1 Syawal 2024
Pagi itu, suasana bening terasa seperti lembaran baharu yang bersih dan putih, menanti untuk dilukis dalam lembaran kisah hidupku. Takbir raya kedengaran sayup-sayup dari televisyen di ruang tamu.
Tanganku lincah memegang pisau untuk memotong timun dan cili. Telur sudah siap kurebus. Kuah ikan pula sengaja aku biarkan lama menggelegak di atas dapur dengan api yang kecil. Harum semerbak seluruh rumah pagi ini dengan aroma kuah laksa. Aromanya tidak ubah seperti pagi raya ketika aku kecil-kecil dahulu.
Rendang ayam sudah awal-awal lagi kumasak malam tadi selepas mendengar pengumuman raya oleh pemegang mohor diraja. Hari ini, keluarga mentuaku akan mengadakan jamuan kecil di rumah mereka sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri. Dari sebelum berakhir bulan Ramadan lagi, suamiku telah membuat permintaan mahukan laksa hasil air tanganku untuk dibawa sebagai buah tangan daripada kami nanti. Katanya, laksa masakanku telah lama ditunggu-tunggu oleh keluarganya.
Tidaklah aku pandai memasak sebenarnya, namun baru kali ini aku mendapat kekuatan semula setelah sekian lama aku tidak memasak laksa. Mengikut pengiraanku, hampir dua tahun lamanya. Tanganku berhenti memotong bawang.
Terimbau kembali suasana di dapur kayu rumah pusaka kami.
Laksa istimewa masakan emak ini memang menjadi kegemaran kami sekeluarga sejak kecil. Dari kecil lagi emak sudah lama mahu mengajar aku dan kakakku cara memasak laksa.
Namun, ada saja akal aku mengelak. Kata emak, tidak elok begitu nanti besar tiada yang mahu.
Aku mengomel malas. Hanya kakakku yang ringan tulang sering membantu emak. Sungguh aku kagumi pada usianya ketika itu, sudah pelbagai masakan yang telah kakak pelajari. Melihatkan sebakul sederhana besar ikan selayang yang sudah siap direbus menunggu untuk diasingkan isi dan tulang membuatku mengeluh. Namun, kugagahi juga membantu. Setelah mengasingkan tulang-tulang ikan, aku belajar memotong timun dan bawang dengan cara yang betul.
Kata emak lagi, resipi laksa ini asli diwarisi daripada moyangku. Disebabkan ketika zaman kecil emakku, nenekku sibuk membantu datuk mencari nafkah bekerja memotong getah di ladang dan menanam padi, jadi emak dijaga dan dibesarkan oleh moyangku. Kali terakhir aku bertemu dengan moyangku pada umurku baru 10 tahun. Moyangku meninggal beberapa bulan kemudian dalam tahun yang sama akibat sakit tua. 103 tahun usia yang tertera pada sijil kematiannya.
Jun 2021
“Mak, lepas masuk bunga kantan, daun laksa, kemudian nak letak apa ya?” tanyaku suatu hari selepas puas mencari resipi laksa mak yang pernah kusimpan dahulu. Telefon kuletak di atas meja dapur agar emak dapat melihat dengan jelas dari layar skrinnya.
“Dah masuk bunga kantan, daun kesum baru masukkan garam sedikit. Baru ditutup periuk supaya kembang asam kepingnya,” riuh terdengar suara emak dari sebelah sana.
Aku menepuk dahi lalu mengekek tawa. Daun kesum. Selalu lupa daun yang satu ini. Kedengaran bunyi emak menyambung bebelannya.
“Itulah, sudah berapa kali mak pesan, belajar masak dari awal-awal lagi. Ni sudah berkahwin, baru nak kenal dapur,” bebelnya lagi.
“Mak kan ada, kalau Irah yang masak tak sama. Nanti Irah balik ke sana, mak masakkan ya.”
Mendengar dengusan emak dari sana makin galak aku ketawa mengusik. Hari itu, hampir setengah hari aku menghabiskan masa belajar masak laksa dengan mak melalui panggilan video. Sudah lama aku teringin mahukan laksa setelah lama selesai berpantang.
Atas faktor ancaman wabak COVID-19, berlaku sekatan perjalanan dan aktiviti harian di seluruh dunia menyebabkan sudah tiga bulan aku tidak dapat berjumpa dengan emak. Emak hanya sempat tinggal bersama kami ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun yang pertama. Ketika itu, aku baru sahaja melahirkan anak sulungku dan emaklah yang membantu menguruskan ketika aku berpantang. Ketika PKP tahun kedua dilonggarkan, barulah emak pulang ke rumah pusaka kami.
Sudah puas aku dan suamiku mengajak emak untuk terus tinggal bersama. Begitu juga dengan pelawaan kakakku. Namun dia menolak. Alasannya, mahu mengemas barangan-barang peninggalan arwah abah yang pergi meninggalkan kami semua setahun selepas aku berkahwin.
Tidak lama kemudian, kerajaan mengumumkan penyuntikan vaksin bagi mencegah gejala penyakit akibat COVID-19. Syukur tidak terhingga, akhirnya sekatan kegiatan harian kami akan ditamatkan. Otak terasa tepu tidak berkembang tanpa melihat dunia luar. Emak memberitahu kami, dia bakal menerima suntikan vaksin di pusat bangunan mercu tanda negara, Menara Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dua bulan sebelum tarikh lahirnya.
Aku berasa sedikit gusar dan risau akan risiko dan kebarangkalian kesan vaksin yang diuar-uarkan. Ketika itu, sekatan perjalanan merentas daerah masih berkuat kuasa, namun dilonggarkan hanya bagi mereka yang bekerja sebagai barisan hadapan. Beberapa hari sebelum emak menerima suntikan sempat juga aku mengirimkan laksa kepada emak menggunakan aplikasi e-penghantaran. Aku mahu mak mencuba laksa masakanku.
Sebaik aku menerima notifikasi yang menyatakan pesanan selamat dihantar, aku terus membuat panggilan video untuk mendapatkan reaksi dan pendapat emak.
“Wah, mak sudah boleh pencen masak lepas ni! Makin sedap rasanya macam masakan emak,” komen kakakku yang turut sama mencuba laksa kirimanku.
Kebetulan dia ada di rumah dan sudah tinggal bersama emak untuk beberapa hari sebelum membawa emak ke pusat vaksin nanti.
“Mak sudah siapkan buku resipi mak untuk Irah. Bolehlah belajar masak rendang pula nanti,” kata emak tersenyum sambil menunjukkan sebuah buku berkulit tebal saiz A5 yang penuh dengan resipinya. Aku dan kakak mengusik emak kerana punya masa untuk menulis semua itu.
Akhirnya, hari yang ditunggu-tunggu untuk emak menerima suntikan vaksin tiba. Aku masih ingat betapa gembiranya emak dapat keluar dari rumah setelah lama berkurung disebabkan perintah berkurung ekoran penularan COVID-19. Sebelum ini, jarang-jarang emak dapat keluar bersiar-siar kerana fokus menjaga arwah abah. Aku merenung lama gambar-gambar emak yang berdiri membelakangi menara ikonik Kuala Lumpur yang dihantar oleh kakak melalui aplikasi WhatApps.
Sempat kakakku mengambil gambar emak untuk kenang-kenangan. Juga, terdapat gambar emak memegang kadbod yang tertulis “Saya telah divaksinasi”. Selesai satu dos, namun masih memerlukan suntikan dos kedua dalam selang beberapa bulan nanti.
‘Semoga emakku selamat dan tidak apa-apa,’ doaku dalam hati. Aku dan kakak sudah punya perancangan mahu membawa emak mengerjakan umrah sebagai hadiah ulang tahunnya sejurus wabak COVID-19 berakhir nanti. Sengaja kami merahsiakan daripada pengetahuan emak sebagai kejutan buatnya.
Namun, sebagai manusia biasa kami hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan segalanya. Dalam beberapa hari kemudian, setelah emak menerima suntikan vaksin, emak mulai demam panas dan sakit tekak. Hampir seminggu masih tidak kebah panasnya dan emak hampir kehilangan suara.
Namun, emak melarang aku datang melawatnya, risau akan membawa jangkitan pada anak kecilku. Kakakku turut mengalami simptom yang sama. Benar telahanku, mereka berdua didapati positif COVID-19. Aku terduduk hilang kata-kata. Hampir dua tahun kami mengamalkan norma baharu dan berhati-hati mencegah ancaman wabak, namun emak dan kakak pertama yang terkena jangkitan dalam keluarga kami. Kakak dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di MAEPS, Serdang, manakala emak terus dibawa menggunakan ambulans ke hospital kerana paras oksigennya terlalu rendah.
Hanya pada keesokan harinya barulah aku dapat menghubungi emak melalui panggilan video. Kata emak, dia baru selesai menjamah makanan yang diberikan oleh pihak hospital. Nasi putih dengan sup ayam. Namun, hanya suku dijamahnya. Melihatkan emak tersenyum sambil menahan penat akibat batuk yang tidak henti-henti, membuat kami berasa sebak.
Kami enggan menunjukkan kesedihan di depan emak. Bimbang emak akan semakin susah hati. Tersekat-sekat suara kami menahan sebak memohon maaf dan minta dihalalkan segalanya daripada emak. Emak mengukir senyum lalu mengangguk lemah tanpa menjawab sepatah. Akhirnya, air mata keluar tidak dapat lagi dibendung. Hidung kakak kelihatan merah dan sembab matanya akibat menangis terlalu lama.
Berkali-kali dia memohon maaf kerana gagal menjaga emak sebaiknya. Saat doktor mula datang dan memberi isyarat untuk menamatkan panggilan video, emak hanya mampu melambai perlahan. Hati terasa berat untuk memutuskan panggilan. Kami tidak dapat berbual lama kali ini.
Namun, itulah panggilan video terakhir aku dan kakak dapat berbual dengan emak sebelum emak ditidurkan. Doktor memaklumkan agar kami bersedia dengan sebarang kemungkinan kerana paras oksigen emak sudah terlalu rendah. Bantuan saluran oksigen pernafasan mungkin tidak lagi mampu membantunya dan tipis peluang untuk membantu emak kembali sedar.
Saat itu, aku terasa jantungku bagai direntap. Aku tidak dapat fokus dan mendengar kata-kata doktor seterusnya. Duniaku terasa gelap. Tidak sanggup rasanya nak menghadapi semua ini. Aku masih belum bersedia. Aku tidak menyangka emak pergi meninggalkan kami dalam sekelip mata sebegini. Terasa baru semalam kami bergelak tawa berbual bersama. Jauh di sudut hati, aku masih mengharapkan ada sinar harapan dan keajaiban Tuhan. Namun tiada…
Aku berteleku lama di sejadah. Anak kecilku terus duduk di ribaanku, tidak sabar menunggu aku menadah tangan. Itu bahagian rutin kegemarannya setiap kali aku solat. Mataku terasa bengkak dan berat akibat terlalu lama menangis. Aku merenung tarikh yang tertera di layar telefon. Tarikh hari itu merupakan hari ulang tahun emak yang ke-60 tahun.
Sudah menjadi kebiasaan, aku dan kakak akan berebut untuk menjadi orang pertama yang memberi ucapan ulang tahun kepada emak pada awal pagi. Namun, hari itu terasa sunyi. Sudah hampir lima minggu emak telah pergi meninggalkan kami. Umur yang cukup muda berbanding dengan umur semasa pemergian moyangku. Sungguh aku terasa ralat dan sangat kesal. Emak pergi tanpa dapat kumandikannya buat kali terakhir. Emak pergi tanpa sempat aku peluk dan kucup wajahnya. Emak pergi tanpa sempat aku menjaga dan membalas jasanya. Kini, barulah aku mengerti perasaan perit emak menghadapi kehilangan insan tersayang setelah bertahun-tahun menjaga arwah abah.
Di dapur, aku merenung buku resipi yang ditulis emak terletak kaku di atas meja. Buku itu telah selamat sampai kepadaku pada hari suamiku membantu mengambil barang-barang emak di hospital. Terasa lemah seluruh badan apabila terkenang kembali. Masih belum sempat aku belek satu per satu helaiannya. Terasa seperti baru semalam aku belajar memasak laksa dengan emak. Hingga hari ini aku masih tidak dapat menerima berita pemergian emak. Rasa sedih yang teramat membuatku terasa mual. Pantas aku ke tandas meluahkan segala isi perut yang kosong.
Setelah beberapa minggu emak pergi, aku menerima khabar daripada doktor yang mengatakan kami bakal menerima bayi kedua tidak lama nanti. Semakin sayu hati tidak dapat berkongsi berita gembira ini dengan emak. Suami memujukku agar terus kuat melawan perasaan negatif yang membelenggu diri.
Hampir sahaja aku mengalami kemurungan yang teruk. Tidak bercakap dan tidak menjamah walau sebutir nasi pun. Mujurlah ada suamiku membantu menguruskan anak kami. Dia memahami dan memberi aku ruang untuk bersemangat semula. Keletah dan suara anak sulungku yang tertawa tidak mengerti apa-apa membawa aku balik semula ke dunia realiti. Sungguh aku rasa bersalah melupakan tanggungjawabku sebagai ibu dan isteri.
Aku tidak hilang semuanya. Aku masih punyai keluarga. Aku harus mengembalikan semangat kakakku yang turut lama tidak kuhubungi. Pastinya dalam keadaan begini dia sangat memerlukan aku juga.
Piapp… piappp… piapp… piappp..
Kedengaran bunyi tapak kaki kecil melangkah masuk ke dapur menghentikan lamunanku. Anak bongsuku yang kini baru berusia setahun enam bulan mendepakan tangan minta didukung. Dia yang memakai baju kurung sedondon denganku tersenyum seperti mentari pagi yang segar, sama manisnya seperti senyuman emakku. Kelahiran anak kedua kami memberi kembali semangat dan kekuatan dalam diri aku. Dia kembali terkedek-kedek berjalan keluar dari ruang dapur setelah aku memberi botol susunya. Aku menyambung kembali menyusun atur bekas-bekas yang akan dibawa nanti. Mengira setiap satu, takut ada bahan yang tertinggal nanti.
Telur rebus, cili potong, dan mi laksa sudah siap disusun di dalam beg. Tinggal bekas kuahnya belum ditutup rapat. Anak sulungku sedang duduk bersarapan di meja pantri. Suamiku pula di sebelahnya sudah awal-awal lagi menjamah laksa sambil tersenyum memandangku dan menunjukkan isyarat ibu jari. Hati sedikit berbunga-bunga dipuji sedemikian walau jauh di sudut hati terasa sayu.
“Selamat hari raya Irah. Kakak sudah dalam perjalanan menuju ke rumah Pak cik Tamin. Nanti kita jumpa di sana.”
Aku tersenyum menerima pesanan ringkas daripada kakak. Dia sekeluarga juga turut dijemput ke rumah mentuaku. Tahun ini dia mahu beraya bersamaku setelah PKP yang akhirnya ditamatkan pada tahun lepas. Aku pantas menutup rapat bekas kuah laksa yang masih hangat tadi. Terus memberikan isyarat kepada suamiku agar bersedia untuk berangkat pergi.
Sempat kucapai buku resipi mak lalu kupeluk erat sebentar. Resipi laksa peninggalan emak tiada beza dengan resipi laksa yang lain, namun tetap ada keistimewaannya yang tersendiri. Namun, setiap harum aromanya terasa bagai emak ada di sisi memeluk hangat tubuhku. Tekadku, akan aku wariskan resipi ini kepada anak-anakku. Rindu pada emak tidak pernah pudar meski senyum wajahnya hanya dapat kulihat dalam kenangan. Berehatlah wahai emak. Hanya doa mampu kuiringi menggantikan perit rindu di hati.
