Pendefinisian mitos dalam masyarakat kini telah menyimpang daripada pemerian asalnya. Hal ini dikatakan demikian kerana mitos merupakan sebuah proses penceritaan sama ada secara bertulis ataupun secara lisan (Norazimah Zakaria, Rusniyati Mahiyaddin dan Siti Nor Amira Baharudin, 2013:47). Memandangkan mitos ialah sebuah cerita, perkara ini tidak dapat tidak akan mewujudkan kisah-kisah yang berada di luar pemikiran logik manusia. Perihal ini terkandung menerusi sebuah karya berjudul Cerita Lipur Lara: Awang Sulung Si Jambul Lebat.
Awang Sulung Si Jambul Lebat merupakan sebuah cerita lipur lara yang dirakam oleh Wan Abd. Rahman bin Wan Mohamad. Beliau merupakan seorang penglipur lara di Kuala Jengal, Hulu Dungun, Terengganu. Awang Sulung Si Jambul Lebat telah dibukukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2020. Meskipun buku ini diberikan judul Awang Sulung Si Jambul Lebat, namun kisah buku ini lebih memfokuskan kepada watak Awang Bongsu Si Gegar Alang. Oleh hal yang demikian, penulis akan meneroka perjalanan seorang watak pahlawan yang bernama Awang Bongsu Si Gegar Alang dengan mengaplikasikan teori monomyth.
Monomyth atau dikenali juga sebagai Hero’s Journey merupakan sebuah teori yang diasaskan oleh Joseph Campbell. Dalam penghasilan teori ini, Joseph Campbell dikatakan telah memperoleh inspirasi daripada teori arketipe yang dihasilkan oleh Carl Jung. Joseph Campbell telah mengembangkan lagi teori monomyth ini berdasarkan perjalanan bagi seorang pahlawan menerusi bukunya yang berjudul The Hero with a Thosand Faces (Rika Aprilia Kurniasang, 2017:24). Secara ringkasnya, penulis mendapati naskhah Awang Sulung Si Jambul Lebat ini mempunyai lapan perkara yang dinyatakan oleh Joseph Campbell menerusi teori monomyth, tatkala dapat dibincangkan dengan lebih terperinci.
Panggilan Untuk Pengembaraan (Call To Advanture)
Setelah meneliti karya yang berjudul Awang Sulung Si Jambul Lebat, pengkaji mendapati watak Awang Bongsu Si Gegar Alanglah yang pada mulanya mendapat seruan untuk melakukan pengembaraan. Awang Bongsu Si Gegar Alang dikatakan telah bermimpi bertemua dengan seorang perempuan tua, tatkala perempuan itu menyuruh Awang Bongsu Si Gegar Alang menanyakan bondanya perihal ayahnya dan asal-usulnya.
Setelah ditanyakan perihal ini kepada bondanya iaitu Tuan Puteri Selindung Bulan, dia pun terus menangis lantas menceritakan peristiwa yang sebenar berkenaan kematiaan ayah Awang Bongsu Si Gegar Alang, tatkala telah kehilangan negeri asal mereka. Hal ini dapat dibuktikan menerusi penjelasan Tuan Puteri Selindung Bulan, seperti petikan yang berikut:
Ngawang kepada kami ngabang. Ngayah ngenda ngemu bernama Raja Merong Dewa negeri ngemu bernama Teluk Ngintang Pasir Purmata. Ngayah ngenda ngemu dibunuh oleh seorang raja bernama Raja Sa Onyanya. Negeri kita sudah menjadi padang jarak padang terukur bonda dibawak lari oleh Ngemak Ngelang Putih ku sini bersaling ke ngemu dua beradik. Ngitulah cerita ngawang, ngawang kupada bonda. Ngitulah ngawang ngemu ngedah besar bolehlah bonda cerita.
(Awang Sulung Si Jambul Lebat, 2020: 18-19)
Bantuan Kuasa Ghaib (Supernatural Aid)
Menerusi watak Awang Bongsu Si Gegar Alang, dia telah didatangi oleh seorang guru yang berambut panjang sehingga ke betis, iaitu Tuk Guru Si Janggut Lebat. Dia telah mengajari pelbagai jenis ilmu, termasuklah ilmu zahir dan ilmu batin. Usai lima tahun menguasai ilmu tersebut, Awang Bongsu Si Gegar Alang telah memperoleh geliga hikmat berwarna kuning yang menyifatkannya sebagai orang yang lemah lembut dan mudah berbicara.
Meskipun abangnya, Awang Sulung Si Jambul Lebat memperoleh kuasa yang lebih gagah daripadanya, namun perihal ini tidaklah merencatkan pengembaraan tersebut. Hal ini disebabkan oleh ilmu yang dipelajari bersama-sama Tuk Guru Si Janggut Lebat sudah tentu memadai sekiranya Awang Bongsu Si Gegar Alang ingin melaksanakan pengembaraan itu. Perihal ini dapat diperhatikan pada petikan berikut:
Berasa gulisah saja sia-sia sajalah, “Ngaku ini belajar ilmu bating, ilmu zahir, ilmu hanelang, ilmu kuat kepada Mahaguru Si Rambut Panjang,” kata bilang Ngawang Bongsu Si Geger Alang.
(Awang Sulung Si Jambul Lebat, 2020: 19)
Perut Paus (The Belly Of The Whale)
Menerusi tahap ini, Joseph Campbell telah memberikan gambaran tentang “perut paus” yang berkaitan dengan seseorang pahlawan telah berada di sebuah alam ataupun dunia baru yang tidak diketahui (Rika Aprilia Kurniasang, 2017:26). Menelusuri buku Awang Sulung Si Jambul Lebat, Awang Bongsu Si Gegar Alang telah menemukan sebuah padang yang luas, malah wujudnya sebuah istana. Tambahan pula, di bawah istana terdapat kawah tujuh lapis. Di situlah tempat Awang Bongsu Si Gegar Alang disorokkan sebelum menyelamatkan Tuan Puteri Cina daripada jin afrit.
Selain itu, Awang Bongsu Si Gegar Alang juga dikatakan pernah berada di sebuah negeri yang dikenali sebagai negeri Parpat. Hal ini dikatakan demikian, Awang Bongsu Si Gegar Alang telah menurut apa yang diberitahu dalam mimpinya, lalu dia terus dihanyut oleh arus sungai. Hal ini dapat diperhatikan pada petikan berikut:
Dia ngepung diang, Ngawang Bongsu Si Gegar Alang baru teringat dia memegang tali, dia jatuh beretung ke dalang ngair yang deras sampai dalang cerung yang dalang. Selang tujuh ngari itu tujuh malang.
(Awang Sulung Si Jambul Lebat, 2020: 44-45)
Perjalanan Menempuh Ujian (The Road Of Trials)
Meneliti watak Awang Bongsu Si Gegar Alang, dia dikatakan telah menerima tentangan yang hebat daripada pelbagai musuh, antaranya termasuklah ketika melawan jin afrit. Sewaktu jin afrit ini hampir tewas, muncul pula tentera jin yang lain. Walau bagaimanapun, kesemua tentera jin tersebut termasuklah jin afrit telah dibunuh oleh Awang Bongsu Si Gegar Alang.
Awang Bongsu Si Gegar Alang telah memanfaatkan ilmu yang dipelajari oleh tuk gurunya dengan menukarkan dirinya kepada seekor burung geroda, tatkala memakan kesemua tentera jin. Bagi pengakhiran jin afrit pula, makhluk ini telah mati dipanah oleh Awang Bongsu Si Gegar Alang dengan bantuan geliga hikmat pemberian tuk gurunya. Hal ini dapat dibuktikan pada petikan berikut:
…Ngawang Bongsu Si Gegar Alang keluar selalu geliga hikemat yang tuk guru beri ke dia ngini dia ngepung ngambik buat nganak panah dia gosok ke nganak panah dia ngepung panah selalu ke ngejing afrit. Ngejin afrit ngepun kena dada rebahlah ngejing ngini.
(Awang Sulung Si Jambul Lebat, 2020: 25)
Pertemuan Bersama Dewi (The Meeting With The Goddess)
Salah satu watak perempuan yang telah diketengahkan dalam naskhah Awang Sulung Si Jambul Lebat iaitu Tuan Puteri Embun. Tuan Puteri Embun telah menyelamatkan Awang Bongsu Si Gegar Alang yang dikatakan telah hanyut di Sungai Parpat.
Tuan Puteri Embun dikatakan menarik Awang Bongsu Si Gegar Alang naik ke darat, lantas menekan-nekan belakang badannya untuk mengeluarkan air. Atas sebab kebaikan yang ditonjolkan oleh Tuan Puteri Embun, Awang Bongsu Si Gegar Alang sememangnya telah terhutang budi dengan Tuan Puteri Embun. Hal ini dapat diperhatikan sebagaimana petikan berikut:
“Terima kasih lo ngadik tadok ngenak balaslah budi ngadik ngabang ngini ngedak boleh ngenak balas.”
(Awang Sulung Si Jambul Lebat, 2020: 45)
Tambahan pula, kecantikan paras rupa Tuan Puteri Embun ini membuatkan Awang Bongsu Si Gegar Alang semakin rapat, malah terpikat kepadanya. Menerusi peristiwa inilah, ibu dan datuk Tuan Puteri Embun telah bersetuju untuk menikahkan Tuan Puteri Embun bersama Awang Bongsu Si Gegar Alang.
Penebusan Dengan Bapa (Atonement With Father)
Mitos pada zaman Yunani telah membuktikan seorang bapa mempunyai kuasa yang lebih hebat daripada seorang anak. Menerusi hal ini juga, kita dapat melihat melalui sikap rakusnya seorang bapa sehinggakan anak-anak terpaksa menentang bapa mereka sendiri. Pada peringkat ini, bapa disimbolkan sebagai makhluk yang jahat, bahkan menjadi kemuncak dalam pengembaraan seseorang pahlawan.
Perkara ini telah ditonjolkan oleh Awang Bongsu Si Gegar Alang ketika melakukan serangan ke arah Pulau Tujuh Pasir Berantai yang merupakan kawasan taklukan Raja Sa Onyanya. Awang Bongsu Si Gegar Alang dan segala hulubalangnya berperang habis-habisan sehinggalah Raja Sa Onyanya menyuruh menterinya melepaskan Jin Hitam Kepala Tujuh.
Perihal ini membuatkan Awang Bongsu Si Gegar Alang terpaksa berundur ke Pulau Satu, lantas menyeru abangnya, Awang Sulung Si Jambul Lebat untuk mengalahkan jin tersebut. Menerusi kekuatan yang ada pada abangnya inilah, Jin Hitam Kepala Tujuh telah dikalahkan tatkala hancur menjadi debu. Di samping itu, Awang Sulung Si Jambul Lebat juga telah menangkap Raja Sa Onyanya lalu diberikan kepada Awang Bongsu Si Gegar Alang. Raja Sa Onyanya telah merayu kepada Awang Bongsu Si Gegar Alang agar memaafkan kesalahannya kerana takut dibunuh. Pada masa yang sama, raja itu sanggup menjadi gembala kambing dan kerbau. Hal ini dapat diperhatikan pada petikan berikut:
“Ngaku akang tadok lawang ngemu. Ngaku ngenak menjadi gumbala kambing ngemu gumbala kerbau ngemu ngasal jangang ngaku matilah ngudahlah,” kata bilang Raja Sa Onyanya.
(Awang Sulung Si Jambul Lebat, 2020: 58)
Hasil Pengembaraan (The Ultimate Boon)
Menerusi kejayaan Awang Bongsu Si Gegar Alang dalam misi pengembaraannya ini, dia telah memperoleh negeri Pulau Tujuh Pasir Berantai daripada Raja Sa Onyanya. Awang Bongsu Si Gegar Alang telah menukarkan nama Pulau Tujuh Pasir Berantai kepada nama negeri asal ayahnya, iaitu Teluk Intan Pasir Permata.
Selain itu, Awang Bongsu Si Gegar Alang telah pergi ke negeri Parpat lantas mengambil isterinya untuk tinggal bersama-samanya. Dia juga bergegas ke negeri Segedung Batu untuk mengambil Tuan Puteri Cina. Akhir sekali, Awang Bongsu Si Gegar Alang telah teringatkan ibunya di Pulau Gunung Tujuh lalu menyuruh Emak Helang Putih menghantar ke negerinya. Hal ini dapat diperhatikan pada petikan berikut:
Di Gunung Tujuh di Gua batu dia ngepung berseru kupada Ngemak Ngelang Putih, suruh Ngemak Ngelang Putih ngantarlah bonda dia. Ngemak Ngelang Putih ngepung dok banyak kira ngambik Puteri Selindung Bulang ngantar ke Negeri Teluk Ngintang Pasir Purmata dua buah negeri.
(Awang Sulung Si Jambul Lebat, 2020: 58)
Kebebasan untuk Hidup (Freedom To Live)
Menyoroti peringkat terakhir ini, Awang Bongsu Si Gegar Alang sememangnya memanfaatkan hidupnya dengan melaksanakan kebaikan kepada rakyat setelah dia berjaya menakluk negeri Pulau Tujuh Pasir Berantai. Awang Bongsu Si Gegar Alang telah melepaskan segala manusia yang telah terkurung selama puluhan tahun dalam penjara Raja Sa Onyanya. Melalui perihal ini, segala rakyat jelata telah mendoakan Awang Bongsu Si Gegar Alang atas kebaikan yang dizahirkannya. Disebabkan kebaikan inilah, dia telah dilantik menjadi raja di negeri tersebut.
Seterusnya, Awang Bongsu Si Gegar Alang telah melantik abangnya, Awang Sulung Si Jambul Lebat sebagai orang kuat dan handal. Secara tidak langsung, negeri Teluk Intan Pasir Permata telah menjadi aman dan harmoni, sebagaimana pada petikan berikut:
Ngabislah kisah ngudah maka ngorang masing-masing ngepung suka rialah melantik Ngawang Bongsu Si Gegar Alang menjadilah raja di dalang Negeri Pulau Tujuh Pasir Burantai. Negeri ngepung bertukarlah daripada Pulau Tujuh burnama Teluk Ngintang Pasir Purmata.
(Awang Sulung Si Jambul Lebat, 2020: 58)
Secara keseluruhannya, cerita lipur lara Awang Sulung Si Jambul Lebat ini mempunyai daya tarikannya yang tersendiri, malah menghidangkan pemikiran yang menarik kepada khalayak pembaca mahupun pendengar. Menelurusi kelapan-lapan perkara dalam teori Monomyth ini, Awang Bongsu Si Gegar Alang layak digelar sebagai seorang pahlawan. Tuntasnya, usaha DBP dalam menerbitkan naskhah Cerita Lipur Lara: Awang Sulung Si Jambul Lebat sudah tentu menyemarakkan semula obor sastera tradisional, tatkala mitos ini dapat dipertahanankan daripada satu generasi kepada generasi yang lain.
Rujukan
Mohamad Shahidan, Nurul Hidayah Yusof, Wan Sulve Ain Wan Ariffin (Ed.). (2020). Cerita Lipur Lara: Awang Sulung Si Jambul Lebat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Norazimah Zakaria, Rusniyati Mahiyaddin dan Siti Nor Amira Baharudin. (2013). Cerita Mitos dalam Dua Dunia. Jurnal Peradaban Melayu, 8, 45-60.
Rika Aprilia Kurniasang. (2017). Representasi Teori Hero’s Journey Dalam Manga Boku Dake Ga Inai Machi Karya Sanbe Kei. Tesis Sarjana Humaniora yang diterbitkan, Fakultas Ilmu Budaya, Universitas Diponegoro.