Ramai pendengar telah sedia maklum bahawa lirik lagu “Tetamu Senja” nyanyian kumpulan Kopratasa adalah berasaskan kepada puisi karya Sasterawan Negara (SN) Datuk A. Samad Said berjudul “Kita ini Tetamu Senja”. Bahkan ramai bersetuju jika dikatakan lagu ini merupakan antara lagu puisi yang hebat. Tulisan Raja Yusoff Ariffin bertajuk “Lagu Puisi, Jawapan untuk Krisis Lagu Tidak Berjiwa” dalam Dewan Sastera naskhah dalam talian bertarikh 11 Januari 2024 telah membariskan “Tetamu Senja” sebagai lagu terbaik yang berjaya memasyarakatkan puisi sebagai elemen lirik yang kuat selepas lagu “Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang”, nyanyian kumpulan Harmoni yang dihasilkan berasaskan kepada puisi SN Dato’ Dr. Zurinah Hassan.
Selain kedua-dua lagu ini, Raja Yusoff Ariffin juga menyenaraikan beberapa buah lagu lain yang menyemarakkan fenomena lagu puisi di Malaysia hasil cetusan kumpulan Harmoni dan Zubir Ali sekitar tahun 1980-an, seperti lagu “Penantian”, “Balada Seorang Gadis Kecil” dan “Nyanyian Pantai Timur”. Namun begitu, Raja Yusoff Ariffin tidak menghuraikan secara tuntas makna lirik lagu “Tetamu Senja” bagi menghadirkan penghayatan serta rasa apresiasi terhadap karya A. Samad Said ini. Oleh hal yang demikian, penulis mengimbas semula lagu ini sebagai sebuah puisi yang indah dan disorot dari sudut intrinsik. Sebelum perbincangan berlangsung dengan lebih dalam, diperturunkan puisi A. Samad Said ini sepenuhnya;
Kita Ini Tetamu Senja
Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah kita kepada-Nya.
Kita datang ini kosong tangan kosong dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala.
Pada tetamu yang datang dan kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada Tuhan kepada insan.
Pada tetamu yang datang dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula kepada Tuhan kepada insan.
Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad.
Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke biru laut ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah seluruh rasa belas.
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang sekali bawa bakti padat berkat.
A. Samad Said
13 November 1955
Kemunculan lagu “Tetamu Senja” menerusi album Keringat Dalam Pasrah tahun 1987 oleh kumpulan trio Kopratasa dianggap istimewa bukan kerana kepuitisan liriknya, bahkan mesej yang ingin disampaikan juga amat berkesan sehingga ia menjadi begitu popular dalam kalangan pendengar termasuk para ibu di dapur. Selain puisi A. Samad Said yang dijadikan lirik lagu, Kopratasa juga mencipta melodi berasaskan puisi karya penyair terkenal tanah air yang lain seperti Usman Awang, A. Latiff Mohidin, J.M Aziz dan Abdul Aziz H.M. Lagu puisi dianggap istimewa kerana proses penciptaannya yang berbeza dengan lagu-lagu biasa. Bertitik tolak daripada puisi yang sedia ada, seniman menggubah melodi dan diserasikan dengan irama. Mereka mengekalkan lirik tanpa menokok tambah atau mengurangkan walau sepatah pun perkataan daripada puisi yang asal.
Latar Belakang Ringkas SN Datuk A. Samad Said
Nama sebenarnya ialah Abdul Samad bin Muhammad Said. Selain nama A. Samad Said, beliau turut menggunakan beberapa nama pena lain seperti Hilmy, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja Mesra dan Syamsir. Beliau dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Semasa usianya masih bayi, beliau dibawa oleh keluarganya menetap di Singapura.
A. Samad Said mendapat pendidikan formal di Sekolah Melayu Kota Raja sehingga darjah empat dan menyambung pelajaran di Victoria Institution sehingga memperoleh Sijil Senior Cambridge pada tahun 1956. Antara karya besar beliau yang terawal dan terkenal ialah novel Salina, bahkan beliau turut menulis dalam pelbagai genre lain seperti drama dan puisi sehingga diberikan anugerah S.E.A. Write Award pada tahun 1979, dan kemudiannya dinobatkan sebagai Sasterawan Negara pada tahun 1985.
Menurut Razali Che Mat yang memperkatakan tentang A. Samad Said dalam Dewan Sastera terbitan Ogos 2003, “Kerajinan A. Samad Said menghasilkan karya sendiri dan ketekunannya membaca karya orang lain menjadi titik penentu kepada penganugerahan Sasterawan Negara yang versatil”. Jelas Razali Che Mat lagi, dalam setiap karya A. Samad Said, khalayak akan dapat melihat ketelitian dan cermatnya beliau sebagai pengarang menuangkan naluri seninya.
Maksud Puisi “Kita ini Tetamu Senja”
‘Senja’ menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud waktu matahari hampir terbenam atau ketika hampir akan malam. Namun berdasarkan bahasa kiasan orang Melayu, senja sering dikaitkan dengan jangka hayat seseorang yang melewati usia muda dan sedang menuju ke arah kematian. Manakala ‘tetamu’ pula bermaksud orang yang diundang atau dijemput untuk menghadiri sesuatu majlis. Apabila digandingkan dua perkataan ini, ‘Tetamu Senja’ menyerlahkan metafora penyair untuk memperihalkan bahawa lumrah setiap insan yang didatangkan Tuhan ke dunia ini sedang dalam perjalanan menuju tua.
Puisi “Kita ini Tetamu Senja” nukilan A. Samad Said dihasilkan pada 13 November 1955 ketika usia beliau masih muda, iaitu lebih kurang 20 tahun. Namun beliau sudah menginsafi bahawa pada usianya yang semuda itu, beliau sedang bergerak menuju dewasa dan akhirnya menjadi tua seiring dengan peredaran masa dari detik ke minit, minit ke jam, seterusnya hari ke minggu, minggu ke bulan dan bulan ke tahun. Penyair secara sedar mengingatkan dirinya bahawa sebagai manusia, tidak akan ada sesiapa pun yang kekal muda. Hal ini jelas tergambar pada ungkapan bait pertama baris pertama sajak yang berbunyi, “Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja”.
Lumrah bagi insan apabila sudah tua, perjalanan seterusnya ialah menuju kematian. Jika diukur kepanjangan waktu dalam sehari, waktu siang amat panjang berbanding dengan waktu senja. Hal ini menggambarkan bahawa sepanjang waktu siang yang digunakan untuk bekerja dan mencari nafkah, kita tidak boleh alpa akan kehidupan sesudah mati. Senja yang sinaran mentari semakin malap itu bagaikan mengisyaratkan usia untuk hidup semakin singkat. Oleh hal yang demikian, wajar jika manusia tidak mensia-siakan waktu muda ini untuk mengumpul bekalan pahala menerusi amal ibadat kepada Tuhan dan tidak terkecuali juga kepada insan lain, iaitu berbuat baik sesama manusia sebelum tibanya kematian. Hal ini jelas dinyatakan penyair pada baris kedua, “Bila cukup detik kembalilah kita kepada-Nya”.
Sebaliknya jika kita alpa ketika usia muda, maka matilah manusia itu dengan membawa dosa-dosa yang dilakukan atas dunia. Pada baris berikutnya, penyair menegaskan bahawa setiap manusia yang didatangkan ke dunia tidak membawa apa-apa. Di dunia inilah kita perlu mengutip bekalan untuk dibawa ke akhirat. Sebagai insan biasa, sudah tentu manusia tidak lari dari berbuat dosa dan seharusnya perlu mengejar pahala seperti tergambar pada ungkapan di bawah;
Kita datang ini kosong tangan kosong dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala.
Pada bait berikutnya, bahasa puisi ini secara halus dan santun menyifatkan insan melakukan kesalahan terhadap hukum Tuhan itu sebagai tetamu yang lupa jalan pulang manakala insan yang patuh pula ialah insan yang tahu jalan pulang. Bagi penyair, tetamu yang datang dan tahu jalan pulang merupakan insan yang bertuah kerana akan kembali bersama amal bakti yang bakal diberi ganjaran pahala. Sebaliknya, kepada tetamu yang tersesat dan lupa jalan pulang, penyair mengingatkan agar usah terus menderhaka kepada Tuhan dan berhentilah berbuat jahat kepada insan lain. Sebagai penyair santun, A. Samad Said mengelak daripada menyebut perkataan bertaubat kerana ia agak langsung dan bernada khutbah. Perhatikan bait ini;
Pada tetamu yang datang dan kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada Tuhan kepada insan.
Pada tetamu yang datang dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula kepada Tuhan kepada insan.
Seterusnya pada bait ketiga, keempat dan terakhir, puisi ini terus santun apabila tidak terlalu mengajarkan dengan saranan yang tegas. Penyair merasionalkan bahawa manusia yang tersasar dari landasan Tuhan dan kemanusiaan ini mungkin disebabkan terlalu cenderung kepada nikmat duniawi, iaitu dengan memuja darjat dan pangkat. Penyair secara lembut mengingatkan manusia sebegini termasuk dirinya, agar segera sedar akan arah dan tujuan sebenar kita dihidupkan, atau disebutnya sebagai kiblat. Kiblat dalam konteks ini bermaksud landasan ajaran agama yang dikehendaki oleh Tuhan menerusi ajaran rasul-Nya.
Agak menarik pada rangkap keempat, sajak ini mengungkapkan rasa kemanusiaan yang tebal dengan menyifatkan kemelaratan hidup tidak boleh dibiarkan kerana kemiskinan bakal mendekatkan manusia kepada kekufuran. Oleh hal yang demikian, penyair secara sedar menyatakan bahawa kemelaratan itu perlu ditangani agar tidak sampai ke tahap hidup sengsara dan merempat. Barangkali inilah tanggungjawab kita sebagai insan, membantu sesama manusia bahkan pihak pemerintah juga tidak terkecuali daripada tugas utamanya, iaitu mensejahterakan kehidupan rakyat.
Sajak A. Samad Said ini diakhiri dengan dua baris yang lebih tegas apabila mengulangi dua perkataan yang telah diungkapkan pada awal sajak iaitu ‘datang’ dan ‘pulang’. Pengulangan dua kalimah ini amat imaginatif. Walaupun maksudnya seakan bertentangan, namun perkaitan kedua-duanya amat erat. Sebagai ‘tetamu’ kita telah datang dan pastinya akan pulang. Maka kepulangan itu seharusnya perpisahan yang indah, bukannya terus menetap sehingga dihalau secara paksa. Dua baris pada rangkap akhir puisi ini ditutup dengan harapan besar beliau sebelum kembali kepada Tuhan menerusi ungkapan ‘bakti padat berkat’ yang amat indah;
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat.
Demikian maksud puisi “Kita ini Tetamu Senja” yang dapat dirungkaikan dengan serba ringkas. Namun harus diingat, maksud sesebuah sajak biasanya berada pada lapisan pertama manakala pada lapisan kedua, ia lebih merupakan suara dari pemikiran penyair. Menurut Md Salleh Yaapar (2002) dalam buku Ziarah ke Timur, menegaskan bahawa suara dan pemikiran manusia dalam kalangan penyair dan puisi bukanlah sesuatu yang stabil dan padu. Sebaliknya, pembaca itu sendiri harus tekun berusaha mencari dan menggali makna melalui pelbagai aspek intrinsik dalam sesebuah sajak yang dihayatinya.