PENGANAN merupakan kuih tradisional yang sangat popular di Sarawak dan dikenali dengan pelbagai nama tempatan seperti kuih penjaram atau penyaram, gula Jawa dan cucur Jawa. Bahkan ada yang secara berseloroh menyebutnya kuih UFO kerana bentuknya yang bulat seperti piring kapal UFO. Selain bentuk yang menarik, kuih tradisional ini sangat digemari ramai kerana rasanya yang manis, rangup dan penuh dengan aroma tradisional Nusantara.
Di Sarawak, kuih ini terkenal sebagai hasil air tangan wanita Iban sekali gus merupakan budaya yang dimobilisasi daripada satu generasi kepada satu generasi. Dalam persoalan ini, mobilisasi budaya yang mampan sebegini tentunya hasil kecekapan institusi wanita, iaitu indu Iban yang merupakan akar sumber ilmu gastronomi atau dalam istilah etnografi, ‘bank memori’ masyarakat Iban.
Yang menariknya, tradisi masakan penganan atau penyaram turut wujud dalam suku asli Melanau Likow dan Bajau Laut di Sabah (Zainal, Patta dan Husin, 2019; Inai, Magiman, Salleh, Yusoff, Tugau dan Permana, 2020). Oleh sebab itu, khusus bagi kaum Iban, penulisan ini akan menelusuri pelestarian ilmu gastronomi penganan kaum Iban melalui proses transisi penurun ilmu yang meskipun sangat panjang namun bersistematik, mampan dan cekap.
Indu Iban sebagai Penyimpan Memori Budaya
Menurut UNESCO Intangible Cultural Heritage, warisan tidak ketara suku-suku asli di dunia sangat terancam dek arus globalisasi, natijah daripada perubahan sosiobudaya masyarakat yang semakin kompleks dan bersifat global. Ramai ahli sosiologi percaya bahawa jangka hayat kebudayaan tidak ketara semakin pupus dan dipercepatkan lagi dengan kelesuan komuniti tradisi yang merasakan amalan dan budaya nenek moyang sudah tidak relevan bahkan tidak praktikal dengan kehidupan semasa. Pengabaian ini sebenarnya, amatlah merugikan dan tentu sekali akan mampu melenyapkan jati diri yang merupakan sebuah khazanah yang tiada galang gantinya lagi.
Di Borneo, tepatnya di Sarawak, salah satu warisan tak ketara yang semakin diancam keasliannya adalah tradisi kulinari kuih penganan masyarakat Iban. Meskipun begitu, ilmu gastronomi pembuatan kuih penganan secara umumnya nyata masih kekal utuh, hasil kekentalan indu Iban melestarikan adat dan tradisi zaman berzaman.
Indu Iban tidak hanya sebagai pengurus domestik, bahkan merupakan bank memori budaya besar Iban yang mengetahui banyak kearifan tempatan. Inilah satu kelebihan yang harus dipuji, iaitu meskipun generasi tua ini hidup dalam keadaan serba asas dengan pendidikan tidak formal, namun mereka nyata berhasil menjadi mata rantai yang kental mempertahankan kelestarian adat budaya besar masyarakat Iban.
Daripada sisi yang lain, transisi budaya ini mempunyai proses saintifik yang unik serta menonjolkan keupayaan kognitif kelompok wanita yang sering kali dianggap domestik. Menurut Tugang, Halabi dan Ismail (2023), hakikatnya, kecekapan indu Iban sangatlah berharga, perlu diteliti, dikaji dan didokumentasikan sebagai institusi budaya yang utama yang menyokong peranan institusi rumah panjang untuk menjamin kelestarian adat resam memandangkan rumah panjang adalah tempat di mana proses transisi ilmu berlaku dalam aktiviti-aktiviti sosial seharian.
Memori Kolektif , Indu Iban dan Memori Gastronomi
Dalam bidang etnografi, ‘budaya’ boleh difahami dengan konsep Memori Kolektif yang merujuk kepada seperangkatan ilmu tentang budaya, simbol dan makna, pengalaman, aturan dan kepercayaan berbantukan keupayaan kognitif yang tinggi dan proses pemerolehan yang sistematik untuk menghubungkan semula masa lalu, merentasi zaman dalam satu-satu kelompok.
Salah seorang sarjana yang mengasaskan konsep ini ialah Profesor Jeffrey K. Olick, pakar Sosiologi di University of Virginia. Beliau menyatakan bahawa Memori Kolektif merujuk kepada proses dan hasil proses, iaitu memasukkan representasi dalam satu kelompok berupa simbol, makna, naratif dan ritual dalam sesuatu struktur budaya yang diterima bersama. Memori Kolektif adalah hasil proses persimpangan antara kenangan individualistik peribadi dengan acuan sosial yang umum (Olick, 2008).
Konsep Memori Kolektif diperkembang oleh Misztal (2003) yang menjelaskan bahawa memori manusia dari sudut sosiologinya, terbahagi kepada tiga bentuk. Pertama, Memori Refleksi, iaitu ingatan peribadi yang melibatkan interaksi dengan orang-orang terdekat di sekitarnya sehingga sukar dilupakan oleh individu tersebut. Kedua, Memori Generasi, iaitu memori yang diturunkan oleh suatu generasi terdahulu kepada generasi seterusnya yang lebih muda membolehkan memori tersebut terus ‘hidup’ dalam budaya. Variasi memori inilah yang membolehkan satu-satu budaya terus berlanjutan. Ketiga pula ialah Memori Tradisi, iaitu satu ingatan yang statik, berorientasikan masa lampau dan bersifat konservatif. Memori Tradisi berbeza dengan Memori Generasi kerana Memori Tradisi tidak banyak diperturunkan daripada generasi terdahulu atas faktor-faktor perubahan sosial, politik dan ekonomi seperti perseteruan antara dua kelompok (Hanson dan Creswell, 2005).
Selain itu, memahami konsep gender daripada sudut sosiologi pula, Oakley (2016) dalam bukunya, Sex, Gender and Society berpandangan bahawa gender ialah perbezaan bukan bersifat biologi, bukan dari ketentuan tuhan, tetapi lebih kepada produk pengelasan sosial. Jelas beliau, berbeza dengan konsep ‘kelamin’ yang merujuk kepada organ reproduktif membezakan jantina lelaki dan perempuan, ‘gender’ pula merupakan behavioral differences (perbezaan perilaku), iaitu jangkaan atau tuntutan sosial terhadap fungsi antara dua jantina berdasarkan acuan budaya masing-masing.
Dalam penulisan ini, penulis berminat untuk mengetahui kedudukan gender wanita, iaitu institusi indu Iban yang berperanan penting sebagai sumber Memori Kolektif. Tentunya, dalam budaya Iban juga wujud perbezaan gender pada beberapa kepercayaan dan adat. Contohnya pada seni koreografi ngajat Iban, ada dua jenis tarian berbeza, iaitu Ngajat Indu dan Ngajat Laki. Kedua-dua jenis tarian ini memiliki ciri-ciri yang khas sesuai dengan gender mereka. Ngajat Laki menerapkan pola lantai yang lebih maskulin dan berani kerana terinspirasi daripada gerak-geri di medan perang, manakala pola tari Ngajat Indu adalah lebih lembut dan gemalai, sesuai dengan sifat mereka yang penuh dengan cinta kasih dan keibuan (Kiyai, 2021).
Institusi indu Iban disanjung tinggi kerana kebergantungan masyarakat kepada kelompok gender ini terutamanya bagi melestarikan Memori Generasi terpenting, iaitu pembuatan objek budaya seperti pua kumbu dan anyaman tikai.
Oleh sebab itu, isu diskriminasi menyangkut soal gender agak jarang diperkatakan walaupun daripada sisi lain kehidupan indu Iban sebagai perempuan tertakluk kepada keluarga dan suami terutama dalam urusan penting seperti perkahwinan, pembahagian harta dan tanah pusaka. (temu bual Penghulu Tan Kayan, 2020).
Sebagaimana kaum-kaum yang lain, indu Iban juga merupakan penyokong utama selepas suami dalam hierarki keluarga asas. Ciri-ciri tipikal indu Iban tradisional yang tinggal di rumah panjang digambarkan memiliki tubuh yang agak gempal, ketinggian yang sederhana, mempunyai bentuk muka yang agak bulat, berkulit sawo matang, bersopan santun, kepakaran membuat tenunan dan anyaman, memiliki hitam rambut yang panjang. (temu bual Jimbun Tawai, 2020).
Berbeza dengan generasi terdahulu, indu Iban dahulunya tidak digalakkan untuk bersekolah seperti kaum lelaki Iban kerana bimbang akan lari dari rumah dan tidak membantu ibu dalam menguruskan pekerjaan di rumah. (temu bual informan Chermai Iri, 2020).
Selari dengan tahap perkembangan pada ketika itu, kebanyakan indu Iban hanya mendapat pendidikan tidak formal, iaitu kerja-kerja rumah tangga seperti memasak, berkebun, mencari hasil hutan, menganyam dan menenun tekstil sepanjang tempoh menjadi dewasa.
Kebiasaannya, apabila berumur sekitar 10 tahun kanak-kanak perempuan Iban mulai didedahkan kepada aktiviti sosial berdasarkan gender. Salah satu ilmu yang sangat penting ialah menenun pua kumbu.
Kemahiran menenun dan menganyam dalam kalangan generasi indu Iban terdahulu melambangkan kualiti seseorang indu Iban. Manakala, apabila menginjak umur 15 tahun ke atas, ibu bapanya bersedia untuk menerima pinangan daripada keluarga lelaki Iban yang dirasakan baik dan mempunyai kedudukan sosial yang tinggi.
Selalunya, keluarga lelaki adalah merupakan sanak-saudara jauh dan mempunyai bau-bau bacang dengan keluarga perempuan. Perkahwinan ini diharapkan dapat mengeratkan hubungan antara institusi rumah panjang. Selain itu, perkahwinan sesama sanak-saudara adalah sebuah cara untuk mengekalkan warisan keluarga seperti tanah dan harta pusaka untuk dipelihara oleh generasi yang seterusnya. (temu bual Maria Liban, 2020).
Dalam aspek ekonomi tradisional pula, indu Iban berperanan membantu suami dalam aktiviti ekonomi sara diri menanam padi, menangkap ikan dan memungut hasil hutan. Mereka akan kerap berdampingan dengan suami dalam melakukan kerja-kerja tersebut. Hasil tanaman dan tangkapan mereka, akan dijual atau ditukarkan dengan peniaga Cina yang berdekatan bagi mendapatkan keperluan asas seperti garam, gula, kopi dan bahan asas yang lain.
Menurut informan yang juga generasi tua salah sebuah rumah panjang, penjualan ini selalunya akan dilakukan oleh wanita Iban kerana mereka lebih teliti dan pandai dalam menjalankan urusan tawar-menawar dengan peniaga Cina. Hingga kini, salah satu aktiviti perekonomian yang paling meriah di pasar-pasar tamu adalah semasa musim buah dabai, sejenis buah eksotik di Sarawak. Jual beli buah tersebut sejak dahulu amat menguntungkan hingga pernah mencecah RM100 sekilogram bagi saiz dan kualiti buah yang terbaik terutamanya Dabai Sibu. Selain itu, dalam proses sosial lain, selepas berkahwin, lazimnya indu Iban akan tinggal bersama-sama dengan mertua yang dipanggil ngugi atau nguai.
Dalam budaya Iban juga, Indu Iban turut terlibat dalam aktiviti ritual keagamaan seperti Begawai, upacara miring dan semasa berlakunya kematian di rumah panjang (Kendall dan Hiền, 2010). Tambah-tambah lagi sekiranya berkedudukan tinggi seperti isteri kepada Lemambang atau Tuai Burung, iaitu orang bijak pandai yang sering dirujuki, maka tanggungjawab mereka sangat besar dan harus mahir dalam menyediakan kelengkapan yang digunakan dalam upacara ritual. Tugas tersebut merangkumi beberapa makanan sebagai pensyaratan jamuan untuk dijamu kepada dewa, roh-roh nenek moyang dan semangat yang dipanggil.
Namun kini, kesemua memori-memori tradisi telah berubah terutamanya bagi indu-indu Iban di bandar. Indu Iban kini telah memiliki wajah baharu, yang mulai diberi hak dan kebebasan untuk mendapatkan pendidikan formal seperti kaum lelaki dan perkahwinan yang tidak lagi ditentukan oleh ibu bapa. Mereka bebas untuk memilih kerjaya yang sesuai dengan taraf pendidikan mereka seperti guru sekolah, jururawat, polis dan kerani.
Sekalipun begitu, masih terdapat segelintir generasi tua yang masih berpemikiran konservatif. Mereka bimbang apabila anak perempuan mereka berjaya, maka akan sukar mendapatkan jodoh sebagaimana mereka dahulu (temu bual Seli Akun, 2020).
Pada perubahan aspek sosial yang lain, indu Iban kini lebih terbuka untuk berkahwin dengan etnik lain tanpa ada perasaan skeptikal seperti pada masa dahulu yang mengharuskan perkahwinan tersebut terjadi dalam kalangan orang Iban sahaja. Perubahan sosial ini telah memberikan kesan yang positif dalam aspek asimilasi budaya dan sikap toleransi yang semakin subur dalam kalangan masyarakat Sarawak. (temu bual informan Edmund Langgu, 2020).
Idealistik Indu Iban dan Transisi Budaya
Bagi masyarakat Iban tradisional, pemindahan ilmu-ilmu tradisional, budaya dan kearifan tempatan berlaku secara relatif antara lelaki dan perempuan (Maisaraf dan Siti Rabia, 2008). Lelaki Iban bersifat dominan yang langsung menerima budaya-budaya lasak dan maskulin sesuai dengan fitur mereka dalam budaya sebagai ketua keluarga dan komuniti. Lelaki Iban yang ideal bercirikan lelaki mahir berburu, bertatu bunga terung, pandai membuat objek-objek perang seperti parang ilang, nyabur dan terabai, tahu ilmu adat dan kesusasteraan Iban dan paling utama perlu membuktikan kelakian melalui adat ngayau (Derak, Amat dan Manap, 2020). Karakter ini terinspirasi daripada sosok seorang dewa Iban, iaitu Dewa Keling Gerasi Nading, Bujang Berani Kempang, sosok dewata yang mendiami kayangan dalam cerita rakyat Panggau Libau Ke Di Gela Lendat Dibiau Takang Isang.
Manakala indu Iban yang ideal seperti yang telah diperkatakan, memiliki ciri-ciri omega atau rapuh (Kiyai, Tugang dan Seer, 2020). Indu Iban yang ideal hendaklah mempertontonkan diri mereka sebagai sopan, lemah lembut dan pintar. Seperti yang telah disebut, dua kemahiran yang sangat penting dikuasai indu Iban sebagai prasyarat mereka menjadi dewasa, iaitu kemahiran memasak dan kemahiran menenun. Menurut pengalaman informan-informan, pembelajaran budaya dialami mereka pada masa lampau penuh dengan pantang larang dan adat.
Menurut Chermai Iri (2020), beliau dan ramai generasi terdahulu percaya bahawa setiap indu Iban yang mahir dan pantas menguasai ilmu tenunan dan anyaman pua kumbu misalannya, ialah sebuah anugerah tertinggi dikurniakan oleh Tuhan. Mereka percaya bahawa indu Iban yang ideal harus hidup sebagaimana Dewi Kumang, iaitu isteri kepada Dewa Keling yang berasal dari kayangan, Gelong Batu Nakong. Menurut informan itu lagi, indu Iban yang menguasai kemahiran tenunan pua kumbu diberikan penghormatan khusus dan penting di rumah panjang seperti mengiringi kepala musuh yang diperoleh semasa ngayau dan menyediakan kelengkapan upacara miring.
Hal yang jelas ialah, sumbangan institusi indu Iban dalam kebudayaan masyarakatnya sangat penting terutama sekali sebagai penyimpan Memori Generasi atau kearifan tempatan masa lampau baik warisan budaya ketara dan tidak ketara di rumah-rumah panjang (Husin, Zainal dan Cheang, 2020) . Hakikatnya, budaya tidak ketara seperti tradisi lisan, seni persembahan dan adat-istiadat jelas sekali merupakan kemajuan intelektual budaya Iban yang terhasil daripada satu tempoh pembinaan yang sangat panjang. Tentu sekali, sampainya Memori Generasi dan kearifan tempatan ini bersumberkan kepada ketekalan dan kecekapan institusi kewanitaan atau indu Iban. Secara langsung, transisi budaya yang tekal ini dapat terus melestarikan budaya dan tradisi suku asli utama Sarawak ini.
Dipercayai bahawa, asalnya pengetahuan masyarakat Iban sebagai suku nomad dengan gaya hidup ringkas dan hanya untuk bertahan dengan alam sekitar yang menjadi menua atau tempat tinggal mereka. Seperti budaya nomad lain, masyarakat Iban hanya memfokuskan ekonomi sara diri seperti mencari hasil hutan dan sungai untuk bertahan daripada ancaman haiwan dan bencana alam. Namun, dengan berlakunya perkembangan budaya yang lebih kompleks, seperti tradisi pua kumbu dan gastronomi ini, masyarakat Iban dipercayai tidak lagi berstatus budaya nomad, sebaliknya mempunyai peradaban yang mulai kompleks dan bertamadun. Husin, Zainal dan Cheang (2020) percaya, adanya beberapa warisan tak ketara dan ketara dipunyai masyarakat Iban ialah bukti budaya mereka yang berkembang pesat meskipun hidup secara nomad.
Tugang, Halabi dan Ismail (2023) dalam membahaskan pola transisi budaya Iban menyatakan, disebabkan kaum Iban masih belum terbukti memiliki sistem tulisan dan catatan, proses pemindahan ilmu pengetahuan kebiasaannya adalah bermula dengan kelompok primer iaitu merujuk kepada generasi nenek moyang. Kumpulan ini merupakan perintis yang memulakan dan membentuk serta acuan budaya masyarakat Iban. Generasi ini sangat sangat penting dalam mencipta dan menginovasi budaya Iban berpandukan interaksi antara suku kaum lain, sesama alam dan anggota suku sendiri. Alam yang merujuk kepada alam sekitar, flora dan fauna, serta kuasa-kuasa ghaib sebagaimana dipercayai oleh masyarakat Iban sangat memainkan peranan membentuk budaya mereka.
Daripada generasi nenek moyang tersebut, budaya Iban kemudiannya diterima oleh generasi kedua kelompok sekunder yang merujuk kepada nenek dan ibu dalam sesebuah keluarga pada masa kini. Mereka ini sangat dominan kerana merupakan penerus adat dan kepercayaan kumpulan primer. Peranan nenek dan ibu ini penting dalam memobilisasi adat dan kepercayaan nenek moyang dalam pendidikan tidak formal kepada anak, cucu dan cicit mereka. Kumpulan ini ibarat seorang guru dan pembimbing dalam persoalan spiritual dan adat resam. Seterusnya, barulah kelompok terakhir, iaitu kumpulan ketiga yang merujuk kepada menantu perempuan, anak perempuan, cucu perempuan dan cicit perempuan.
Simbiosis dan sinergi ketiga-tiga peringkat institusi indu Iban tersebut sangat mustahak dan bergantung satu sama lain (Kiyai dan Tugang, 2020). Hubungan ketiga-tiga ini melalui pendidikan tidak formal membentuk seperangkatan Memori Refleksi, Memori Generasi dan Memori Tradisi. Simbiosis murni ini akan berterusan daripada satu generasi kepada satu generasi. Inilah kata kunci kepada kelestarian budaya Iban menerusi peranan institusi indu Iban yang perlu dipertahankan demi kelangsungan adat dan tradisi yang murni ini.
Rujukan
Chermai Iri. Wawancara secara bersemuka. 12 Mei 2020.
Gregory Kiyai dan Noria Tugang. “Artifak Budaya Masyarakat Iban: Warisan dan Pusaka” dlm. Jurnal Kinabalu, 26:1, hlm. 59-71, 2020.
Gregory Kiyai, Noria Tugang dan Olivia Seer. “Ngajat Iban: A Cultural Study” dlm. Kupas Seni, 8:2, hlm. 70-83, 2020.
Gregory Kiyai, Noria Tugang, Khairun Nisa Mustaffa Halabi dan Norhanisa Ismail. “Wanita dan Kolektif Memori: Pendokumentasian dalam Pembuatan Penganan Iban di Sarawak” dlm. Sains Insani, 8:1, hlm. 25-40, 2023.
Gregory Kiyai. “Tampun Juah: Lagenda Peradaban Awal Masyarakat Dayak Iban yang Hilang” dlm. Jurnal Peradaban, 14:1, hlm. 54-90, 2021.
Hanson, W.E., Creswell, J.W., Clark, V.LP., … dan Creswell, J.D. “Mixed Methods Research Designs in Counseling Psychology” dlm. Journal of Counseling Psychology, 52:2, hlm. 224-235, 2005.
Jimbun Tawai. Wawancara secara bersemuka. 12 Mei 2020.
Kendall, L. dan Hiền, N.T. “Dressing Up the Spirits: Costumes, Cross-Dressing and Incarnation in Korea and Vietnam” dlm. Sylvia Marcos (ed.), 2010. Women in Indigenous Religion. UK: Bloomsbury Academic.
Maisaraf Marman, 2008. Warisan Kebudayaan Tidak Ketara dan Gender. Kuala Lumpur: Jabatan Warisan Negara.
Misztal, B. A. “Durkheim on Collective Memory” dlm. Journal of Classical Sociology, 3:2, hlm. 123-143, 2003.
Maria Liban. Wawancara secara bersemuka. 12 Mei 2020.
Edmund Langgu. Wawancara secara bersemuka. 14 Mei 2020.
Noor Norazila Inai, Mohamad Maulana Magiman, Norhuda Salleh, … dan Septian Aji Permana. “The Analysis of Food Symbols in the ‘Serarang’ Ritual of the Melanau Likow Community in Dalat, Sarawak” dlm. International Journal of Innovation, Creativity and Change, 14:3, hlm. 371-741, 2020.
Oakley, A., 2016. Sex, Gender and Society. UK:Routledge.
Olick, J. K. “Collective Memory: A Memoir and Prospect.” dlm. Memory Studies, 1:1, hlm. 23-29, 2008.
Patta Ariffin Husin, Sharifuddin Zainal dan Sim Chea Cheang. “Peranan Wanita dalam Persembahan Ritual Pengubatan Tradisional Magbuaya” dlm. Jurai Sembah, 1:1, hlm. 46-51, 2020.
Pengulu Tan Kayan. Wawancara secara bersemuka. 12 Mei 2020.
Rosmah Derak, Asmiaty Amat, Nor Ain Manap. “Kehormatan dan Maruah dalam Ngayau Karya Amil Jaya” dlm. Jurnal Komunikasi Borneo, 8, hlm. 88-94, 2020.
Sharifuddin Zainal, Mohd Kipli Abd Rahman dan Patta Ariffin Husin. “‘Penyaram’: Sajian dan Signifikan Kepercayaan Keombo’an dalam Persembahan Teater Ritual Mag’buaya Etnik Bajau Pantai Timur Sabah” dlm. Jurnal Gendang Alam, 8, hlm. 47-55, 2019.
Nota editor: Bahagian 2 artikel ini akan disiarkan pada 20 Mac 2024.