BERITA pertama terpampang di dada akhbar yang menarik minatku adalah tentang kejadian pecah masuk dan bunuh seorang perempuan muda berusia awal 30-an di sebuah pangsapuri mewah. Sekonyong-konyong darahku menyirap dan sepantas itu juga kurasa degup jantungku terhenti. Kulontarkan surat khabar itu jauh-jauh dengan tangan yang menggigil. Sekujur tubuhku terkaku, seram sejuk.
I
“Kau sudah baca berita kematian Maria?”
Soalan itu dilemparkan oleh sahabatku, Lina, ketika kami duduk di sebuah restoran untuk bersarapan sebelum naik ke pejabat. Debur yang masih menggegar di dadaku kini kembali menggelora di seluruh ragaku. Perasaan cemas itu mungkin tertulis di wajahku yang cengkung.
“Kau tidak sihatkah? Muka kau pucat sangat ni.” Lina menghulurkan tangan, menyentuh dahiku yang berpeluh dingin.
Pantas aku menggelengkan kepala, menepis sentuhannya.
“Hadi masih sibuk mencari kau?” Lina tidak dapat menekan rasa ingin tahunya.
Aku menggelengkan kepala lagi, mengelak tenungannya.
“Jadi?”
“Aku tidak tahu apa-apa, okey! Sudahlah. Jangan tanya hal-hal berkaitan dengan dua orang itu. Mereka tiada kena-mengena lagi dengan aku!”
Lina terperengah dengan suara kasarku. Dia merenungku seminit lebih lama lalu mengangkat kedua-dua belah bahu, mengabaikan sikap kurang sopanku itu.
II
Seharian aku berada dalam keadaan resah dan serba salah. Debaran kencang di jantungku enggan berhenti, memberikan aku lebih tekanan. Kerja-kerjaku lintang-pukang. Masaku dihabiskan dengan bermenung, merenung dinding pejabat di mana sebuah jam dinding berwarna keemasan sedang tergantung. Ah, mengapa waktu seakan lambat bergerak ketika aku sangat ingin bersembunyi di tempat yang paling tersorok di muka bumi ini? Pengurus syarikat tempatku bekerja juga seakan mulai perasan akan gejolak hatiku yang huru-hara.
“Awak ini kenapa?” soal Dani seminit selepas aku melabuhkan punggung di kerusi. Dia berdiri di luar ruang kerjaku sambil merenung wajahku dengan mata redup tetapi tajam.
Aku terloncat, memegang dada. Darah menyirap naik ke ubun-ubun. “Sa … sa … saya okey!” jawabku tergagap-gagap.
Dahi Dani berkerut. “Awak masuk ke pejabat sekarang,” arahnya.
Aku terasa lututku goyah ketika mengekori langkah Dani ke dalam pejabatnya yang tertutup. Dia menyuruhku duduk di salah sebuah sofa tebal yang terletak di ruang pejabatnya yang luas itu.
“Ini tentang kematian Maria, kan?” soal Dani. Matanya tidak lepas menatapku.
Aku tunduk, dan mengangguk perlahan.
“Kenapa awak perlu risau? Awak sudah tidak ada sangkut paut dengan Hadi, kan?”
“Awak tak faham…” Aku mencelah namun ayatku mati di hujung lidah. Aku teringat situasiku. Aku teringat janjiku kepada diriku sendiri. Walau apa pun yang terjadi, aku tidak akan membuka mulut. Aku akan menelan rahsia itu dalam diriku. Aku tidak akan membocorkan kepada siapa-siapa, walaupun kepada Dani.
“Ada benda yang awak rahsiakan daripada sayakah?” soal Dani. Matanya merenungku dengan pandangan curiga.
Aku menggelengkan kepala sesaat terlalu pantas. Tanpa memberikan ruang kepada diriku untuk berfikir. Perbuatanku itu bahaya. Dani tentu semakin curiga. Aku tersenyum kelat, berpura-pura ceria. “Saya okey…” ujarku untuk meyakinkan Dani. Tetapi rasa tidak percaya terlukis jelas di wajahnya.
III
Aku dikejutkan dengan kunjungan Hadi yang tiba-tiba menemui waktu senggang untuk singgah di teratak yang dahulu merupakan istana bahagia kami berdua.
“Awak di mana semalam?” soalnya tanpa berbasa-basi. Hariku yang telah diselubungi baju kelam kini bertambah gelap.
Melihat wajah letih Hadi menimbulkan rasa berat dalam hatiku. Aku merenungnya seminit terlalu lama, teringat lelaki yang berdiri di hadapanku kini adalah lelaki yang paling bermakna dalam hidupku suatu waktu dahulu. Kepadanya aku pernah menumpahkan seluruh cinta dan rindu. Kepada dia aku pernah memberikan seluruh rasa. Malangnya dia tidak pernah menghargai. Malah dia tidak memandangku walau sepintas ketika dia keluar dari rumah kami dengan sebuah beg besar dan seluruh rasa yang pernah dipinjamkan kepadaku.
“Aku mahukan zuriat!”
Dia tinggalkan aku dengan alasan yang paling menggores harga diriku sebagai seorang wanita. Wanita mana yang tidak mengimpikan zuriat? Wanita mana? Kerana keinginannya itu, aku sanggup melakukan apa sahaja. Kerana kehendaknya itu, aku sanggup mengorbankan apa sahaja, termasuk kebahagiaanku, iaitu dia. Tetapi dia bukan mahu mengongsi rasa denganku. Dia malah mahu mengongsi dirinya kepada wanita lain. Seorang wanita muda yang jauh lebih cantik dan bergaya daripada diriku yang memang kuakui lugu dan kekampungan.
“Awak di mana semalam?”
Aku dihunjam lagi dengan soalan berulang. Aku merenung wajahnya sesaat, lantas berpaling, memandang lagi. “Pergi!” ucapku sepatah dan terus menutup pintu.
Tentu dia sedang memandang daun pintu dengan mata indahnya yang terkebil-kebil. Pedulikan! Aku sudah tidak mahu menghadap atau menjawab setiap persoalan yang diutarakan lelaki itu. Dia tidak berbaloi untuk kufikirkan. Menghadapnya sama ertinya dengan membuang masa emasku.
IV
Sehari selepas kejadian, aku dipanggil oleh pihak polis untuk menjawab beberapa soalan. Aku dibawa ke sebuah bilik kecil. Beberapa orang pegawai penyiasat yang berwajah ramah namun tegas, menemuiku. Soalan-soalan yang diutarakan ialah soalan rutin tentang kaitanku dengan si mati. Kuberitahu, aku tiada kaitan dengan si mati tetapi aku pernah ada kaitan dengan suami si mati, Hadi. Aku ditanya tentang alasan perceraian kami. Kujawab sejujurnya, kerana aku tidak dapat memberi dan tidak mahu berkongsi. Maka perpisahan tidak dapat kami elakkan.
Aku ditanya tentang perasaanku. Aku terus bersikap jujur dan tenang. Tidak ada yang perlu aku rahsiakan. Mana ada wanita yang tidak terluka hatinya kerana perpisahan. Mana ada wanita yang kuat untuk menahan hempasan rasa kecewa setelah memberikan segalanya. Aku juga antara wanita-wanita itu yang menderita akibat cinta. Tetapi masa telah menyembuhkan lukaku. Malah aku tidak berdendam. Ketika disoal keberadaanku pada malam kejadian, dadaku berdesir. Cemas. Namun aku dapat mengawal diri.
“Saya berada di rumah, tuan,” jawabku, melarikan pandangan ke tempat lain.
“Ada sesiapa bersama awak? Atau seseorang yang boleh mengesahkan keberadaan awak dari pukul 2 sehingga pukul 6 pagi?” soal salah seorang pegawai penyiasat.
Aku mengeraskan hati menentang pandangannya, walau sebenarnya perasaanku sedang tidak enak. “Jam-jam begitu, saya sedang tidur, tuan! Saya ini wanita bekerja dan kerja saya bukan sekitar waktu malam ke pagi,” ujarku sambil tersenyum sinis.
“Tapi … kami menemui ini di pangsapuri mangsa!” Pegawai polis itu mengeluarkan sepasang kasut hitam milikku.
Melihat sepasang kasut itu, aku teringat! Darahku menyirap. Tubuhku kaku. Aku tidak sangka ada sesuatu tertinggal yang akan mengaitkanku. Aku tunduk. Dahiku berkerut. Dadaku berdebar kencang.
“Itu bukan kasut saya, tuan!” Aku menafikan.
Dahi pegawai polis itu berkerut. Dia berpaling, memandang rakan setugasnya. Mereka berpandangan untuk beberapa saat sebelum memandang semula ke arahku dengan suatu pandangan yang membuatku berkalih tidak selesa.
“Kasut mangsa bersaiz 8. Kasut ini bersaiz 6 … dan kasut ini ditemui di dalam almari mangsa. Suami mangsa yang mengesahkan kasut ini milik puan kerana dia yang menghadiahkannya kepada puan. Betulkah, puan?”
Aku merenung seketika ke arah sepasang kakiku yang kecil molek dengan suatu perasaan baharu. Rasa muak dan benci. Belum pernah aku berasa sakit hati kepada bentuk anatomi tubuhku, walaupun kepada sepasang kaki kecilku itu. Tetapi ketika itu, aku benar-benar meluat memandang mereka, dan kepada sepasang otak di dalam tempurung kepalaku!
Betapa menjengkelkan! Mengapa aku tidak boleh terfikir untuk tidak meninggalkan apa-apa benda yang boleh mendatangkan implikasi kepadaku suatu ketika kelak? Menjadi bukti paling nyata walaupun aku tidak ada kaitan dengan kejadian, apalagi melibatkan kes kematian!
Ah, kenapa terlalu bodoh sehingga terlupa membawa keluar kasut hitam itu! Aku telah terperangkap dengan helahku sendiri! Aku terlupa bahagian penting yang sepatutnya tidak aku abaikan. Untuk tidak meninggalkan sebarang bukti! Itu baru kasut! Belum lagi bukti DNA yang bakal didapati dengan mudah melalui tinggalan air peluh, helaian rambut dan serpihan kulit yang terdapat di dalam kasut itu. Ketika para pegawai polis memandangku, mendesak dalam diam untukku memakai sepasang kasut itu yang melintasi ruang mindaku hanya satu. Mati!
V
Kerana sepasang kasut, aku meringkuk dalam sel tahanan, disyaki menyebabkan kematian Maria! Hadi datang menjengukku, memandangku dengan wajah penuh tuduhan. Dani juga datang menjengukku petang itu.
“Saya tidak bersalah!” tuturku berulang-ulang. Namun kelihatannya tiada sesiapa yang mempercayaiku. Dani juga begitu, walau aku lihat dia sangat ingin untuk percaya. Dia resah dan risau.
“Semua ini berlaku kerana saya.” Dani menggeleng-gelengkan kepala.
Aku tidak tahu harus berkata apa.
“Awak masih mencari benda itukah?” soal Dani. Tatapannya sarat berisi perasaan yang tidak kumengertikan.
Aku mengangguk.
Dia melepaskan sebuah keluhan yang paling berat. Dia mencapai sepasang tanganku. Air mataku mengalir perlahan-lahan, terasa hangat genggaman jari-jemarinya. Perasaanku dihambat rasa putus asa.
“Sayang … saya tahu awak tidak bersalah!” ujarnya, lalu berjanji akan membawa seorang peguam handal untuk membelaku.
Kawan-kawanku juga ada yang datang menjenguk dengan pelbagai reaksi. Ada yang bersimpati. Ada yang curiga. Dan paling menyedihkan, ada yang memandangku dengan renungan dingin tanpa perasaan. Semua ini kerana sepasang kasut hitamku yang telah menyebabkan timbul spekulasi bahawa sebenarnya aku berada di tempat kejadian. Perkataan ‘mati’ kembali melanggar dinding kesedaranku berulang-ulang. Aku sangat ingin berteriak. Ketahuilah, aku tidak bersalah!
VI
Sudah lama aku mencari cara untuk mengambil kunci apartmen Maria tanpa pengetahuan Hadi. Setelah berkali-kali usahaku gagal, suatu ketika aku menjemput pasangan pengantin baharu itu untuk makan malam di rumahku. Usahaku pada malam itu, hanya Tuhan yang tahu jerih payahnya. Aku membutakan sebelah mata melihat kemesraan mereka. Aku malah masih mampu tersenyum pahit ketika Hadi dan Maria memperlakukan aku seperti hanya serangga kecil yang tidak penting. Aku tahan semuanya demi menjayakan usahaku.
Kutunggu detik Hadi tidak melihat. Aku tahu kebiasaan bekas suamiku itu. Dia akan meletakkan beg atau barang-barang penting di atas meja berdekatan pintu agar dia tidak lupa. Ketika mereka leka makan, aku menyelinap keluar untuk mencari kunci dari dalam beg Hadi dan Maria. Aku mencari anak kunci yang sama kerana aku pasti kunci itu ialah kunci kepada pangsapuri Maria.
Malam durjana itu, aku memasuki pangsapuri milik Maria dengan menggunakan kunci pendua yang kuambil dari beg Hadi. Aku tahu mereka berdua tiada di rumah kerana aku yang menyebabkan mereka tidak berada di rumah. Aku telah menghantar mesej kepada Maria, mengatakan Hadi sedang berada di suatu tempat, setengah jam perjalanan dari pangsapuri Maria. Aku turut menghantar mesej kepada Hadi, menyuruh Hadi menungguku di suatu tempat. Aku mempergunakan kelebihanku dalam mempengaruhi Hadi dan kekurangan Hadi yang gila talak.
Aku tahu Hadi sangat ingin menemuiku, selepas mengetahui aku sekarang sudah menemui pengganti dirinya. Aku sedang berkawan dengan majikanku, Dani. Sudah berbulan-bulan aku merayu untuk Hadi menyerahkan surat cerai kami agar aku boleh memulakan hidup baharu bersama Dani, tetapi Hadi enggan. Tiba-tiba dia terasa diriku ini berharga, malah lebih berharga daripada Maria, dan dia ingin kembali. Aku enggan. Dia mendesak. Maria cemburu. Aku pula semakin tekad untuk bersama Dani kerana aku mencintainya.
Aku berjaya membuka pintu pangsapuri! Aku menyelinap pantas. Aku tidak boleh membuang masa. Aku segera mencari di bilik tidur. Aku menyelongkar setiap ruang, tetapi tidak menemui apa yang kuhajatkan. Aku beralih ke bilik baca, mencari dan menyelongkar sepantas yang aku mampu sehingga tidak sedar pintu pangsapuri sedang dibuka. Terkejut, aku terus melompat ke dalam almari terdekat berhampiran pintu. Aku terdengar suara Maria menyumpah-nyumpahku.
Almari tempatku bersembunyi itu sangat sempit, pengap dan tidak selesa. Tubuh dan kakiku berlaga dengan batang penyapu, mop serta baldi. Aku menanggalkan kasut agar tidak menimbulkan lebih banyak bunyi dan pergerakan.
Tiba-tiba aku terdengar pintu dipecahkan. Aku terdengar suara Maria berteriak tetapi suaranya sayup-sayup. Aku terdengar pergelutan, kemudian suara-suara kasar menyuruh Maria menyerahkan wang dan barang kemas. Aku terdengar Maria diseret dari ruang tamu menuju ke bilik tidur.
Aku perlu lari. Aku tidak boleh dilihat berada di situ. Aku melihat peluang untukku melarikan diri ketika Maria dan penceroboh tidak melihatku. Aku menyelinap keluar perlahan-lahan. Apabila pintu depan terbuka dan aku berada di luar pangsapuri, aku berpura-pura berbuat biasa, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Aku bergerak menuju ke tangga dan berlari turun, tanpa tahu akan nasib Maria. Dan tanpa tahu siapa penyerangnya.
Kerana itu aku tidak dapat bersikap jujur. Kerana aku berada di tempat kejadian. Tempat yang aku tidak sepatutnya berada. Aku bukan penjenayah. Aku memecah masuk hanya kerana aku ingin memburu impian untuk bahagia lagi. Aku mencari surat cerai yang masih gagal kutemui!
VII
Akhirnya aku dibebaskan! Bebas daripada tuduhan membunuh Maria. Bebas daripada Hadi. Selepas kejadian itu, Hadi terpaksa menyerahkan surat berharga itu kepadaku agar aku boleh memulakan hidup baharu bersama Dani.
Dua orang penceroboh yang menyebabkan kematian Maria ternyata melakukan jenayah kerana peluang. Mereka akhirnya ditangkap. Aku telah diselamatkan oleh seorang pelajar sekolah. Dia tidak menangkap dua orang penceroboh itu. Pelajar itu terserempak dengan penceroboh yang baru keluar dari pangsapuri Maria ketika hendak pergi ke sekolah. Dia menjadi saksi bahawa penjenayah itu bukan aku lantas membawa kepada penangkapan penjenayah yang sebenar.