SERIUS benar wajah Halim menonton sebuah video yang terpapar di layar telefon pintarnya. Terlalu serius hingga Sandra yang biasanya ramah menyapa penumpang, hanya mengerling kosong ke arah cermin pandang belakang.
“Harga barang semua naik tapi harga nyawa makin murah…,” kata Halim, kesal.
“Tambang teksi ni berpatutan, encik…,” sampuk Sandra, bergurau.
Tiada respon baik daripada Halim. Mungkin gurauan Sandra itu sedang tidak tepat pada waktunya. Mungkin Halim terlalu menjiwai berita yang sedang dia baca. Mungkin juga masih ada batu kejanggalan yang menghadang kemesraan mereka berdua.
“Seorang ibu tu darjatnya mulia. Sepatutnya, dia disanjung. Tapi zaman sekarang, orang jadi ibu disebabkan dosa yang terselindung. Sudahlah dilahirkan atas perbuatan yang haram, ditikam pula…,” komen Halim dengan wajah seriusnya.
Tidak salah lagi. Sandra yakin video yang sedang ditonton oleh Halim itu adalah video seorang remaja perempuan yang ditahan oleh pihak polis atas tuduhan menikam bayinya sendiri. Sedutan video dari siaran berita di televisyen.
“Kenapa simpan kandungan haram tu dan bila anak tu lahir, dibunuh pula?” pertikai Halim bernada bengang.
Gadis pemandu teksi e-panggilan itu memandang sejenak ke arah cerah cahaya langit bagi mencari hujah. Bukankah sudah diberitakan bahawa suspek kes itu diragut kesuciannya secara paksa? Jadi, tidakkah ada hujah yang dapat membela kekhilafannya?
“Kucing mana yang tak menyambar ikan yang ada di depan mata?” soal Halim, logik.
“Tapi kucing tak berakal, encik. Manusia dikurniakan akal untuk tahu membezakan yang baik dan yang buruk…,” bantah Sandra, tidak bersetuju.
“Remaja zaman sekarang ni tak pandai jaga diri. Pakaian mereka kalau tak ketat, terdedah sana-sini. Itu semua mengundang bencana namanya…,” tegas Halim, mempertahankan pendapatnya.
Sandra memilih untuk diam sambil merenung. Fikirnya, etika berpakaian penting bagi menjaga penampilan diri. Tampilan yang elok, berbeza pula seleranya antara seseorang dengan seseorang yang lain. Kebebasan berpakaian mungkin terkecuali dari hak asasi manusia kerana masih ada aturan agama serta pantang-larang budaya yang membatasi.
“Budak-budak sekolah tu pun banyak yang gunakan alasan macam ni untuk tutup malu. Kononnya dipaksa teman lelaki. Yang ke hulu ke hilir berkepit tu siapa yang suruh?” bebel Halim bernada geram.
“Macam mana pula dengan tanggungjawab? Ketika dua orang berbuat sesuatu, takkan cuma satu pihak yang menanggung?” pertikai Sandra seolah-olah mengajak berdebat.
“Kejahatan tu berlaku kerana adanya peluang…,” sahut Halim, senada.
Sandra menarik nafas bagi memastikan oksigen tetap sampai ke otak meski dadanya sesak akan respon Halim itu. Bukan kehabisan kata tetapi mulai sedar bahawa satu-satu perkara jika ditafsirkan oleh dua otak yang berbeza maka akan menghasilkan makna yang berlainan.
Ekor mata Halim dijelingkan tajam ke lampu signal yang berkelip-kelip di layar kemudi kereta. Sekadar memastikan arah anak panah yang berkedip sama dengan arah simpang yang perlu dibelok. Takutnya, akibat terlalu rancak berdebat, fokus Sandra menjadi terganggu.
Di celah-celah bunyi signal kereta, satu berita hangat dari negeri jiran terdengar dari radio yang terpasang. Sandra membesarkan sedikit suara radio agar tiap patah kata pembaca berita radio itu terdengar dengan jelas.
“Seorang guru agama menodai kehormatan belasan anak muridnya. Perbuatan tidak bermoral itu dilakukan di ruang kelas pondok pengajian yang mereka tempati…,” baca penyampai berita radio, profesional.
Wajah Halim berkerut lagi. Dia meneliti berita yang didengarnya itu dengan penuh cermat. Ibarat pegawai-pegawai sebuah perusahaan yang sedang bertugas, sel-sel otak Halim rancak menganalisis berita tersebut dengan sefokus mungkin.
“Mangsa yang sebahagian besarnya berasal dari keluarga kurang mampu itu dijanjikan untuk diberikan pendidikan serta dibiayai sepenuhnya hingga ke tahap pengajian tertinggi…,” baca pembaca berita itu lagi.
Sandra menggeleng-gelengkan kepala tanda bingung. Satu tanda tanya besar muncul di benaknya. Tidak upayakah sembilan akal melarang satu nafsu untuk melakukan aksi?
“Beberapa mangsa juga dilaporkan telah melahirkan anak. Anak-anak ini kemudiannya dimanfaatkan untuk mendapatkan sumbangan bagi memenuhi keperluan pondok pengajian tersebut…,” sambung pembaca berita itu, lebih mengejutkan.
“Ikan kalau letak bawah sarang pun kucing curi, encik?” Kata Sandra agak kesal.
“Kita ni hidup di zaman moden. Fikiran kita mesti realistik. Mana ada benda dalam dunia ni yang percuma? Hidup nak senang tapi cuma atas simpati orang…,” balas Halim, tidak mahu kalah.
“Mereka beramal dengan nama Tuhan. Mereka dipandang mulia disebabkan ketaatan mereka kepada Tuhan. Tapi kenapa tetap ingkar larangan Tuhan?” soal Sandra, panas.
“Sebab tu percaya kepada orang lain biar berpada-pada…,” kata Halim sebagai nasihat.
Sandra ketawa kecil. Dia tahu Halim tidak berniat untuk membela seorang pesalah tetapi respon lelaki lewat 30-an itu terlalu berat sebelah padanya. Dia bingung, adakah dia yang salah faham atau Halim yang kurang perhatian.
“Dunia akhir zaman…,” keluh Halim bernada Lelah.
Sekali lagi Sandra dibuat bingung. Soalnya, keluhan itu Halim tujukan kepada siapa? Adakah kepada guru agama yang mengambil kesempatan ke atas anak-anak muridnya atau kepada anak-anak murid yang polos dan mempercayai orang-orang yang terlihat berhati mulia?
Mereka berdua bagaikan dua rangkaian telekomunikasi yang tidak tersambung di antara satu sama lain. Akibat isyarat rangkaian lemah, pesanan yang dihantar tidak sampai kepada penerima seperti yang seharusnya.
Kereta putih yang dipandu oleh gadis pertengahan 20-an itu berhenti di lampu isyarat. Menurut panduan GPS, mereka sudah pun masuk ke kawasan perumahan tempat tinggal Halim. Kurang lima minit lagi mereka akan tiba di destinasi iaitu rumah Halim. Lebih tepatnya, hanya tinggal satu simpang lagi.
Halim bukan tidak punya kenderaan sendiri. Dia yang baru pulang dari kerja di luar kawasan selama seminggu, tidak mahu meninggalkan kereta di tempat parkir lapangan terbang terlalu lama. Isterinya pula tidak mempunyai lesen memandu. Oleh itu, menaiki pengangkutan awam adalah tindakan paling wajar menurutnya.
Sambil menunggu lampu merah bertukar hijau, perhatian mereka tertumpu ke arah seorang wanita kurang sioman yang duduk di tepi jalan. Wanita itu terlihat tidak terurus. Rambutnya kusut, wajahnya kusam, pakaiannya elok tetapi agak kotor.
“Memang orang sini ke, encik?” tanya Sandra, barangkali Halim kenal.
“Ya, Mala namanya!” jawab Halim sambil mengangguk malas.
Dia biasa melihat Mala di situ. Terlalu biasa hingga tidak kisah lagi akan ada atau tidak adanya wanita itu di situ. Namun pemandangan tidak biasa mengganggu fikirannya.
Pemandangan sama yang menarik perhatian Sandra serta sesiapa pun jua yang memandang ke arah Mala. Tubuh Mala tidak berisi tetapi perutnya terlihat buncit. Buncit yang tidak terlalu besar namun tetap menonjol.
“Dia tu bukan tak ada keluarga. Rumah dia dekat-dekat sini saja tapi dia lagi suka berkeliaran…,” cerita Halim, benar.
“Cantik orangnya” puji Sandra, tulus.
“Sebab tulah setiap kali keluarga dia bawa dia balik dan bersihkan dia, inilah yang akan jadi…,” kata Halim lagi.
Wajah Sandra datar. Sejujurnya, dia tidak dapat menangkap maksud dari kata-kata Halim itu. Halim pun tidak menjelaskannya dengan lebih lanjut. Dibiarkannya sahaja gadis pemandu teksi atas talian itu kebingungan.
Kurang seminit kemudian, Mala didatangi oleh sekumpulan lelaki. Mereka terlihat mengusik-usik Mala. Meskipun usikan mereka tidak terdengar dengan jelas tetapi arah liar anak mata, riak wajah ingin serta gelak tawa ghairah, tertangkap jelas oleh lensa mata Sandra. Bayangan buruk pun muncul di benaknya.
Mala tampak tidak senang dengan tingkah laku kumpulan lelaki itu. Menjerit-jerit dia dibuatnya. Dia juga menundukkan kepala pada kedua-dua belah lutut sambil kakinya dilipat dan dirapatkan ke badan. Jelas, dia takut, umpama ada trauma yang menyelubungi dirinya.
Tak semena-mena hati Sandra sakit. Sesuatu yang tidak masuk akal baginya. Dia benar-benar tidak mengerti, ke manakah rasa kemanusiaan di hati manusia bernafsu binatang ini?
Tidak cukup kisah remaja yang dianiaya, pelajar yang diambil kesempatan, wanita tidak siuman pun dikorbankan tanpa belas kasihan. Adakah sebegitu rendahnya darjat perempuan di mata mereka? Hanya alat untuk melepaskan niat jahat.
“Kucing nak makan ikan pun pilih-pilih dulu, encik…,” sindir Sandra agak tajam.
“Kalau dah lapar, makan sajalah…,” balas Halim tanpa perasaan.
Sebak benar rasa hati Sandra waktu itu. Entah apalah perasaan Mala sekiranya dia faham akan apa yang sedang terjadi. Entah apa pula nasib bayi tidak sah taraf yang sedang dikandungkannya itu nanti.
Seandainya saja Sandra tahu siapa pelaku yang tidak berhati perut itu, akan dia cari keberadaannya hingga ke lubang cacing. Doanya, walau siapa pun pelakunya, semoga dia akan mendapat balasan yang seadil-adilnya.
Lampu merah bertukar hijau. Sandra menekan padel minyak dengan hati yang masih risau. Ternyata dunia ini sudah kacau-bilau. Dipenuhi dengan perbuatan-perbuatan manusia yang melampau.
Halim tetap sibuk dengan telefon pintarnya. Sungguh banyak berita bertulis mahupun berformat video yang menarik perhatiannya. Dia khusyuk melayari media sosial hingga lupa untuk memberi arah jalan kepada Sandra.
Sandra yang tidak tahu, terus mengikuti arah yang ditunjukkan oleh GPS. Ikut punya ikut, dia sampai ke satu simpang yang mengelirukan.
“Salah simpang ni, dik. Sepatutnya masuk simpang yang depan tu sikit. GPS memang suka bawa guna simpang ni. Tapi simpang ni sempit untuk kereta lalu. Motorsikal tu bolehlah…,” beritahu Halim, baru sedar.
Sandra menyandarkan tubuh ke penyandar kerusi pemandu. Niat hati untuk meneruskan perjalanan, dia tunda sejenak. Kedudukan rumah di simpang yang salah ini terlihat menarik untuk dibahas.
“Kalau encik diberi pilihan, encik nak masuk ke rumah yang mana?” soal Sandra, membuka topik.
Halim memanahkan pandangan ke arah pantulan wajah Sandra di cermin pandang belakang tanda menumpukan perhatian.
“Rumah di kiri ni tak berkunci. Pintu, pagar dan tingkapnya terbuka luas. Rumah di depan ni tertutup rapat tapi tetap nampak cantik dari luar. Rumah kat kanan ni pula, rumah terbiar. Dengan sampah-sarapnya, semak-samunnya, kalau dibersihkan pun, nanti akan kotor lagi sebab tak ada yang nak uruskan…,” kata Sandra, memberi pilihan.
“Mana-mana rumah pun saya tak nak masuk” jawab Halim, tenang.
“Kenapa?” tanya Sandra, ingin tahu.
“Sebab tiga-tiga tu bukan rumah saya,” sahut Halim tanpa ragu.
Sandra tersenyum lebar. Jawapan Halim itu seharusnya menjadi pendirian semua manusia di muka bumi ini. Tanpa pemikiran seperti itu, alasan-alasan mangsa malah akan terus menjadi hujah bela bagi para pesalah.
Mereka perlu sedar bahawa mengambil harta paling berharga tanpa izin tuannya adalah berdosa. Peluang, kesempatan atau kesempitan tetaplah jenayah sekiranya yang diambil bukan haknya.
Senyuman Sandra itu mengganggu fikiran Halim. Ibarat disergah dari lamunan oleh suara hati sendiri, dia memproses semula kata-kata yang baru saja dia ucapkan dari bibirnya sendiri tadi.
“Bukan masalah pakaian, jantina atau agama…,” ujar Sandra, terpotong.
“Kemanusiaan” sampuk Halim, serius.
Gadis itu tersenyum lagi. Nampaknya, garis pendapat yang sejak tadi tidak bertemu antara satu sama lain, kini sudah tersambung dan membentuk satu garis pendapat yang lurus.
Dia pun memandu kereta putihnya keluar dari simpang yang salah untuk menuju ke arah yang sepatutnya. Persis sebuah jalan panjang yang penuh dengan simpang membingungkan, suasana tegang akibat perselisihan pendapat di antara pemandu dan penumpang itu pun akhirnya sampai dengan selamat ke halaman konklusi.