Skip to content
Amanah di Balik Mesin
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Amanah di Balik Mesin
Amanah di Balik Mesin
Cerpen

Amanah di Balik Mesin

  • Dani Suhaimi
  • 5 Mac 2026
  • DBP Cawangan Sarawak
  • 247
  • 4.3

PAGI Isnin itu, deruman mesin di pejabat mula kedengaran seawal pukul lapan. Udara masih dingin, namun semangat Dani, seorang operator jabatan, sudah menyala-nyala. Setiap hari, tugasnya tidak besar pada pandangan orang lain — mengendalikan mesin, menerima panggilan pelanggan, dan memastikan dokumen dihantar ke bahagian yang betul. Namun bagi Dani, setiap tugasan adalah satu amanah.

“Dani, boleh semak semula laporan penghantaran semalam? Ada data yang belum masuk,” tegur Puan Zila, penyelia dengan suara lembut.

“Baik, puan. Saya semak terus,” jawab Dani, tangannya lincah di papan kekunci.

Beberapa minit kemudian, Dani menyedari sesuatu yang tidak kena. Ada satu rekod penghantaran yang belum dikemaskini, dan lebih mengejutkan, tanda tangan penerima pada borang itu bukan milik pegawai sebenar. Hatinya bergetar kecil. Dia boleh sahaja menutup mata, lagipun kesilapan itu kecil dan mungkin tiada siapa sedar. Tapi nalurinya menolak keras.

“Kalau aku biarkan, aku pun bersubahat,” omelnya perlahan.

Dani mengambil keputusan untuk melaporkan terus kepada Puan Zila. Beliau memeriksa dan mendapati ada cubaan menipu dalam rekod penerimaan bahan rasmi jabatan. Hasil siasatan dalaman kemudian membawa kepada tindakan disiplin terhadap individu yang bertanggungjawab.

Selepas kejadian itu, Puan Zila memanggil Dani ke pejabatnya.

“Dani, tindakan awak hari tu menyelamatkan nama baik jabatan. Ramai yang mungkin akan pilih diam, tapi awak berani bersuara.”

Dani tersenyum tenang. “Saya cuma buat apa yang betul, puan. Integriti bukan hanya untuk pegawai tinggi — operator macam saya pun kena jaga amanah, malah seorang amah pejabat ini pun juga menjaga amanah.”

Sejak dari hari itu, Dani menjadi contoh dalam kalangan rakan sekerja. Dia sering diingat sebagai operator yang tidak hanya menjalankan kerja, tetapi menjaga nilai di sebalik setiap butang yang ditekan, setiap fail dan setiap laporan yang dihantar, disemak.

Kerana baginya, integriti bukan sekadar perkataan, sebaliknya suara hati yang menolak untuk berbohong walau di balik bunyi mesin yang bising.

—

Hujan turun renyai di luar bangunan jabatan. Bumbung zink kafeteria berdenting lembut, seolah-olah sedang berzikir bersama detik waktu yang perlahan. Di ruang pejabat yang dingin itu, Daniel duduk terpaku di mejanya. Surat panggilan siasatan dalaman terbentang di hadapannya. 

“Tuan dipanggil untuk memberi keterangan lanjut berhubung insiden penguncian sistem tanpa kebenaran.”

Dia membaca ayat itu berulang-ulang, seolah-olah cuba mencari makna lain yang lebih lembut, lebih adil. Tetapi tiada. Dunia birokrasi tidak mengenal simpati, hanya prosedur dan peraturan. Rakan-rakannya mula menjauh, bukan kerana tidak percaya, tetapi kerana takut terpalit. Daniel faham. Dalam sistem yang luas dan berlapis, kejujuran kadang-kadang menjadikan seseorang kelihatan bersalah, hanya kerana dia bertindak sendirian.

Puan Suriani memanggilnya ke bilik khas. Wajahnya kelihatan letih. Di tangannya beberapa laporan teknikal dan salinan aduan rasmi daripada Bahagian Perolehan.

“Daniel, saya tahu niat awak baik,” katanya perlahan, “tapi mereka anggap tindakan awak terlalu berani. Pihak atasan mahu penjelasan penuh.”

“Saya tak berniat melanggar protokol, puan. Saya cuma mahu pastikan data itu tak diubah.”

“Saya tahu.” Puan Suriani menatapnya dalam-dalam. “Tapi bukan semua orang akan nampak dari sudut itu.”

Daniel terdiam. Dalam diam, dia teringat pesan arwah ayahnya dahulu, seorang juruteknik pejabat kecil yang meninggal dunia ketika dia masih menuntut.

“Kalau bekerja, jangan biar tanganmu kotor walau orang lain tak nampak. Rezeki yang bersih lebih tahan lama daripada pangkat yang tinggi.”

Kata-kata itu datang seperti doa yang menyelinap ke dadanya, menghapuskan sedikit rasa takut yang bersarang.

—

Beberapa hari berikutnya, siasatan bermula. Dani dipanggil ke bilik rundingan bersama tiga pegawai: seorang wakil teknikal, seorang pegawai tatatertib dan wakil audit dalaman. Setiap soalan datang seperti anak panah yang cuba menembus kesabarannya.

“Encik Daniel, kenapa tidak melaporkan perkara itu terlebih dahulu sebelum mengunci sistem?”

“Saya risau fail akan dimanipulasi jika saya lambat bertindak.”

“Adakah encik menuduh mana-mana pegawai menyalah guna sistem?”

“Saya tidak menuduh, saya cuma melaporkan apa yang saya nampak.”

Suara Daniel tenang, tetapi hatinya berdebar. Di seberang meja, Encik Zafran duduk dengan wajah selamba. Dia tidak banyak bersuara, hanya memerhati. Namun setiap kali mata mereka bertemu, Daniel terasa sesuatu yang berat, seolah-olah ada kebenaran yang disembunyikan di balik pandangan itu.

—

Selesai sesi siasatan, Daniel keluar ke koridor yang panjang dan sunyi. Hujan telah berhenti, tetapi bau lembap masih melekat di udara. Dia berjalan perlahan ke bilik operasi, memandang mesin yang setiap hari menjadi saksi amanahnya. Lampu kecil pada panel kawalan masih berkelip, tanda sistem berjalan lancar.

Dia meletakkan tapak tangan di atas mesin itu, seolah-olah menyentuh nadi sahabat lama.

“Kalau kau boleh bercakap,” bisiknya, “kau akan beritahu siapa yang benar, kan?”

Suara hatinya tenggelam dalam gema kipas mesin. Namun jauh di dasar jiwanya, ada ketenangan yang perlahan-lahan kembali. Dia tahu, kebenaran tidak memerlukan saksi besar. Cukup jika hati tidak berdusta. Reda akan segala hikmah yang tersembunyi.

—

Petang itu, ketika Daniel hampir mahu pulang, Puan Suriani memanggilnya semula.

“Daniel, saya baru dapat makluman awal dari pihak audit. Ada sesuatu yang mereka temui.”

Daniel menoleh, matanya tajam menunggu penjelasan.

“Mereka menemui log akses luar dari akaun lain, dan ia disahkan dibuat daripada komputer Encik Zafran.”

Sunyi. Segalanya berhenti seketika — bunyi mesin, langkah kaki, malah degupan jantung Daniel sendiri terasa beku.

Puan Suriani menyambung, “Saya tak boleh umumkan apa-apa lagi, tapi nampaknya tindakan awak menyelamatkan data penting jabatan. Mereka akan bentangkan hasil siasatan lengkap minggu depan.”

Daniel menarik nafas panjang. Untuk pertama kalinya dalam beberapa hari, dadanya terasa lapang. Namun tiada rasa megah dalam dirinya, hanya syukur yang halus.

“Saya cuma buat apa yang patut, puan,” katanya perlahan.

“Itulah beza antara pekerja dan insan berintegriti,” balas Puan Suriani, “yang seorang ikut arahan, yang seorang lagi berpegang pada kebenaran.”

Daniel tunduk, menahan air mata yang hampir tumpah. Bukan kerana lega, tetapi kerana dia sedar betapa beratnya harga sebuah kejujuran dalam dunia yang semakin membisu terhadap nilai.

—

Pada hari Isnin itu, seluruh kakitangan jabatan berkumpul di dewan utama. Puan Suriani berdiri di pentas kecil bersama beberapa pegawai kanan. Di belakangnya, layar besar memaparkan tajuk yang membuat jantung Daniel bergetar — “Pembentangan Hasil Audit Dalaman: Sistem Perolehan Elektronik”.

Daniel duduk di barisan belakang, cuba menyembunyikan wajahnya di sebalik fail laporan. Sejak seminggu lalu, namanya disebut di sana sini. Ada yang memuji, ada juga yang memandang sinis. Dia tidak mahu dijadikan wira, hanya mahu kebenaran jelas ke hadapan.

Pegawai audit, Encik Rahman, mula membentangkan hasil siasatan. Suaranya tegas namun terkawal.

“Selepas semakan forensik sistem, kami mendapati wujud cubaan mengubah data rekod perolehan melalui akaun dalaman pada waktu di luar waktu pejabat. Akses tersebut dikesan berasal dari terminal komputer pegawai bahagian perolehan, dan aktiviti ini berjaya disekat oleh tindakan segera seorang operator jabatan.”

Bilik dewan sunyi. Tiada suara, hanya degupan hati yang berdentum di dada Daniel.

Encik Rahman menyambung, “Cubaan tersebut, jika tidak disekat, boleh menyebabkan kehilangan data penting dan mencemarkan ketelusan urusan tender. Namun, sistem berjaya dikunci tepat pada waktunya”

Semua mata kini tertumpu kepada satu arah — ke tempat Daniel duduk.

Puan Suriani melangkah ke hadapan mikrofon.

“Sebagai ketua seksyen, saya ingin menyatakan penghargaan rasmi kepada Encik Daniel Asyraf, operator jabatan kita yang bertindak pantas dan jujur, walau tindakan itu berisiko kepada dirinya sendiri.”

Dewan bergema dengan tepukan perlahan, kemudian semakin kuat. Daniel menunduk, terasa wajahnya panas. Dalam detik itu, dia tidak merasakan kemenangan, tetapi kelegaan. Kebenaran akhirnya tidak lagi menjadi rahsia.

Di sudut dewan, Encik Zafran menunduk diam. Wajahnya kelihatan pucat. Tidak lama selepas itu, pihak pengurusan mengumumkan beliau digantung kerja sementara menunggu siasatan tatatertib lanjut.

Daniel memandang ke hadapan. Hatinya tidak dipenuhi dendam, hanya doa agar kebenaran menjadi pengajaran kepada semua.

“Integriti bukan untuk menjatuhkan orang lain,” katanya dalam hati, “tetapi untuk menegakkan yang benar tanpa menindas.”

Hari-hari berikutnya berjalan dengan tenang. Jabatan mula kembali kepada rentak asal. Mesin-mesin di bilik operasi berdetik semula seperti dulu, namun bagi Daniel, setiap bunyi itu kini membawa makna baharu, iaitu makna tentang amanah, tentang harga diri, tentang maruah yang tidak boleh dijual dengan ketakutan.

Suatu petang, Puan Suriani datang membawa sepucuk surat.

“Dani, ini untuk awak. Nah.”

Daniel menerima surat itu dengan cermat. Di atas kepala surat tertulis: “Surat Penghargaan Khas: Integriti dan Amanah dalam Perkhidmatan”.

Tangannya bergetar sedikit. Di dalam surat itu, tertulis penghargaan rasmi atas tindakannya menyelamatkan sistem data jabatan dan menunjukkan teladan integriti yang tinggi sekaligus ,emjadi contoh terbaik buat rakan-rakannya di pejabat.

“Puan…” suaranya tersekat, “saya tak buat semua ini untuk penghargaan.”

“Saya tahu,” jawab Puan Suriani sambil tersenyum. “Tapi penghargaan ini bukan sekadar untuk awak. Ia untuk semua yang percaya bahawa kebenaran masih ada tempat dalam dunia kerja.”

—

Beberapa bulan berlalu. Ramai kakitangan baru mula masuk ke jabatan itu. Dalam sesi orientasi, nama Dani sering disebut oleh Puan Suriani sebagai contoh pekerja yang berintegriti tinggi. Namun Daniel sendiri tidak pernah berasa dirinya istimewa. Baginya, kejujuran itu seperti udara, tidak perlu dilihat, tetapi mesti sentiasa ada.

Suatu pagi, seorang operator muda, Azim, datang menghampirinya.

“Abang Dani,” katanya perlahan, “saya dengar tentang kes abang dulu. Macam mana abang boleh berani lawan bila ramai yang takut?”

Daniel tersenyum. “Azim, keberanian itu bukan tentang menentang orang. Ia tentang menentang diri sendiri. Apabila hati kita mahu diam, tapi kebenaran minta kita bersuara.”

Azim mengangguk perlahan, matanya bersinar. Dalam detik itu, Daniel tahu perjuangannya tidak sia-sia. Benih kecil integriti yang ditanamnya mula tumbuh di hati generasi baru.

—

Hari berganti minggu, minggu menjadi bulan. Daniel masih setia di bilik mesin yang sama, menjalankan tugas seperti biasa. Namun kali ini, setiap bunyi mesin terasa seperti irama kehidupan yang damai.

Kadangkala, dia terfikir — betapa mudah manusia tergoda oleh jalan pintas; betapa dunia kerja boleh menjadi kabur antara benar dan salah. Tetapi selama hati masih tahu membezakan keduanya, dunia ini masih punya harapan.

Sebelum menutup sistem setiap petang, Daniel sering menatap skrin komputer yang menayangkan baris kata laluan yang hanya dia faham:

“Amanah itu cahaya, dan cahaya takkan mati.”

Dia tersenyum kecil, mematikan suis mesin perlahan-lahan.

“Ramadani, awak belum pulang?” tanya Daniel sebelum berlalu ke pintu keluar pejabat

“Sekejap lagi. Saya habiskan nukilan saya untuk bulan ini,” ujarnya tersenyum.

—

Integriti bukan hanya milik mereka yang berpangkat tinggi. Ia milik setiap insan yang memilih untuk tidak berbohong, walau dalam kerja sekecil mengendalikan mesin. Dunia mungkin tidak selalu memuji orang jujur, tetapi sejarah akan selalu menulis mereka dengan cahaya.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Mengayam Aksara
Puisi

Mengayam Aksara

  • 20 Julai 2025
  • 97
  • 4.6
Rindu Abah
Cerpen

Rindu Abah

  • 21 Ogos 2025
  • 344
  • 4.8
“Sultan Mahmud Mangkat Dijulang” Papar Gambaran Sejarah Klasik
Bicara Sastera

“Sultan Mahmud Mangkat Dijulang” Papar Gambaran Sejarah Klasik

  • 5 Disember 2025
  • 110
  • 5
Kek Mana Habis Dulu?
Cerpen

Kek Mana Habis Dulu?

  • 5 April 2025
  • 177
  • 3.5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP