekali, ingatannya kembali kepada suaminya, Ahmad. Entah mengapa, hubungan mereka sekeluarga makin dingin terasa. Seperti ada masalah lampau yang cuba dirahsiakan oleh suaminya.
* * *
Selang beberapa hari, Adib dan Maisarah mencuba hobi baharu mereka, iaitu bermain layang-layang. Berdekatan taman perumahan sudah tersedia kawasan tanah yang lapang. Agak sesuai untuk aktiviti bermain layang-layang. Kanak-kanak lain juga turut bermain bersama-sama. Malah, kedai-kedai di sekitar sana turut menjual layang-layang.
Sariah tidak menghalang hobi anak-anaknya. Sekurang-kurangnya, kanak-kanak tidak dibiarkan terlalu lama bermain telefon pintar. Ketagihan telefon pintar boleh menyebabkan kurangnya pergaulan atau interaksi sosial, menurunkan perkembangan otak, masalah obesiti, merosakkan penglihatan mata dan lain-lain lagi.
Ahmad pula, semakin hari semakin sibuk bekerja, bahkan, begitu rajin melakukan kerja lebih masa. Hakikatnya, dia ingin lari daripada masalah yang membelenggu dirinya. Apabila penat bekerja, hubungan kekeluargaan kian renggang.
Sebulan telah berlalu. Sewaktu Ahmad pulang dari kerja, dia terpandang sesuatu di belakang almari. Ingatannya terus menerjah ruang minda. Malam itu, hatinya semakin gusar. Dia seakan-akan mahu meleraikan segala bebanan kecewa yang telah lama dipikulnya.
“Siapa punya ni? Cepat mengaku!” soal Ahmad kepada anak-anaknya.
Adib dan Maisarah terperanjat. Mereka dapat merasai perubahan suara abah mereka. Jarang sekali abah mereka bersikap begitu. Jika penat sekalipun, tidak pernah lagi abah marah-marah atau menengking mereka.
“Itu kami punya. Kenapa abah tanya begitu?” soal Adib kehairanan.
Maisarah sekadar mengangguk.
“Abah tak suka kamu bermain wau,” jelas Ahmad.
Maisarah membisu. Abangnya kebingungan.
“Wau? Itu layang-layang,” balas Adib. Dia tidak pernah mendengar perkataan ‘wau’.
Abahnya berasal dari Kelantan, sudah biasa dengan perkataan ‘wau’. Perkataan itu dikatakan berasal dari kerajaan Melayu-Patani. Justeru, perkataan ‘wau’ sering digunakan di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Manakala, ‘layang-layang’ pula digunakan di kebanyakan negeri-negeri Pantai Barat dan Selatan Semenanjung Malaysia seperti Selangor, Melaka dan Johor.
“Tak kisahlah layang-layang atau wau, abah tak nak tengok lagi benda ni ada dalam rumah. Cepat buang sekarang!” tegas Ahmad.
Adib dan Maisarah tidak boleh berlengah-lengah lagi. Mereka berdua melangkah longlai mengambil layang-layang tersebut untuk dibuang. Kelesah fikiran mereka ketika itu. Jika dibuang terus, hobi baharu mereka juga turut sama musnah.
“Abang, kenapa sampai macam tu sekali? Apa salahnya budak-budak ni bermain layang-layang?” tegur Sariah kepada suaminya.
“Abang tahulah, tapi abang tak mahu mereka senasib dengan abang,” jelas Ahmad.
“Maksudnya? Apa yang abang simpan ni? Sejak akhir-akhir ni, abang sudah tidak cakna pasal keluarga kita. Tiba-tiba, marahkan anak-anak. Selama ini, pernahkah abang ceritakan masalah abang?” keluh Sariah.
“Sebenarnya, abang… .” Ahmad terus mendiamkan diri.
* * *
Ingatan Ahmad kembali ke masa silamnya. Petang itu, Ahmad yang semakin meningkat remaja memujuk ayahnya untuk membuat wau. Ayahnya menjadi tempat Ahmad bermanja. Maklumlah, Ahmad merupakan anak tunggal. Banyak jenis wau yang mampu dihasilkan oleh ayah contohnya, Wau Barat, Wau Jala Budi, Wau Burung, Wau Pari, Wau Merak, Wau Kucing dan lain-lain lagi. Akan Tetapi, Wau Bulan juga yang dipinta oleh Ahmad. Wau Bulan ialah wau yang paling digemari oleh orang Melayu, terutamanya di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
“Kenapa Ahmad nak wau bulan?” soal ayah sengaja memulakan bicara.
“Sebab Ahmad suka sangat tengok bulan,” jawabnya ringkas sambil tersengih-sengih. Dia tahu bahawa reka bentuk wau tersebut menyerupai bulan sabit pada bahagian hadapan dan separa bulatan pada bahagian ekornya.
Apabila diterbangkan, kelihatan seakan-akan bentuk bulan muncul di angkasa.
Ayah tersenyum.
“Kita buat yang lebih besar kali ini,” cadang Ahmad.
Sememangnya, saiz wau bulan boleh dibentuk dengan lebih besar berbanding wau-wau lain. Kelebihan itulah yang menjadi salah satu daya tarikan utama wau tersebut selain daripada corak yang dihasilkan.
Di sebelah rumah mereka, sebuah pondok khas dibina oleh ayah bagi memudahkan proses pembuatan wau. Ayah seorang yang pakar dan teliti dalam membuat wau. Segala alat kelengkapan telah lama disediakan ayah. Malah, sentiasa disimpannya buluh-buluh yang ditebang khusus untuk proses pembuatan wau. Namun begitu, menghasilkan wau yang bermutu tidaklah semudah permintaan Ahmad.
“Meraut buluh kena buat dengan elok. Pisau harus tajam. Bahagian kulit dan ruas perlu dibuang. Nanti, ia akan beri keseimbangan pada berat dan bentuk wau kita,” jelas ayah. Bicaranya seperti seorang tenaga pengajar yang berpengetahuan dalam bidang aerodinamik.
Buluh-buluh yang sudah diraut menjadi bilah-bilah kecil itu cuba diseimbangkannya dengan menggunakan jari telunjuk. Jika belum seimbang, harus diraut lagi dan perlu mengikut saiz yang telah ditetapkan. Kemudian, barulah kesemua bilah tersebut dilicinkan dengan gosokan kertas pasir.
Ahmad cuba menekuni cara pembuatan wau oleh ayahnya. Kata ayah lagi, keseimbangan bukan sahaja dipastikan sewaktu meraut buluh tetapi juga ketika mengikat bilah-bilah untuk dijadikan rangka. Justeru, sebelum mengikatnya, perlu ditanda terlebih dahulu agar tidak berlaku kesilapan. Selepas itu, bilah-bilah dicantum menjadi rangka. Kepala wau juga mulai dibina.
“Sekarang, hanya tinggal rangka bulan belum dibuat lagi,” ujar ayah.
Ahmad meraut lagi sebilah buluh bersaiz lebih nipis. Kemudian, bilah itu dibentuk menjadi bulatan dan diikat pada tengah pinggang wau. Saiznya bernisbah sama dengan keluasan kepala wau.
Proses membuat wau diteruskan dengan mengukur kertas pada saiz rangka. Kertas tersebut ditanda dengan pensil dan dilebihkan sebanyak dua sentimeter. Lapisan asas bagi kertas pertama itu dipanggil ‘tanah’. Tujuannya menjadikan wau tahan lasak atau tidak ditembus angin. Jika ingin menerbangkan wau, gunakan kertas yang tidak menyerap air. Kemudian, kertas pada wau itu dilekatkan menggunakan gam kanji.
Jika proses melukis dan menyobek corak ditinggalkan, sudah tentu sesebuah wau itu akan kekurangan dari segi elemen keunikan dan keistimewaannya. Oleh itu, kertas berlainan warna digunakan untuk menghasilkan corak ukiran sobek supaya kelihatan lebih menarik.
Selang beberapa hari, wau tersebut dihias dengan memasang rambu jambul menggunakan kertas krep yang digunting memanjang dan dihiaskan pada sayap kiri, kanan serta ekor wau. Dihiaskan juga rambu itu pada kepala wau yang dipanggil ‘belalai’. Warna-warni kertas rambu mampu mencantikkan lagi wau tersebut.
Kemudian, ayah turut sama membuat busur.
Bentuk busur seakan-akan alat memanah. Busur diregangkan pada bahagian belakang tengkuk wau. Fungsinya untuk mengeluarkan bunyi dengung apabila diterbangkan. Busur biasanya diperbuat daripada daun rumbia atau mengkuang yang telah direndam, dilurut, lalu dibiarkan kering.
Penantian Ahmad berakhir. Kesabarannya terbalas. Dia gembira sambil menyanyi lagu Dikir Barat Wau Bulan dalam dialek Kelantan, “ala… eh wau… eh wau bule… eh wau bule… teraju tigo…!”
Tangannya mengikat tali teraju di antara bahu kepak dan tulang belakang sebelah bawah wau. Seperti kata ayahnya, tali teraju juga perlu diikat dengan betul bagi mencapai tahap keseimbangan yang baik.
Petang itu, mereka berdua bermain wau di kawasan padang. Bermain wau bukan sekadar mengisi masa lapang atau hiburan, malah bertujuan untuk pertandingan. Wau Bulan yang dihasilkan oleh ayahnya itu jauh lebih besar berbanding sebelumnya. Oleh itu, agak sukar sedikit untuk dikawal oleh Ahmad. Jadi, Ahmad disuruh menjadi ‘jurumain tali’ bagi membantu ayahnya memegang wau. Jarak Ahmad kira-kira 15 hingga 25 meter daripada ayahnya yang menjadi ‘juruanjung’.
Setelah memastikan keseimbangan wau yang telah diikat dengan teraju, Ahmad melambung dan melepaskan waunya. Ayahnya terus menarik tali tersebut sambil berlari-lari. Sedikit demi sedikit, tali mula dihulur oleh ayah sehinggalah wau itu mampu terbang tinggi.
“Alhamdulillah,” ucap Ahmad dengan rasa syukur.
Wau itu dinaikkan dengan ketinggian kira-kira 500 meter di udara. Keindahan warna-warni coraknya begitu indah sekali tatkala disuluh mentari. Kemerduan bunyi getaran tali busurnya ketika dihembus angin dihayati oleh Ahmad. Sesekali, Ahmad cuba memegang gelung tali untuk belajar cara mengawal wau. Ada ketikanya, tali itu diikat di mana-mana pangkal pokok dan dibiarkan terbang sendiri. Malah, ada juga wau yang boleh dibiarkan terbang semalaman bergantung pada keadaan cuaca.
Selama hampir dua jam, Wau Bulan itu masih terbang di udara. Tanpa diduga, berlaku perubahan cuaca. Angin petang mulai bertiup kencang. Mendung hitam berarak datang. Nampak gaya mereka terpaksa berhenti bermain wau pada hari itu. Tergesa-gesa, Ahmad dan ayahnya menggulung tali untuk menurunkan wau tersebut. Mereka berhati-hati agar wau tidak terjatuh ke tanah. Namun, tidak semena-mena tali tangsi yang digunakan itu telah terputus. Wau mereka putus teraju, dibawa arus tiupan angin kencang.
Tanpa berlengah, mereka menuju ke lokasi wau terjatuh. Wau tersebut terjatuh di atas sepohon pokok sentul yang agak tinggi. Ahmad risau. Dia terus memanjat pokok tersebut untuk mengambil wau. Ayahnya melarang. Pokok itu terlalu tinggi.
“Ahmad, biarkan dahulu. Kita ambil esok sahaja, hujan akan turun sekejap lagi!” laung ayahnya. Ahmad seakan-akan tidak mendengar laungan ayahnya. Lalu, ayah terpaksa ikut membantu Ahmad.
“Prak! Prak!” Bunyi dahan yang dipijak oleh ayahnya. Ahmad tergamam seketika.
Dum! Ayahnya terus terjatuh ke tanah.
Segala-galanya berlaku dengan pantas. Sekelip mata, ayahnya sudah terlantar mengerang kesakitan. Mujur, ada penduduk kampung datang membantu. Selama sebulan ayahnya mengalami lumpuh. Namun, ajal maut ketentuan Tuhan. Ayah telah pergi buat selama-lamanya.
* * *
“Sebenarnya…,” Ahmad sukar berbicara. Lantas, dia berlalu pergi menuju ke biliknya. Suasana kembali sepi.
Sariah cuba meneka, pasti masalah suaminya ada kaitan dengan hal di kampung. Lalu, dia terus menelefon emak mentuanya. Setelah agak lama berbicara, barulah dia mengerti masalah sebenar suaminya.
“Patutlah larang anak-anak bermain layang-layang,” bicara Sariah sendirian.
Seminggu kemudian, emak mentuanya datang ke Kuala Selangor, tempat mereka sekeluarga menetap dan mencari rezeki. Kedatangan emak mentuanya itu tidak diketahui oleh suaminya. Sariah sengaja mengatur rencana. Selepas Ahmad pulang dari kerja, alangkah terkejutnya dia apabila melihat sebuah Wau Bulan yang berada di dalam rumahnya. Seingatnya, wau bersaiz tidak terlalu besar itu buatan arwah ayahnya. Hadiah sempena hari lahirnya sewaktu Ahmad masih berumur belasan tahun.
Tiba-tiba, air matanya berguguran. Emaknya muncul, lalu terus memeluk anaknya itu dari belakang,
“Sudahlah. Ayah telah lama meninggal dunia. Jangan salahkan diri kamu. Jangan salahkan takdir Tuhan. Segala-galanya telah ditentukan. Mak pun sudah lama ikhlas dan reda dengan pemergian arwah,” ujar emak.
“Tapi, Ahmad tetap rasa bersalah!”
“Tiada siapa yang salah. Mak tak suka tengok kamu sedih berpanjangan. Seolah-olah telah berputus asa dalam hidup. Kamu suka tengok hubungan keluarga kita musnah? Biarkanlah jika wau putus teraju sekalipun, tetapi jangan biarkan hubungan keluarga kita turut sama terputus!”
“Betul apa yang dikatakan oleh emak. Kami semua sayangkan abang,” sokong Sariah.
Adib dan Maisarah pula muncul. Walaupun tidak mengerti, tetapi kesedihan turut dirasai oleh mereka.
“Kami nak abah yang dulu,” ujar mereka serentak sambil mendakap erat tubuh Ahmad.
Ahmad kian mengerti. Perasaan kecewa, sedih dan marah akan ketentuan Tuhan ialah fitrah dirinya sebagai manusia yang lemah. Dia tidak sepatutnya menyalahkan diri sendiri mahupun orang lain. Malah, dia tidak boleh berputus asa dengan pemergian insan tersayang. Kehidupan harus diteruskan.
“Ya Allah, jauhkanlah aku daripada sifat berburuk sangka. Jauhkanlah aku daripada godaan syaitan yang cuba menyesatkan fikiran dan perasaanku ini” bisik Ahmad.
* * *
Beberapa bulan kemudian, mereka sekeluarga pulang ke kampung. Sariah bersyukur dengan perubahan suaminya itu. Sebagai tanda terima kasih, Ahmad membawa mereka ke suatu tempat. Emaknya turut dibawa bersama. Mereka sekeluarga tiba di Pantai Geting, Tumpat, Kelantan. Ketika itu sedang berlangsung Pesta Wau Antarabangsa Kelantan.
Pesta wau itu sungguh meriah dengan penyertaan oleh lapan buah negara seperti Brunei, Indonesia, Singapura, Cina, India, Kemboja, New Zealand dan Thailand. Pelbagai reka bentuk wau dan layang-layang telah dicipta khas untuk dipertontonkan pada hari tersebut. Bukan sekadar untuk dipamerkan, tetapi juga untuk diterbangkan ketika pertandingan. Banyak kategori telah dipertandingkan pada hari itu, contohnya Kategori Layang-layang Paling Kreatif dan Unik Peringkat Antarabangsa, Kategori Wau Bulan dan Wau Puyuh Peringkat kebangsaan, Kategori Layang-layang Cabaran Rokakku Terbuka dan sebagainya.
Ahmad diam seketika. Seandainya ayah masih ada, tentu dia gembira melihat suasana sebegini. Semoga tradisi ini dapat diteruskan sehingga ke akhir hayat. Insya-Allah.