Adaptasi suatu kisah realiti.
Cendana masih mengingati malam itu. Malam yang sangat penting bagi kedua-dua pahlawan Kampung Ipoh. Malam penentuan. Semua penduduk telah berkumpul. Gelanggang sudah cerah dengan cahaya nyalaan obor yang dipasang di segenap penjuru dan sekitar gelanggang. Pasukan gendang pula sudah mula bergendang. Cendana Dewi dan Laila Sari turut hadir sama. Mereka tidak mahu ketinggalan. Bagi Cendana Dewi dan seluruh penduduk, malam itu amat mendebarkan.
Sebagai permulaan, Mahaguru Tok Alim mempersilakan anak gadisnya, Cendana Dewi untuk mempersembahkan bunga silat sebagai acara pembuka gelanggang. Tanpa berlengah, Cendana Dewi mempersembahkannya dengan gerak-geri bunga silatnya. Amat teratur dan berseni bunga silat yang dipamerkan kepada khalayak. Cendana Dewi bukanlah calang-calang gadis di kampung itu. Seyogia, dia anak mahaguru sudah pasti banyak ilmu diperturunkan. Ilmu mempertahankan diri wajib dipelajari dan kemahiran ini meliputi buah silat, serta pelbagai teknik dalam mengelak, menepis, menangkis, mengunci, mematah, dan melumpuhkan musuh yang menyerang.
Gendang semakin rancak dipalu. Tok Ketua memanggil Khatib Umbang dan Khatib Uda turun ke gelanggang. Kedua-dua pemuda itu tampil dengan pantas. Dengan berpakaian serba hitam, mereka dilihat sangat bersemangat. Mereka berdua ialah kebanggaan bagi penduduk Kampung Ipoh. Kemahiran mereka berdua melayakkan mereka beradu kekuatan dan ketangkasan sebelum dicalonkan sebagai wakil untuk mengadap Sultan pada purnama akan datang. Tok Penghulu juga sejak awal sudah bersetuju dengan pemilihan antara kedua-dua calon ini. Bagi Tok Penghulu, mereka berdua umpama bertemu beliung dengan ruyung, bersua baji dengan matan.
“Perlu diingatkan, pertandingan ini sekadar mencari satu-satunya calon yang bakal mengadap Sultan. Pemenang yang dinobatkan nanti mestilah terbukti handal dan cekap,” ujar Mahaguru Tok Alim dengan tegas. Suaranya garau tetapi sangat jelas. Penduduk kampung yang pada mulanya agak riuh-rendah, kini menumpukan perhatian sepenuhnya ke arah gelanggang. Pasukan gendang juga berhenti memalu. Hanya suara Mahaguru bergema.
“Di gelanggang keramat ini, ada dua pendekar anak jati kampung kita. Mereka berdua tidak asing lagi. Selain ketinggian ilmu persilatan yang dimiliki, mereka berdua juga sebagai guru mengaji al-Quran. Ini yang penting dan sesungguhnya kita ada calon yang mantap dari aspek jasmani dan rohani,” Mahaguru berhujah. Dia mengelilingi pendekar yang berdiri tegap itu sambil menepuk bahu kedua-duanya.
Cendana Dewi memerhati jauh dari sudut gelanggang. Matanya tertumpu kepada Khatib Umbang dan kemudian beralih kepada Khatib Uda. Dua-dua pendekar itu sangat istimewa baginya. Namun jauh di sudut hati kecil Cendana Dewi, dia mendoakan Uda berjaya sebagai pemenang. Dia harapkan, Uda pergi bukan untuk selamanya tetapi membawa pulang berita gembira. Moga nama Kampung Ipoh tersohor dan mendapat perkenan Ke Bawah Duli.
“Malam ini malam bersejarah bagi kita. Kita sangat bangga kerana di kampung ini ada ramai pendekar. Bukan kita menidakkan yang lain, tetapi ternyata Umbang dan Uda ialah calon yang paling sesuai untuk mengadap Sultan. Oleh sebab kedua-duanya memiliki kemampuan seimbang, kita mesti memilih salah seorang sahaja yang terbaik. Maka malam ini menjadi penentunya,” Tok Penghulu pula berbicara setelah diminta oleh Mahaguru untuk memberikan ucapan.
“Dalam pertandingan ini, kita ada syarat dan undang-undangnya. Dalam gelanggang ilmu persilatan ini, segala hukum dan tertib wajib dipatuhi. Itu kunci kejayaan,” tambah Tok Penghulu.
Khatib Umbang dan Khatib Uda saling berpandangan. Mereka kini berdiri berhadapan dan kemudian berundur beberapa langkah meninggalkan ruang kosong di tengah gelanggang.
“Pertarungan ujian malam ini tidak menggunakan senjata. Hanya kecekapan mengelak, menepis, menangkis dan mengunci sahaja dibenarkan. Barang siapa yang dapat mengunci pihak lawan, maka dia dianggap pemenang,” Mahaguru Tok Alim memutuskan undang-undang pertarungan pada malam itu.
Cendana Dewi sangat faham pertarungan ujian yang bakal terjadi nanti adalah dalam jarak dekat dan sengit. Pasti mereka berdua akan banyak bergelut dan saling mengunci. Kekuatan tangan, kaki dan keseimbangan tubuh amat penting. Umbang agak beruntung kerana tubuhnya lebih tinggi. Namun Uda tidak kurang hebatnya kerana tubuh sasanya terserlah. Dia sudah biasa menebang pokok dan menarik kayu hutan untuk dibuat rumah penduduk kampung.
Apabila doa selesai dibacakan dan pertarungan dimulakan, kedua-dua pendekar itu membuka langkah dengan bunga silat masing-masing. Gelagat mereka seolah-olah ayam jantan hendak bersabung. Gegak gempita bunyi gendang dipalu. Penduduk bersorak. Ada yang menyokong Umbang. Tidak kurang juga yang menyokong Uda termasuk Cendana Dewi dan Laila Sari.
Pergelutan semakin sengit. Masing-masing bergelut dengan buah kilas yang dimiliki. Setelah hampir setengah jam mereka menyerang, menepis, memulas, akhirnya Uda berjaya mengunci tangan dan kaki Umbang sehingga tidak mampu melepaskan diri. Mahaguru Tok Alim mengisytiharkan kemenangan kepada Uda.
Malam itu, seusai acara merupakan malam yang panjang buat sepasang insan kerana bulan yang mengambang di angkasa menjadi saksi kepada janji yang dilafazkan.
***
Mata redupnya masih memandang gelanggang kosong itu. Dia kaku di situ. Masih basah dalam ingatan. Uda melafazkan kata-kata sakti. Janji yang membuatkan Cendana hingga ke saat ini setia menanti kepulangan Uda. Biar bertahun lama, dia kekal tidak berganjak. Tidak sesekali menongkah arus dan arah pada janji yang terpateri.
“Cendana!” Suara Laila Sari meneriak. Cemas keadaannya. Laila berlari mendapatkan Cendana Dewi yang termangu.
“Cukuplah, Cendana. Cukuplah. Tiada guna engkau dalam keadaan begini. Sudahlah,” Laila merayu.
“Aku masih tidak percaya Laila,” ujar Cendana.
“Sekarang sudah jelas Cendana. Selasih yang menjadi lambang kesetiaan Uda telah terkulai layu. Biarpun kaujaga saban hari, selasih itu telah membuktikan apa yang didakwa oleh Abang Umbang,” sapa Laila.
“Tidak akan mudah Uda melupakan aku, Laila. Aku kenal hati budinya. Dia bukan orang lain, sepupu aku juga,” Cendana mencelah.
“Begitu juga dengan Abang Umbang. Bukankah kamu semua sepupu? Tidak adil jika kau hanya percayakan Uda, tidak kepada Abang Umbang. Apa kurangnya Abang Umbang, Cendana? Dia gagah perkasa. Banyak jasanya kepada keluargamu. Ketiadaan Uda, Abang Umbanglah yang cakna siang malam terhadap Mahaguru Tok Alim, ayahmu. Ayahmu yang uzur tiba-tiba itu, mujurlah ada Abang Umbang membantu menyediakan segala keperluan kamu sekeluarga. Dia tidak pun kecewa kerana tidak terpilih. Dia tidak berdendam pun apabila tewas dengan Uda, yang lebih muda dan dianggap adiknya sendiri. Tetapi Uda, sungguh cepat lupa janji,” tegas Laila,
Cendana terdiam. Tuduhan yang dilemparkan terhadap Uda sangat mengejutkan. Jika benar Uda telah mendustakan janji dan memilih anak gadis pembesar istana sebagai isteri, dia reda. Tetapi pesanan yang diberikan supaya Abang Umbang menggantikan tempatnya untuk mengambil Cendana sebagai isteri itu dirasakannya sangat dayus dan kejam. Begitu mudah Cendana dipercaturkan sebegitu, detak hatinya.
Malam yang serba keliru itu menyaksikan Cendana dipujuk oleh Laila agar pulang dan berfikir semasak-masaknya akan pinangan Abang Umbang tempoh hari. Mereka beransur-ansur meninggalkan tepian gelanggang yang sepi. Malam itu, tiada bulan menyerlahkan cahaya kerana gumpalan awan menutupinya.
Batuk Mahaguru Tok Alim semakin keras. Menjelang malam, semakin teruk. Tubuhnya tidak bermaya. Lesu. Cendana hampir putus asa untuk menyediakan pelbagai masakan, semuanya tidak disentuh oleh ayahnya. Hinggakan makanan kesukaannya pun, hanya secubit dua dijamahnya. Hati anak mana yang tidak runsing. Jika ibu masih ada, pasti ibu turut berduka melihat keadaan ayah begitu. Persoalannya, ayah tidak mahu berubat. Bukan tiada tok bomoh yang pandai mengubat orang di kampung itu, tetapi ayah berkeras mengatakan bahawa penyakitnya hanya biasa sahaja.
“Cendana, siapa yang datang tu? Ada orang memberi salam,” ujar ayahnya.
Cendana bergegas ke jendela. Cahaya bulan memperlihatkan susuk-susuk tubuh berdiri di hadapan tangga rumah. Dalam keadaan samar begitu, Cendana masih mengenali semuanya.
“Jemputlah naik. Apa khabar mak cik dan pak cik? Eh, Abang Umbang pun ada,” santun Cendana mempelawa ibu dan bapa Khatib Umbang mengunjungi terataknya. Mereka membalasnya dengan ramah mesra.
“Apa yang engkau menyibuk di sini? Duduk di bawah sahaja. Ini hal orang tua,” ibu Umbang menempelak anak jantannya.
Khatib Umbang yang tadi beria-ia ikut sama kini duduk termenung di tangga. Umbang duduk bertentangan dengan pokok selasih pemberian Uda kepada Cendana. Sudah layu selasih itu. Umbang menenungnya dengan wajah mencuka.
Cendana berasakan ada sesuatu hajat tentang kedatangan mereka pada malam itu. Tepat seperti apa yang dijangkakannya. Ketika Cendana sibuk menyediakan air minuman untuk tetamu, apa yang disangkakannya menjadi kenyataan.
“Anak-anak kita ini sudah dewasa. Kalau dulu, mereka berdua kawan sepermainan. Sekarang sudah tidak manis dipandang orang. Lagipun, si Umbang sudah kerap sangat datang ke rumah ini sejak Tok Alim uzur. Lebih baik dan molek kita satukan mereka berdua,” ibu Umbang menyatakan hajat kedatangan mereka setelah selesai bertanya perkembangan kesihatan Tok Alim.
“Terima kasih banyak-banyak, Umbang. Selalu bantu kami. Kalau sebelum ini, si Uda yang rajin membantu. Aku ni bukan gemar sangat mengharapkan bantuan orang, tetapi penyakit aku ni tidak pernah berkurang,” Tok Alim bersuara.
“Nama si Uda itu tidak perlulah disebut lagi. Orang sudah tidak sudi. Cepat sangat berubah hatinya sampai melupakan kampung halaman sendiri,” sampuk ayah Umbang.
“Hal begini, aku perlu tanya yang empunya diri dahulu. Berikan kami waktu. Aku mahu Cendana sendiri yang buat keputusan. Lagipun dia sudah besar panjang. Ini soal hidupnya,” jawab Tok Alim.
“Nampaknya Tok Alim sudah ubah amalan budaya kita. Biasanya apa kata ibu bapa, anak-anak mengikut sahaja. Kita kan yang lebih dulu makan garam? Bukan kita buat keputusan yang salah!” tegas ibu Umbang. Baginya, perkara yang dibincangkan ini untuk kebaikan anak-anak mereka juga.
Malam itu Cendana sukar melelapkan mata. Banyak yang difikirkan, tentang ayah yang uzur, tentang hajat besar keluarga Abang Umbang, tentang keluarga sebelah Uda yang kini semakin menjauhkan diri dan yang paling menyesakkan dada ialah Uda. Mengapa Uda membuatnya jadi tidak keruan begini. Sukar untuk mempercayai apa yang orang lain kata kerana hati budi Uda sangat dikenali. Ditelan mati emak, diluah mati bapak. Namun, keputusan perlu dibuat. Demi ayah, dia rela berkorban apa sahaja.
***
Embun di hujung daunan yang menitis ke tanah melembabkan laluan ke tebing Sungai Tersat. Manik-manik embun itu ialah yang terakhir sebelum semuanya lenyap disinari cahaya matahari pagi. Kabut mula berarak hilang. Unggas menghiburkan makhluk alam. Melagukan zikir agar hidup ini harus bersemangat. Itulah yang dipegang dalam hidup Cendana. Biarlah sebesar mana masalah yang dihadapi, hidup ini amat bermakna dan tidak akan disia-siakan. Hidup mesti diteruskan.
Malam nanti, dia secara sah akan menjadi ratu hati kepada salah seorang jejaka kebanggaan kampung. Bagai pinang dibelah dua, semua berkata begitu. Mahaguru Tok Alim sendiri membuat keputusan setelah Cendana menyerahkan segalanya kepada budi bicara ayah. Walaupun ayah bersikap terbuka, itu bukan bermakna Cendana boleh bertindak sesuka rasa.
Laluan di tebing sungai itu sudah sangat biasa bagi Cendana. Di hujung muara itulah lubuk tempat Uda menahan lukah. Hati Cendana menghantar dirinya ke situ. Tempat yang dirindui. Tempat pertemuan yang tidak akan dilupakan. Lagipun, di tebing sungai itu banyak pokok ubi. Kebetulan ayah mahu makan pucuk ubi masak lemak tengah hari nanti. Sudah lama ayah tidak buat permintaan begitu. Dia menyusuri laluan itu dengan berhati-hati. Setelah melintasi beberapa pohon kayu yang merimbun, Cendana duduk sebentar di atas batu. Dia melepaskan pandangannya ke seluruh sungai yang alirannya agak tenang.
Tiba-tiba, telinganya menangkap suara orang sedang berbicara. Tidak jelas, tetapi suara itu bukan suara seorang sahaja. Cendana membongkok dan bergerak ke arah suara-suara itu. Dia mengintai dari celahan daun-daun rimbun. Matanya digosok beberapa kali. Seakan-akan tidak mempercayainya tetapi sudah berada di hadapan matanya sendiri.
“Terima kasih Laila, pertolongan kau sangat aku hargai. Sungguh licik kau bertindak,” ujar Umbang.
“Ah, Abang Umbang apa kurangnya. Seluruh penduduk kampung habis percaya dengan dakwaan Abang Umbang. Sekarang, Uda tidak dihormati lagi. Abang Umbang satu-satunya pendekar yang disanjungi,” Umbang tersengih dengan pujian Laila.
“Racun yang kauberikan itu masih ada lagi? Nampaknya Mahaguru Tok Alim sudah semakin sihat. Sungguh liat orang tua itu. Aku juga mahu terus racuni pokok selasih Uda itu, biar berkubur terus!” Marah Umbang.
“Malam nanti akan kubawakan,” Laila menyampuk.
“Sebagai balasan, jika Uda kembali semula ke kampung nanti, kau pula akan jadi kekasihnya. Ketika itu Uda mungkin sudah kecewa dengan Cendana kerana telah berlaku curang dan tidak setia. Engkau pun apa kurangnya berbanding Cendana?” Mereka ketawa dan terus ketawa sebelum kedua-duanya berpisah.
Cendana terduduk pilu. Apa yang didengari sebentar tadi amat mengejutkan. Mahu sahaja dia menyerbu dan membuat perhitungan terus dengan mereka berdua, tetapi itu tidak akan menguntungkannya. Nama ayah dan keluarganya pasti tercemar kerana dia akan dikatakan cemburu buta dan bertindak mengikut perasaan. Kisah sebenar akan diputar belit. Itu pasti. Selepas selesai memetik pucuk ubi, dia bergegas kembali.
***
“Sungguh kejam perbuatan Umbang. Sungguh tidak disangka, rupa-rupanya selama ini Umbang ialah gunting dalam lipatan, seperti api dalam sekam. Kita batalkan majlis kenduri malam ini. Biar ayah menanggung malu!” Mahaguru Tok Alim merengus kecewa apabila Cendana selesai menceritakan apa yang diketahuinya pagi tadi.
“Jangan ayah! Kita tunggu kehadiran rombongan mereka. Biar berkumpul seluruh penduduk. Kita isytiharkan cerita sebenar dan minta mereka berdua membuat pengakuan. Biar semua penduduk menjadi saksi akan kedudukan sebenar. Nasib Uda mesti dibela. Sudah banyak dosa fitnah yang ditanggung oleh semua orang,” desah Cendana.
“Kalau kuturut jiwa pahlawanku ini, ingin saja aku ajar si bedebah itu!” Tok Alim geram. Usia tua dan keadaannya yang masih belum pulih menyebabkan dia tidak dapat berbuat lebih daripada itu. Dia bangkit dan melihat di halaman rumahnya. Sanak saudara dan jiran tetangga sedang sibuk membuat persiapan untuk majlis pernikahan malam ini. Air matanya bergenang kepiluan. Dia tertunduk mengenang akan nasib dirinya dan Cendana, anak gadis kesayangannya. Cendana memeluk lengan ayahnya dari belakang.
“Sabarlah ayah. Kita mesti kuat. Cendana masih perlukan ayah untuk hadapi semua ini,” keluh Cendana.
Dua beranak itu kembali menumpukan tugas besar pada malam nanti. Malam yang menggemparkan dan akan terpahat sejarah besar Kampung Ipoh tentang peristiwa itu. Peristiwa pahit untuk dikenang anak cucu zaman mendatang sebagai pengajaran kehidupan mereka.
***
“Khatib Uda, balik! Khatib Uda, balik!” marah Tok Alim.
Laungan itu bergema. Bermula sayup-sayup dan kemudiannya semakin hingar sekampung. Penduduk kampung agak terpinga-pinga dan tidak tentu arah apabila Cendana dan Tok Alim membuat pengumuman mengejutkan sebentar tadi. Mereka semakin bingung dengan apa yang berlaku. Khatib Umbang sejak tadi seperti orang gila setelah cerita sebenar terbongkar, menggigil di sebalik tiang seri rumah. Duduk salah, berdiri pun tidak kena jadinya. Apabila mendengarkan Uda sudah kembali, tiba-tiba pandangannya jadi gelap gelita. Keluarga Umbang pula sudah lama meninggalkan majlis itu kerana malu tidak terkata.
Melihat keadaan semakin huru-hara, Laila Sari berlari mendapatkan Uda yang kelibatnya semakin menghampiri. Beberapa pemuda lain sedang mengiringi pendekar kebanggaan kampung itu. Masing-masing cuba menceritakan apa yang berlaku selepas pemergian Uda. Namun Uda sudah pun tahu lebih awal daripada peniaga yang pulang dari Kampung Ipoh ke Kuala Bandar. Lebih-lebih lagi sahabat baiknya sendiri datang mencari Uda di sekitar istana untuk mendapatkan sendiri penjelasan tentang kisah yang disebarkan oleh Umbang itu.
“Abang Uda, Abang Uda!” Laila Sari memanggil dengan penuh perasaan.
“Laila Sari nantikan kepulangan Abang Uda sejak dulu. Cendana Dewi sudah milik Abang Umbang. Cendana Dewi sudah lupakan Abang Uda. Dia sudah berbahagia sekarang. Usahlah pisahkan mereka. Laila ada untuk Abang Uda,” rintih Laila. Tangannya didepangkan agar Uda berhenti dan mendengar luahan hati.
Uda tidak menghiraukan ratapan Laila itu. Dia terus melangkah dengan berani. Gerak dan langkah seorang pendekar yang menuntut keadilan dan kebenaran. Laila terjelepuk dan meraung penyesalan. Apakan daya, nasi sudah menjadi bubur. Dari jauh, Uda semakin menghampiri rumah Cendana. Di muka pintu, Cendana, Tok Alim dan sekalian yang ada berpusu-pusu berkumpul di laman sebelum membuat satu lorongan terus ke tangga rumah.
“Khatib Umbang sudah melarikan diri, dia sudah lari ke lubuk!” Seorang lagi menjerit.
Cendana Dewi menekup wajahnya apabila Uda berhenti, berpatah dan terus berlari ke arah tempat kenangan itu. Cara Uda bergegas pergi menandakan ada sesuatu yang mencemaskan bakal terjadi. Tok Alim rebah. Hiruk-pikuk penduduk apabila melihat apa yang berlaku malam itu. Mereka tahu, malam itu menjadi satu lagi malam perhitungan buat kedua-dua pendekar Kampung Ipoh. Kali ini, ada darah yang akan tumpah ke tanah.
***
Aliran Sungai Tersat agak deras malam itu. Keruh airnya kerana hujan di hulu petang tadi. Keadaan tebing sungai lecak dan licin akibat limpahan air. Walaupun begitu, bulan masih mampu menghamburkan cahayanya setelah langit bersih tanpa kelompok awan. Dendangan nyanyian serangga alam terdiam tatkala kehadiran pengunjung yang tidak diundang secara tiba-tiba. Dua pendekar sedang membuat perhitungan terakhir.
Umbang dan Uda berbalas serangan. Apabila Umbang menikam, Uda mengelak. Jika Uda menikam, Umbang menepis dan menolak. Kedua-duanya tidak menghiraukan pekikan penduduk kampung yang turut mengekori setiap pergerakan dan adegan kejar-mengejar. Masing-masing tidak berani masuk campur apatah lagi menghalang kedua-duanya. Mereka serahkan kepada takdir, siapa menang, siapa kecundang.
“Abang Umbang! Abang Uda! Berhentilah, ingatlah pada Allah!” rayu Cendana.
Itulah kata-kata yang dilafazkan oleh Cendana Dewi terhadap kedua-dua insan yang sedang mempertaruhkan nyawa demi dirinya. Diulang-ulang. Diteriak dengan sungguh hati. Itu bukan kehendaknya. Dia tidak rela. Setiap tikaman yang dilepaskan, walaupun tidak mengena pada kedua-dua tubuh pendekar itu, tetapi terasa tertusuk di hati Cendana. Dia pilu. Inikah pengakhiran yang terpaksa dia terima?
Sesekali Uda dapat menjatuhkan Umbang. Sebelum Uda sempat menujah kerisnya ke perut Umbang, Umbang membentes hingga Uda pula yang rebah. Giliran peluang Umbang merodok kerisnya ke dada Uda, kaki Uda pula menginjak perut Umbang hingga kedua-duanya gagal mengambil peluang. Pergelutan ini tidak pasti bila akan berakhir kerana kedua-duanya sangat kuat dan bersungguh-sungguh untuk menewaskan lawan. Cahaya samar-samar malam itu tidak memberi kesan kepada ilmu dan sifat pahlawan yang mereka miliki.
“Abang Umbang! Abang Uda! Berhentilah! Ingatlah pada Allah!” Cendana berteriak lagi.
Dia nekad mahu menghentikan pertarungan yang sia-sia itu. Menang jadi arang, kalah jadi abu. Kemenangan yang dimiliki atas sebuah kematian tragis tidak memberi apa-apa makna dalam hidupnya. Saling berbunuhan kerana berebutkan seorang wanita tidak harus terjadi.
Pertikaman mereka akhirnya sampai ke beting lubuk Sungai Tersat. Di atas lubuk itu, kaki Uda tersadung banir pokok yang bergumpal. Uda tertiarap. Keris di tangannya terlepas. Umbang melompat di belakang tubuh uda. Dua lutut Umbang menindih pinggang Uda. Uda berpusing. Namun tetap berada di bawah lawannya. Kedua-dua tangan Umbang menggenggam hulu keris. Diangkatnya tinggi. Dia mahu menujah sedalam-dalamnya keris ke dada Uda. Umbang terus menujah kerisnya. Sekuat tenaga.
“Cendana Dewi!” Uda menjerit.
“Ah, tidak!” Umbang terperanjat. “Tidak! Tidak!” Umbang masih tidak percaya.
Penduduk kampung terdiam. Keadaan hiruk-pikuk tadi bertukar sekelip mata. Darah merah yang memancut mengalir bersama-sama arus sungai dan seolah-olah menukar warna malam itu. Darah insan tidak berdosa, mengalir membawa pergi harapan bahagia yang tidak kesampaian.
“Abang Umbang, Abang Uda” lemah suara Cendana memanggil kedua-dua insan yang pernah menjadi rakan sepermainan semasa kecil. Sama-sama berlari di benteng pasir, sama-sama meredah semak belukar mengejar napuh dan ayam hutan. Insan seperguruan dan sama-sama berimpian. Mereka pernah berjanji disaksikan bulan dan bintang yang sama untuk saling menjaga satu sama lain. Namun, keris yang tertusuk menembusi dada srikandi itu mengakhiri manisnya kisah silam.
“Bertaubatlah Abang Umbang. Dengan jalan taubat, semua dosa diampunkan. Cendana maafkan semua kesalahan Abang Umbang. Sucikan dosa bukan dengan darah, tetapi dengan air wuduk dan air mata penyesalan,” suara Cendana sayu. Tersekat-sekat tetapi cukup membekas. Umbang menangisinya.
“Abang Uda, Cendana sangat mencintaimu. Apakan daya, begini kesudahannya. Jika Abang Uda memilih berdamai dan berbincang, itu lebih baik dan dituntut dalam agama. Beradu kekuatan dan berbunuhan bukanlah cara menegakkan kebenaran. Inilah padahnya. Percayalah, Cendana ada maruah diri dan tetap setia,” kata-kata Cendana terhenti di situ. Darah masih tidak berhenti membuak keluar. Begitu juga dengan air mata kesal Uda.
Laila berlari menerpa ke tubuh Cendana yang semakin tidak bermaya. Tangannya menekup luka parah kawan baiknya itu. Laila meraung memohon keampunan. Dia masih berada di sisi Cendana sehingga orang kampung datang berbondong-bondong mengangkat tubuh srikandi malang itu. Tok Alim memandang dari jauh. Luruh hatinya. Pengorbanan besar Cendana dalam cubaan menghentikan pertelingkahan itu membuatkannya hilang kata-kata. Pesanan terakhir Cendana kepada Umbang dan Uda meninggalkan kesan mendalam kepada semua yang ada di lubuk itu. Ketika Cendana diusung ke daratan, darah srikandi itu masih menitis tanpa henti.
Malam semakin kelam. Bulan pula telah hilang.