LANGIT di luar masih buram, seperti hati saya. Tawa mengejek itu masih berdenging di telinga hinggakan mengganggu tumpuan saya pada suara garau Profesor Hasan. Kuliah tentang sejarah linguistik bahasa Melayu tidak lagi menarik minat saya seperti sebelumnya.
“Banyak lagi barang yang boleh dibuat hantaran. Kenapa buku Keris Mas juga yang awak berikan pada saya?” soal Haris usai pertunangan kami kelmarin. Haris, lelaki pilihan keluarga yang telah saya terima pinangannya memandang saya dengan hairan. Ada senyuman sinis yang terlorek di wajahnya.
“Kenapa?”
“Tak adalah. Biasanya orang bagi dompet, baju. Tapi, awak lain. Awak bagi saya buku Keris Mas, seorang sasterawan negara. Bukan awak tak tahu yang saya ni tak berminat dengan buku sastera,” balasnya.
Saya tersenyum tipis. Saya tahu kami berbeza. Pertama kali ketika kami bersua muka, saya sudah dapat membaca serba sedikit personalitinya. Namun, saya menganggap perbezaan itulah yang harus saya raikan. Setiap manusia ini unik dan mempunyai kesukaan masing-masing.
“Buku Keris Mas adalah saya, Haris,” jawab saya.
Saya telah jatuh cinta pada semua karya Keris Mas sejak saya menyebak helaian bukunya. Begitu cantik dan tersusun aksara yang dipilih.
Paling saya suka himpunan cerpen yang ditukangnya. Saya masih ingat dengan jelas tentang cerpen “Dalam Pelukan Wanita Sedar” dan “Runtuh”. Keris Mas membicarakan kisah cinta dalam pelbagai versi. Ada sisipan pengorbanan, perjuangan bangsa dan juga politik. Semuanya menyentuh hati terutamanya ketika zaman pertembungan Jepun dengan British.
“Baik. Saya faham. Tapi saya tak perlu baca, kan?” soal Haris seakan menyindir.
Saya balas dengan senyuman hambar. Saya kira, dia harus ‘membaca’ saya terlebih dahulu ketika ini.
“Ada apa-apa soalan?” Suara Profesor Hasan menjamah dewan. Haris hilang dari pagut fikiran.
Saya pandang rakan sekuliah. Tiada sesiapa yang mengangkat tangan. Kelas berakhir lewat itu juga, meninggalkan saya terpinga-pinga.
*****
Saya mencintai bahasa. Sangat mencintai hingga saya memilih untuk menjadi guru Bahasa Melayu sebaik sahaja tamat pengajian nanti. Haris pula seorang jurutera. Orangnya sibuk dan kami jarang-jarang dapat berjumpa. Seingat saya, kami hanya bertemu dua kali sebelum bertunang dan sekali sahaja selepas majlis. Perkenalan kami singkat dan tidak mengambil masa yang lama untuk menoktahkan perhubungan ini. Kata emak, tidak elok berlama-lama tanpa ikatan.
Bunyi deringan telefon menggila. Saya tersentak dan segera mencapainya di atas meja. Haris!
“Hello,” sapa saya lembut.
“Awak tak malu ke?” Bilah-bilah kata Haris menyentap jiwa saya.
“Apa maksud awak?” soal saya.
“Saya baru tengok video awak di Tik Tok pagi tadi. Saya tak suka apa yang awak buat. Tolong padam akaun awak tu,” arahnya.
Saya mereguk liur. Atas dasar mencintai bahasa, saya berasa terpanggil untuk berkongsi ilmu. Saya sering muat naik video tentang penggunaan peribahasa, cara membina ayat dengan kosa kata yang baru dan macam-macam lagi. Tiada video menari atau terkinja-kinja menayang tubuh. Semuanya saya lakukan kerana saya tidak mahu bahasa ibunda saya terpinggir di tanah air sendiri.
“Saya cuma kongsi ilmu saja. Saya tak rasa ada salahnya,” jawab saya tegas. Sesi pembelajaran tidak sama seperti dulu-dulu. Teknologi yang ada perlu digunakan sebaik yang mungkin. Generasi sekarang sukakan hiburan. Mengapa tidak saya sampaikan dalam gaya yang ringkas dan santai sebagai daya penarik? Semuanya tidak salah asalkan generasi sekarang mengenali betapa indahnya bahasa Melayu.
Setahun yang lalu, saya juga bergelut dengan rasa segan ketika mahu memuat naik video. Saya malu menjadi tontonan. Jiwa pemalu saya menyengat hingga menyukarkan saya saat merakam video. Namun atas dasar ingin menyebarkan ilmu yang ada, saya kuatkan semangat. Dari tiada pengikut hinggalah ratusan ribu yang mengikuti akaun saya. Rata-rata anak muda seronok dan memuji inisiatif yang saya lakukan. Kata mereka, tidak sangka bahasa Melayu boleh jadi puitis dan seindah ini!
“Tapi saya tak suka. Cukuplah awak nak jadi guru Bahasa Melayu. Tak perlu berlebihan pun. Awak masih boleh sebarkan ilmu di sekolah.” Haris tamatkan perbualan tanpa sempat saya bersuara menyatakan pandangan.
Saya terkebil-kebil menatap telefon bimbit di tangan. Sekeras itukah lelaki yang mahu menjadi suami saya? Adakah suara hati saya tidak layak didengarinya?
*****
Hubungan saya dan Haris berjalan seperti biasa. Tidak semanis seperti pasangan lain dan tidak pula bercakaran hari-hari. Kalau Haris jadi api, saya pilih untuk jadi air. Salah seorang perlu mengalah supaya hubungan dapat dikekalkan, kata emak menitip pesan.
Suatu hari, saya menerima khabar yang saya nanti-nantikan. Penempatan pertama selepas saya tamat pengajian. Saya akan menyeberangi Laut China Selatan untuk menggalas tanggungjawab yang baharu. Berita yang membuatkan saya tenggelam dalam euforia menjadikan tangan saya pantas menghubungi Haris.
“Kita jumpa petang nanti.” Sebaris kata-kata yang terngiang di hujung talian dalam diam menghantar rasa debar di dada.
*****
Langit senja menampakkan warna-warna pastel. Sekawan gagak datang lalu bertenggek di atas pohon. Sesekali angin kebimbangan menampar lembut wajah saya.
“Dah lama tunggu?” tanya Haris lalu melabuhkan punggung di atas bangku yang saya duduk. Saya geleng.
“Jadi awak tetap nak ke Sabah?” soalnya merampas sepi di antara kami.
“Ya.” Saya manggut kepala. Memang itu arahan yang diterima. Saya perlu akur. Jika saya tidak berminat, takkanlah saya bertungkus lumus sepanjang pengajian? Untuk apa saya bersusah payah dan bersengkang mata selama ini?
“Kalau saya tak izinkan?” ujar Haris lagi cuba menguji.
Saya tatap wajahnya. Sepasang mata Haris jelas menunjukkan dia serius membuatkan saya terpempan. Apakah yang Haris maksudkan?
“Tapi ini sudah jadi tanggungjawab saya.”
“Dua minggu lagi kita akan bernikah. Saya boleh sara awak,” kata Haris begitu yakin.
“Janganlah begini, Haris,” lirih saya. Suara bergetar menahan sebak. Sukarnya memilih antara sayang dan cita-cita. Saya kira paling perit bagi seorang perempuan apabila mahu terbang bebas seperti rajawali, namun sayapnya tersangkut dengan ikatan begini.
“Saya tidak boleh hidup berjauhan,” sambung Haris lagi.
“Awak boleh ikut saya.” Saya usulkan cadangan dengan mengharap ada cahaya di penghujung perbincangan ini.
Haris menggetap bibir. Kaki mengusir bebutir batu kecil di atas bongkah heksagon berwarna kelabu.
“Sikap awak sukar dibaca,” ujarnya.
Perbezaan personaliti antara kami berdua diungkit-ungkit. Tempoh perkenalan dan pertunangan kami menjadi ganti topik penempatan saya. Saya biarkan Haris meluah rasa. Hujah-hujahnya saya dengar dengan teliti tanpa saya bidas walau sekali. Saya cuba mencari satu frekuensi di celah-celah perbualan kami. Tiada. Haris seolah-olah meletakkan satu garisan di antara kami yang sukar untuk saya rempuh.
“Awak memang degil. Apa yang saya larang, itulah yang awak buat,” ungkapnya lalu bangkit meninggalkan saya sendirian.
Bebola jingga di padang langit sudah hampir terbenam, seperti jiwa saya.
*****
Saya tidak pernah sangka usaha saya untuk menyampaikan ilmu bahasa dan sastera menerusi video akhirnya membuka mata banyak pihak. Malam ini adalah malam kegemilangan saya. Saya telah terpilih sebagai pempengaruh popular yang memuat naik konten berilmiah. Beberapa minit sebelum nama saya diumumkan, telefon bimbit saya bergetar hebat. Jemari pantas menatal.
Satu kiriman foto daripada Haris telah saya terima. Hati digigit pasrah tatkala melihat gambar barangan hantaran saya telah dibakar.
Untuk seketika saya berasa dewan berdenting sunyi. Sepi melambung-lambung. Akhirnya saya tahu jawapan Haris tentang hala tuju hubungan kami. Mungkin hatinya sudah lama mengasah kata perpisahan sedangkan saya masih meletak harapan. Terowong hubungan kami telah menemui titik akhir. Gelap. Hati saya menangis hiba. Tinggal tiga hari lagi majlis bahagia kami. Tegarnya Haris memperlakukan sedemikian rupa pada saya. Manik-manik air mata saya tahan supaya tidak tumpah sebelum waktunya.
“Dengan ini, majlis mengucapkan sekalung tahniah kepada Cik Manis binti Abdullah bagi Anugerah Pempengaruh Popular Konten Berilmiah (Sastera).” Suara pengacara majlis bergema merampas hening di hati.
Perlahan-lahan saya bangkit dan tampal senyuman palsu pada wajah. Trofi diambil lalu dijulang. Kaki menapak menuju tempat berucap. Mikrofon dibetulkan mengikut keselesaan saya.
“Terima kasih di atas anugerah ini. Saya tidak meminta untuk diraikan sebegini rupa. Nawaitu saya ketika memuat naik video hanya satu. Saya mahu memartabatkan bahasa ibunda kita.” Saya mulakan bicara dengan tenang dan mula mengimbau saat-saat saya membina nama sebagai pempengaruh.
“Tuan-tuan dan puan-puan, ada sesetengah di antara kita begitu terdesak mahu generasi baharu, iaitu anak-anak, menguasai bahasa asing hingga menjadikan bahasa itu sebagai bahasa percakapan seharian di rumah. Jujurnya, saya berasa kurang senang dengan situasi begini. Bahasa ibunda kita akan terpinggir tanpa sedar. Generasi baharu yang kita harap-harapkan akan lupa keindahan bahasa Melayu kita.” Saya hela nafas berat. Berpasang-pasang mata melihat saya di atas pentas. Rasa gugup hilang dimamah keberanian yang meluap.
“Tanggungjawab memartabatkan dan memulihara bahasa ibunda sebenarnya terletak di bahu semua pihak tanpa mengira lapisan kaum. Semangat mencintai bahasa kebangsaan ini perlu dipupuk pada setiap waktu, tanpa mengira masa dan bukan diraikan pada bulan kemerdekaan sahaja,” sambung saya lagi. Mungkin kedengaran pahit tetapi itulah kebenaran yang perlu saya nyatakan.
“Tuan puan sekalian, tidak salah kita menguasai bahasa asing, namun janganlah sampai kita meminggirkan bahasa kebangsaan kita. Bahasa Melayu adalah lambang jati diri setiap rakyat di negara ini. Jika kita tidak mengangkat bahasa ibunda kita, siapa lagi yang akan berbuat demikian?” laung saya penuh semangat. Satu tepukan gemuruh bersipongang di setiap penjuru dewan.
“Terima kasih semua untuk anugerah ini. Saya anggap ia sebagai satu titik permulaan bagi langkah saya. Teruskan menyokong usaha ini,” jelas saya. Mata meliar mencari kamera. Saya tahu majlis ini sedang ditayang secara langsung di televisyen. Ada ucapan lagi yang mahu saya ungkapkan. Saya mahu kata-kata yang akan saya lontarkan ini menyentuh hati seseorang.
“Dan kata-kata ini saya tujukan khas buat si dia yang pernah saya sayang. Sesungguhnya, saya akan terus berjuang biarpun buku Keris Mas saya dibakar dan dibuang!” Saya berteriak mengakhiri ucapan.
Sayap rajawali saya mungkin patah. Namun saya memilih untuk kembali terbang.