Skip to content
Pari-Pari di Bawah Cahaya – Cerpen Realisme Baharu Karya Ruzaini Awang
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Sastera > Pari-Pari di Bawah Cahaya – Cerpen Realisme Baharu Karya Ruzaini Awang
Pari-Pari di Bawah Cahaya – Cerpen Realisme Baharu Karya Ruzaini Awang
Bicara Sastera

Pari-Pari di Bawah Cahaya – Cerpen Realisme Baharu Karya Ruzaini Awang

  • Osman bin Ayob
  • 20 Ogos 2026
  • DBP Wilayah Utara
  • 4
  • 5

Dalam kalangan penulis generasi baharu sekarang, terdapat beberapa orang cerpenis yang telah berjaya menghasilkan cerpen gaya baharu yang menarik. Salah seorang daripadanya ialah Ruzaini Awang seorang guru, juga Munsyi Bahasa dan Sastera dari negeri Sabah.

          Kumpulan cerpen terbaharunya, Pari-Pari di Bawah Cahaya (DBP 2026) menampilkan dua puluh buah cerpen yang mempunyai kelainan baik dari segi teknik penulisan dan gaya bahasa, malah pengolahan temanya menyorot masa lampau yang unik, masa kini yang sarat dengan kompleksiti dan menjangkau masa depan yang serba mencabar. Sebagai seorang pendidik, Ruzaini mengambil peluang mengutip pengalamannya dan melagangkan penceritaan dalam bentuk cerpen yang berlainan daripada cerpen-cerpen yang pernah dihasilkan oleh penulis lain sebelum ini.

Pari-Pari di Bawah Cahaya – Cerpen Realisme Baharu Karya Ruzaini Awang
Penulis sempat bergambar dengan Ruzaini Awang dalam satu acara.

 

Terdapat dua cerpen yang menyentuh tentang dunia pendidikan; guru dan anak murid. Cerpen, “Aku Menulis Manusia,” memaparkan Raudhah, seorang pendidik yang baru bertugas menghadapi kerenah anak muridnya yang bermasalah dan cuba mengatasinya mengikut kemampuan yang ada padanya. Lukman pelajar tingkatan satu, kurus dan hanya menggunakan sebuah buku sahaja untuk menulis apa-apa sahaja ajaran yang disampaikan. Kedaifan Lukman membuat Raudhah ke gobok anak muridnya itu. Didapati jalan masuk ke rumah Lukman sudahlah buruk, terpaksa pula menyeberangi titi gantung yang berbahaya. Lukman yang sedang mengangkut air dari telaga, menyambutnya dengan penuh rasa terharu. Raudhah menyedari kesulitan hidup Lukman dan cuba mengatasinya dalam mesyuarat pengurusan sekolah.

Cerpen “Lewat Sebak Sekuntum Rindu,” watak aku sebagai pendidik bertaraf graduan, mahukan anak muridnya  menjadi insan yang berguna dan berbakti kepada masyarakat. Dia cuba menguji anak muridnya dengan kerja lapangan bertajuk “idola”. Dalam kalangan anak muridnya yang terdiri daripada pelbagai peringkat kehidupan; kota dan desa, dia dapati Zarif, pelajar baharu yang mempunyai kompleksiti yang tersendiri.

Zarif memilih abahnya sebagai  idola; wira hidupnya. Abahnya merupakan penjual sayur dan hasil mahsul kampung dan menjualnya di merata tempat. Kegigihan abah Zarif amat terkesan di hati Cikgu Syahadah. Inilah kesulitan masyarakat di kampung-kampung dalam menjalani kehidupan harian dengan menjual hasil tanaman yang diusahakan dengan titik peluh sendiri. Sebagai tanda simpati, Cikgu Syahadah memutuskan untuk membeli hasil jualan abah Zarif. Di sekolah, Zarif bertemu gurunya itu dan menyatakan rasa bersyukur atas keprihatinan seorang guru kepada perjalanan kehidupan keluarganya. Dari sini timbullah unsur keharmonian antara guru dan murid. Nilai kesantunan dan moral yang baik terbentuk melalui perubahan sikap yang ditonjolkan penulis.

Pandemik COVID-19 yang yang melanda negara turut digarap penulis dengan cerpen berjudul “Kerana Serpihan Pandemik 1” dan “Kerana Serpihan Pandemik 2.” Melalui cerpen pertama, watak Azim berasa dirinya terkurung dan mengalami kerenggangan dalam hubungan keluarga. Akibat  pandemik, pergaulan sesama insan menjadi tergendala dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menambah parah situasi hingga menjurus kepada psikiatri.  Pelitup muka pula menyumbang kepada kurangnya komunikasi dan interaksi sesama pelajar. Namun dugaan yang dihadapi ada hikmah yang tersembunyi  dan membawa ketabahan dan kematangan kepada seseorang.

Dalam cerpen kedua pula, “Kerana Serpihan Pandemik 2,” Azim yang berkecimpung dalam bidang pertanian, ditanya oleh seorang wartawan asing, Azrone yang ingin mengetahui mengapa Azim begitu bersungguh-sungguh berkebun pada era pandemik. Jawapan Azim begitu mudah, hal ini merupakan hikmah daripada COVID-19. Malah komitmennya yang mendalam telah mendapat perhatian daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).  Seterusnya dia juga dapat menarik perhatian daripada masyarakat kampungnya supaya bercucuk tanam sebagai sumber pendapatan yang lumayan.

Tema kekeluargaan juga turut digarap penulis kumpulan cerpen ini.  Dalam cerpen “Hadiah Hari Ulang Tahun Perkahwinan yang Ke-10,” mengisahkan cita-cita rakyat marhaen, Zafran untuk menghadiahkan sebentuk cincin bersempena dengan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-10. Cinta mereka yang kukuh dan mahal nilainya dibandingkan dengan pembinaan Taj Mahal. Walau bagaimana bangunan ikonik dalam tujuh keajaiban di dunia itu didirikan dalam tempoh 22 tahun sebagai lambang cinta Shah Jehan kepada isterinya, Mumtaz Mahal.

Dalam cerpen “Mentari Sudah Berlabuh Senja,” Pak Leman mengisahkan kepada cucunya, Husaini tentang pertelagahan dua orang anaknya, Rahman dan Rahim yang berebut sebidang tanah pusaka untuk kepentingan masing-masing. Kedua-duanya tidak mahu lagi bertanam pisang yang telah dikerjakan sekian lama. Akibat pertelagahan yang tidak berkesudahan itu, Pak Leman yang berpenyakit batuk berdarah telah meninggal dunia. Peristiwa ini menimbulkan kesedihan yang amat sangat kepada Husaini.

Berlainan pula dengan cerpen “Cerita Pusaka yang Kian Pendar.” Cinta Aki Man terhadap “muzium sejarah” selamanya tiada galang gantinya. Di dalam muzium ini  tersimpan artifak yang tidak ternilai harganya. Oleh hal yang demikian apabila dia terlihat  sosok tubuh menyelinap masuk ke dalam galeri untuk melarikan barangan yang disimpan, dia memekik dengan sekuat tenaga. Hal ini menyebabkan pencuri itu melarikan diri. Aki Man menyedari kealpaannya membuat ada orang mahu mengambil kesempatan. Dia berazam tidak akan melakukan kesilapan lagi.

 Meneliti cerpen-cerpen yang termuat dalam kumpulan ini, jelas penulisnya mahu membuat kejutan  melalui watak-watak yang diketengahkan yang bergerak secara dramatik. Dalam usaha untuk menghidupkan watak dan perwatakan, penulis memasukkan unsur pemikiran  yang dominan dalam diri watak. Watak disusupi dengan padanan terjemahan ayat al-Quran dan hadis yang relevan dengan pergolakan cerita yang hendak diketengahkan. Walau bagaimanapun, jika trend ini digunakan daripada satu cerpen kepada satu cerpen yang lain, hal ini menimbul klise yang menjejaskan stail dan mutu cerpen. Secara logik setiap watak hanya berkemampuan berfikir dan bermonolog berdasarkan pada landskap di sekelilingnya. Pendidikan dan taraf pelajarannya akan menentukan sejauh mana perjalanan daya fikir dan setinggi mana inisiatifnya untuk bergerak dan bertindak.

Di samping itu, pembabitan pengarang secara naratif perlu dikawal selaras dengan plot dan corak penceritaan. Apabila pengarang terbabit secara berlebihan, ia menjadi khutbah yang akan mengurangkan mutu cerpen yang wajar mempunyai imbangan dengan aspek lain seperti teknik dan gaya penulisan. Meskipun pengarang mempunyai kemampuan dari segi estetika berbahasa, kawalan dan kesesuaian perlu diselaraskan dengan keperluan supaya cerpen memenuhi ciri “sedap” dinikmati dan isinya meresap ke dalam jiwa pembaca.

          Cerpen yang menjadi judul kumpulan ini, “Pari-pari di Bawah Cahaya” tidak terkecuali daripada diselitkan  firman Allah SWT dalam surah al-Ra’d ayat 11, iaitu “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang ada pada diri  mereka”. Soalnya bukan tidak sesuai untuk memasukkan segala macam data dan fatwa yang membawa kepada penambahan ilmu dan manfaat kepada pembaca, namun dari satu aspek apabila elemen ini  dinaratifkan ke dalam sesebuah cerpen secara bebas dan berlebihan, ia akan menjejaskan jalan cerita malah amanat yang hendak disampaikan. 

          Walau bagaimanapun keseluruhan cerpen yang dimuatkan dalam kumpulan ini memperlihatkan kemampuan Ruzaini Awang dalam membuat pembaharuan cerpen bentuk baharu selaras dengan trend penulisan yang ingin diteroka para penulis baharu sekarang. Seperti kata Datuk Jasni Matlani dalam kata pengantarnya, “berbangga dapat membimbing seorang penulis muda satu teknik penulisan New Realisme, yang menggabungkan imaginasi dengan fakta sosial  atau realiti semasa, yang dapat diperoleh dengan mudah di sekeliling terutama pada era Internet of Thing,  atau Internet Kebendaan dan Artificial Intelelligence (AI)”.  Pendapat ini boleh diterima dan diharapkan khalayak pembaca tanpa mengira peringkat usia dan berminat kepada bahan bacaan, yakni sastera dapat memanfaatkannya sebagai wadah yang memperkaya pengetahuan ke arah kehidupan yang lebih bermakna dalam menempuh zaman pancaroba yang semakin rumit pada zaman sekarang.

 

 

Ruzaini Awang dan Osman Ayob

# #karyasastera# #kedah# #penulis# #wadahdbp
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#baimbad (2) #cerpendbp (13) #cerpenkehidupan (8) #dbpselatan (17) #karyasastera (30) #kedah (4) #komsas (3) #penulis (9) #penulisbaharu (33) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (24) #sasteramelayu (10) #sasteramoden (4) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (15) abuyon (4) adie abd gani (5) anak (3) cerpen (14) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (28) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (6) Esei (5) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (14) puisi (34) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (13) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Raja Ali Haji: Tokoh Ketatanegaraan Abad Ke-19
Tokoh

Raja Ali Haji: Tokoh Ketatanegaraan Abad Ke-19

  • 5 September 2024
  • 1512
  • 4.7
ميمڤي سأورڠ ڤمبورو
Puisi Moden

ميمڤي سأورڠ ڤمبورو

  • 6 Februari 2024
  • 3.6
Dua Cucuk Sate
Cerpen

Dua Cucuk Sate

  • 22 Disember 2025
  • 621
  • 4.6
Berdamai Dengan Aturan
Puisi

Berdamai Dengan Aturan

  • 5 Oktober 2024
  • 231
  • 4.8

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP