Tahun 2024
SELURUH negara gempar serta-merta. Halaman-halaman dengan jutaan tanda suka seperti Siakap Senohong, Amram Fans, Roket True, Apa Ke Hal, Kakak Nara, Rotisapukaya, SosKicap dan beberapa lagi, menyiarkan sebuah video seorang tawanan dalam keadaan mengerikan, dengan amaran:
Jangan tonton sambil makan.
Rakaman itu bersiaran serentak pada waktu perdana, di semua halaman yang disebutkan tadi dan dipercayai digodam oleh individu yang sengaja menyembunyikan diri. Para pentadbir halaman-halaman berkenaan sanggup angkat sumpah pengakap, bahawa siaran tersebut bukan kerja mereka.
Para pentadbir dan seluruh jentera halaman malah masih tercengang-cengang dan ada yang menjadi separa pikun.
Video ini memaparkan tawanan berada dalam keadaan sadis, sebahagian wajahnya berbalut serta basah berdarah sehingga sukar sekali untuk mengenalinya. Tangan terikat di kiri dan kanan pemegang kerusi sementara kaki dililit dawai di kedua-dua kaki kerusi. Rambut, alis mata dan hujung stoking kelihatan ada kesan bakar. Mangsa kelihatan calar balar dengan pakaian yang robak-rabik, bagai dilibas dengan cemeti.
Pada mulanya orang awam hanya menyangka ini sebahagian daripada acah filem ataupun iklan tetapi si mangsa mengulang perkataan,
“Selamatkan aku! Ini bukan lakonan!”
ii
Setahun yang lalu Tuan Aizek menerima sepucuk e-mel. Itulah cerita awal kepada keadaan babak belur beliau ketika ini. Sedikit pun beliau tidak menyangka, surat yang dianggap karangan budak sekolah tersalah hantar itu, rupa-rupanya memang ditujukan kepada dirinya.
Berikut isi e-mel berkenaan:
Tajuk: Kapal dan Pelabuhan Melayu
Pertama: Mary Rose, sedap bukan namanya? Ini ialah sebuah kapal perang semasa pemerintahan Raja Henry ke-8. Kapal ini berkhidmat dari tahun 1511 hingga tahun 1545 dan dapat membawa muatan antara 300 ke 400 tan.
Bangkai kapal ini ditemui pada tahun 1971 dan dapat dinaikkan pada tahun 1982. Betapa sayangnya negara itu akan warisan ini, sampai dibuatkan sebuah muzium hanya untuk meletakkan rangka kapal ini. Mary Rose Museum, di Britain sana akan tempatnya.
Nampak hebat bukan, kapal ini? Tetapi, kapal bangsa Melayu juga tak kurang hebatnya.
Seorang pengembara bernama Tom Pires dalam catatannya menyebut, jong yang merupakan kapal terbesar orang Melayu dapat membawa beban sehingga 1000 tan. Besarnya jong ini sampai-sampai, kapal-kapal suku Melayu dan Jawa tidak dibenarkan berlabuh di pelabuhan Kanton (Canton).
Terpaksa Syahbandar Kanton ini memberi amaran, “Janganlah kalian mendekat ke pelabuhan kami. Sana, sudah kami siapkan tempat bagi kalian berlabuh.” (Begitulah konon beliau berkata dalam bahasa kita)
Tom Pires juga menulis, sebuah jong dengan berat muatan 400 tan cukup untuk meranapkan populasi Kanton.
Pulau Tumon, begitulah nama tempat yang dikhaskan kepada pedagang-pedagang dari Melaka. Apabila sauh dijatuhkan, pentaksir cukai dari Kanton akan datang untuk mengira cukai.
Mana-mana pedagang yang berhasrat berjual-beli dengan saudagar-saudagar dari Melaka ini, ramai-ramailah mereka datang ke pulau yang tersebut itu.
Kedua: Sekitar 2000 tahun sebelum Cik Mary Rose mengapung di lautan, Sungai Batu, di Kedah Tua sudah menjadi pusat pemprosesan besi yang terkenal di seantero dunia dengan kapal-kapal keluar masuk membuat urusan dagang.
Baik, mari saya maklumkan. Di tapak pusat memproses besi Sungai Batu itu ada kapal purba tertanam di dasar sungainya. Mohon ingat angka ini, 2000 tahun. Tidak dapat dibandingkan dengan si Mary Rose itu.
Ketika pelabuhan Sungai Batu sibuk dengan urusan dagang, nenek moyang pembuat kapal Mary Rose masih hidup bernomad sebagai suku-suku Norse dan Jerman kuno.
Kapal kuno Sungai Batu wajar dibawa naik.
(E-mel diakhiri tanpa salam dan nama – biadab sekali)
Lama Tuan Aizek tercengang. “Apa faedahnya memberitahu hal ini kepada aku? Dia nak suruh aku buat apa?” sambung beliau lagi, “ini mesti budak sekolah nak hantar karangan kepada cikgu tuisyen tapi tersalah alamat.”
Begitulah rumusan Tuan Aizek.
iii
Tanpa disangka-sangka walau hanya dalam mimpi, pengutus e-mel itu tiba-tiba muncul dari penjuru pejabat Tuan Aizek. Lebih tepat, dari belakang meja pencetak. Tanpa salam perkenalan, dia langsung menyambar pengerusi berusia 49 tahun ini, bagai puting beliung merangkul alam.
Pitamlah dia. Apabila tersedar, badannya sudah tak keruan.
“Aku harap kau masih ingat tentang e-mel yang kuhantar tahun lalu. Aku beri kau masa kurang daripada tiga tahun untuk menaikkan kapal dari dasar Sungai Batu itu.”
“Walaupun aku tak tahu kapal apa yang kau cakap ni, tapi tentu kosnya bukan sedikit!” Tuan Aizek telan liur, ya, dia ingat akan e-mel itu. E-mel yang dia fikir kiriman salah alamat.
“Itu bukan masalah aku. Kau boleh adakan kempen menderma, melobi orang-orang kaya atau apa-apa saja. Barulah jadi anak watan berjiwa besar.”
“Tapi… tapi….”
“Aku, orang dari masa depan – O.D.M.D. Aku boleh datang dan pergi pada bila-bila masa. Kau tanamkan itu di kepalamu. Kau tak boleh lari ke mana-mana. Kalau aku mahu muncul di dalam bilik mandi kau, aku muncul saja. Di mana-mana saja. Namun yang parah, cuma kau seorang yang boleh melihat aku.”
“Kalau kau begitu hebat, mengapa tidak orang-orang pada zaman kau saja yang naikkan kapal yang kau sebut-sebutkan tu!”
“Terlambat, sudah sangat terlambat. Kayu-kayu kapal itu sudah melebur, menyatu bersama lumpur dan air.”
Tuan Aizek merintih sakit.
“Kau tunggu anggota penyelamat tiba. Aku pergi sekarang.”
“Nanti, siapa nama kau?”
“Dapunta… Nadim Dapunta.”
iv
Pukul 11.30 siang tadi adalah kali terakhir Tuan Aizek, pengerusi Bank Bersekutu Malaya dilihat memasuki bilik pejabat sepulang dari kafe jabatannya. Telefonnya sudah dilacak dan ditemui di dalam tong sampah selang satu paras dari pejabat beliau.
Selepas video Tuan Aizek tersiar, kini tugas pihak penyelamat adalah untuk mengenal pasti lokasi mangsa.
Komen-komen di halaman yang dinyatakan di atas ternyata dapat membantu pihak berkuasa dalam mencari tempat Tuan Aizek disembunyikan, dengan tepat, tanpa tersasar apatah lagi sekadar sipi-sipi.
SharulIndra: Ini bukan tempat si Uun janji temu dengan awek dia ke? Aku memang kenal dengan grafiti di belakang tu.
Opis Kuning: la… dulu-dulu kalau aku ponteng sekolah, lepak sini arrr.
DahliaRamaha: Ini kan Istana Raja Bersiong di Kepala Batas, Alor Star. Istana ni memang jadi tempat buang sampah dan markas aktiviti tak senonoh.
AliaEja: Sayang betul tempat sejarah macam ni.
RajaEmpat: Itu bukan istana Raja Bersiong, itu kediaman Tengku Kudin-lah.
Tidak sampai sejam, pasukan khas dari PDRM berjaya mengesan sekali gus menyelamatkan mangsa. Keadaan terkawal, namun tiada musuh diberkas. Cap jari yang ditemui di sekujur tubuh tokoh ini juga gagal dipadankan dengan mana-mana cap jari yang ada dalam rekod kerajaan.
Bagi membunuh kebosanan di katil hospital, Tuan Aizek meminta dibawakan laptop dari pejabatnya. Beliau mencari sebanyak mungkin berita tentang peleburan besi di Sungai Batu. Terlopong-loponglah dia melihat temuan bekas melebur besi yang jumlahnya ratusan biji.
Dia cuba-cuba menaip ‘Dapunta’. Apabila enter ditekan, maka bertebaranlah nama Dapunta Hyang di mana-mana. Serta-merta tubuhnya seram sejuk bagai terasa-rasa sedang diperhatikan oleh orang dari masa depan, O.D.M.D.