NEK ENON termenung jauh apabila ada keluarga teruna sebelah rumahnya mahu merisik Chah, cucunya yang lembam itu untuk menjadi calon isterinya. Mungkin Ehsan tertarik melihat Chah sering mengemas rumah dan rajin memasak.
Chah juga yang menemankan Nek Enon apabila perempuan tua itu kurang sihat. Chahlah yang jaramkan air asam jawa ke ubun-ubun kepala Nek Enon yang sudah memutih ditumbuhi uban.
Dulunya, Nek Enon digelar oleh jiran-jiran Kampung Puteri Warisan sebagai Mak Andam Enon yang menyolekkan pengantin perempuan dalam majlis perkahwinan pada musim cuti persekolahan.
Chah rasa seronok melihat Nek Enon menyolek pengantin perempuan itu. Muka pengantin perempuan itu cantik seperti muka tuan puteri. Lama-kelamaan Chah seronok ikut Nek Enon mengandam pengantin. Nek Enon pandai menaikkan seri muka pengantin supaya kelihatan lebih berseri.
Akhirnya, enam bulan kemudian Chah terlibat sama membantu Nek Enon. Bertambah gembira hati Nek Enon yang sudah dapat pembantunya. Di masa lain, Chah juga menolong Nek Enon membuat tapai pulut yang ditempah oleh penduduk Kampung Puteri Warisan.
Chah tahu Nek Enon memang takut makan ubat kecuali Dr. Sharmini yang menasihatkan Nek Enon.
“Jangan suka makan benda-benda manis, Nek Enon. Nanti kena potong kaki,” ujar Dr. Sharmini.
Nek Enon menyalahkan Dr. Sharmini, makanan kalau tak ada gula, apa rasanya? Nasi lemak yang dijual depan Surau Hidayah pun dibubuh gula oleh penjualnya bagi mengurangkan rasa pedasnya. Kopi yang hitam pekat kalau tak dibubuh gula tentulah rasa pahit. Siapa yang suka meminumnya?.
“Satu lagi, jangan stres nanti boleh kena strok, Nek Enon. Mulut herot-berot. Siapa yang susah nanti nak jaga? Nek Enon juga yang susah kan? Anak-anak pun tak suka jaga kan?” ujar Dr. Sharmini.
Chah yang selalu ingatkan Nek Enon makan ubat penyakit darah tinggi dan kencing manis yang didapati daripada Klinik Kesihatan Desa Rhu itu.
“Chah tak mahu kehilangan nenek. Cukup-cukuplah Chah sudah kehilangan Atuk. Nek Enon ikutlah nasihat Dr. Sharmini tu,” pujuk Chah yang pernah menyulam lukanya atas kehilangan gemulah datuknya.
Sewaktu menggulung rokok daunnya, fikiran Nek Enon merewang pada keistimewaan Chah yang mendorongkan Ehsan terpikat dengan Chah. Selain mahir memasak, Chah juga rajin menunaikan solat lima waktu berjemaah di Surau Al-Hidayah.
Dua
“Syukurlah, akhirnya bertemu jodoh Chah dengan Ehsan,” ujar Nek Enon.
Petang itu Chah menggoreng pisang nipah untuk dijadikan sajian minum petang mereka berdua. Chah membawa keluar pisang goreng dari dapur dan meletakkannya di atas meja.
“Sabar ya nek, sekejap lagi Chah siapkan kopi untuk nek,” ujar Chah dan berlalu ke dapur membancuh minuman kopi tersebut.
Setelah mereka berdua berada di meja makan, ada suara perempuan yang memberi salam. Nek Enon menjawab salam itu. Chah kenal benar suara perempuan itu. Cepat-cepat Chah masuk ke dalam bilik mengenakan tudungnya yang berwarna ungu. Mohsen dan Siti Sarah naik ke rumah.
“Langkah kanan kamu berdua,” ujar Nek Enon.
“Pergilah buat minuman untuk ayah dan emak kamu ni, Chah,” ujar Nek Enon.
Chah berlalu ke dapur. Mohsen dan Siti Sarah bertanya khabar diri Nek Enon. Chah muncul semula menatang talam berisi minuman.
“Terlanjur kau dan Mohsen datang ni, ada perkara mak nak bincangkan dengan kamu berdua ni,” ujar Nek Enon.
“Ni, mak nak bincang dengan kami berdua tentang Chah ke?” balas Siti Sarah.
Mohsen berada di luar rumah melihat sekawan monyet yang melompat-lompat di pohon rambutan gading di laman rumah Nek Enon.
“Chah ada buat perkara tak betul ke mak?” soal Siti Sarah.
“Eloklah Sarah panggil abang Mohsen sekali,” tambah Siti Sarah sambil menjerit nama suaminya itu.
“Apa halnya?” tanya Mohsen.
“Mak nak bincangkan hal Chah,” balas Siti Sarah.
“Kau jangan buat tak senonoh Chah. Kalau aku dapat tahu dari mulut Nek Enon, siap kau. Gatal. Tak padan lembam,” sindir Siti Sarah.
“Kau dah kenapa ni Sarah? Mulut kau tak ubah macam dulu juga. Benci sangat pada Chah tu kenapa? Bukankah Chah tu darah daging kau juga? Aku yang bersusah payah jaga Chah, senang- senang je kau nak maki hamun dia,” bebel Nek Enon.
“Chah tu dah 28 tahun dah. Tak elok buat anak kau macam tu,” tambah Nek Enon.
“Dia anak Siti Sarah, mak. Suka hati Sarahlah nak cakap apa pun,” balas Siti Sarah.
Mohsen mengerling pada isterinya, Siti Sarah.
“Awak tak takut ke kalau Chah cakap kasar macam tu pada awak?” ujar Mohsen.
“Berani Chah nak buat saya macam tu. Nanti saya cili-cilikan mulut dia,” balas Siti Sarah. Jeda.
“Ada teruna yang sukakan Chah. Dia nak jadikan Chah calon isterinya,” balas Nek Enon.
“Anak siapa mak?” tanya Siti Sarah
“Anak Misah tu, Ehsan namanya, yang tinggal tak jauh dari rumah mak ni,” balas Nek Enon.
Siti Sarah cuba mengisarkan mindanya bagi mengingati perempuan yang bernama Misah itu. Beberapa ketika kemudian Siti Sarah meraup wajah suaminya, Mohsen sepenuhnya.
“Budak tu cacatnya macam Chah kan? Ehsan tu lemban kan, mak?” soal Siti Sarah.
“Budak tu lembam. Sesuailah dengan anak kamu tu, Chah. Anak kamu juga lembam,” balas Nek Enon.
“Saya tak setujulah, mak. Macam mana Ehsan tu nak jaga Chah?” tegas Siti Sarah.
“Janganlah cacat itu yang awak nak jadikan alasan, Sarah. Orang yang cacat penglihatannya pun berkahwin dengan pasangan yang sekufu dengannya. Cacat tu bukannya kuasa kita, Sarah,” ujar Mohsen.
“Aku bukannya apa, Sarah. Kalau aku mati sehari dua ni, adalah juga suami yang menjaga Chah,” tingkah Nek Enon.
“Saya dengan abang Mohsen masih hidup, mak. Kami boleh jaga Chah,” balas Siti Sarah.
“Semasa aku hidup, kau berdua dah singkirkan Chah dari hidup kau sebab dia lembam. Chah tu budak baik. Aku dah latihnya jadi mak andam. Chah tu slow tapi kalau pisau tumpul diasah berulang kali, lama-kelamaan tajam juga,” ujar Nek Enon.
Chah hanya membisu. Memang selama ini pun Nek Enon yang banyak memihak padanya. Sikap Nek Enon itu adalah yang langkah terbaik baginya membina keyakinan diri.
Nek Enon juga yang mengajarnya mengandam. Bukan itu saja, Nek Enon juga yang mengajarnya membuat tapai pulut yang dipesan oleh jiran-jiran yang tinggal di Kampung Puteri Warisan itu.
“Minumlah ayah, mak… nanti sejuk pula kopi dengan pisang goreng nipah tu,” ujar Chah.
Siti Sarah bangkit dari duduknya.
“Kita pulang bang. Saya takkan kempunan dengan kopi dan pisang goreng nipah tu,” jerit Siti Sarah.
Nek Enon memandang gelagat Siti Sarah dengan matanya yang sayu.
“Mak, kenapa buat Chah macam ni? Apa salah Chah?” soal Chah dalam nada yang sebak.
Tiga
Siti Sarah dan Mohsen meninggalkan laman rumah Nek Enon dengan kereta Myvy berwarna merah hati itu. Dalam perjalanan pulang ke rumah, Mohsen cuba membincangkan hal Chah dengan isterinya Siti Sarah.
“Kenapa awak tak sudi terima Ehsan jadi calon suami Chah tu, Sarah?” tanya Mohsen.
“Sebab dia cacat. Saya nak lelaki yang sempurna bukannya yang cacat. Saya mahukan calon suami yang lebih baik untuk Chah,” balas Siti Sarah.
Mohsen mengecit bibirnya macam bunyi cicak di siling rumah.
“Awak fikir ada lelaki yang sempurna yang mahukan Chah? Sekarang lelaki semakin ramai, Sarah. Mereka boleh memilih perempuan mana yang mereka suka.
Lelaki yang sempurna akan memilh gadis yang sempurna juga. Jadi, abang rasa sesuailah Chah dengan Ehsan tu. Lagipun Ehsan tu dah pun menjangkau 35 tahun. Dah cukup matang untuk berumah tangga. Kita jangan terlalu tamak, Sarah dengan apa yang Tuhan anugerahkan pada kita. Belajarlah bersyukur,” terang Mohsen dengan panjang lebar.
“Semasa kamu ke tandas tadi, mak ada beritahu abang. Ehsan sukakan Chah kerana Chah pandai memasak. Sekarang ni bukan mudah nak cari calon isteri yang pandai memasak. Harap cantik ramailah. Tengok kamu tu, setiap hari makan di luar. Kata mak, Ehsan sukakan air tangan isterinya,” ujar Mohsen.
Siti Sarah berpaling pada suaminya, Mohsen.
“Kenapa awak nak dengan saya dulu?” soal Siti Sarah.
“Sebabnya saya tak masukkan air tangan isteri tu sebagai syarat sewaktu memilih awak jadi isteri saya,” gurau Mohsen.
Siti Sarah mencubit pinggang Mohsen.
“Abang tak rasa malu ke kalau Chah berkahwin dengan Ehsan tu?” soal Siti Sarah.
“Apa yang nak dimalukan Sarah. Kalau itu dah jodohnya,” ujar Mohsen.
Siti Sarah berpaling pada Mohsen.
“Mudah benar abang buat rumusan,” balas Siti Sarah.
“Chah dah 28 tahun, Sarah. Awak nak tunggu apa lagi? Nak tunggu lelaki dari langit datang meminang dia? Tak tahulah kalau awak nak biarkan Chah jadi ‘andartu’. Siapa yang nak jaga Chah kalau kita dah tak ada lagi nanti,” ujar Mohsen.
Siti Sarah terdiam. Fikirannya cuba mencanai apa yang Mohsen perkatakan itu.
Empat
Misah datang ke rumah Nek Enon untuk bertanya khabar dan memesan tapai pulut manis 100 biji untuk majlis di rumahnya hujung minggu itu. Chah menyambut kedatangan Misah dan mencium kura-kura tangannya.
“Chah sihat?” tanya Misah.
“Sihat, mak cik,” balas Chah.
Misah meraup wajah Chah.
“Kenapa matanya bengkak tu? Macam orang baru lepas menangis?” usik Misah.
“Tak adalah mak cik. Sampah masuk dalam mata,” balas Chah.
Nek Enon menyampuk perbualan Misah dengan Chah.
“Majlis apa di rumah kamu sampai nak pesan 100 biji tapai pulut manis tu?” tanya Nek Enon.
“Majlis akikah anak Fatin yang tinggal di Kuantan tu. Datanglah nanti ya Mak Enon. Bawa Chah sekali. Bolehlah Misah kenal-kenalkan dengan Ehsan,” balas Misah.
‘Ah, mereka berdua dah kenal pun’, fikir Nek Enon.
“Bila kau nak ambil tapai pulut manis tu, Misah?” tanya Nek Enon.
“Sabtu ni. Majlis akikah tu Ahadnya,” balas Misah.
“Misah ada satu perkara lagi nak minta tolong daripada Mak Enon dan Chah ni,” tambah Misah.
“Cakaplah, Misah. Mana yang aku boleh tolong, aku tolonglah,” balas Nek Enon.
“Kerja masak-memasak dan sajian makanan untuk tetamu semasa majlis tu, Ehsan cadangkan air tangan Chah. Jemputannya hanya jiran-jiran terdekat saja,” ujar Misah.
“Kau tanyalah pada Chah,” balas Nek Enon.
Lima
Siti Sarah dan Mohsen menerima jemputan majlis akikah di rumah Misah. Misah dan suaminya, Senik datang ke rumah menjemputnya. Perbuatan Siti Sarah yang endah tak endah dengan jemputan majlis akikah itu menyebabkan Mohsen menegur sikap isterinya itu.
“Kenapa awak bersikap macam gulai tanpa garam pada Misah dan suaminya?” soal Mohsen.
“Suka hati sayalah,” balas Siti Sarah.
“Saya tetap dengan keputusan saya tak akan pergi ke majlis tu. Kalau abang nak pergi, abang pergilah sendiri,” tambah Siti Sarah.
Tengah hari itu sewaktu menghidupkan enjin keretanya, Mohsen berasa tidak sedap hati. Mohsen teringatkan isterinya, Siti Sarah. Mohsen naik semula ke atas rumah. Mohsen mahu mendapatkan kepastian sama ada Siti Sarah jadi atau tidak ke majlis akikah anak Misah itu.
Mohsen mengetuk pintu bilik kelamin mereka. Sewaktu daun pintu dikuak, Mohsen begitu terkejut apabila melihat Siti Sarah sudah bersiap ke majlis itu.
‘Akhirnya, lembut juga hati Siti Sarah,’ fikir Mohsen.
“Ah, abang tu boleh ke pergi majlis tu tanpa saya temankan?” sindir Siti Sarah.
“Yalah tu,” balas Mohsen.
Di majlis itu, Nek Enon duduk bersama jemputan lain di ruang tamu. Kelibat Chah dan Ehsan di dapur menguruskan sajian makanan untuk jemputan tengah hari itu. Siti Sarah memandang Chah tanpa mata yang berkedip.
“Mereka bercadang nak buka warung makan dan buat katering makanan selepas mereka kahwin nanti,” ujar Misah ketika menyambut kedatangan Misah dan Mohsen ke majlis itu.
Hati Siti Sarah yang beku menjadi cair setelah mendengarkan penjelasan daripada Misah.