2 NOVEMBER 1963, tarikh yang istimewa kerana lahirnya insan yang telah menaruhkan nyawanya untuk melahirkan cahaya mata dalam sebuah keluarga kecil.
Insan ini jugalah yang membawa kandungannya ke hulu ke hilir selama 9 bulan 10 hari. Rasa kesal sedikit pun tidak ada pada dirinya. Namun, perasaan campur baur sentiasa mengiringi hari-harinya. Perasaan gembira, risau dan takut. Gembira, menanti kelahiran cahaya mata. Risau, tidak dapat memenuhi semua kemahuan si anak. Takut, kelak anak dipukul dengan realiti kehidupan yang semakin mencabar. Pastinya insan ini dikenali sebagai ibu.
Ibuku memang seorang wanita luar biasa. Walaupun ibu tidak mempunyai kuasa, ibu mampu melakukan semua perkara demi memenuhi kehendak anak-anaknya.
Aku teringat akan cerita keperitan ibu melahirkanku, setelah genap 9 bulan 10 hari di dalam kandungan. Cerita ini sering diimbau kembali oleh ibu, tatkala mulut tidak mampu lagi untuk menasihati kelakuan kurang baikku. Cerita ini bermula apabila kesakitan pada perut, tanda ingin melahirkan telah tiba. Ayah yang berada di rumah saudara bagi menghadiri majlis tahlil pulang ke rumah, terus memecut laju kereta untuk segera sampai ke hospital. Namun kesakitan melahirkan tidak dapat ditahan lagi oleh ibu, lalu lahir bayi sempurna fizikalnya, iaitu aku, di pangkuan ibu. Sampai sahaja di hospital, doktor terkejut melihat bayi yang masih berlumuran darah dalam pangkuan ibu.
Meskipun begitu, cerita ini pada waktu kecilku hanyalah sekadar cerita. Ia tiada makna bagiku. Namun, setelah aku dewasa pelbagai persoalan semakin inginkan jawapan. Mungkin juga aku baru sedar dan baru memahami erti sebenar cerita tersebut. Sehingga kini, aku masih memikirkan nyawa yang ditaruh oleh ibu melahirkan aku. Aku tidak dapat membayangkan bagaimana sakitnya ibu melahirkanku. Andai aku tidak menjadi orang seperti sekarang ini, sudah pasti timbulnya rasa penyesalan pada diri ibu. Mana tidaknya, berani menaruh nyawa untuk anak yang tidak memberi kesenangan lebih menyeksakan jiwa berbanding hilangnya nyawa sendiri.
Terima kasih ibu, tanpa pengorbananmu aku tidak ada di dunia ini.
Kini aku telah dewasa dan membesar dengan penuh sempurna. Aku telah menjadi seorang guru di sekolah pedalaman di Sabah. Pilihanku untuk berkhidmat di sekolah pedalaman ini kerana ingin mendidik anak bangsa yang menurutku perlu diberi perhatian lebih lagi dalam pelajaran. Apabila mengingat kembali kesusahan yang dihadapi anak muridku di sini, aku teringat pada seorang pelajar bernama Kiton.
Kiton datang daripada keluarga yang tidak berkemampuan. Baru-baru ini terdapat yuran PIBG yang perlu dijelaskan dengan segera oleh semua pelajar. Namun tidak bagi Kiton, kerana dia tidak mampu membayarnya. Kiton datang kepadaku. Sebelum dia membuka mulut, aku dapat agak apa yang ingin disampaikan oleh Kiton kerana dia ialah pelajar yang pendiam dan tidak suka berkongsi masalah peribadi kepada semua orang. Mungkin aku guru kelasnya, sehingga dia rasa lebih selesa dan tidak segan memberitahu masalahnya.
“Cikgu Sara, bila hari terakhir duit PIBG perlu dibayar? Saya tidak dapat sediakan duit sebanyak yang diminta sekarang ini,” Kiton berkata dengan muka merayu supaya tarikh akhir bayaran dilewatkan.
“Kiton, jangan risau sangat tentang bayaran tu,” jawabku sambil menepuk-nepuk belakang Kiton.
Aku tidak mahu Kiton susah hati sehingga menjejaskan pelajarannya. Kiton pelajar pintar. Keputusan ujian bulanannya paling cemerlang. Aku berasa simpati kepada Kiton kerana dia terpaksa berkorban masa untuk membantu ibunya menjual kuih. Ditambah lagi dia ialah anak sulung daripada sembilan adik-beradik yang baru sahaja kematian ayah. Hidupnya semakin berubah setelah kehilangan tulang belakang keluarga. Kini, ibunya hanya menjual kuih untuk menampung kehidupan kais pagi makan pagi mereka. Begitulah seorang ibu berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Walau ujian setinggi gunung pasti akan dihadapnya untuk kebahagiaan anak-anaknya.
“Sebenarnya cikgu telah melunaskan yuran PIBG untuk kamu, Kiton,”
“Betulkah ni, cikgu? Terima kasih, Cikgu Sara,” kata Kiton.
Wajah sedih Kiton tadi tiba-tiba bertukar ceria apabila mendengar khabar gembira tersebut. Mungkin selama ini dia penat memikirkan jalan keluar daripada masalah kewangan keluarganya.
Kisah Kiton ini mengingatkan lagi aku kepada kesusahan membantu kedua-dua ibu bapaku dalam mencari rezeki. Ibu hanya bersumberkan pendapatan hasil jualan sayur untuk menampung keluarga. Setiap hari Ahad ibu akan keluar memulakan jualannya pada subuh hari lagi. Aku sering menjadi ekor ibu. Detik menggelikan hati lagi apabila keterujaanku membantu ibu membuatkan tidurku tidak lena. Namun, adakalanya aku tidak diajak kerana ibu kasihan melihat aku yang masih kecil bersusah mencari rezeki. Tetapi, bagiku ia menyeronokkan. Aku dan ibu akan menjual di tempat yang berbeza agar jualan lebih cepat habis. Begitulah strategi yang ibu gunakan dalam berniaga. Ketika matahari kian melonjak naik, detik hiba yang mungkin tidak dapat dilupakan apabila melihat ibu sedang menahan mata daripada terlelap kerana kepenatan. Sehingga sekarang aku tidak dapat mengerti dan masih belum memahami, bagaimana hanya bersumberkan hasil kebun dapat membesarkan kami adik-beradik dengan begitu sihat dan berjaya sehingga sekarang. Ingatanku pada peristiwa ini tidak akan pudar kerana ia mengingatkanku kepada asal diriku.
Minggu depan bermulanya cuti hujung tahun, aku akan pulang ke kampung halaman. Aku tidak mengkhabarkan akan kepulanganku ini kepada ibu. Sekian lama kami tidak berjumpa dan bergurau senda. Ibu ialah sahabatku meluah dan meminta perhatian daripadanya. Ibu ialah individu yang sangat risau apabila aku jatuh sakit. Ibu tidak boleh mendengar jika anak-anaknya sakit.
Lamunanku berlarutan mengingat kembali ketika aku berusia 15 tahun. Paru-paruku dijangkiti bakteria. Pada masa itu layanan ibu kepadaku sangat hebat seperti tuan puteri. Disebabkan penyakit tersebut kesihatanku mulai dijaga ibu. Masa itu aku makin terfikir bolehkah aku melayan ibuku sepertimana dia memberi layanan kepadaku.
“Sara, Sara, nak ke mana tu?”
“Sara nak ke bilik air, ibu.”
“Kalau iya pun, bagi tahu ibu dulu, ibu boleh temankan.”
Aku hanya berdiam diri, tidak lagi larat bercakap banyak kerana menahan kesakitan cairan antibiotik yang disuntik masuk ke badanku. Aku tidak ingin ibu rasa terbeban dengan penyakit yang aku alami ini. Takut-takut sahaja jika aku yang menjadi penyebab ibu jatuh sakit. Kerana penyakit itu jugalah ibu tidak cukup tidur memikirkan keadaanku. Sehingga sekarang layanan ibu tidak berubah sedikit pun dan kini aku rasa bersalah untuk mengkhabarkan kesihatanku kerana ibu orang pertama yang susah hati.
Tiba-tiba lamunanku terhenti setelah disapa Cikgu Rahmah.
“Eh, cikgu si cantik Sara, tak pulang lagi? Lewat sudah ni. Aku balik dulu, Sara. Selamat bercuti,” kata Cikgu Rahmah kepadaku.
Belum sempat aku membalas, kelibat Cikgu Rahmah hilang begitu sahaja. Tidak pasti apa yang dikejarnya. Melirik jam di tangan menunjukkan jam 4.00 petang. Sedar atau tidak aku telah lama duduk di atas kerusi mejaku. Kakiku terasa kejang kerana kelamaan duduk tanpa bergerak sekalipun. Hari ini adalah hari terakhir sebelum cuti hujung tahun bermula. Setelah kekejangan kakiku semakin hilang, aku mula bergegas untuk pulang. Aku berjalan secepat mungkin, takut-takut pengawal keselamatan, Pak Amin mengunci pagar. Mana tidaknya, Pak Amin seorang yang sentiasa menepati masa mengunci pagar untuk menjaga keselamatan di sekolah ini. Lega hatiku apabila melihat pintu pagar sekolah masih belum dikunci lagi.
‘Kalau tidak memang aku bercuti di sekolah nampaknya,’ bisikku.
Seketika aku memasukkan barang ke dalam perut kereta, seorang wanita yang menjejak usia 40-an memanggil namaku.
“Cikgu Sara! Cikgu Sara! Mahu balik sudahkah? Saya mak kepada Kiton. Terima kasih cikgu kerana banyak membantu anak saya,”
“Eh, tidak apa mak Kiton, saya membantu seikhlas hati.”
“Ini ada sedikit buah rambutan, durian dan cempedak hasil tanaman keluarga kami. Ambillah cikgu sebagai balasan budi cikgu kepada anak saya.”
“Susah-susah sahaja mak Kiton, terima kasih sekali lagi.”
“Sama-sama, semoga Cikgu Sara diberkati selalu dan tidak jemu untuk mendidik anak murid di sekolah ini.”
Aku mengangguk mengeyakan kata-kata Mak Kiton itu. Sesekali berasa segan dengan kebaikan yang dimiliki oleh semua ibu bapa pelajar di sini. Inilah kelebihan apabila kita berbakti di tempat orang. Mereka akan mengenang jasa selagi mampu. Aku paling suka apabila ibu bapa di sini tidak perlu memberi barang mewah untuk menunjukkan penghargaan. Cukup semampu mereka. Masa lalu aku diberi beg yang dijahit sendiri oleh ibu bapa pelajar sebagai tanda terima kasih mereka kepada pendidik-pendidik sekolah ini. Sungguh mulia hati para penduduk di sini.
‘Terima kasih Allah memberi takdirku seindah ini. Kerana Kau, aku mengenal erti kemuliaan hati,’ bisikku dalam hati dengan penuh kesyukuran.
Selesai sahaja aku memasukkan semua barang, aku memecut laju kereta menuju ke rumah guru yang disediakan bagi guru-guru di sekolah tersebut.
Maka, bermulalah cuti hujung tahun dan dapatlah aku lari sebentar daripada kesibukan kerja. Keterujaanku memeluk ibu berkobar-kobar. Memeluk ibu adalah saat terindah bagiku. Ibu ialah penguat semangatku. Bukan sahaja aku, tetapi semua anak mempunyai perasaan sepertiku.
Setelah tiba di perkarangan halaman rumah, aku menekan hon kereta sebagai tanda kepulanganku. Namun, tiada siapa yang keluar menyambut. Ayah telah pergi ke tempat abadi terlebih dahulu sekitar beberapa tahun yang lalu disebabkan sakit tua. Kalau tidak, ayahlah orang yang sangat gembira menyambut kehadiranku. Semoga aku boleh membalas jasa kedua-dua ibu bapaku dengan memuliakan ibu yang masih ada sehingga sekarang.
Sementara itu, aku berasa risau seketika apabila ibu belum keluar dari rumah. Kebiasaannya apabila dengar sahaja hon kereta, ibu sudah mengagak akan kepulanganku. Kemudian, aku menutup enjin kereta dan terus berdiri di atas tangga, setia memanggil ibu.
“Ibu! Ibu! Ibu! Ibu, Sara balik ni.” Namun teriakanku tiada siapa menyahutnya. Aku mula risau apabila tidak melihat kelibat ibu.
“Ibu! Ibu! Ibu.” Aku memanggil sekali lagi dengan nada yang lebih kuat.
Mungkin ibu tidak mendengar atau mungkin ibu sedang tidur ketika ini. Itu anggapanku untuk menyedapkan hati yang risau. Aku terdetik untuk menuju ke belakang halaman rumah, mungkin ibu sedang membersihkan kawasan rumah. Namun, langkah kakiku terhenti seketika. Suara seseorang menyapaku. Rupanya Mak Cik Piah, adik kandung ibu datang ke arahku.
“Eh, Sara rupanya! Kenapa ni Sara, suara Sara sampai ke rumah mak cik?”
“Oh, Mak Cik Piah. Mak Cik Piah ada nampak ibukah? Dari tadi Sara panggil tak muncul-muncul. Ibu selalu duduk santai di beranda rumah berehat sambil menghirup udara segar petang hari macam ni. Panggilan Sara tadi tiada siapa yang sahut dan sampai sekarang seinci bayang ibu pun Sara tak nampak. Itu yang Sara terjerit-jerit tu, Mak Cik Piah.”
Mendengar penjelasanku yang panjang lebar seperti tiada noktah, raut wajah Mak Cik Piah yang semakin dimamah usia seakan iras ibu pun bertukar sayu. Air mata turut mengalir keluar. Kemudian, Mak Cik Piah merangkul erat tubuhku dan aku masih tidak mengerti tangisannya.
“Istighfar, nak. Istighfar, Sara. Lupa ke Sara, ibu telah dijemput Ilahi sejak sebulan lalu. Ibu sudah tenang di alam sana, Sara. Sedar ke ni, Sara, ibu dah lama tinggalkan kita. Kita sama-sama merindui kehadiran ibu, nak,” kata Mak Cik Piah dengan suara getar menahan kesedihannya sambil menepuk-nepuk lembut tubuhku.
“Astaghfirullah al azim.”
Itulah ucapan yang boleh aku ungkapkan berulang kali untuk menyedarkan diriku sambil air mata mengalir laju. Aku seperti dipukul kesedaran. Petang yang hening dibuai angin petang bertukar suasana sedih, melihat tangisan manusia merindukan insan tersayang pergi untuk selamanya. Air mata jatuh tanpa dapat ditahan. Esakan bertukar menjadi tagisan dan tangisan bertukar menjadi raungan. Menangis semahu-mahunya.
Benarlah ibu telah kembali dijemput Ilahi di atas pangkuanku. Mungkin aku masih belum menerima takdir kehidupan tanpa seorang ibu. Mungkin juga detik bersama ibu masih kuat dalam ingatanku. Ataupun aku masih lagi menganggap kehadiran ibu di dunia ini. Aku melutut mengenangkan nasib diri ini dan cuba menenangkan diri. Mengharap diri ini hanya mampu reda dengan kehilangan ibu.
‘Ibu, doa anakmu sentiasa mengiringi pemergianmu. Semoga Syurga Firdaus tempat gantimu, ibu. Engkau sudah berpenat di dunia yang fana ini. Berehat dan bergembiralah di sana. Aku sebagai saksi kebaikan dan kekuatan ibu membesarkan kami adik-beradik. Niat agar pahala mengajarku serahkan kepada ibu yang telah melahirkan, membesarkan dan mendidikku,’ bisikku.
Ibu, pemergianmu membuatkan aku mengerti bahawa rindu yang paling menyakitkan adalah merindui seseorang yang telah tiada. Ragamu mustahil untuk aku jangkau lagi, tetapi namamu menjadi asbab kekuatan untukku meneruskan kehidupan ini. Ibu ialah insan yang sujudnya selalu menjadi doa untuk kejayaan anak-anaknya dan doanya jugalah yang sering mencakar langit. Terima kasih, ibu telah menjadi ibu terhebat untuk kami.